08 Ogos 2010

KES LIWAT II - MENGAPA MUHYIDDIN GELABAH SANGAT ?

Oleh: WFAUZDIN NS

MENGAPA Muhyiddin begitu gelabah apabila mendengar bantahan dari negara luar terhadap perbicaraan kes Liwat II DS Anwar? Negara luar sememangnya ada hak untuk mengemukakan pandangan dan pendapat mereka berkaitan apa jua dasar atau ketidak adilan yang berlaku di dalam negara ini. Begitu juga negara kita sering memberikan pendapat dan respon terhadap apa yang berlaku di negara lain, contohnya seperti yang pernah berlaku terhadap pemimpin Myanmar dan Apartheid di Afrika.

Semua maklum bahawa negara luar tiada hak untuk campor tangan atas apa jua keputusan yang bakal diambil oleh negara ini, tetapi mereka punyai hak untuk bersuara kerana mereka bukan seperti `katak di bawah tempurung'. Kenyataan Muhyiddin di sini, yang kelihatannya amat gelisah apabila mengetahui negara luar telah tahu `tembelang' pemimpin negara ini amat menghairankan.

Apa yang penting, DS Anwar tidak merayu meminta tolong negara luar untuk membebaskannya dari tuduhan Liwat II yang rakyat negara ini sendiri pun tahu betapa songsangnya kes tersebut. Apa yang DS Anwar lakukan adalah memberi penerangan kepada dunia luar bagi membersihkan namanya dari fitnah kali kedua ini. Penerangan ini penting kerana DS Anwar adalah tokoh dunia yang terkenal dan pernah dinobatkan di antara 100 pemimpin dunia yang berpengaruh. Sekiranya Saiful Bukhari juga ingin membersihkan namanya, beliau juga boleh berbuat demikian ataupun beliau boleh bersumpah laknat di semua masjid di dalam dunia ini. Itu hak beliau.

DS Anwar pun tahu, negara luar tidak boleh mempengaruhi undang-undang di dalam negara ini walau sekuno mana sekalipun undang-undang di negara kita ini. Samada DS Anwar bersalah atau tidak nanti, yang paling penting adakah rakyat di dalam dan di luar negara percaya atau tidak dengan sistem kehakiman dan undang-undang yang diamalkan di negara kita. Di dalam kes Altantuya, dunia luar sendiri pun tertanya-tanya apa motif pembunuhan wanita Mongolia itu. Mereka juga pening bagaimana rekod kemasukan Altantuya boleh hilang secara `tiba-tiba'. Salahkah mereka meraguinya? Kita tidak boleh memperbodohkan dunia luar semata-mata kita sudah menjadi bodoh.

Justeru itu, Muhyiddin harus melihat kembali mengapa dunia luar sekarang semakin memandang serong ke atas sistem kehakiman di negara kita. Jika dikatakan DS Anwar adalah kesayangan Amerika, apakah DS Anwar juga kesayangan Ulamak terkemuka As Syeikh Yusoff

Qardhawi yang turut membantah fitnah ke atas DS Anwar? /wfauzdin.blogspot.com

Chua Soi Lek terlampau

Nasrudin Hassan

Merujuk kenyataan Presiden MCA, Datuk Chua Soi Lek dalam Konvesyen Tahunannya ke 33 di Alor Star Kedah semalam (6 Ogos), jelas menunjukkan beliau masih mengalami tekanan dan gangguan mental "Islamophobia" yang parah.

Tambah malang beliau membuat rujukan yang lemah dan mentah mengenai Islam dan penganutnya apabila hanya menjadikan tulisan Syed Akbar Ali (Malaysia and the club of Doom) sebagai asas study casenya tetapi tidak pula merujuk kepada para alim ulamak atau cendikiawan Islam yang muktabar.

Malang berganda malah agak keterlaluan apabila Chua Soi Lek sekali lagi membuat kesimpulan bahawa negara-negara yang majoriti ummat Islam lah banyak mengamalkan rasuah. Saya lihat ini adalah kesan Chua Soi Lek berada lama di dalam BN bersama dengan Umno yang melihat dari dekat bagaimana rasuah itu berlaku secara berleluasa sehingga rasuah itu hanya melintas dari celah paha mereka.

Chua Soi Lek gagal membezakan Islam yang diperjuangkan oleh PAS berbanding Umno yang hanya mengaku Islam tetapi tidak mengaplikasi Islam dalam sistem pemerintahan mereka. Sehingga satu ketika dulu Umno kelihatan begitu parah dijangkiti virus rasuah. Sedang negeri yang ditadbir oleh PAS seperti di Kelantan hampir tiada tuduhan atau dakwaan rasuah malah belum ada satu kes pun kepimpinannya disabitkan kesalahan rasuah.

Chua Soi Lek juga dilaporkan bahawa beliau berkata, "di bawah pemerintahan PAS, generasi muda tidak akan mempeduli untuk mempelajari impak ke atas negara yang mungkin menjejaskan keadaan sosial dan pembangunan ekonomi negara".

Kenyataan ini sangat tidak adil dan sekali lagi menunjukkan beliau tidak cermat membuat kenyataan sedang negara yang dipimpin oleh BN di mana Umno dan MCA sebagai anggotanya sejak 50 tahun yang lalu, menyaksikan runtuhnya institusi sosial malah Datuk Chua sendiri pernah menggemparkan negara apabila turut tergelincir dalam kancah keruntuhan sosial yang beliau bimbangi.

Pembangunan ekonomi negara juga mengalami tahap surut yang agak mencemaskan negara dan rakyat. Fenomena ini turut menghakis keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita. Tidak hairanlah FDI negara kita merudum teruk separas lebih rendah dari Indonesia. Realitinya, negara ini masih diperintah oleh BN dan MCA adalah anggotanya. Kenapa pula beliau cuba mengheret PAS dalam keruntuhan nilai ini.

Saya yakin kenyataan Chua Soi Lek ini adalah satu kenyataan murahan yang cuba meraih publisiti baru dan tumpuan rakyat kepada MCA dan kepimpinan beliau setelah MCA mengalami ribut tsunami yang memecah belahkan kesatuan parti mereka.

Saya nasihatkan Chua Soi Lek terlebih dahulu mengurus MCA dengan baik serta gilap kembali nilai integriti diri agar dirinya benar-benar diterima oleh MCA dan rakyat. Langkah beliau mempertikai atau mempersoal perjuangan PAS adalah dilihat sebagai satu tindakan escapism.

Sewajarnya beliau merujuk terus kepada dasar perjuangan dan Kepimpinan PAS dalam membuat nilaian terhadap agama Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini. Janganlah beliau membaca atau menilai Islam melalui kamus Umno walau mereka juga mengakui sebagai parti orang Islam, tetapi hendaklah melihat kepada realiti perjuangan Islam yang tulen sebagaimana yang diperjuangkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dan kini ianya disambung oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS).

Saman ekor: PAS mula kumpul rekod

PAS akan mula mengumpulkan rekod dan maklumat diri penerima saman ekor - yang tidak dapat memperbaharui lesen memandu ekoran disenarai-hitam - sebagai persediaan awal bagi kemungkinan mengambil tindakan undang-undang kepada kerajaan.

Usaha itu akan dimulakan dalam pertemuan pertamanya dengan mangsa saman ekor dan pemilik kenderaan di Ampang Jaya pada Isnin depan.

Kita minta mangsa membawa dokumen berkaitan, kita daftarkan. Jika kerajaan enggan membenarkan mereka memperbaharui cukai jalan, kita akan ambil tindakan undang-undang

Itu kita kena ada rekod.

Saya bercadang mengadakan pertemuan dengan pihak polis, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), kementerian dalam negeri, termasuk mengadukan kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berhubung perkara itu.

Sekiranya semua usaha tersebut tidak berjaya, KASE boleh menggembleng 1.7 juta penerima saman ekor bagi mengambil tindakan undang-undang kepada agensi kerajaan berkaitan.

Dalam kes Lim Yaw Chiang lawan pengarah JPJ pada 2009, mahkaman telah memutuskan bahawa tindakan JPJ menyenarai-hitamkan kenderaan yang tidak membayar saman ekor adalah salah di sisi undang-undang.

Saya akan dibantu beberapa peguam - diketuai peguam KASE Zulhazmi Shariff - bagi memberikan penjelasan tentang prosedur sebenar saman ekor dan tindakan yang boleh diambil mangsa sekiranya tidak dapat memperbaharui cukai jalan.

Kalau JPJ enggan perbaharui cukai jalan, kita jalanlah. Insurans sudah bayar. Cuma beliau akan berdepan kemungkinan satu lagi sama kerana tiada cukai jalan.

Cukai jalan cuma RM250, (tetapi) kalau dia kena bayar saman RM3,000 macam mana (hendak bayar).

Siri kedua pertemuannya akan diadakan di Paroi untuk kawasan Melaka dan Negeri Sembilan sehari selepas program di Kuala Lumpur.

Kemudian kita akan bermesyuarat untuk tentukan tarikh (pertemuan) di tempat-tempat lain.

Pasukan keselamatan itu "tidak faham isu".

Isunya bukan tentang kadar tetapi hendak bayar cukai jalan tak boleh (sebab disenarai-hitam). Sedangkan mangsa saman ekor belum dibuktikan bersalah.

Datuk Mahfuz Omar,
Naib Presiden PAS.

Negara Islam tak progresif: DAP bidas MCA

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng menganggap pandangan presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek yang memberi gambaran bahawa negara-negara Islam sebagai tidak progresif dan mengamalkan rasuah sebagai mengarut.

Menurut Lim, Chua pada Konvensyen Tahunan ke-33 MCA Kedah di Alor Star, semalam telah memberi tanggapa negatif kononnya negara-negara Islam itu “tidak progresif, korup, miskin dan terkebelakang”.

Katanya, Chua sepatutnya mendidik dirinya sendiri dalam sejarah tamadun Islam yang bukan hanya mengenai empayar global tetapi kaya dengan pelbagai khazanah seperti seni, ilmu hisab, perubatan, algebra dan astronomi.

“Negara-negara Islam juga dilanda masalah yang sama seperti India dan China sebelum ini. Hanya apabila India dan China menjadi bebas dan dimerdekakan oleh penjajah, barulah mereka menyedari potensi masing-masing dan mengambil tempat sewajar mereka di pentas dunia,” katanya ketika berucap di Persidangan Intergriti Antarabangsa di Pulau Pinang hari ini.

“Saya yakin negara-negara Islam mampu mengembalikan kegemilangan silam mereka, jika negara-negara berkenaan tidak lagi dikongkong seperti India dan China,” katanya.

Lim, yang juga adalah setiausaha agung DAP berkata sejarah membuktikan negara-negara Islam juga boleh mempunyai urus tadbir seperti yang berlaku semasa pemerintahan Umar Abdul Aziz yang menyaksikan jajahan Ummaiyyah menjadi pusat pendidikan dan perundangan yang cemerlang.

“Pilihannya adalah sama ada kita ikuti jejak atau model Umar Abdul Aziz berhubung mentadbir dengan integriti dan melasanakan urus tadbir yang baik ataupun memilih cara pentadbiran secara kukus besi dan mengamalkan rasuah,” tambahnya.

Lim merujuk kepada ucapan Chua semalam yang membidas kedua-dua Umno dan PAS kerana menggunakan agama bagi meraih sokongan di kalangan masyarakat Melayu.

Menurut Chua, apabila dua parti Melayu yang dominan itu bersaing, kesannya akan wujud dasar-dasar yang tidak progresif - menyebabkan negara terperangkap dalam kategori penduduk berpendapatan sederhana untuk lebih 10 ntahun.

Beliau juga berkata Umno telah menjadi lebih konservatif untuk bersaing dengan PAS bagi mendapatkan sokongan Melayu.

Katanya, isu berkenaan sengaja ditimbulkan supaya masyarakat Cina di negara ini boleh berfikir memikirkan sejenak berhubung kerjasama DAP dengan PAS.

Chua juga mengingatkan masyarakat Cina di Malaysia supaya jangan terlalu optimistik dengan anggapan jika PAS memerintah, negara ini akan bebas daripada rasuah dan segala masalah lain akan lenyap. Katanya, ada antara negara yang mengamalkan rasuah terdiri daripada negara yang mempunyai majoriti masyarakat Islam.

Malaysiakini/-

MP PAS buat kejutan ke kilang arak

Ahli parlimen PAS yang terkenal dengan kontroversinya tersendiri, Khalid Samad kini mengambil langkah berani dan mengejutkan dengan melawat sebuah kilang arak di kawasannya.

Lawatan kerja wakil rakyat Shah Alam itu ke kilang Carlsberg di Seksyen 15 petang semalam mungkin yang pertama seumpanya dilakukan seorang pemimpin parti Islam itu.

"Mungkinlah (yang pertama), saya pun tidak tahu," katanya sambil ketawa ketika ditanya sama ada beliau orang pertama yang memecahkan kepantangan (tabu) itu.

Khalid (kanan) yang juga anggota biro politik PAS menulis dalam blognya, beliau dan beberapa ahli Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melawat kilang itu bagi membincangkan cadangan pemindahan stesen bas Shah Alam daripada Sekyen 16 ke tapak itu.

Bagaimanapun, kunjungan itu mungkin mengundang syak dan fitnah ekoran arak merupakan minuman haram dalam Islam dan dianggap sebagai "ibu segala maksiat".

Dalam lawatan itu, rombongannya disambut oleh timbalan pengarah urusan syarikat itu Datuk Chin Voon Loong, yang kemudiannya memberikan taklimat berhubung latar belakang dan prestasi kilang itu sejak dibangunkan 38 tahun lalu.

Ketika dihubungi Malaysiakini hari ini, Khalid menegaskan beliau mengambil inisiatif melawat kilang tersebut hanya bagi melaksanakan tugas sebagai wakil rakyat.

"Tentulah saya kena pergi. Kilang tersebut terletak dalam kawasan (parlimen) saya," jelas Khalid.

Tidak mungkin digunakan

Bagaimanapun, beliau dilihat telah bersedia dengan kemungkinan itu apabila menulis ayat pertama dalam artikel berjudul 'Lawatan Kerja ke Kilang Carlsberg dengan' dengan:

"Tajuk posting saya kali ini barangkali akan memeranjatkan sesetengah pihak."


Malah, Khalid mengakui merasa bimbang gambar yang diambil di kilang tersebut akan disalahgunakan oleh penyokong parti lawan bagi menyerangnya.

"Terdetik juga rasa khuatir bahawa gambar itu akan disalahgunakan oleh pihak penyokong UMNO sepertimana yang terjadi dengan isu kuil Seksyen 19 dahulu di mana ianya diputar-belitkan.

"Namun, saya berserah kepada Allah dan saya rasa tiada yang perlu saya takutkan kerana saya tahu mengapa saya ke situ," katanya.

Bagaimanapun, di sebalik 'kejutan' itu, rundingan dengan pihak kilang dilihat mungkin mengalami laluan sukar apabila Khalid menulis "kemungkinan mereka (Carlsberg) berpindah adalah amat tipis sekali"

"Sekiranya diminta berpindah sekalipun, ianya memerlukan perbelanjaan yang terlalu besar yang perlu ditanggung oleh pihak kerajaan negeri.

"Oleh itu, walaupun tapak itu kelihatan yang paling strategik, ia tidak mungkin digunakan untuk terminal bas Shah Alam," tambah Khalid.

"Satu tapak yang lain, yang berhampiran landasan keretapi komuter dan juga lebuh raya perlu dikenalpasti."

Malaysiakini/-