29 April 2010

PAS sokong calon DAP, hantar jentera pakar

14 Jamadil Awal 1431H.
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 28 April: PAS akan menggerakan jentera pakarnya dari Semenanjung tanah air untuk bersama-sama jentera di Borneo bagi menggempur BN pada Pilihan Raya Kecil Parlimen Sibu.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Idris Ahmad berkata, PAS menyokong penuh pemilihan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng (gambar) sebagai calon Pakatan Rakyat pada PRK itu.

"PAS mengucapkan tahniah dan menyokong pencalonan Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng bagi pilihan raya kecil Parlimen Sibu 16 Mei nanti.

"Wong yang juga Adun Bukit Assek merupakan pilihan terbaik untuk Pakatan menambahkan kerusi Parlimen di Sarawak," katanya dalam satu kenyataan.

Pada masa ini, Pakatan hanya mempunyai seorang ahli parlimen sahaja dari Sarawak iaitu Chong Chieng Jen bagi Parlimen Bandar Kuching.

Walaupun Wong tewas kepada mendiang Datuk Robert Lau Hoi Chew yang menang dengan majoriti 3,549 pada pilihan raya sebelum ini, namun DAP mempunyai pengundi tegar hampir 16,000 orang di situ.

Pakatan Rakyat, jelasnya mempunyai jentera yang kuat lebih lebih lagi dengan penyertaan Parti Nasional Sarawak (Snap).

"PAS akan terus membiarkan BN bagai ayam berak kapur melihat begitu positifnya kerjasama jentera Pakatan yang kini lebih kuat dengan penyertaan Parti Nasional Sarawak (SNAP) menjelang PRK Sibu nanti," katanya lagi.

Menurutnya, sokongan rakyat mula meningkat sejak DAP mencipta kejutan pada tahun 1982 dengan memenangi kerusi Bandar Sibu melalui Ling Soe Ming, yang mengalahkan Tan Sri Dr Wong Soon Kai yang juga Timbalan Ketua Menteri Sarawak ketika itu.

Rekod lama ini juga, jelasnya tidak boleh dipandang sepi kerana statistik sokongan masyarakat Cina akhir-akhir ini lebih condong kepada Pakatan seperti yang ditunjukan dalam PRK Hulu Selangor baru-baru ini.

"Tidak mustahil Sibu yang dihuni 60 peratus pengundi Cina akan memberikan kemenangan kepada Pakatan bagi mengukuhkan suara masyarakat Sarawak yang tertindas sejak sekian lama," ujarnya lagi.

Dengan tidak memandang rendah pengaruh wakil SUPP bagi BN, Robert Lau Hui Yew katanya, Pakatan akan berusaha memenangi baki 40 peratus pengundi di Sibu yang terdiri dari 20 peratus Melayu-Melanau, Iban 18 peratus, 1.1 peratus Orang Hulu dan 0.9 peratus lain-lain.

PAS juga, tambahnya melihat bahawa pengundi bukan Cina ini juga sebagai aset penting bagi memastikan Pakatan mampu merampas kerusi itu dengan lebih selesa.


Adun BN manipulasi soalan kerana politik sempit

14 Jamadil Awal 1431H.
Mohd Shubihi

ALOR SETAR, 28 April: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa (gambar) menyifatkan beberapa Adun BN memanipulasikan soalannya kerana politik sempit mereka.

Beliau hari ini tampil menjelaskan isu kekecohan yang berpunca daripada soalan bertulis yang dikemukakannya semasa persidangan Dun Kedah, 26 April lalu.

Menurut beliau, soalan 'panas' yang meminta penjelasan berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan sebagai Ketua Agama Islam yang perlu dihormati telah mengundang pertikaian wakil-wakil Barisan Nasional (BN) yang tersalah tafsir maksud soalan yang dikemukakannya.

“Saya meletakkan soalan ini agar semua pihak mendapat penjelasan sebenarnya berkaitan bidang kuasa Tuanku Sultan yang mutakhir ini dilihat tidak dihormati oleh pihak-pihak tertentu.

"Soalan itu bertujuan mendapatkan batas sempadan supaya semua pihak dapat menghormati kuasa Tuanku Sultan dalam hal-hal berkaitan pentadbiran agama Islam yang diketuai oleh baginda kerana kebelakangan ini terdapat campur tangan terutama dalam soal perlantikan imam dan pegawai masjid.

"Turut diutarakan supaya dijelaskan kepada pihak tertentu yang menuduh kerajaan negeri akan memecat imam-imam apabila berusia 60 tahun," jelasnya.

Nasir berkata, wakil-wakil BN telah memanipulasikan soalan tersebut demi kepentingan politik sempit yang akhirnya mengakibatkan berlaku pertikaman lidah di antara mereka dengan wakil-wakil Pakatan Rakyat.

"Soalan tersebut cukup jelas dan tidak langsung berniat untuk mempertikaikan bidang kuasa Tuanku Sultan tetapi telah dipolitikkan oleh wakil BN yang bimbang akan dibuktikan mereka adalah pihak yang mengganggu gugat pentadbiran agama di negeri ini," katanya.

Menurutnya lagi, soalan yang dikemukakan adalah ekoran dari tindakan Adun Bakar Bata, Datuk Paduka Ahmad Bashah Md Hanipah yang mencampuri urusan pentadbiran agama Islam dalam hal berkaitan imam dan pegawai masjid, baru-baru ini.

Nasir tetap mempertahankan pendapatnya bahawa soalan itu tidak langsung menyentuh dan mempertikaikan bidang kuasa atau menghina Tuanku Sultan Kedah jika ia dibahaskan.


Ezam Mohd Nor antara empat dilantik senator

14 Jamadil Awal 1431H.

Bekas ketua pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ezam Mohd Nor adalah antara empat orang yang akan dilantik sebagai Senator.

Menurut The Star Online, mereka yang lain termasuk timbalan presiden MIC Datuk G Palanivel, pengerusi eksekutif firma Rahim and Co, Datuk Abdul Rahim Abdul Rahman dan ketua Wanita Umno Pagoh, Noriah Mahat

Mereka akan mengangkat sumpah jawatan di hadapan presiden Senat, Tan Sri Abu Zahar Ujang di Dewan Negara, Isnin depan.

Ezam juga adalah bekas setiausaha politik Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang terkenal kerana pernah mengakui mempunyai enam kotak yang dikatakan mengandungi dokumen mengenai salah laku pemimpin kerajaan.

Dia bagaimanapun kemudian menafikan perkara itu sebaliknya mendakwa kotak itu suatu pembohongan dan dijaja sebagai modal politik sejak 1999 selepas Anwar dipecat daripada Umno dan kerajaan.

Selepas meninggalkan PKR dan menyertai Umno, Ezam berkata dia bukan saja dikutuk kerana meninggalkan perjuangan mereka tetapi juga digelar ahli parti itu sebagai "Ezam Kotak".

Sementara itu, bagi timbalan presiden MIC, Datuk G Palanivel, ura-ura yang beliau akan dilantik sebagai senator bukan lagi rahsia.

Perlantikannya itu dikatakan sebagai menghargai pengorbanannya yang tidak dicalonkan pada pilihan raya kecil parlimen Hulu Selangor tetapi sebaliknya menyokong calon kompromi, P Kamalanathan.

Selain dilantik sebagai senator, Palanivel juga dijangka akan diberikan jawatan sebagai timbalan menteri.Malayskaini/-

Lagi penerbit TV dakwa campurtangan politik

14 Jamadil Awal 1431H.

Seorang lagi penerbit televisyen - kali ini darrpada TV2, RTM mendakwa campur tangan politik dalam penerbitan dokumentarinya berhubung laporan empangan Bakun.

Rencana itu didakwa diarah tidak disiarkan kerana bimbang akan memberi kesan kepada peluang Barisan Nasional (BN) untuk mengekalkan kerusi parlimen Sibu pada pilihan raya kecil 18 Mei ini.

Dalam rencana di blognya, penerbit dokumentari itu, Chou Z Lam, mendedahkan rancangan itu diarah tidak disiarkan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

"Pengarah berita RTM, Datuk Jumaat Engson berkata dokumentari itu ditarik balik kerana ia mempunyai elemen yang sensitif yang mungkin memudaratkan BN pada pilihan raya kecil Sibu akan datang dan juga pilihan raya negeri Sarawak,” kata Chou.

Chou sebaliknya dimaklumkan bahawa dokumentari itu akan ke udara 'pada masa yang sesuai'.

Dakwaan Chou itu timbul kurang seminggu selepas penerbit ntv7, Joshua Wong meletakkan jawatanya kerana mendakwa terdapat campur tangan politik yang melampau dengan kerjanya.

Dokumentari sembilan bahagian Chou adalah untuk rancangan "Galeri Mandarin Nasional" di TV2 dan bermula Isnin lalu sehingga 7 Mei menerusi slot waktu 12.20 petang hingga ke 12.30 petang. Dua episod pertama bermula Isnin lalu.

'Rakyat didahulukan' atau 'politik didahulukan'?

Episod seterusnya yang dijadualkan hari ini yang memaparkan impak sosial pembinaan empangan Bakun di kawasan pribumi di Belaga yang terpaksa dipindahkan ke Sungai Asap dan Sungai Koyan pada tahun 1998 dihentikan.

"Ini adalah contoh campur tangan kerajaan dalam berita semasa dan selepas pilihan raya kecil Hulu Selangor,” kata Chou.

"Saya amat bersimpati dengan penduduk di Sungai Asap yang telah saya wawancara berhubung masalah yang mereka utarakan tidak dapat dikongsi bersama majoriti rakyat di timur dan juga barat Malaysia,” katanya.

Chou berkata tindakan itu amat bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dicanangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang menekankan kepentingan rakyat didahulukan.

"Jika pilihan raya kecil Sibu dan pilihan raya Sarawak adalah punca dokumentari itu ditarik balik, RTM sebenarnya melaksanakan 'politik didahulukan',” katanya.

Chou berkata beliau cuba membawa perkara itu ke perhatian timbalan menteri, Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Heng Sai Kee agar beliau dapat membantu membatlkan arahan berkenaan.

Namun jawapan yang diberikan oleh pemimpin MCA itu ialah pihaknya tidak akan campurtangan dalam hal ehwal RTM.

Chou juga merayu kepada Ibrahim (kanan) untuk mempertimbangkan semula larangannya itu demi kredibiliti RTM dan kepentingan penduduk pribumi di Sarawak.

Ketika dihubungi Malaysiakini, ketua pengarah penyiaran itu menafikan bahawa beliau yang membuat larangan berkenaan.

“Saya tidak membuat arahan itu...awak sepatutnya tanya kepada Chou,” katanya dengan ringkas. Malaysiakini/-

Peguam Perancis di KL siasat Scorpene

14 Jamadil Awal 1431H.

Joseph Breham, seorang daripada anggota perundangan Perancis yang memfailkan aduan di mahkamah di Paris berhubung skandal pembelian kapal selam kepada kerajaan Malaysia dijangka mendarat di Kuala Lumpur hari ini.

Misi Breham (gambar) adalah untuk mencari maklumat lanjut bagi menyediakan kes berkenaan serta berjumpa dengan pertubuhan hak asasi manusia, Suaram, yang juga adalah anak guamnya dalam kes berkenaan.

Perjanjian pembelian kapal selam yang menelan belanja berbilion dolar itu dimeterai oleh menteri pertahanan ketika itu (2002), Datuk Seri Najib Razak yang kini adalah perdana menteri Malaysia.

Perjanjian itu dikatakan memberi komisyen RM3.7 billion kepada seorang sekutu rapat Najib, Abdul Razak Baginda.

Nilai pembelian itu adalah untuk memperolehi dua kapal selam kelas diesel - yang dibina oleh Armaris, sebuah anak syarikat firma pertahanan gergasi Perancis, DCN (yang dulunya dikenali sebagai Direction des Constructions Navales) dan pemajakan kapal selam ketiga yang sudah bersara yang diusahakan oleh sebuah syarikat usahasama antara DCN dan firma, Sepanyol, Agosta.

Breham, seorang daripada tiga peguam yang memfailkan kes berkenaan dengan pihak pendakwaan Perancis bagi pihak Suaram memberitahu Asia Sentinel bahawa mahkamah Perancis telah membuka siasatan awal dan akan menasihatkan anak guamnya berhubung langkah seterus mereka.

Breham, Renaud Semerdjian dan peguam utama, William Bourdon, memfailkan permohonan bagi menyiasat rasuah dan wang umpanan ke atas DCN pertama kali pada Disember dan memfailkan dokumen tambahan pada Februari lalu.

Kes berkenaan menjadi tajuk utama media di Malaysia berikutan pembunuhan ngeri seorang penterjemah Mongolia, Altantuya Shaariibuu, pada Oktober 2006 yang juga adalah kekasih Razak Baginda yang mengiringinya ke Perancis berhubung beberapa urusniaga pembelian kapal selam berkenaan.

Altantuya yang juga seorang model dijumpai dalam keadaan berkecai diletupkan dengan bahan peledak milik pihak keselamatan di sebuah hutan di luar Kuala Lumpur.

Dua daripada polis pengawal peribadi Perdana Menteri yang diarahkan menghalang Altantuya oleh ketua staff Najib, Musa Safri telah didapati bersalah oleh makamah dan dijatuhkan hukuman mati.

Namun, Najib, mahupun Musa belum disoal-siasat oleh pihak berkuasa berhubung kes berkenaan.

Walaupun rekod menunjukkan bahawa Najib berada di Perancis pada masa yang sama ketika Altantuya dan Razak Baginda, beliau berulang-kali telah bersumpah kepada Allah bahawa dia tidak mengenali model Mongolia itu.

Sebuah laporan yang difailkan oleh seorang penyiasat persendirian yang diupah oleh Razak Baginda mendakwa Altantuya adalah kekasih pertama Najib.

Selepas Altantuya dibunuh, pihak berkuasa menjumpai sepucuk surat yang mengatakan bahawa wanita itu akan memeras ugut Razak Baginda untuk sejumlah US$500,000, walaupun tujuan wang itu tidak disebut.

Selain kos kapal selam dan juga komisyen yang tinggi, lebih menggemparkan kontrak asal menyebut kapal selam berkenaan tidak mempunyai kelengkapan senjata dan peralatan mengesan. Pihak ketenteraan Malaysia perlu membuat bayaran tambahan €130 juta (RM550 juta) untuk melengkapkan kapal selam itu.

"Adakah ini bermakna, kita membeli besi kosong?" soal seorang pegawai tentera yang tidak mahu dikenali, menerusi email kepada Asia Sentinel.Malaysiakini/-

Zaid fail petisyen cabar pilihan raya

14 Jamadil Awal 1431H.

Calon PKR yang tewas, Datuk Zaid Ibrahim akan memfailkan petisyen pilihan raya supaya keputusan kerusi parlimen Hulu Selangor, Ahad lalu diisytiharkan sebagai tidak sah dan terbatal.

Beliau mendakwa, keputusan itu dibuat selepas mendapati jentera dan kepemimpinan BN mengamalkan rasuah melalui pelbagai janji yang dibuat untuk meraih undi rakyat.

“Dalam keadaan seperti, kami akan memfailkan petisyen pilihan raya sebaik sahaja pasukan perundangan saya bersedia,” katanya pada sidang media di rumhanya.

Dakwanya lagi, pilihan raya kecil itu juga dicemari pembelian undi dan pemindahan pengundi.

Zaid juga berkata beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) kerana didakwa gagal mengendalikan pilihan raya kecil itu dengan adil.

“Mana-mana pengundi di Hulu Selangor yang ingin menawarkan sebarang maklumat yang relevan boleh berbuat demikian di mana-mana pejabat PKR, DAP atau PAS.”

Zaid juga memberitahu beliau akan menyaman akhbar bahasa Melayu, milik Umno - Utusan Malaysia yang melabelkannya sebagai kaki botol.

“Saya bukan kaki botol. Apa yang saya minum adalah tidak lebih daripada apa yang diminum oleh (Dr) Mahathir (Mohamad) dan pemimpin Umno lain,” katanya.

“Suruhanjaya Pilihan Raya sepatutnya tidak membenarkan kempen berniat jahat dan palsu berkenaan.”

Katanya lagi, SPR telah mengabaikan tanggungjawab mereka bagi menjalankan pilihan raya yang adil dan bebas.

"Mereka (SPR) membenarkan ugutan, maklumat palsu dan juga kempen secara tidak adil dan tidak dibenarkan oleh jentera BN. Tiada usaha bagi menghalang mereka," katanya.

Menurut Zaid, beliau jelas bahawa SPR berpihak kepada BN dan mahukan parti itu menang.

SPR juga katanya mesti menjalankan pilihan raya yang setanding dengan peraturan antarabangsa.

Sehubungan itu, Zaid mahu pemantau antarabangsa menghadiri pilihan raya kecil Sibu dan semua pilihan raya di negara ini pada masa hadapan.

"Saya cabar PM (Datuk Seri Najib Razak) jika beliau sebegitu popular seperti yang didakwanya, mengapa beliau takut untuk bertanding pada pilihan raya yang bebas dan adil dengan pembangkang?"

Zaid juga berkata pasukan antarabangsa penyokong Pakatan akan ditubuhkan di London pada Julai ini yang bertujuan mendapatkan sokongan supaya mendesak pilihan raya bebas dan adil dapat dijalankan di negara ini.

Malaysiakini/-

MB Kedah: Mohd Nasir tak perlu mohon ampun

14 Jamadil Awal 1431H.

Ahli dewan undangan negeri (Adun) Kubang Rotan, Mohd Nasir Mustafa, daripada Pas tidak perlu memohon ampun kepada Sultan Kedah Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah berhubung soalan beliau pada persidangan dewan itu Isnin lalu yang didakwa mempersoalkan kuasa baginda sebagai ketua agama Islam Kedah.

Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak, berkata maksud sebenar soalan Mohd Nasir adalah mengenai kuasa raja yang tidak dihormati dan bukannya mempertikaikan kuasa raja sebagai ketua agama.

"Yang timbul isu itu sebab wakil rakyat Barisan Nasionl tak faham," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat exco kerajaan negeri di Alor Star hari ini.

Azizan berkata, perkara berkenaan telah dibincangkan dengan Tuanku Abdul Halim semasa beliau menghadap baginda pada majlis perasmian Merdeka Beach Resort di Pantai Merdeka pagi semalam.

"Tak payah jelaskan kepada Tuanku sebab baginda dah faham dan semalam pun saya hubungi pula setiausaha sulit Tuanku dan depa (beliau) kata, abaikan saja," katanya.

Dua hari lalu, persidangan menjadi panas apabila Mohd Nasir mengajukan soalan yang dianggap oleh Adun Barisan Nasional sebagai mempertikai kuasa Sultan Kedah dan ini memaksa Speaker Datuk Abdul Isa Ismail membuat keputusan dua soalan itu tidak perlu dijawab.

Mohd Nasir bertanya sejauh manakah bidang kuasa Sultan sebagai Ketua Agama Islam Negeri dihormati oleh Kerajaan Pusat dan setakat manakah tahap tidak boleh campur tangan Kerajaan Negeri Kedah dalam pentadbiran hal ehwal agama Islam.

Berikutan itu, Persatuan Kerabat DiRaja Kedah menuntut Mohd Nasir memohon ampun kepada Sultan Kedah dan memintanya menarik balik soalannya itu secara rasmi dalam persidangan Dewan. Bernama/-

Kata-Kata Negatif dan Kata-Kata Positif

13 Jamadil Awal 1431H.
Email : aisyah juki

(Setiap kata-kata itu adalah DOA)

Sebaiknya kita semua mulai mengendalikan kata-kata yang keluar dari mulut kita dengan kata-kata yang Positif dan Baik.

Setelah mendengarkan info tentang pengaruh Kata-kata Negatif terhadap Air yang ditulis dalam buku "The Hidden Messages in Water" karya Mas aru Emoto dan pada halaman 31 buku tersebut disebutkan tentang banyaknya orang yang melakukan percubaan, saya pun tertarik untuk melakukannya sbb:

1. Tempatkan Nasi sisa yang sudah didiamkan semalaman kedalam 2 botol dengan jumlah yang sama, kemudian ditutup rapat.

2. Setiap botol di labelkan yang berisi kata-kata.

3. Botol A : "Kamu Pintar, Cerdas, Cantik, Baik, Rajin, Sabar, Aku Sayang Padamu, Aku Senang Sekali Melihatmu, Aku Ingin Selalu di dekatmu, I LOVE YOU, Terima Kasih.

4. Botol B : "Kamu Bodoh, Jelek, Jahat, Malas, Pemarah, Aku Benci Melihatmu, Aku gila tidak mau dekat dekat kamu"

5. 2 Botol ini saya letakkan terpisah dan pada tempat yang sering dilihat, saya pesan pada isteri, anak, dan pembantu untuk membaca label pada botol tersebut setiap kali melihat botol-botol tersebut.

6. Dan inilah yang terjadi pada nasi tersebut setelah 1 minggu kemudian :





Nasi dalam botol yang di bacakan kata-kata Negatif ternyata cepat sekali berubah menjadi busuk dan berwarna hitam dengan bau yang tidak sedap.

Sedangkan Nasi dalam botol yang di bacakan kata-kata Positif masih berwarna putih kekuningan dan baunya harum seperti ragi.

Nah Silahkan teman-teman mencubanya sendiri. Kalau di buku di katakan ada yang mencuba dengan tiga botol dimana botol ketiga tidak di beri label apa2 alias diabaikan / tidak diperdulikan, dan ternyat beras dalam botol yang diabaikan membusuk jauh lebih cepat dibandingkan botol yang dipapar kata " Kamu Bodoh".

Bayangkan apa yang akan terjadi dengan anak-anak kita, pasangan hidup kita, rakan-rakan kerja kita, dan orang-orang disekeliling kita, bahkan binatang dan tumbuhan disekeliling kita pun akan merasakan efek yang ditimbulkan dari getaran-getaran yang berasal dari pikiran, dan ucapan yang kita lontarkan setiap saat kepada mereka.

Maka sebaiknya selalulah sadar dan bijaksana dalam memillih kata-kata yang akan keluar dari mulut kita, demikian juga kendalikanlah pikiran-pikiran yang timbul dalam batin kita.

Semoga tulisan ini bermanfaat untuk kita semua