15 Oktober 2012

Pendakwaraya kekal selepas perjanjian dengan Morsi

29 Zulkaedah 1433H. [MOD] - KAHERAH: Pendakwaraya Mesir, Abdel Meguid Mahmud dan Presiden Mohamed Morsi bersetuju Sabtu lalu bahawa Mahmud akan kekal sebagai pendakwaraya, menamatkan krisis keengganan Mahmud untuk berhenti selepas dipecat, ujar pembantu Mahmud. Televisyen Mesir melaporkan bahawa kedua-dua pihak bertemu dan memeterai perjanjian bahawa "pendakwaraya akan kekal dalam jawatannya," kata Timbalan pendakwaraya, Adel Said, dan menyatakan "salah faham atas pencalonan Mahmud sebagai duta ke Vatican." Morsi pada Khamis lalu memecat Mahmud, dan melantik beliau sebagai duta ke Vatican, tetapi Mahmud enggan meletakkan jawatan dan berkata: "Saya kekal dalam jawatan saya. Menurut undang-undang, pihak di badan kehakiman tidak boleh dipecat oleh pihak eksekutif." Morsi cuba untuk memecat Mahmud selepas pembebasan pegawai di zaman Hosni Mubarak dalam perbicaraan minggu ini atas dakwaan serangan maut ke atas penunjuk perasaan semasa pemberontakan 2011. Keputusan mahkamah itu mencetuskan protes Jumaat lalu apabila penyokong Morsi bertempur dengan lawannya di Dataran Tahrir. Kementerian Kesihatan berkata 110 orang tercedera dalam kejadian itu. Aktivis yang memainkan peranan utama dalam protes anti-Mubarak tahun lepas mengatakan bahawa Mahmud bertanggungjawab menyediakan "bukti yang lemah" oleh pihak pendakwaan dalam kes itu dan merupakan orang setia kepada rejim lama. Mahmud Jumaat lalu berkata bahawa dia telah menerima ancaman secara langsung dan tidak langsung daripada seorang hakim kanan dan sekutu Morsi yang memberitahunya dia boleh diserang jika dia tidak berundur. Pertelingkahan antara Mahmud dan Morsi menonjolkan perpecahan yang mendalam antara presiden dan badan kehakiman, yang menuduh pemimpin Islam tersebut cuba untuk mengurangkan kuasa mereka. Mubarak dan Menteri Dalam Negeri, Habib al-Adly dipenjara seumur hidup untuk peranan mereka dalam mengarahkan pembunuhan, tetapi aktivis marah kerana enam ketua keselamatan yang menghadapai perbicaraan dengan mereka telah dibebaskan. Morsi berikrar untuk membicarakan semula Mubarak dan pegawai-pegawai kanan beliau atas peranan mereka dalam pembunuhan penunjuk perasaan semasa pemberontakan, di tengah-tengah kritikan bahawa perbicaraan itu telah diaturkan oleh pejabat pendakwa raya Mesir. Harakah Daily

Tiada ulasan: