15 Oktober 2012

Desak Najib jelaskan tujuan dan isi pertemuan dengan Soros

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak harus menjelaskan tujuan dan topik perbincangannya bersama George Soros jika benar pertemuan itu tidak melibatkan sebarang rahsia yang perlu disembunyikan, kata Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail. “Rakyat ingin tahu apa isinya dari pertemuan tersebut, apakah benar ia hanya perjumpaan biasa? Apa agenda yang dibincangkan atau menyambung perjanjian tersembunyi antara Soros dan Mahathir dulu?” soalnya. Menurut Azan, jelas pertemuan tersebut membuktikan Umno BN yang selama ini menuding jari terhadap Pakatan Rakyat (Pakatan) sebenarnya mempunyai hubungan rapat dengan Soros dan dalam masa sama meminta bantuan darinya. “Sifat talam dua muka Najib yang menyambung lidah (Tun Dr) Mahathir (Mohamad) dengan mendakwa Pakatan diberi dana asing untuk menjatuhkan kerajaan terbukti sengaja direka dan dihebohkan untuk memberi imej negatif kepada Pakatan, walhal pada sama kedua-duanya juga mengatur pertemuan sulit dengan Soros. “Pertemuan itu pula tidak diperjelaskan, jadi ia memberi kesangsian kepada rakyat,” kata Azan ketika dihubungi Keadilan Daily. Ahli Parlimen Subang, Sivarasa Rasiah minggu lalu mendedahkan pertemuan antara Najib dengan Soros di sebuah hotel mewah, Hotel Plaza di Manhattan, New York pada 27 September 2010. Najib bagaimanapun menyatakan pertemuan tersebut merupakan kunjungan hormat biasa dan ia tiada salah, namun tidak mendedahkan tujuan dan isi perbualan mereka. Azan juga tidak menolak kemungkinan konspirasi wang seludup sebanyak RM40 juta yang disalurkan kepada Umno Sabah juga melibatkan Soros. “Saya syak wang yang kononnya sumbangan politik biasa kepada Umno Sabah tersebut juga melibatkan Soros, sebab itu pihak berkuasa tidak mendedahkan sumber wang tersebut. Kita harus ingat, pihak berkuasa berada di bawah kekangan beliau,” kata Azan lagi. Katanya, tindakan bersekongkol secara sembunyi seperti ini seolah-olah Perdana Menteri mengheret negara dalam bahaya. “Tindakan ini boleh menggugat kestabilan negara kerana kita tidak mengetahui agenda tersembunyi di sebaliknya. “Najib seolah-olah sedang menjual negara kepada dunia secara senyap-senyap,” tegas beliau. Najib yang juga Presiden Umno enggan mendedahkan pihak yang menyumbang wang tersebut kepada Umno, tetapi mengatakan ia adalah untuk sumbangan politik. Keadilan Daily

BN terkena batang hidung sendiri kaitkan Pembangkang dengan Soros

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Usaha Umno BN memfitnah Pakatan Rakyat (Pakatan) mempunyai hubungan dengan spekulator mata wang, George Soros akhirnya terpalit kepada mereka sendiri, kata Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim. “Mantan Perdana Menteri, Tun (Dr) Mahathir (Mohamad) kata kalau Anwar jadi PM, negara ini akan dijual kepada Soros. “Akhirnya beliau (Mahathir) sebenarnya yang jumpa (Soros) dan keluar gambar mereka…tengok-tengok, bukan main lagi (mereka) senyum,” kata Ketua Umum KEADILAN itu disambut sorakan lebih 12,000 hadirin ketika berucap pada Ceramah Mega Jelajah Merdeka Rakyat ke Pulau Pinang di tapak Ekspo Pertanian Seberang Jaya, malam tadi. Pada masa sama, skrin di tepi pentas turut memaparkan gambar pertemuan Mahathir dan Soros di sebuah hotel dalam negara pada 2006. Ahli Parlimen Permatang Pauh itu juga menempelak Umno BN melalui media kawalannya yang setiap hari mengaitkan Pakatan dengan jutawan itu. Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak bukan sahaja bertemu Soros di dalam negara, malah mengaturkan pertemuan khas di New York dua tahun lalu. “Saya tiada masalah kalau nak jumpa, tapi jangan fitnah kita…ini Utusan Malaysia dan Buletin Utama (TV3) setiap hari buat fitnah,” kata Anwar. Turut berucap Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul; Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng; Timbalan Ketua Menteri 1, Datuk Dr Mansor Othman dan Naib Presiden PAS, Mohamad Sabu. Dalam pada itu, Anwar turut menceritakan sambutan luar biasa rakyat Sabah ketika jelajah Merdeka Rakyat ke negeri itu Jumaat dan Sabtu lalu. “Sambutan cukup luar biasa, termasuk di kubu kuat Umno di Lahad Datu…Sabah kini bukan lagi ‘fixed deposit’ mereka,” kata Anwar. Sebab itu, katanya lagi, Najib mengumumkan peruntukan tambahan RM2.89 bilion kepada Sabah kerana takut kehilangan negeri itu. “Tapi saya nak cakap kat Najib, it’s too late (ianya sudah terlambat)…beliau perlu sedia untuk jadi Ketua Pembangkang yang baik, InsyaAllah,” sinis Anwar. Keadilan Daily

Mangsa tembakan polis saman KPN, kerajaan Malaysia

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Mangsa tembakan polis tiga tahun lalu, Norizan Salleh, 32, memfailkan saman terhadap Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar, kerajaan Malaysia dan dua lagi yang lain hari ini. Mangsa ditembak secara rambang oleh seorang pegawai polis peronda sewaktu menaiki kereta bersama rakannya di Lebuhraya Lingkaran Tengah 2 Kuala Lumpur (MRR2), pada 30 Oktober 2009. Polis menembak kereta tersebut bertalu-talu dan beberapa das tembakan itu kena pada pergelangan tangan, bahu kanan serta tulang rusuk Norizan. Sewaktu Norizan cuba keluar dari kereta dan meminta pertolongan polis, dia telah ditendang di bahagian dada menyebabkan beliau rebah semula ke dalam kereta. Polis tersebut sekali lagi memijak pula belakang Norizan sebaik beliau keluar semula dari kereta dalam keadaan merangkak dan kesakitan. “Sehingga kini, kesan tembakan dan serangan itu masih terasa, saya sering menghadapi kesukaran bernafas, tidak boleh terlalu aktif dan tidak boleh angkat barang berat,” jelas Norizan kepada pemberita di perkarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur di sini. Norizan yang diwakili peguam, N Surendran, Latheefa Koya dan Afiq Mohd Noor menuntut gantirugi am, ganti rugi khas sebanyak RM18,326, ganti rugi teladan serta faedah atas jumlah penghakiman keseluruhan pada kadar lapan peratus setahun. Polis yang menyerang beliau, Mohd Firdaus dinamakan sebagai defendan pertama, diikuti Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Zakaria Pagan; Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia. Sebelum ini Norizan yang mendapat pembelaan Ahli Parlimen Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein dan Ketua Polis Negara waktu itu, Tan Sri Musa Hassan. Difahamkan, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) bagaimanapun telah memanjangkan perkara tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat, tetapi masih tiada sebarang tindakan, malah tiada respon balas daripada kerajaan setelah beberapa memorandum sama diserahkan. Keadilan Daily

Bentang laporan audit lewat setengah bulan ada agenda tersembunyi

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Selepas lebih setengah bulan Bajet 2013 BN dibentangkan, hari ini barulah Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2011 akan dibentangkan di Dewan Rakyat. Sebelum ini, beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat termasuk Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang mempersoal kelewatan laporan audit diedar dan menyifatkan ada perkara yang disembunyi daripada pengetahuan rakyat. Ahli Parlimen Gombak, Mohamed Azmin Ali menyifatkan pembentangan LKAN selepas Bajet 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat. “Kita tidak tahu sama ada belanja kerajaan berhemah atau tidak. LKAN adalah asas untuk perbahasan dan memeriksa belanja kerajaan pada tahun lalu. “Perkara ini tidak pernah berlaku, seperti ada agenda tersembunyi. Kerajaan mesti ingat yang akhirnya menanggung (belanja) ialah (wang) rakyat,” tegas Azmin yang menyifatkannya ia di luar tradisi Dewan Rakyat selama ini. Sebaliknya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz beralasan tindakan membentangkan laporan audit selepas bajet untuk mengelak laporan itu mencuri tumpuan berbanding pembentangan belanjawan. Sedangkan, menurut Azmin, lazimnya LKAN perlu dibentangkan pada hari pembentangan bajet supaya prestasi kewangan negara dapat dinilai setahun sebelum itu. “Ini untuk membolehkan Ahli Parlimen guna LKAN sebagai asas perbahasan. Seolah-olah ada agenda tersembunyi untuk menutup kelemahan dan salahguna kuasa,” kata Azmin. Bajet 2013 BN dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 28 September lalu dan hari ini tarikh tersebut mencecah 18 hari, bermakna lebih setengah bulan laporan audit dibentangkan. Keadilan Daily

Saman AES: Rompakan ‘berlesen’ di jalan raya

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR 15 Oktober: Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) merupakan lanjutan saman ekor. Bagaimanapun, seperti saman ekor yang dibantah kerana ketidakcekapan dan kelemahan sistem, AES juga menghadapi isu sama. Penasihat Undang-undang Jawatankuasa Bertindak Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff mendakwa kamera AES dalam operasi percubaannya didapati gagal mengesan dengan tepat angka 0, 6 dan 9. “Pihak Kase mendapat maklumat yang mendakwa imej dirakam kamera AES ini sukar membezakan angka 0, 6 dan 9 pada waktu malam pada jarak agak jauh. “Kamera AES diuji pada 23 dan 24 September lalu. Sebanyak 952 imej kenderaan dirakam tetapi lebih 100 imej tidak sah. Kita mahu penjelasan adakah imej itu tidak sah kerana sistem gagal membezakan angka tertentu pendaftaran kereta?” katanya. Beliau turut meminta kerajaan menjelaskan apakah status sistem AES. Adakah sudah berkuatkuasa atau masih dalam ujian. “Saman dilaporkan sampai ke alamat penerima dalam lima hari. Tetapi setelah sebulan tiada seorang pun dapat. Adakah kamera masih dalam ujian atau ada masalah lain? “Kita juga mahu penjelasan mengenai 3,842 kemera perangkap had laju PDRM sedia ada. Kenapa tidak dinaiktaraf kamera tersebut dan kerajaan mengutip saman?” katanya. Saman minimum RM300 Zulhazmi mendakwa kerajaan menaikkan had minimum saman trafik semata-mata untuk memudahkan pengiraan kutipan bayaran saman syarikat yang mengendalikan AES. ”Jika dahulu pesalah trafik akan dibicara di mahkamah dan denda atas budi bicara majistret, sama ada RM100 atau RM200. Dengan denda minimum, syarikat pengendali AES akan mendapat RM16 setiap saman,” katanya. Keadilan Daily

Tentera Assad lancar bom kluster

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - DAMSYIK: Kerajaan Syria telah menjatuhkan bom kluster buatan Rusia di kawasan awam pada minggu lalu dalam usaha mengambil kembali kawasan yang dirampas kumpulan penentang, menurut kumpulan pemantau Human Rights Watch. Bom digugurkan dari kapal terbang dan helikopter, dengan banyak serangan mengambil tempat berhampiran lebuh raya utama utara-selatan yang melalui bandar barat laut Maarat al-Numan, dalam satu laporan Human Rights Watch yang dikeluarkan Ahad lalu. Kumpulan penentang merampas Maarat al-Numan dari tentera Presiden Bashar al-Assad, minggu lalu, memotong laluan dari Damsyik ke Aleppo, bandar terbesar di Syria. Tentera kerajaan cuba untuk merebut kembali kawasan tersebut sejak perampasan berkenaan. Human Rights Watch, sebelum ini telah melaporkan bahawa Kerajaan Syria menggunakan bom kluster, yang telah diharamkan oleh kebanyakan negara, pada Julai dan Ogos lalu tetapi serangan terbaru ini menunjukkan keazaman kerajaan untuk mendapatkan semula kawalan strategik di barat laut Syria. Bom kluster boleh menggugurkan ratusan bom di kawasan yang luas, direka untuk membunuh orang sebanyak mungkin. Kumpulan hak asasi manusia mengatakan penggunaan bom kluster di kawasan penduduk awam boleh menjadi satu jenayah perang. Lebih daripada 100 negara telah mengharamkan penggunaan, pengumpulan, pemindahan atau penjualan bom kluster di bawah konvensyen yang kemudian menjadi undang-undang antarabangsa pada tahun 2010, tetapi Syria tidak menandatanganinya, sama seperti Rusia, China dan Amerika Syarikat. Harakah Daily

Tanah: Rakyat miskin, wakil rakyat yang dapat

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Percayakah anda, dalam suasana rata-rata rakyat Terengganu tidak mempunyai tanah untuk tempat kediaman mereka serta sedang bergelumang dengan bebanan kemiskinan dan kos sara hidup yang tinggi, kerajaan negeri ‘Darul Iman’ di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Sri Ahmad Said telah secara berani dan terbuka ‘menganugerahkan’ tanah yang istimewa kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dan Ahli Parlimen dari UMNO/Barisan Nasional (BN). Antara exco dan wakil rakyat UMNO yang telah diluluskan permohonan tanah itu adalah Adun Kuala Berang, Mohd Zawawi Ismail; Adun Kuala Besut, Dr. A Rahman Mokhtar; Adun Chukai, Datuk Mohamed Awang Tera; Adun Jertih, Datuk Seri Idris Jusoh; Ahli Parlimen Besut, Datuk Dr Abdullah Mat Zain; Adun Hulu Besut, Nawi Mohamad; Adun Batu Rakit, Khazan Che Mat; Adun Bukit Besi, Datuk Din Adam; Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Mohd Nor Othman; Adun Ajil, Datuk Rosol Wahid dan Adun Kemasik, Ir. Rosli Othman. Kesemua mereka telah dianugerahkan tanah sekurang-kurangnya satu hektar setiap seorang dan ia merupakan tanah-tanah strategik yang mempunyai nilai yang amat tinggi. Yang lebih menarik lagi adalah penjelasan dari Menteri Besar Terengganu, Datuk Sri Ahmad Said dalam hal ’anugerah’ tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Setelah diasak bertubi-tubi di dalam sidang Dewan Undangan Negeri baru-baru ini, beliau memberi jawapan selamba bahawa anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat Umno itu ’adalah amalan biasa dan tidak sedikitpun menyalahi etika dan prosedur kerajaan’. Beliau berkata; ‘Sebagai rakyat Terengganu, wakil rakyat Barisan Nasional (BN) juga berhak mendapat tanah yang dipohon daripada kerajaan negeri jika mematuhi syarat yang ditetapkan’. Malah Ahmad Said turut memberi justifikasi bahawa setiap rakyat Terengganu yang tidak mempunyai sebarang tanah dan mahu memohon tanah adalah dialu-alukan kerana mereka berhak untuk memohon tanah dan mendapatkan tanah-tanah kerajaan. Bagi beliau; “Kita beri rakyat Terengganu untuk pohon tapak rumah ataupun tanah pertanian. Kalau tanah pertanian kita beri sampai dua hektar, kalau tapak rumah satu lot, tiada salahnya,” Persoalannya, apakah ini jawapan yang munasabah dari seorang pemimpin yang telah diberikan tanggungjawab dan amanah besar oleh rakyat Terengganu ini? Apakah benar anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini merupakan amalan biasa dan tidak menyalahi sebarang etika? Apakah rata-rata rakyat Terengganu yang hanya hidup ‘kais pagi makan pagi, kais petang makan petang’ sudah pun memiliki tanah yang dianugerahkan oleh kerajaan negeri? Atau, apakah wakil-wakil rakyat UMNO Terengganu adalah terdiri dari golongan ’miskin’ dan tidak memiliki sebarang tapak tanah untuk kediaman mereka? Atau mungkin, apakah Ahmad Said sudah merasakan bahawa Umno Terengganu kini sudah ‘terlalu kebal’ dan tidak mungkin akan kalah dalam pilihanraya akan datang, beliau boleh berbuatlah apa sahaja; Stadium Sultan Mizan yang bernilai hampir RM300 juta mahu runtuh ke, mahu membina Zoo di Bukit Takal bernilai hampir RM100 juta ke, mahu membazirkan duit rakyat ratusan juta pun, rakyat Terengganu tidak akan ambil peduli dan akan tetap bersama menyokong beliau dan Umno di Terengganu. Ramai kalangan yang tertanya-tanya, apakah benar rakyat Terengganu sendiri juga tidak sensitif dan tidak mahu ambil kisah sedikit pun terhadap isu-isu besar seperti anugerah tanah kepada wakil-wakil rakyat UMNO ini? Berikanlah apa sahaja kepada wakil-wakil rakyat UMNO, tanah berhektar-hektar ke, kawasan pembalakan ke, projek lebuhraya ke, semua ini rakyat Terengganu sudah tidak kisah dan tidak mahu ambil peduli. Asalkan rakyat yang miskin terus dapat makan dengan mendapat ‘Wang ihsan’ samada dalam bentuk ‘bantuan pakaian sekolah’, bantuan hari raya, bantuan kurma dan air zam-zam, maupun bantuan atap biru. Namun inilah realiti yang sedang berlaku di negeri yang bergelar ‘Kuwait Malaysia’ yang kaya dengan hasil mahsul sumber gas asli dan minyak ini. Slogan ‘rakyat didahulukan’ tampaknya tidak menunjukkan hakikat itu. Nampaknya slogan ini sudah bertukar kepada ‘wakil rakyat didahulukan’ dalam mereka mentadbir negeri Terengganu yang tercinta ini. ’Rakyat tidak didahulukan tetapi wakil rakyat yang diutamakan’. Malang, sungguh malang nasib rakyat negeri ‘Penyu Bertelur ini’. * Penulis adalah Penolong Setiausaha Agong PAS. Beliau boleh dihubungi melalui Email: syedazmans@yahoo.co.uk twitter: @syedazman. Harakah Daily

Kelantan bentang bajet lebihan RM45.8 juta

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Kelantan membentang anggaran Bajet 2013 dengan lebihan sebanyak RM45.83 juta ketika Belanjawan 2013 kerajaan pusat defisit 16 tahun berturut-turut. Sedangkan pada belanjawan 2012 dianggarkan mencatat defisit sebanyak RM83.23 juta. Ini bermakna berlaku kenaikan hasil sebanyak 35.21 peratus. Buat pertama kali juga pendapatan daripada hasil royalti petroleum sebanyak RM200 juta dimasukkan dalam bajet bertema Bajet Negeri berkebajikan. Pembentangan bajet dilakukan anggota Exco Kerajaan Negeri, Datuk Husam Musa mewakili Menteri Besar, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mengambil masa hampir sejam pada persidangan Dewan Undangan Negeri (Dun) hari ini. Bajet dianggarkan dengan perolehan hasil sebanyak RM581.77 juta dan perbelanjaan mengurus sebanyak RM535.95 juta. Anggaran hasil sebanyak RM581.77 juta meliputi hasil cukai sebanyak RM296.80 juta, hasil bukan cukai RM171.57 juta, manakala terimaan bukan hasil (RM113.41 juta). “Peningkatan hasil pada 2013 berpunca daripada tuntutan hasil royalti petroleum yang sepatutnya dibayar kerajaan persekutuan kepada kerajaan negeri sebanyak RM200 juta atau sebanyak 34.38 peratus daripada hasil negeri. “Kerajaan negeri memutuskan untuk memasukkan RM200 juta sebagai pendapatan dari royalti petroleum, di mana sebelum ini diletak sebagai token sebanyak RM10. “Ini bertujuan untuk melonjakkan lagi harapan kerajaan dan rakyat Kelantan untuk mendapatkan hak serta meletakkan tiang pacak bahawa Kelantan berhak terhadap pengeluaran gas di telaga Kamelia yang akan memulakan pengeluaran Isya-Allah pada Mac 2013,” kata Menteri Besar. Medan tersebut berada dalam Blok PM 301 yang paling hampir dengan pantai Kelantan, di mana pengeluaran tahunannya sebanyak 110,000 kaki padu setahun. Husam ketika ditemui kemudian berkata, tidak salah untuk memasukkan hasil daripada sumber royalti petroleum sebanyak RM200 juta memandangkan ia adalah hak Kelantan. Katanya, perkara itu pernah berlaku di Terengganu ketika di bawah kerajaan PAS apabila perolehan daripada royalti turut dimasukkan dalam anggaran bajet negeri. “InsyaAllah kita akan mendapat hak tersebut kerana sumber gas dan minyak terbabit berada di perairan Kelantan,” ujarnya. Harakah Daily

MB tertipu jika percaya 86 ahli PR sertai Umno

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BERA: PAS menganggap Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob tertipu jika percaya seramai 86 orang ahli parti-parti Pakatan Rakyat dari Cawangan Bukit Mendi menyertai Umno dalam ‘Majlis Pemimpin Turun Padang’ kelmarin. Ketua Pemuda PAS Cawangan Bukit Mendi, Hasan Abdul Latif yang mendakwa mengikuti program yang dihadiri Datuk Seri Adnan Yaakub itu secara dekat, hampir semua yang hadir bukannya datang dari Felda berkenaan. (Gambar: Hassan menunjukan laporan akhbar kononnya 86 ahli komponen PR menyertai Umno.) “Saya pasti kebanyakan yang hadir didatangkan dari Kampung Baris, Felda Sungai Kemahal, Jawi-jawi yang semuanya dari Dun Menteri Besar sendiri (Dun Pelangai). “Memang ada seorang penduduk Bukit Mendi iaitu Ismail Yusoff yang mengetuai kumpulan masuk Umno dan majlis tersebut diadakan di perkarangan kedainya sendiri, tetapi dia hanya bekas penyokong DAP” jelasnya. Media massa, elektronik dan portal berita internet semalam menyiarkan berita kononnya lebih 80 anggota PKR, PAS dan DAP cawangan Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong menyertai Umno dan menyerahkan borang kepada Adnan pada majlis 'Pemimpin Turun Padang dan Kenduri Rakyat' di Felda Bukit Mendi, kelmarin. Turut hadir menyaksikan ialah Timbalan Ketua Umno Bahagian Bera Mohd Fadzil Othman yang juga Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kemayan dan Adun Guai, Norol Azali Sulaiman. Felda bukit Mendi berada dalam Dun Triang yang dimenangi wakil DAP Leong Ngah Ngah. Sementara itu Hasan berkata, beliau mengsyaki kemungkinan orang Umno sendiri yang masuk Umno pada majlis berkenaan bagi mengambil hati Menteri Besar yang pertama kali datang ke Bukit Mendi walau pun berada bersebelahan dengan Dun Pelangai. “Saya terpaksa tampil untuk menjelaskan kekeliruan ini setelah menerima banyak panggilan telefon bertanyakan keadaan sebenar,” katanya kepada Harakahdaily. Dalam pada itu Yang Dipertua PAS Kawasan Bera, Sulaiman Mohamad pula berkata, propaganda isu PAS masuk Umno merupakan fenomena biasa menjelang pilihan raya. Beliau turut mengesahkan, tidak ada ahli PAS di Felda Bukit Mendi dan Bukit Puchong yang keluar menyertai Umno. “Berdasarkan gambar yang kita perolehi, tiada seorang pun yang kita kenali sebagai ahli PAS. Malah dengan hanya seorang saja (Ismail) yang tampil mengesahkan dia mennyertai Umno, itu bukan membuktikan ada penyokong PAS turut sama menyertai Umno. “Mungkin yang mahu masuk Umno itu hanya penyokong atas pagar ataupun penyokong Umno sendiri yang berlakon sebagai ahli Umno baru. Propaganda itu biasa menjelang PRU,” katanya. Leong Ngah Ngah pula ketika dihubungi, mengesahkan Ismail pernah menjadi penyokong DAP pada satu ketika dulu tetapi sudah tidak aktif. “Bagi saya keputusan Ismail untuk menyertai Umno itu haknya dan beliau bebas menentukan haknya untuk berpolitik dalam sebuah negara demokrasi, DAP tiada hak untuk menghalang,” ujarnya. Harakah Daily

TV3 akan hadapi nasib yang sama seperti Utusan?

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TV3 sedang merudum ‘rating’nya. TV3 yang termasyur sebagai lidah UMNO dan BN kini sudah mula tidak mendapat sambutan ramai. Sebelum 2010, TV3 telah mendapat ‘rating’ yang tertinggi sehingga mendapat 3.5 juta penonton sehari dan kini jumlah tontonan dari rakyat telah jatuh sehingga 1.2 juta sehari. Kejatuhan bilangan penonton lebih dari 60 peratus ini tentu bersebab dan sebabnya boleh diagak oleh kita semua. Kejatuhan ini akan akhirnya membawa padah kepada pendapatan syarikat dan menjejaskan prestasi kewangan syarikat televisyen itu. Selalunya kejatuhan penonton sesebuah syarikat penyiaran seperti TV3 itu adalah kerana kejatuhan keyakinan penonton terhadap kredibiliti saluran itu. Dalam sejarah banyak syarikat penyiaran dan saluran TVnya telah jatuh kerana tidak mendapat sokongan ramai. Keadaan ini tidak mengecualikan TV3 yang kini sudah menampakkan keadaan seperti itu akan berlaku ke atas syarikat televisyen itu. Kejatuhan penonton yang dialaminya sekarang sudah mula menampakkan apa yang dialami oleh banyak syarikat TV yang terpaksa ditutup di negara-negara yang lain itu akan berlaku ke atas TV3 jika saluran televisyen itu tidak menjaga kredibilitinya di mata penonton yang sedia ada sekarang. Ramai di antara pengiklan-pengiklan barangan dan perkhidmatan telah mula memikirkan untuk mengiklankan barangan dan perkhidmatan mereka di saluran-saluran yang lain kerana TV3 tidak menjadi saluran sukaramai rakyat lagi. Kejatuhan jumlah penonton untuk saluran ini masih menurun dan dijangkakan yang ia akan melewati bawah dari 1 juta penonton setiap hari. Keadaan ini berlaku bukan kerana apa….tetapi kerana TV3 sudah menjadi alat pembohongan BN dan UMNO dan rakyat yang berfikiran ‘professional’ tidak menganggap saluran TV3 ini sebagai saluran untuk rakyat. Sikap ‘tidak professional’ TV3 ini menjadi persoalan ramai kerana orang ramai tidak gemar dengan sikap condong yang keterlaluan terhadap sesuatu pihak dalam politik ini adalah tindakan yang dianggap tidak jujur. TV3 tidak yakin terhadap professionisma kewartawanan dan berita. Ia sudah menjadi seperti pentarama jabatan penerangan dan propaganda kerajaan di zaman peperangan melawan komunis dahulu. Rakyat sudah jemu dengan tingkah laku TV3 ini kerana menjadi penghasut bagi membenci setengah pihak dalam masyarakat secara keterlaluan dan ia amat menjijikkan ramai rakyat yang mahukan berita-berita yang seimbang dan professional dalam penyibaran maklumat kepada rakyat. Saya sudah tidak membuka saluran ini sejak tujuh atau lapan tahun dahulu. Saya sendiri sudah tidak melanggan dan membaca Utusan Malaysia sejak sepuluh tahun dahulu kerana sebab yang sama. Hanya beberapa orang yang rapat dengan saya memberikan apa-apa keratan tulisan Utusan itu jika ia bersangkut dengan isu-isu panas yang dicetak oleh akhbar lidah rasmi UMNO itu. Sebenarnya rakyat memahami yang mana-mana saluran TV dan akhbar itu mempunyai ‘inclination’ masing-masing terhadap sesuatu pihak. Tetapi apa yang dilakukan oleh TV3 dan Utusan itu adalah keterlaluan sehinggakan membelakangkan professionalisma kewartawanan. Tidak bergunalah belajar bidang kewartawanan sehingga ke peringkat yang tinggi tetapi mentaliti dan sikap tidak professional itu ditunjukkan dengan terlalu jelas kepada rakyat yang sudah pandai berfikir ini. Kerana tindakan TV3 ini maka mereka yang tidak menyebelahi mana-mana pihak terpanggil untuk memberikan sokongan kepada pihak yang dianiayai oleh saluran TV itu. Sesungguhnya apa yang disiarkan oleh TV3 ini merupakan satu yang ‘counter productive’ terhadap kerajaan itu sendiri dan pemantau-pemantau berkaitan dengan berita dari JPM itu tidak dapat merasakan rasa menyampah dan bosan penonton yang ramai-ramai balik ke rumah untuk bersantai dengan keluarga dipaparkan berita-berita yang berbentuk hasutan oleh media massa seperti saluran TV ini. Bagi pembangkang yang menjadi korban fitnah ini, mereka sepatutnya berterima kasih kepada TV3 dan Utusan kerana kedua-dua saluran berita ini memberikan impak buruk terhadap BN dan tentulah PR yang mendapat keuntungan dari tindakan mereka itu. Sebahagian besar dari tanggungjawab pihak pembangkang untuk berkempen itu sudah pun di sempurnakan oleh Utusan dan TV3 ini. Seorang yang benci kepada saluran ini menambah seorang yang menyokong kepada pihak pembangkang. Matematiknya senang. Sikap memecah belahkan rakyat oleh TV3 ini bertanggungjawab terhadap pembinaan kebencian rakyat kepada pihak yang berkuasa dan tidak adil jika dipersalahkan rakyat memberikan sokongan kepada pihak pembangkang kerana rakyat sentiasa berharap untuk hidup tenang di rumah setelah seharian bekerja kuat untuk keluarga masing-masing. Apabila sampai di rumah rakyat mahu relaks dengan isteri dan anak-anak dan mereka tidak mahu berhadapan dengan hasutan pihak saluran TV3 sentiasa memaparkan keburukan pihak lain. Rakyat sudah merasakan yang ‘intensity’ pembohongan dan fitnah yang dilakukan oleh TV3 ini membuatkan ramai yang secara automatik membenci saluran itu dan seterusnya kepada pihak yang disokong oleh saluran itu. Saya telah berjumpa dan bercakap dengan beberapa ketua syarikat yang saya kenali dan mereka memberitahu saya yang mereka sedang menimbang untuk memberhentikan pengiklanan barangan mereka melalui saluran ini jika saluran penyiaran ini meneruskan sikap buruk mereka itu. Jika hilang sokongan dari pihak industri ini TV3 akan hilang pendapatan syarikat yang berkurangan dan segala ‘glamour’ yang di alami oleh saluran TV3 yang terkenal itu. Jika itu berlaku ia merupakan pengalaman yang sedang di alami oleh Utusan Malaysia yang tidak lagi mendapat sokongan dari pengiklanan yang besar-besar dan itu pun sebabnya Kumpulan Utusan Melayu itu telah kerugian sejak beberapa tahun yang lalu. Jangan terkejut jika TV3 akan menghadapi tindakan rakyat untuk memboikot saluran ini secara menyeluruh. Di zaman dunia tidak bersempadan ini rakyat boleh memilih saluran TV lain yang tidak membina kebencian di antara rakyat di negara ini. Kita cuba untuk tidak menonton TV3 buat dua tiga hari ini... Saya yakin anda akan biasa dengan pemboikotan itu dan jiwa akan lebih tenteram dan aman tanpanya. Menjaga ketenteraman hati dan jiwa kita itu adalah satu ibadah kerana kita wajib menjauhi musuh-musuh secara baik, tanpa melakukan perkara-perkara yang ganas yang juga ditegah oleh agama dan juga adat kita. - http://aspanaliasnet.blogspot.com Harakah Daily

Pelajar ditembak Taliban terima rawatan di UK

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - ISLAMABAD – Pelajar perempuan Pakistan yang ditembak Taliban minggu lalu akan dibawa ke United Kingdom (UK) untuk rawatan susulan, demikian diumumkan oleh tentera negara itu hari ini. Menurut pihak tentera, Malala Yousafzai, 14, memerlukan rawatan “berpanjangan.”

Presiden Mesir kekalkan jawatan ketua pendakwa

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KAHERAH - Presiden Mesir, Mohamed Mursi, kelmarin bersetuju untuk mengekalkan jawatan Abdel Maguid Mahmoud, sebagai Ketua Pendakwaraya. Keputusan itu sekali gus, meredakan kemarahan para hakim dan menamatkan krisis berlaku di negara itu susulan daripada tindakan Mahmoud yang enggan berundur pada minggu lalu. Stesen televisyen tempatan melaporkan satu perjanjian ditandatangani untuk menyelesaikan salah faham tersebut. Difahamkan, perjanjian tersebut ditandatangani berikutan Mahmoud dikatakan seperti mencabar keputusan Pesiden selepas beliau tetap hadir ke pejabatnya di Kaherah dengan diiringi ratusan pegawai keselamatan dan kehakiman. Khamis lalu, Mursi mengarahkan Mahmoud meletak jawatan sebagai usaha meredakan kemarahan orang ramai terhadap bekas pegawai era Hosni Mubarak yang didakwa menggunakan kekerasan ke atas penunjuk perasaan pada tahun lalu. Bagaimanapun, undang-undang Mesir telah melindungi Ketua Pendakwaraya itu daripada dipecat oleh Mursi. Kekangan tersebut menyebabkan Presiden memutuskan untuk melantik Mahmoud sebagai Duta Mesir ke Vatican, namun ia ditentang keras oleh beliau. Sehari selepas insiden itu juga menyaksikan Mesir kembali dicemari protes ganas yang dikatakan berpunca daripada keputusan tersebut. - AP/AFP Agency

'Mangsa tercampak dan maut di lokasi kejadian'

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BATU PAHAT – “Saya nampak mangsa tercampak setelah motosikalnya bergesel dengan sebuah kereta, ketika dia mahu menukar laluan menyebabkan dia terseret bersama motosikalnya sejauh beberapa meter. “Ketika itu, saya berada di dalam kereta berdekatan lokasi kejadian dan terkejut melihat kemalangan itu,” kata saksi kemalangan maut di Kilometer 1, Jalan Parit Jalil yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 33. Dalam kemalangan yang berlaku, kira-kira jam 11.20 malam kelmarin, mangsa, Tan Yong Ang, 32, maut di lokasi kejadian selepas motosikal Modenas yang ditunggangnya terbabit dalam satu kemalangan dengan sebuah kereta. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Din Ahmad mengesahkan kejadian berkenaan. Menurutnya, kemalangan berlaku apabila sebuah kereta dari arah Tongkang Pechah menghala Parit Sulong melanggar sisi kanan motosikal mangsa yang menukar haluan dari bahu jalan. “Mangsa tercampak dan maut di lokasi kejadian serta mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga untuk urusan pengebumian. “Kes disiasat mengikut Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya kepada Sinar Harian, semalam. Agency

Syria: Musuh atau sahabat Barat?

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Protes selama sebulan diperlukan untuk menjatuhkan Presiden Tunisia, Zine El Abidine Ben Ali. Di Mesir, 18 hari diperlukan rakyat negara itu untuk menggulingkan Hosni Mubarak daripada pemerintahannya. Di Libya, usaha membebaskan negara daripada cengkaman diktator memakan masa lebih lama. Pejuang terpaksa bertempur selama lapan bulan sebelum akhirnya berjaya menewaskan pemimpin negara itu, Muammar Gaddafi. Tetapi Syria, di mana protes bermula pada waktu hampir sama seperti Libya, masih dibelenggu perang saudara yang ganas, dan pertempuran ini tidak menunjukkan tanda-tanda akan berakhir. Satu sebab mudah: Pejuang di Syria tidak mendapat sokongan tentera mereka atau kuasa Barat untuk menjatuhkan rejim Presiden Syria, Bashar Al-Assad. Esok, protes untuk kebebasan di Syria yang bermula pada 16 Mac tahun lalu masuk tempoh 19 bulan. Sepanjang tempoh itu, Bashar acap kali mengulangi dakwaan bahawa rakyat yang digelar pemberontak di negara itu ditaja dunia Barat dalam konspirasi menjatuhkan Syria. Benarkah dakwaan itu? Bandingkan senario Syria dengan Libya. Syria vs Libya Libya diserang tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) yang diketuai Amerika Syarikat (AS) pada 19 Mac 2011, iaitu kurang sebulan selepas kebangkitan rakyat bermula. Jadi, di mana Nato selepas 19 bulan tentera Bashar menyembelih rakyat negaranya? Tidakkah perbezaan layanan kuasa Barat terhadap kerajaan Gaddafi dan Bashar ini menimbulkan pertanyaan? Kes Syria ini nampaknya seperti ada misteri tersendiri. Ramai penulis serta pemerhati dunia Arab turut membincangkan hal ini. “Selepas lebih setahun, tidak nampak sebarang jalan keluar untuk rakyat Syria. Sebaliknya negara Barat berusaha untuk menamatkan revolusi ini dan membenarkan diktator ini terus berkuasa,” kata penulis Maghribi, Fouad Al-Fatahi dalam tulisannya di akhbar Al-Yawm Al-Maghribiyya pada 6 Mac lalu. Fouad kemudian mempersoalkan, mengapa selepas begitu lama pembunuhan dan kemusnahan berlaku, revolusi Syria masih tidak berjaya seperti kebangkitan rakyat di negara lain? “Mengapa masyarakat antarabangsa gagal mengambil tindakan seperti dilakukan mereka di Libya?,” soalnya. Menurutnya, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah, dua kuasa besar yang mampu campur tangan dan menyelesaikan masalah ini sama ada melalui diplomasi, ketenteraan atau cara lain, sampai sekarang belum mengambil apa-apa tindakan. “Kenapa Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) belum memulakan siasatan terhadap jenayah di Syria? Adakah jenayah dilakukan di Syria tidak zalim jika dibandingkan dengan jenayah yang berlaku di Libya?,” soalnya, merujuk kepada situasi di mana ICC membuka siasatan terhadap Gaddafi dan anaknya atas dakwaan jenayah kemanusiaan semasa krisis di Libya. Di mana bantuan dijanjikan? Pejuang Syria sendiri sedar mengenai keengganan AS untuk membantu mereka menentang Bashar. “Tidakkah AS ada satelit? Mereka tidak nampakkah apa yang sedang berlaku?,” soal Majed al-Muhammad, separa menjerit, semasa ditemubual wartawan akhbar AS, The New York Times. Majed adalah komander kumpulan pejuang antikerajaan yang pernah bertugas sebagai pegawai kesihatan tentera Syria. Dia kemudian memberi amaran kepada negara Barat, iaitu amaran sama yang boleh didengari dalam kalangan pejuang Syria. “Rakyat Syria semakin radikal kerana konflik ini, dan kerana kami merasakan dunia hanya melihat sahaja penderitaan kami tanpa mahu membantu,” katanya. Bukan sahaja di Syria, Turki juga turut merasai kesan daripada konflik berpanjangan ini. Minggu lalu, kerajaan Turki menembak balas peluru berpandu ke utara Syria, selepas roket dilancarkan tentera Syria terkena sebuah bandar Turki dan membunuh lima orang awam. “Kita kini berada pada titik penting. Kita bukan sahaja berhadapan dengan (krisis) Syria, tetapi Iran, Iraq, Rusia dan China yang berada di belakang Damsyik. Kita pula tidak ada apa-apa sokongan, hanya janji kosong dari AS,” menurut akhbar Turki, Milliyet. Di seluruh Syria, terutama kawasan dikuasai pejuang, sentimen serupa semakin menular. Berang dengan sikap negara kuasa besar yang tidak berbuat apa-apa, pejuang Syria berkata Barat akan kehilangan sekutu penting di Timur Tengah jika mereka berjaya menumbangkan kerajaan Bashar. “Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat antarabangsa membuat kesilapan besar,” kata Ghassan Abdul Wahib, 43, yang kini mengawal kampung Kafr Takharim di utara Syria. “Dengan membiarkan konflik ini menjadi perang berpanjangan, mereka mengheret Syria kepada perubahan radikal, dan mereka akan menderita akibat perbuatan ini,” katanya. Sepanjang krisis di Syria, AS kerap menunjukkan kononnya mereka menyokong perjuangan rakyat Syria menentang Bashar dan menyalurkan banyak bantuan kepada pejuang di sana. “Kami menyumbangkan AS$15 juta (RM46 juta) kepada pejuang Syria, dan AS$30 juta (RM92 juta) dalam bentuk bantuan kemanusiaan,” menurut Setiausaha Negara AS, Hillary Clinton semasa perjumpaan kumpulan digelar Friends of Syria (Sahabat Syria) di New York, bulan lalu. Tetapi adakah sumbangan itu benar-benar diberikan, atau hanya kata-kata kosong untuk menunjukkan kononnya AS tidak menyokong Bashar? “Kami tidak pernah menerima apa-apa bantuan luar,” kata seorang pejuang yang hanya mahu dikenali sebagai Thayar semasa ditemui wartawan asing. “Kami ada membaca di dalam media bahawa kami menerima itu dan ini. Tetapi hakikatnya, kami tak pernah nampak pun apa bantuan diberikan. Apa kami dapat hanyalah ucapan dari Barat,” katanya. Jadi apa sebenarnya yang berlaku? Mengapa AS dan PBB tidak mahu membantu pejuang Syria seperti mana mereka membantu Libya? Syria boleh lindungi Israel? Bashar asyik mengulangi kononnya Barat ingin menjatuhkan beliau kerana tentangannya terhadap Israel dan kuasa besar. Adakah mungkin itu hanya satu lakonan yang telah dirancang antara beliau dan Barat? Adakah kerana mereka mahu menjaga keselamatan Israel? Minggu lalu, Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak, berdiri di Bukit Golan yang terletak di sempadan Syria-Israel dalam lawatannya untuk melihat perkembangan di Syria. Dari kejauhan, bunyi letupan bom dapat didengari, dan Barak melihat cengkaman Bashar ke atas Syria semakin lemah. Barak mengakui bimbang jika kerajaan Bashar jatuh, kerana ia akan memberi pelbagai masalah besar kepada Israel. “Kami khuatir simpanan senjata kimia milik Syria akan jatuh ke tangan pemberontak yang menentang Israel. “Kawasan sempadan ini juga akan menjadi huru hara di mana pengganas boleh beroperasi dengan mudah,” kata Barak. Syria bukanlah ancaman besar kepada Israel, dan kerajaan Israel sendiri tahu hakikat itu, seperti digambarkan Barak semasa lawatannya itu. Selepas tamat Perang Yom Kippur antara Israel dengan Mesir dan Syria pada 1973, tidak ada sebutir peluru pun yang ditembak tentera Syria ke dalam kawasan Israel walaupun rejim Zionis berjaya menakluk Bukit Golan, kawasan milik Syria. Tentu sekali Israel lebih gusar dengan kerajaan baru di Syria jika Bashar dijatuhkan, kerana nasib Israel akan menjadi samar. Sekurang-kurangnya Tel Aviv tahu kerajaan Bashar tidak akan menyerang Israel secara terus. Jika dilihat daripada pelbagai bukti yang ada, mungkin keselamatan Israel menjadi punca utama mengapa negara Barat enggan menjatuhkan Bashar. Mereka khuatir kerajaan baru yang akan naik di Syria tidak mampu dijadikan boneka. Sebagai jiran terdekat Israel, Syria perlu dipimpin oleh kerajaan yang tunduk kepada kemahuan Zionis dan Barat, seperti rejim diktator Bashar. Itulah sebab yang mungkin menerangkan mengapa selepas hampir dua tahun rakyat Syria bangkit menentang Bashar dan ribuan nyawa melayang, masih tiada campur tangan Barat yang sebelum ini kerap berkata ‘kami akan membantu rakyat Arab mencapai demokrasi.’ Agency

Lewandowski digeruni lawan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - SELEPAS berakhirnya zaman kegemilangan nama besar Grzegorz Lato dan Zbigniew Boniek yang menguasai kancah Eropah pada era 1970 hingga 1990, Poland seakan kehilangan idea melahirkan kesinambungan wira-wira mereka. Kemudian, memasuki tahun 2000 muncul pula Euzebiusz Smolarek yang sempat berada sebaris 10 pemain terbanyak mencipta jaringan untuk skuad kebangsaan dan bermain dengan kelab Belanda, ADO Den Haag. Ketika jurulatih Poland, Franciszek Smuda pening kepala mencari pemain sesuai bermain di posisi hadapan menjelang Kejohanan Euro 2012 lalu, Robert Lewandowski hadir tepat pada masanya. Penyerang Borussia Dortmund itu dipanggil kem The White Eagles bagi memperkuat pasukan walaupun cabaran Poland berakhir setakat di peringkat kumpulan. Lewandowski penerus legasi Poland Lewandowski sebenarnya bukan nama asing dalam kem Poland. Bekas pemain Lech Poznan ini sudah melakukan debut dalam pasukan senior sejak 2008 lagi. Berusia 20 tahun, dia diberi kepercayaan untuk diturunkan menentang San Marino pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2010 dan Lewandowski membalas kepercayaan diberikan dengan mencetak satu gol untuk melengkapi kemenangan 2-0. Sejak detik itu, Lewandowski terus mendapat perhatian dan kerap dipanggil Smuda bagi mengisi barisan penyerang. Dengan kelebihan faktor fizikal dan memiliki ketinggian 184 cm, dia terus mengganas dan mencipta pelbagai kejayaan terutamanya sejak menyarung jersi Dortmund di Bundesliga, pada 2010. Julang martabat The White Eagles, Dortmund Gandingannya bersama pemain sayap, Jakub Błaszczykowski cukup digeruni tidak kira dalam pasukan Poland mahupun Borussia Dortmund. Ledakan 18 gol dalam 48 penampilan bersama Dortmund cukup membuktikan dia wajar diletakkan sebaris pemain handalan dunia yang lain. Paling dikagumi peminat Dortmund apabila dia memilih kekal setia di Jerman berbanding menyertai pasukan popular Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United. Malah, dia berazam menghadiahkan trofi kesembilan Bundesliga untuk Dortmund dan bertekad mempertahankan trofi DFB-Pokal. Pernah diburu Manchester United Manchester United pernah berhasrat membawa Lewandowski ke Old Traffod, musim panas lalu. Malah, jurulatih skuad kebangsaan Poland, Franciszek Smuda mendedahkan Lewandowski dalam perjalanan menuju ke Old Trafford. Begitu pun, dia memilih untuk setia kekal di Bundesliga sehingga Jun 2014 tidak seperti rakan karibnya, Shinji Kagawa yang memilih bergabung bersama juara EPL 19 kali itu. Paling dikagumi Sir Alex Ferguson, Lewandowski meledak 30 gol sepanjang musim lalu termasuk melakar hatrik pada perlawanan akhir Piala Jerman menentang Bayern Munich. Agency

Temui ajal ketika bekerja

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - SUNGAI PETANI – Dua pekerja membaiki jalan maut apabila dirempuh sebuah kenderaan ketika sedang melakukan kerja-kerja naik taraf di Jalan Lencongan Barat Sungai Petani dalam kejadian jam 6 petang kelmarin. Mangsa, Azrolnizam Alias, 27, dan Kamal Said, 37, maut apabila sebuah kereta yang datang dari arah Bandar Laguna Merbok ke Semeling merempuh mereka. Difahamkan, ketika kerja-kerja naik taraf dijalankan, ada pengawal lalu lintas memegang bendera mengawal pergerakan kenderaan namun pemandu terbabit dikatakan tidak menyedari keadaan itu. Jurucakap polis berkata, ketika kerja membaiki dibuat di lorong kanan jalan, pemandu kereta terbabit melanggar beberapa kon yang diletakkan di kawasan itu sebelum merempuh kedua-dua pekerja malang berkenaan. “Kedua-dua mangsa maut di lokasi kejadian dan polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden,” katanya. Sementara itu, katanya, satu lagi kemalangan maut turut dilaporkan dua jam selepas itu dekat Kilometer 88.8 Lebuhraya Utara Selatan Sungai Petani melibatkan seorang penunggang motosikal yang datang dari arah Alor Setar ke Sungai Petani. “Kemalangan dipercayai berlaku apabila penunggang motosikal itu dikatakan berhenti di bawah jejantas untuk berteduh daripada hujan. “Sebuah kereta yang datang dari arah belakang hilang kawalan dan gagal mengelak lalu melanggar mangsa yang berhenti di lorong kecemasan. “Mangsa, seorang warganegara Myammar, Abu Seddik Yusuf Ali, 35, yang tercampak atas longkang tepi lebuh raya maut di lokasi kejadian manakala kereta terbabit pula terbabas ke kiri jalan,” katanya. Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Ong Aik Chang mengesahkan kejadian. Agency

Kesilapan undang padah

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - HANYA sedikit kesilapan, pelumba muda negara, Muhammad Zulfahmi Khairuddin terpaksa akur apabila menamatkan perlumbaan GP Jepun di Motegi di tangga kelima ketika mendahului tujuh pelumba lain. Disebabkan kesilapan itu, Zulfahmi telah membuka ruang buat lawannya, Maverick Vinales memintas ketika perlumbaan berbaki tujuh pusingan lagi. Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC), Datuk Razlan Razali percaya Zulfahmi mempamerkan aksi terbaik. Walaupun ketinggalan, pelumba AirAsia SIC Ajo masih mampu bersaing untuk menamatkan perlumbaan di tangga kelapan. “Kami akan berbincang sekembalinya Zulfahmi esok (hari ini) bagi meningkatkan tahap keupayaannya berlumba, memandangkan dia tidak mempunyai masalah dengan jenteranya,” katanya yang kini fokus terhadap Kejuaraan Dunia Moto3 di Sepang minggu depan. Walaupun menamatkan aksi di tangga kelima, keputusan dicatat Zulfahmi adalah kedua terbaik musim ini. Zulfahmi kini menduduki tangga ketujuh dunia carta Moto3 dengan 92 mata, manakala pendahului, Sandro Cortese mengumpul 255 mata berkelebihan 56 mata di hadapan pelumba kedua Vinales (199 mata). Agency

Motosikal terbabas, bertembung van

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH – Seorang remaja maut apabila motosikal ditunggangnya bertembung dengan sebuah van di Jalan Kelemak, berdekatan Balai Bomba dan Penyelamat Alor Gajah, di sini, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 6 petang itu, motosikal jenis Honda EX5 ditunggangi mangsa, K.Ramachandran, 20, dari arah pekan Alor Gajah ke Lendu, hilang kawalan dan terbabas, lalu memasuki laluan bertentangan. Motosikalnya kemudian bertembung dengan sebuah van dari arah bertentangan yang dipandu seorang lelaki berusia 57 tahun. Jurucakap polis berkata, ketika kejadian motosikal ditunggang mangsa terhuyung-hayang sehingga memasuki laluan bertentangan. “Motosikalnya terus merempuh bahagian tengah van berkenaan sebelum terjatuh. “Pemandu van berkenaan cuba memaut stereng ke kiri untuk mengelak dari terus merempuh motosikal yang ditunggang mangsa, namun gagal,” katanya kepada Sinar Harian, di sini kelmarin. Akibat pertembungan kuat itu, katanya, tayar hadapan motosikal mangsa tercabut dan tersangkut pada besi hadapan van yang dipandu seorang peniaga dalam perjalanan ke rumah di Kampung Paku, di sini. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan kejadian. Mayat mangsa kemudian dihantar ke Bilik Mayat Hospital Melaka untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Agency

Mangsa keadaan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - PENYERANG skuad Harimau Malaya, Safee Sali yang digantung Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) disifatkan sebagai mangsa keadaan. Malah Timbalan Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah berkata, konflik dihadapi penyerang Pelita Jaya FC itu sememangnya sudah dijangka. “FAM sentiasa menasihati pemain negara yang ingin beraksi dengan kelab luar, namun tidak bermakna kita menyekat mereka. “Pemain yang ingin beraksi di luar negara harus berwaspada apabila menandatangani kontrak dengan kelab berkenaan,” katanya di sini. Menurutnya, keputusan terbaru bahawa Safee boleh beraksi bersama skuad kebangsaan adalah berita menggembirakan buat skuad kendalian Datuk K Rajagobal. Semalam, Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) mengesahkan Safee tidak digantung dan pemain Pelita Jaya itu akan bersama skuad kebangsaan dalam perlawanan persahabatan di Hong Kong, esok. Sebelum ini, media melaporkan Safee digantung daripada beraksi dalam mana-mana pertandingan termasuk menyertai latihan skuad negara selepas kelabnya bersama 31 kelab di Indonesia digantung oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa). Penggantungan Fifa itu dibuat selepas berlaku konflik antara PSSI dan Komiti Penyelamat Sepak Bola Indonesia (KPSI) berkaitan status sebenar ISL dan Liga Perdana Indonesia (IPL) sebagai liga sah. Agency

Gilap bakat pemain pelapis

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - PENGENDALI Harimau Muda, Ong Kim Swee menyifatkan program pembangunan sedia ada sudah banyak melahirkan ramai pemain pelapis yang mampu pergi jauh sekiranya bakat mereka digilap dengan betul. Kim Swee ketika dipetik dalam akaun Twitternya berkata, program tersebut harus diteruskan bagi melahirkan pelapis masa depan. "Kita tidak ketandusan pemain. Malah pemain muda seperti Nazmi Faiz, Arif Farhan, Adam Nor dan Mohd Raphi adalah merupakan pemain yang dicungkil bakatnya melalui sekolah sukan. "Tahniah pada barisan kejurulatihan Program Pembangunan Bola Sepak Negara," katanya. Dalam masa sama, menyifatkan usaha di peringkat akar umbi juga perlu dengan pendedahan di peringkat antarabangsa, Kim Swee berharap lebih banyak bintang muda dalam pembikinan berjaya dilahirkan untuk pada masa depan. Agency

Umno-BN fobia hadapi PRU-13

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Dalam seminggu yang lalu, terdapat banyak rumours di Parlimen, yang mengatakan bahawa Parlimen akan dibubarkan dalam masa yang terdekat iaitu sekitar Oktober atau November ini. Antara tarikh yang popular diperkatakan di kalangan ahli-ahli parlimen (MP) adalah, pada 18 November 2012. Ada juga yang meneka Parlimen akan dibubarkan pada 11 November, ianya akan menjadi nombor 11.11.12. Malah ada yang suka bermain dengan angka iaitu 12.12.12. Bagi kita, tarikh bila pun diadakan Pilihan Raya Umum (PRU), kita akan tetap hadapinya. Namun bagi sesetengah pihak, mereka masih percaya, nombor yang cantik atau nombor yang pelik-pelik, boleh membawa 'ong' (tuah). Kebetulan baru-baru ini tatkala penulis berbual dengan Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Mohd Abdul Wahid Endut, kami terserempak dengan seorang Menteri dari Umno. Menteri tersebut kelihatan tergesa-gesa dan berjalan dengan ajak laju. Namun melihat kami sedang duduk di lobi Parlimen, beliau berhenti, lalu menyapa Wahid dan kami bersalam-salaman. "Bila hendak buat pilihan raya ni," tanya Wahid kepada beliau. Lantas Menteri menjawab, "Dah dekat dah ni, macam dah nak bubar, kalau buat bulan November, macam tahun 1999, Terengganu you ambil balik." Kata Menteri kepada Wahid. Lantas kedua-dua mereka ketawa terbahak-bahak, entah apa buat yang mereka geli hati. Spekulasi mengenai tarikh PRU masih belum berakhir. Sama ada mereka bergurau atau serius, dua-dua pihak, sama ada Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional, akan tetap menghadapi ujian yang paling getir. Namun, pada pengamatan penulis ada kalanya gurauan orang politik, boleh menjadi kenyataan. Jika kita melihat fenomena PRU, pada PRU 1999 yang diadakan pada bulan November tahun itu, PAS berjaya menyapu bersih 28 kerusi Dewan Undangan Negeri Terengganu, sehingga meninggalkan Umno empat kerusi sahaja. Hampir sepuluh tahun sebelum itu, iaitu pada PRU yang diadakan pada bulan Oktober 1990, PAS dan Angkatan Perpaduan Ummah berjaya menyapu bersih keseluruhan kerusi Dun dan Parlimen di Kelantan. Barangkali jika diadakan PRU ke-13 bulan Oktober atau November ini, bukan sahaja Terengganu, malah satu Malaysia pun BN belum tentu selamat. Walaupun menentukan tarikh PRU itu hak PM, namun Najib dan seluruh pemimpin BN, tidak dapat menyembunyikan ketakutan dan kegelisahan mereka. BN mengidap penyakit fobia. Mereka fobia kerana takut ditolak rakyat dari tampuk kuasa. Mereka fobia kerana gelisah dengan pelbagai masalah dalam dan skandal pemimpin, terbongkar satu demi satu. Oleh sebab itu, selepas tiga minggu Parlimen bersidang, wakil-wakil rakyat BN sudah semakin kehilangan fungsi. Mereka semakin tumpul dan tidak berdaya melawan arus MP Pakatan Rakyat. Hanya dua tiga orang sahaja MP BN yang berani bertembung, tetapi malangnya mereka sering menjadi 'ayam berak kapur' apabila hujah dangkal mereka dipatahkan satu persatu. Ada banyak sebab mengapa MP BN sudah 'hilang daya tahan'. Pertama, kerana kegigihan Pakatan membongkarkan skandal rakan-rakan mereka seperti Dato' Seri Shahrizat Jalil. Seorang lagi yang memalukan Umno-BN ialah MP Sabak Bernam, yang dijatuhkan hukuman penjara dan denda akibat jenayah memalsukan tuntutan. Jadi mereka takut, jika mereka kuat melawan, skandal mereka pula akan terbongkar. Kedua, kerana mereka tidak pasti dapat menjadi calon BN. Oleh kerana itu mereka fikir, mereka tidak perlu susah-susah melawan Pakatan. Ketiga, mereka terpaksa berlawan sesama sendiri di peringkat bahagian. Puak-puak yang gila hendak jadi YB, senantiasa berada di sekeliling Najib. Dan yang keempat, yang paling penting sekali, apabila sudah dapat menghidu bau Umno, yang bakal menjadi bangkai pada PRU akan datang. Nampaknya MP BN sudah tidak banyak pilihan. Masa mereka sudah hampir tamat. Mereka harus memilih, sama ada hendak menggali kubur sendiri, atau berhijrah ke Pakatan Rakyat. Harakah Daily

Kepala koyak jatuh di resort

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH –Malang bagi seorang wanita apabila dia jatuh terlentang di sebuah resort, dekat sini, berikutan lantai basah sehingga kulit kepalanya koyak, kelmarin. Dalam kejadian kira-kira 2.20 pagi itu, wanita dikenali sebagai Som, 23, seorang pekerja swasta dikatakan sedang menjalani kursus di resort berkenaan. Rakan mangsa dikenali sebagai Jimmy, 32, berkata, sebelum kejadian, mereka di kolam hadapan kediaman berkenaan, sebelum mangsa keluar dari kolam untuk balik ke bilik. Ketua Operasi Jabatan Pertahanan Awam (JPAM) Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira jam 2.25 pagi. “Setiba di tempat kejadian, mangsa masih terbaring di atas lantai, manakala kepalanya dialas dengan sehelai tuala sebelum anggota JPAM membangunkan mangsa mendapati kulit kepala mangsa koyak dan sudah bengkak. “Kita gunakan kapas untuk tekap darah yang keluar dari kepala mangsa dan membalut kepala mangsa untuk menghalang pendarahan sebelum membawanya ke Hospital Alor Gajah untuk mendapatkan rawatan,” katanya. Agency

Aidil tekad tebus kekecewaan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - "GOL di pentas final sahaja mampu mengubati kekecewaan saya". Itu reaksi penyerang tampan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Aidil Zafuan menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2012 menentang Kelantan, Sabtu ini. Pada aksi separuh akhir kedua menentang Lions XII di Selayang minggu lalu, pasangan kembar kepada Mohd Zaquan Adha itu gagal menyempurnakan sepakan penalti kedua ATM. "Memang hampa pada mulanya, namun saya akan gunakan peluang yang ada di final nanti untuk menebus semula kesilapan itu. "Ini juga kali keempat saya ke final dalam empat tahun berturut-turut, Insya-Allah mungkin kali keempat ini bakal menjadi rezeki buat saya dan anak-anak," katanya yang sebelum ini pernah menjulang Piala Malaysia ketika bersama Negeri Sembilan pada 2011. Agency

Padah jual VCD, DVD cetak rompak

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Hukuman denda tidak kurang RM5,000 atau maksimum RM30,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya, menanti seorang peniaga pasar malam, Syed Razman Syed Abd Rashid, 36. Hukuman itu boleh dijatuhkan kepadanya yang berasal dari Kampung Gong Kiat, di sini, selepas mengaku salah menjual cakera padat digital (VCD) dan cakera video digital (DVD) pelbagai tajuk cetak rompak di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, Rosli Ahmad, di sini, semalam. Syed Razman mengaku salah menjual sebanyak 76 keping VCD pelbagai tajuk dan 65 DVD pelbagai tajuk atau bahan publisiti yang belum diluluskan Lembaga Penapisan Filem. Dia mengaku melakukan kesalahan itu bersama seorang lagi rakannya yang sudah pun dihukum pada 9 Oktober lalu oleh Mahkamah Majistret, Jaafar Mamat, 47, di tapak pasar malam Wakaf Tengah, Batu Rakit, di sini, pada 9 November 2008 jam 8.45 malam. Dengan itu, Syed Razman mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6 (1) (a) Akta Penapisan Filem 2002 (Akta 620) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6 (2) (a) Akta yang sama. Bagi kesalahan itu, dia boleh didenda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM30,000 atau dipenjarakan tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Sejurus pengakuan Syed Razman direkodkan, Rosli menetapkan 24 Oktober depan untuk jatuh hukum yang akan disebut di Mahkamah Majistret, di sini, dan membenarkan dia diikat jamin RM3,500 oleh seorang penjamin. Sinar Harian keluaran 10 Oktober melaporkan rakannya, Jaafar dikenakan denda RM6,000 atau tujuh bulan penjara jika gagal menjelaskan denda berkenaan oleh Mahkamah Majistret, di sini. Majistret Noradila Ab Latif menjatuhkan hukuman itu selepas Jaafar mengaku salah menjual VCD dan DVD cetak rompak bersama Syed Razman yang semasa itu masih bebas dan sedang diburu. Agency

Ibu 9 anak kerugian RM73,000

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TUMPAT – Sebelas sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah mereka di Kampung Kok Keli dekat sini, hangus dalam kebakaran tengah hari semalam. Dalam kejadian kira-kira jam 12.30 tengah hari, kebakaran itu turut memusnahkan sebuah kereta Proton Saga dan sebuah motosikal milik keluarga terbabit. Mangsa, Noraizan Abdullah, 38, berkata, dia menyedari rumahnya terbakar apabila terlihat asap tebal dari salah satu bilik tidur anaknya, selepas dia selesai membasuh pakaian di bilik air. “Selesai membasuh, saya naik ke atas rumah tetapi dikejutkan dengan kepulan asap tebal dari bilik tidur anak. “Pada masa sama saya nampak api mulai marak membakar kelambu dan dinding rumah,” katanya yang mempunyai sembilan anak. Menurutnya, dia yang dalam keadaan panik cuba memadamkan api di bilik tersebut dengan menyimbah air yang diangkut dengan baldi. Katanya, sambil cuba memadamkan kebakaran dia juga sempat memeriksa semua empat bilik tidur khuatir ada yang terperangkap kerana seorang anaknya, Mohd Hisyam, 12, tidak ke sekolah. “Mujur ketika kebakaran itu Mohd Hisyam keluar ke rumah kawannya, manakala tiga anak saya yang berusia tiga tahun, enam dan 16 bulan sedang bermain di halaman rumah. “Lima anak yang lain berusia 17 hingga lapan tahun ke sekolah,” katanya. Menurutnya, apabila api semakin marak dia terpaksa keluar menyelamatkan diri sehelai sepinggang bersama anak-anaknya. Noraizan terkilan kerana tidak sempat menyelamatkan kereta yang di parkir di halaman rumah kerana ketika kejadian itu, suaminya, Che Ibrahim Abah, 49, keluar ke kolam itiknya di Kampung Kutan. Sementara itu, Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Tumpat, Zakaria Hussien berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 12.58 tengah hari. “Tujuh anggota bersama dua jentera dari Balai Bomba Tumpat dan Pengkalan Kubor ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran. “Kebakaran dapat dikawal pada jam 1.20 petang dan punca kebakaran masih dalam siasatan dan kerugian dianggarkan kira-kira RM73,000, apabila motosikal dan kereta mangsa turut terbakar,” katanya. Agency

Tiga sekeluarga maut

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - LEDANG – Hasrat seorang lelaki pulang ke kampung keluarganya di Bukit Pasir, Muar untuk mengambil buah jambu bersama serbuk asam, tidak kesampaian apabila terbabit dalam kemalangan di Kilometer (KM) 5 Jalan Muar-Tangkak, dekat sini kelmarin. Kejadian kira-kira jam 4.45 petang membabitkan sebuah kereta dengan lori yang sarat membawa muatan tong gas menyebabkan tiga daripada lima penumpang kereta Perodua Kancil iaitu Mohd Adzhar Abu Bakar, 29, dua anaknya, Mohd Wahyu, 3, dan Nursyifa Qistina yang berusia dua tahun mengalami kecederaan parah. Ketua Polis Daerah Ledang, Superintendan Harun Idris berkata, kesemua mangsa dilaporkan kritikal dan disahkan meninggal dunia beberapa jam ketika dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF). Menurutnya, Mohd Wahyu meninggal dunia jam 6 petang, diikuti Nursyifa Qistina jam 9 malam dan Mohd Adzhar meninggal dunia pada jam 3 pagi semalam. “Pemandu kereta merupakan isteri kepada Mohd Adzhar, Shahlasiah Abd Malik, 29, kini dirawat di HPSF dan keadaannya stabil. Manakala adik pemandu, Safawi Abd Malik, 20an, dilaporkan kritikal. “Siasatan awal dipercayai berlaku apabila kereta yang dipandu hilang kawalan lalu memasuki laluan lori dari arah bertentangan,” katanya kepada Sinar Harian. Katanya, keadaan itu menyebabkan pemandu lori, Mohd Shahril Abu, 27, tidak dapat mengelak lalu bertembung dengan kereta berkenaan sebelum terbabas di bahagian kanan jalan. “Akibat rempuhan kuat itu menyebabkan kereta Kancil remuk teruk di bahagian hadapan dan Mohd Adzhar tersepit di tempat duduk sebelah pemandu. “Kita meminta saksi kejadian tampil untuk membantu siasatan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. Sementara itu, Mohd Shahril berkata, kejadian itu berlaku sekelip mata apabila kereta kancil tersebut tiba-tiba masuk ke laluannya sebelum merempuh lorinya secara berdepan. “Mujur lebih 20 tong gas yang saya bawa tidak meletup dan hanya bahagian depan dan tepi lori remuk,” katanya. Difahamkan, kemalangan tersebut membuatkan jalan berdekatan Parit Bunga itu sesak sepanjang hampir satu kilometer. Agency

Dua maut kenderaan bertembung

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BALING - Dua pemandu maut ketika dalam perjalanan ke hospital setelah kereta yang dinaiki kedua-dua mangsa bertembung di Kampung Kembai dekat sini kira-kira 3.15 petang, kelmarin. Mangsa, Muhamad Khusani Abdul Majid, 43, dari Kampung Kemelong, Sik manakala Mujahid Sallehuddin, 23, dari Kampung Parit Panjang maut selepas mengalami kecederaan parah di bahagian kepala. Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Mat Daud Mat Hassan berkata, Mujahid Sallehuddin yang memandu kereta jenis Satria cuba memotong kenderaan lain sebelum bertembung kereta jenis Waja yang dipandu Khusani. Menurutnya, rempuhan itu mengakibatkan kedua-dua mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu sebelum disahkan meninggal dunia dalam perjalanan ke hospital. Sementara itu, dalam kejadian lain, seorang penunggang motosikal turut maut di tempat dan hari yang sama pada jam kira-kira 8.50 malam selepas merempuh sebuah motosikal di hadapannya. Mohd Nizam Idris, 18, dari Kampung Guar Tinggi maut di tempat kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala manakala penunggang motosikal yang dirempuh itu mengalami kecederaan ringan. Mat Daud berkata, rempuhan itu mengakibatkan mangsa terjatuh sebelum terhantuk di atas jalan raya. Mangsa yang tidak menggunakan topi keledar itu mengalami kecederaan teruk iaitu keretakan di bahagian kepala sehingga mengakibatkan kematian. Mat Daud berkata, mayat Mohd Nizam dan Mujahid dihantar ke Hospital Baling, manakala Muhamad Khusani dihantar ke Hospital Sungai Petani untuk dibedah siasat sebelum jenazah dituntut oleh ahli keluarga masing-masing. Agency

Bas rempuh rumah kedai

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TAMPIN - Orang awam yang berada di deretan rumah kedai berusia puluhan tahun di sempadan Tampin, Negeri Sembilan dan Tampin, Alor Gajah gempar seketika apabila sebuah bas henti-henti merempuh bangunan berkenaan, semalam. Dalam kejadian kira-kira 11 pagi itu, lokasi terletak di sempadan dua negeri yang juga merupakan lokasi lampu isyarat di tengah-tengah bandar Tampin itu menyebabkan aliran trafik sesak seketika. Menurut saksi, Ng Siew Fah, 55, berkata, ketika kejadian, dia sedang melayan pelanggan terkejut mendengar bunyi dentuman kuat sehingga menyebabkan premis kedainya bergegar. “Akibat dentuman itu juga, batu bata terpelanting sehingga ke kaki lima bangunan dan saya terus keluar kedai sebelum mendapati bas itu terperosok ke dalam premis bersebelahan. “Disebabkan bimbang rumah kedai berusia 80 tahun ini runtuh, saya menutup kedai selama kira-kira sejam,” katanya, semalam. Sementara itu, Jurucakap polis berkata, kejadian dipercayai berlaku apabila pemandu bas berusia 40-an gagal kawal kenderaan, lalu merempuh bangunan kedai hingga menyebabkan pintu dan tembok premis itu pecah. “Bas berkenaan dipercayai dalam perjalanan dari perhentian bas di pekan ini ke pejabat syarikat yang terletak di kawasan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) di Kuala Ina, Alor Gajah. “Sebaik sahaja tiba di lampu isyarat di persimpangan Pulau Sebang-Tampin iaitu di tengah-tengah bandar Tampin, pemandu bas terbabit yang ingin membelok ke kanan hilang kawalan lalu merempuh kedai berkenaan. Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Umar Ali Saifuddin Shaharuddin mengesahkan insiden berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Agency

HPA ketengah rawatan herba

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - Suatu ketika dahulu, HPA Industries Sdn Bhd (HPA) sememangnya menjadi pilihan umum khususnya dalam kalangan Bumiputera menerusi pelbagai produk berasaskan herba. Selepas empat tahun melalui zaman kegemilangannya, HPA diuji apabila terpaksa melalui era kejatuhan dalam perniagaan. Bagaimanapun, ia tidak pernah menjadi penghalang kepada syarikat untuk bangkit semula dalam masa tiga tahun. Berkat kesabaran dan kesungguhan itu, HPA kini mampu berdiri teguh selari dengan syarikat lain yang telah menempa nama dalam industri perniagaan perubatan tradisional. Sejarah dan kejatuhan HPA Pengarah Urusan Kumpulannya, Ismail Ahmad berkata, HPA mula ditubuhkan sejak 1986 dan hanya diusahakan secara kecil-kecilan dengan bantuan keluarga. Ismail berkata, berikutan ketika itu dia masih bergelar penjawat awam maka perniagaan tersebut hanya dijadikan sebagai kerja sampingan. “Pada 1995, saya tekad melepaskan jawatan disandang bagi memberi sepenuh tumpuan terhadap perniagaan diusahakan. “Kejatuhan HPA empat tahun selepas menempa nama dalam industri perubatan herba dan terpaksa mengambil masa tiga tahun untuk membangunkan semula,” katanya kepada Sinar Harian. Gabungan perubatan Tibun Nabawi Menurut Ismail, HPA memperkenalkan perubatan Jawi iaitu Al Wahida yang berdasarkan kepada perubatan Tibun Nabawi dengan gabungan dua sumber seperti alamiah dan ilahiyah. Katanya, hanya dua kaedah tersebut digunakan kepada mereka yang mendapatkan rawatan. “Selain itu, HPA juga telah membina kilang berteraskan Good Manufacturing Practice (GMP) bagi memproses produk yang dipasarkan menerusi konsep pemasaran bertingkat. “Sehingga kini, HPA telah mengeluarkan lebih 40 produk berasaskan herba yang berdaftar dengan Kementerian Kesihatan dan melebarkan sayap dengan memperkenalkan makanan halal,” katanya. “Tidak hanya tertumpu pada produk herba, bermotokan Produk Halal Tanggungjawab Bersama, HPA turut melibatkan diri dalam semua bidang termasuk perhotelan, makanan halal dan keperluan harian,” katanya. Ismail berkata, HPA kini mempunyai 120 cawangan di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak malah berjaya menembusi Indonesia, Thailand, Kemboja, Vietnam, Brunei serta Singapura. Kekal perolehan, tingkat pengeluaran Menurut Ismail, kolaborasi bersama pasaran luar telah dimulakan lebih 10 tahun dan Indonesia menjadi negara pertama ditembusi sejak 2000 bagi produk dan pendidikan herba. Katanya, HPA sentiasa melakukan inovasi terhadap produk yang dikeluarkan sama ada dalam bentuk latihan dan jualan. “Bagi mengukuhkan lagi kedudukan dan jenama HPA dalam industri, penstrukturan semula syarikat dilaksanakan. “Komitmen setiap warga kerja menyumbang kepada kejayaan HPA dengan mencatatkan perolehan sebanyak RM100 juta bagi 2011. Syarikat bukan hanya akan mengekalkan perolehan bagi 2012, sebaliknya meningkatkan pengeluaran dengan penambahan penggunaan mesin serta warga kerja," katanya. Perancangan bagi 2013 Ismail berkata, HPA kini lebih memberi tumpuan kepada program Pelancongan Sihat yang akan dimulakan Januari 2013 di Langkawi. Beliau menambah, program itu akan menjadi antara platform untuk mengembangkan syarikat sekali gus menjadi mekanisme penyembuhan yang akan dilakukan melalui kursus, pendidikan dan perkembangan minda. "Perubatan herba kini lebih menekankan program pemulihan secara motivasi dan menjadikan Langkawi sebagai antara lokasi selain berpeluang beristirahat," katanya. Agency

Penyamun kebas RM100,000 dari kedai emas

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LIPIS - Empat lelaki bertopeng bersenjatakan pistol melarikan pelbagai jenis barang kemas bernilai RM100,000 dalam satu rompakan di sebuah kedai emas di Merapoh, di sini, kira-kira jam 5.30 petang semalam. Ketua Polis Daerah, Superintendan Abdul Razak Hassan berkata, dalam kejadian itu, kumpulan terbabit turut melepaskan dua das tembakan untuk memecahkan cermin kaca pameran barang kemas di kedai berkenaan sebelum seorang lagi menghentak cermin terbabit dengan menggunakan sebilah kapak. Menurutnya, keempat-empat suspek dipercayai ke kedai berkenaan empat jam sebelum kejadian itu dengan berpura-pura menjadi pelanggan. “Empat suspek dipercayai melarikan diri dengan menaiki sebuah kereta Proton Waja yang diletakkan tidak jauh dari premis itu. “Hasil pemeriksaan melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV) milik kedai emas berkenaan, polis mendapati empat penyamun bertopeng berkenaan melepaskan dua das tembakan pada rak cermin kaca sebelum menetak cermin itu dengan menggunakan sebilah kapak,” katanya di sini, semalam. Abdul Razak berkata, buat masa ini pihak polis sedang meneliti rakaman CCTV di kedai itu. Menurutnya, orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian terbabit supaya tampil di Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Lipis. “Kes itu disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun bersenjata,” katanya. Sementara itu pemilik kedai emas, Azmi Mohamed, 41, berkata ketika kejadian, dia dan isterinya, Manih Mamat, 36, bersama empat anaknya yang berusia tiga hingga 13 tahun berada di dalam premis berkenaan. “Empat suspek masuk secara tiba-tiba, salah seorang daripada suspek mengacukan sepucuk pistol kepada saya.. “Suspek kemudiannya melepaskan dua das tembakan pada cermin kaca. “Dalam tempoh kira-kira dua minit, mereka kemudiannya melarikan barangan kemas, kerugian dianggarkan RM100,00,” katanya yang berniaga emas sejak 11 tahun lepas. Agency

Curi seguni rambai: Buruh berdepan penjara 7 tahun, denda

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Gara-gara 'merembat' seguni buah rambai di sebuah kebun milik seorang peneroka di Felda Belara, di sini, seorang buruh berdepan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan. Tertuduh, Rosli Abd Malek, 41, yang juga anak jati Felda tersebut boleh dikenakan hukuman itu selepas dia mengaku mencuri seguni buah rambai milik Bek Jusoh, 76, pada Rabu lalu. Dengan itu, Rosli atau lebih dikenali dengan nama Jamsari oleh penduduk di Felda berkenaan mengaku melakukan kesalahan di bawah Seksyen 397 Kanun Keseksaan yang boleh dibaca bersama di bawah Seksyen 34 Kanun Keseksaan itu. Dia mengaku mencuri seguni buah rambai bernilai RM25 dengan seorang lagi rakannya yang masih bebas, dikenali ‘Muda’ di dalam kebun milik warga emas berkenaan pada 10 Oktober lalu kira-kira jam 7 petang. Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa, Inspektor Miky Anak Dunstan Muda di hadapan Pendaftar Kanan Mahkamah Majistret/Sesyen, di sini, Rosli Ahmad manakala tertuduh tidak diwakili peguam. Bagaimanapun, selepas pengakuannya direkodkan, Rosli menetapkan 23 Oktober depan sebagai tarikh jatuh hukum yang akan diputuskan di Mahkamah Majistret, di sini dan membenarkan dia diikat jamin RM2,500 oleh seorang penjamin. Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian, pemilik kebun, Bek sedang berada di rumahnya sebelum ternampak dua lelaki dikenali iaitu Rosli bersama rakannya sedang menunggang motosikal masuk ke dalam kawasan kebun buah rambai miliknya. Hampir sejam kemudian, kedua-duanya keluar sambil membawa seguni berisi penuh buah rambai dan melihatkan situasi itu, Bek yakin buah rambai di dalam guni dibawa adalah hasil curi dari kebunnya. Tanpa membuang masa, Bek terus memaklumkan kepada penduduk sebelum berjaya menangkap Rosli manakala rakannya berjaya melarikan diri. Agency

Suami dijel 15 bulan, dua sebatan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KOTA BHARU- Padah mencederakan isteri menggunakan kelewang, seorang pemandu jengkaut menerima pembalasan apabila Mahkamah Majistret di sini, semalam menjatuhi hukuman penjara 15 bulan dan dua sebatan terhadapnya. Majistret Mohd Fazaly Ali Mohd Ghazaly menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh, Mohd Sabry Zawawi, 25, mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dilakukannya pada Ogos lalu. Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu berjalan dari tarikh tertuduh ditangkap iaitu pada 12 Ogos lalu. Mengikut pertuduhan, pada 12 Ogos lalu, Mohd Sabry didakwa dengan sengaja melibas kelewang terhadap Nurul Elmiza Kadir, 22, di Lot 1062, Kampung Aril Pauh Lima, di sini pada jam 3.30 petang. Oleh itu, tertuduh dari Kampung Hj Saman Gunong, Bachok itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tiga tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua seksaan jika didapati bersalah. Sebelum itu, tertuduh merayu kepada mahkamah memohon hukuman diringankan dengan alasan dia sudah benar-benar insaf dengan kesalahannya. Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Noor Dayana Mohamed memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh sebagai pengajaran kepadanya dan masyarakat supaya tidak mengulangi kesalahan yang sama. Agency

Bekas raja Kemboja Sihanouk meninggal dunia

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - BEIJING - Bekas raja Kemboja, Norodom Sihanouk yang terkenal di peringkat antarabangsa dan disegani ramai, meninggal dunia di sebuah hospital di sini awal pagi ini. Mendiang yang berusia 89 tahun dilaporkan meninggal dunia kerana diserang sakit jantung. Dipetik agensi berita Kyodo, pembantu khas Sihanouk, Putera Sisowath Thomico berkata, bekas raja itu menghembuskan nafas terakhir pada jam 2.25 pagi tadi. Mendiang menaiki takhta pada 1941 dan membawa kepada kemerdekaan negara daripada Perancis pada 1953. Sihanouk turun dari takhta pada 2004 ekoran masalah kesihatan yang berpanjang. Agency

Bekas diplomat dipilih PM baru Libya

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - TRIPOLI - Bekas diplomat, Ali Zidan dipilih sebagai Perdana Menteri baru Libya, semalam. Beliau menggantikan Mustafa Abu Shagur yang dipecat minggu lalu selepas gagal membentuk sebuah kerajaan. Beliau diberi tempoh dua minggu untuk mengemukakan barisan Kabinet. Ali yang memperoleh 93 undi pernah berkhidmat sebagai diplomat ketika era Muammar Gaddafi, yang digulingkan tahun lalu, sebelum menyertai pembangkang yang berada dalam buangan ketika itu. Agency

Curi logam: Gadai nyawa demi wang

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - CURI logam bukan satu cerita baru. Mungkin kerana besi, timah, keluli atau tembaga yang berharga 'bersepah' di mana-mana 'tukang curi' kelabu mata untuk mendapatkan wang segera. Tanpa peduli impak kepada orang lain, waima keselamatan diri sendiri. Bukan setakat penutup longkang, penghadang jalan, pagar rumah yang dicuri, malah ada yang mengangkut besi rel kereta api. Paling tragis sanggup menggadai nyawa jadi 'super hero' memanjat pencawang elektrik untuk mencuri kabel bagi mendapatkan tembaga untuk ditukar menjadi duit. Rentung terkena gencatan ketika ghairah memotong kabel, badan putus tersepit di atas pencawang antara padah yang menimpa si pencuri logam. Walaupun sudah banyak kes ngeri sebegini berlaku, tetapi kejadian curi logam masih berleluasa. Agency

Turki larang semua pesawat Syria

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - ANKARA - Turki pula mengambil tindakan balas dengan melarang kesemua pesawat Syria daripada menggunakan ruang udaranya - keputusan diambil sehari selepas Damsyik mengambil langkah yang sama kelmarin. Tindakan terbaru ini, yang menggambarkan peningkatan ketegangan kedua-dua negara jiran itu, diumumkan oleh Kementerian Luar Turki semalam. Menurut jurucakap kementerian itu, larangan ini merangkumi penerbangan pesawat awam dan tentera. Malah, Turki juga menasihatkan pesawat-pesawat awam negaranya agar mengelak daripada menggunakan ruang udara Syria. Agency

Berapa tahanan ISA terkini, bila dibebaskan

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd. Yusoff minta Menteri Dalam Negeri menyatakan kedudukan terkini mangsa tahanan ISA yang masih ditahan dan bila mereka akan dibebaskan setelah Akta ISA dihapuskan. Beliau mengemukakan pertanyaan bagi jawan lisan itu di Dewan Rakyat, hari ini. Pertanyaan-pertanyaan daripada ahli-ahli parlimen PAS hari ini sebagaimana di bawah. Mohd. Nasir Zakaria [Padang Terap] minta Menteri Tenaga, Teknologi Hijau Dan Air menyatakan:- (a) tarif terkini elektrik untuk semua kategori pengguna; dan (b) bila dan bagaimana pelarasan tarif dilakukan oleh TNB dan nyatakan tahun pelarasan dilakukan. Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta Menteri Kerja Raya menyatakan jenis bantuan yang diberikan bagi membantu Kerajaan negeri Kelantan membina lebuh raya Kota Bharu - Kuala Krai dan sebuah stadium bola sepak yang bersesuaian dengan keperluan negeri itu sekarang. Dr. Dzulkefly Ahmad [Kuala Selangor] minta Perdana Menteri menyatakan tindakan Kerajaan mengenai kekhuatiran Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) tentang kedudukan bekalan (availability) perumahan yang mampu milik (affordable housing RM150,000-RM300,000) khususnya di Lembah Klang, sementara menyaksikan penggunaan tanah-tanah milik kerajaan membangunkan projek-projek mewah bersifat 'high-end' termasuk projek multi-bilion Tun Razak Exchange. Datuk Taib Azamudden Md Taib [Baling] minta Menteri Perdagangan Antarabangsa Dan Industri menyatakan:- (a) pencapaian yang telah diperoleh SME CORP Malaysia, SME Bank dan MARA dalam pembangunan IKS di Baling; dan (b) senaraikan program-program usahawan dan kerjasama strategik jabatan-jabatan Kerajaan berkaitan bagi menjayakan pencapaian ini. Salahuddin Ayub [Kubang Kerian] minta Menteri Luar Negeri menyatakan mengapa Kerajaan menyerahkan Blok L & M kepada Brunei Darussalam sedangkan dalam Production Sharing Contract Petronas dengan jelas menunjukkan bahawa Blok L dan M telah diberikan kepada Murphy Oil oleh Petronas untuk diterokai dan adakah penyerahan kepada Brunei itu berlaku kerana Petronas cuai atau adakah Kerajaan Malaysia yang melakukan kesalahan. Tuan Mohd Firdaus bin Jaafar [Jerai] minta Menteri Pengangkutan menyatakan berapakah jumlah pelaburan dua (2) syarikat yang mengendalikan pemasangan kamera untuk Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di seluruh negara. Harakah Daily