02 November 2010

Taridra "Hua'er" Etnik Hui Berjaya Tunjukkan Budaya Etnik di Ningxia

24 Zulkaedah 1431 H

Etnik Hui merupakan salah satu daripada 10 etnik minoriti yang beragama Islam di China. Mereka bermastaudin di merata-rata tempat seluruh China, namun Ningxia merupakan tempat di mana jumlah penduduk etnik Hui yang paling ramai berbanding tempat yang lain. Oleh itu, kebudayaan etnik di Ningxia mempunyai ciri etnik Hui yang berkait rapat dengan budaya Islam.

Hua'er ialah sejenis cara nyanyian yang digemari oleh etnik Hui sama ada di Ningxia, Gansu dan Qinghai, mahupun di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang. Hua'er boleh dinyanyikan secara solo atau berduet seperti berdialog. Sekiranya menyanyi secara berduet, lelaki memanggil wanita sebagai "Hua'er", manakala wanita memanggil lelaki itu sebagai "Shaonian".

Terdapat banyak jenis Hua'er seperti Shanhua'er dan Ganhua'er kerana cara nyanyiannya berbeza. Kesenian Shanhua'er etnik Hui di Ningxia telah dimasukkan ke dalam senarai warisan budaya bukan benda peringkat negara China. Taridra "Hua'er" merupakan percubaan yang berjaya dalam proses memelihara, mewariskan dan mengembangkan kesenian lagu Hua'er di kalangan rakyat.

Taridra "Hua'er" direka, diubahsuai dan diusahakan oleh Kumpulan Nyanyian dan Tarian Ningxia yang memakan masa selama lebih empat tahun. Taridra tersebut telah dipersembahkan di Panggung Poly, Beijing pada awal tahun ini dan taridra ini dijemput untuk mengadakan persembahan dalam Ekspo Dunia Shanghai dan Pesta Kesenian China ke-9 di Guangzhou.

Taridra "Hua'er" menceritakan cinta kasih yang romantik antara dua pemuda etnik Hui dan memperlihatkan serta memuji semangat orang etnik Hui dalam mengatasi kesusahan untuk mengejar kebahagiaan.

Banyak unsur etnik Hui yang istimewa seperti tarian kendi air, tarian kambing, tarian tap dan lagu Hua'er terkandung dalam taridra tersebut yang disembahkan lagi dengan teknologi elektrik dan cahaya.

Antaranya, tiga tarian pasangan yang menonjolkan rasa kecintaan yang memberikan kesan yang mendalam kepada para penonton. Selepas taridra "Hua'er" buat pertama kali dipersembahkan di Yinchuan, ibu kota Wilayah Autonomi Hui Ningxia, ia telah mendapat sambutan hangat penduduk bandar. Seorang penduduk bandar Yinchuan, Encik Ma berkata,

"Taridra ini sungguh menarik. Hua'er berasal dari kalangan rakyat, walaupun sudah diubahsuai, namun ciri asalnya masih dikekalkan. Saya rasa persembahaan taridra Hua'er ini berjaya menonjolkan keistimewaan Ningxia. "

Zhang Jigang, pengarah terkemuka China yang ditugaskan sebagai naib pengarah upacara perasmian Sukan Olimpik Beijing pada 2008 telah dilantik sebagai pengarah perdana taridra itu.

Selain itu, ramai seniman terkenal masing-masing menjalankan tugas mengarang lagu, mengarang cerita, mereka tarian dan mereka bentuk pakaian pelakon untuk Taridra "Hua'er". Boleh dikatakan taridra tersebut merupakan gabungan kecerdasan ramai orang yang berbakat. Ketua Kumpulan Nyanyian dan Tarian Ningxia, Fan Jinguo berkata,

"Matlamat kami adalah untuk membentuk jenama Hua'er Ningxia melalui beberapa karya taridra klasik. Ningxia mempunyai kebudayaan yang cemerlang, namun kurang tindakan untuk memperkenalkan dan mempromosikannya."

Ma Qian, seorang wanita etnik Hui yang manis rupanya, berumur 25 tahun telah dipilih menjadi watak wanita utama taridra itu. Beliau dan pasangannya semasa menari selalu berlatih selama lebih 10 jam setiap hari. Kata beliau,

"Ini merupakan peluang keemasan bagi saya untuk meningkatkan taraf tarian saya. Walaupun susah, namun berbaloi."

Gu Liangliang, merupakan penari muda yang pernah memenangi hadiah emas tarian moden dalam Pertandingan Tarian Antarabangsa Nagoya Jepun Ke-5 pada tahun 2005. Selepas membaca skrip taridra Hua'er, beliau begitu teruja menerima watak lelaki utama dalam taridra tersebut. Kata beliau,

"Ada dua aspek yang menarik perhatian saya. Salah satu ialah Zhang Jigang menjadi pengarah taridra ini; satu lagi ialah taridra ini melibatkan kebudayaan Ningxia yang amat istimewa. "

Setelah Taridra Hua'er memperoleh pencapaian yang cukup memuaskan, banyak persembahan yang melibatkan kesenian dan kebudayaan tempatan Ningxia telah dicipta dan dibawa keluar dari Ningxia ke seluruh negara. Lebih-lebih lagi, kesenian Hua'er Ningxia dapat dinikmati oleh para pengunjung asing sempena Ekspo Dunia 2010 di Shanghai.

CRI/-

Tiada ulasan: