07 Januari 2013
Saya buka pejabat 25 jam sehari untuk siasatan - TG Nik Aziz
24 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat (gambar), mengulangi lagi bahawa kerajaan negeri membuka pejabatnya 25 jam sehari untuk disiasat termasuk kes 4,400 hektar tanah yang dimiliki oleh syarikat pemimpin Perak.
Menurutnya, kerajaan negeri tiada masaalah langsung berhubung perkara itu kerana Kelantan sebuah negeri yang sentiasa bersifat terbuka.
Menurutnya, berhubung kes yang didakwa pemberian tanah keapda syarikat yang dimiliki dua pemimpin DAP Perak itu, beliau memberitahu pegawainya telah menyerahkan fail berkaitan urusan pajakan itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
"Saya beri peluang kepada orang buat apa saja (menyiasat) termasuk melalui suruhanjaya diraja ke, dan saya selalu sebut pejabat saya ni dibuka 25 jam sehari bukan 24 jam,”ujarnya.
Sambungnya, dengan cara itu beliau dapat mengingatkan diri sendiri berhubung amanah sebagai pemimpin disamping pegawainya agar sentiasa mengingati perkara yang sama.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Anggota Perkhidmatan Awam di Kompleks Kota Darulnaim, di sini semalam.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan Pengerusi Umno Kelantan, Datuk seri Mustapha Mohamed yang mahu suruhanjaya diraja ditubuhkan bagi mengatasi berhubung penjelasan kerajaan negeri tentang pajakan tanah yang membabitkan syarikat dari Perak itu.
Mustapha dalam media dua hari lalu dilaporkan berkata masih terlalu banyak persoalan tidak dijawab kerajaan negeri termasuk kemusykilan apakah pemimpin DAP terbabit mendapat keistimewaan tertentu daripada PAS.
Tuan Guru seterusnya turut mengulangi, kerajaan negeri sudah mengambil tindakan untuk dibawa ke mahkamah pihak yang membuat tuduhan palsu berkaitan isu pajakan tanah tersebut dan sudahpun mengarahkan pegawainya mengambil tindakan itu.
Harakah Daily
Muslimat PAS arah ahli, pimpinan sertai HKR 12 Jan
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusoff menyeru seluruh ahli PAS khususnya ahli dan pimpinan Muslimat serta Pakatan Rakyat turut serta dalam Himpunan Kebangkitan Rakyat di Stadium Merdeka, Sabtu nanti.
Menurut beliau, himpunan aman itu amat penting bagi menyatakan hasrat rakyat untuk menuntut hak mereka supaya diadakan pilihan raya yang bersih dan adil pada Pilihan raya Umum ke-13.
"Kita mahu pastikan sebelum pembubaran parlimen tuntutan kita mesti ditunaikan termasuk senarai daftar pemilih yang bersih," katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rantau Panjang mengatakan lapan isu yang dituntut ialah memartabatkan bahasa Malaysia sebagai bahasa ibunda; pendidikan percuma untuk rakyat; menuntut selamatkan kampung warisan dan kampung tradisi.
Tambah beliau, rakyat juga tuntut selamatkan Felda dengan pelbagai isu yang melanda; hentikan merancuni alam sekitar seperti projek Lynas dan Pengerang kerana ia memberi kesan pada alam sekitar dan kesihatan rakyat.
Katanya rakyat juga menuntut hak supaya kerajaan BN mengembalikan royalti minyak khususnya negeri yang berhak mendapatkan royalti serta pembebasan terhadap semua tahanan ISA.
Beliau menegaskan isu tersebut merupakan isu rakyat yang berkaitan dengan kepentingan rakyat maka seluruh rakyat tanpa mengira bangsa dan agama mesti bangkit bersama-sama ke Stadium Merdeka.
"Kita menuntut hak kita sebab kita mahu perkara ini diberi perhatian oleh kerajaan BN," tegasnya.
Himpunan tersebut tambah beliau bermula jam 2 hingga 5 petang tetapi seluruh rakyat perlu datang lebih awal bagi mengelak segala kemungkinan.
Harakah Daily
MPPUIA desak kaji semula syarat rebat RM200
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ada syarat yang sangat membebankan pengguna telefon pintar iaitu semua pelanggan dikehendaki melanggan pakej jalur lebar yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan terpilih.
Demikian luahan Presiden Majlis Perwakilan Pelajar Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (MPPUIA), Muhammad Hamidi Zamri berhubung rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar.
Begitupun, beliau berterima kasih kepada kerajaan Malaysia yang berbesar hati meluluskan rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar kepada belia berusia 21 bhingga 30 tahun dalam Bajet 2013.
“Mahasiswa di IPTA/IPTS juga tidak terlepas dari menikmati rebat ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Baru-baru ini juga, kabinet telah mendengar suara belia untuk membuka tawaran rebat RM 200 kepada semua jenis telefon pintar, bukannya terhad kepada telefon pintar yang berharga RM500 ke bawah sahaja.
“Namun demikian, apabila kami meneliti syarat-syarat yang dikemukakan, kami mendapati ada syarat yang sangat membebankan pengguna telefon pintar iaitu semua pelanggan dikehendaki melanggan pakej jalur lebar yang ditawarkan oleh penyedia perkhidmatan terpilih bagi melayakkan mereka menuntut rebat ini,” ujarnya.
Malah, kata beliau ada sesetengah penyedia perkhidmatan mewajibkan pelanggan untuk terikat dengan kontrak perjanjian selama setahun untuk menikmati rebat ini.
Beliau berkata, MPPUIA akui bahawa penggunaan aplikasi telefon pintar akan terbatas tanpa liputan internet, namun demikian perkara itu akan dapat diatasi apabila kebanyakan kampus IPTA/IPTS dan juga restoran-restoran ada menawarkan wifi percuma kepada pelajar dan pelanggan mereka.
Katanya, oleh kerana mahasiswa di IPTA/IPTS bukanlah golongan yang berpendapatan, pihaknya mendesak agar syarat mewajibkan langganan internet ini dikaji semula kerana ternyata ianya akan membebankan mahasiswa yang terpaksa membayar komitmen bulanan untuk menikmati rebat RM200 itu.
“Kami yakin bahawa kerajaan Malaysia sangat prihatin dengan kebajikan rakyat. Janganlah kerana kesenangan sementara, menyebabkan kami terpaksa menanggung kepayahan yang berpanjangan,” katanya lagi.
Harakah Daily
Guru Pasti P Pinang terima sumbangan awal tahun
24 Safar 1433H. [MOD] - BUKIT MERTAJAM: Guru Pusat AsuhanTunas Islam (Pasti) seluruh Pulau Pinang dianugerahkan RM600 seorang sebagai bonus awal tahun 2013.
Justeru, Ketua Dewan Pemuda PAS negeri, Yusni Mat Piah berkata, pihaknya merasa sangat bertuah kerana mempunyai guru Pasti yang cukup kental walaupun diduga dengan kesukaran ekoran kekurangan kelengkapan pengajaran.
“Semoga dengan pemberian wang dari Pasti dan Dewan Pemuda PAS negeri bernilai RM150 ribu itu dapat membantu serta menyemarakkan lagi semangat kerja dalam pasukan.
"Guru Pasti harga yang bernilai bagi PAS. Tanpa pengorbanan mereka anak kita tidak mengenali apa itu awalan Islam," tegasnya ketika berucap pada majlis yang diadakan di Kompleks An-Nadhoh, Penanti semalam.
Majlis itu turut dihadiri oleh Pengarah Pasti negeri, Nazarudin Awang Hamat dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS negeri, Afnan Hamimi Taib Azamudin.
Guru Pasti yang ditemui rata-rata gembira dengan pemberian itu dan bertekad meneruskan usaha murni memberikan pembelajaran kepada anak bangsa.
Sarimah Ibrahim dari Pasti Kubang Semang, Permatang Pauh berkata, pemberian itu menyuntik semangatnya untuk bertugas dengan lebih tekun lagi pada tahun ini.
Walaupun pemberian itu bukan sandaran, ujarnya namun dapat memberikan harapan baru bahawa guru Pasti tidak diketepikan.
Hasnah Hasan yang bertugas di Pasti An-Najmie, Pongsu Seribu menyifatkan pemberian itu dapat membantu para guru Pasti menyediakan peralatan persekolahan anak-anak.
Pemberian itu juga kata beliau yang bertugas selama 13 tahun, memberi kekuatan kepada guru Pasti untuk bersama-sama memajukan Pasti masing-masing pada tahun ini.
Harakah Daily
HKR 12 Jan: Pengurusan Stadium Merdeka enggan jumpa
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Sekretariat Pemuda Pakatan Rakyat kecewa terhadap keengganan pihak pengurusan Stadium Merdeka bertemu dengan mereka hari ini.
Kunjungan hari ini sepatutnya bagi mendapatkan maklum balas daripada pihak pengurusan Stadium Merdeka berkaitan surat permohonan menyewa Stadium Merdeka bagi mengadakan Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) pada 12 Januari ini.
Sekretariat HKR sudah menhantar surat tersebut pada 26 Disember lalu namun belum mendapat sebarang maklum balas daripada pihak pengurusan meskipun dua kali tindakan susulan diambil pihak sekretariat.
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia (DMPM), Khairul Faizi Ahmad Kamil berkata, tindakan pihak pengurusan yang langsung tidak menghantar wakil untuk bertemu mereka sangat tidak profesional.
Sedangkan katanya, kehadiran mereka hari ini sudah dimaklumkan lebih awal.
"Pemuda cuma nak hantar surat mendesak pihak pengurusan Stadium Merdeka mengeluarkan surat kebenaran menggunakan stadium.
"Kami tunggu hampir satu jam tapi tak ada seorang pun wakil pihak pengurusan datang berjumpa kami.
"Ini sikap yang tak baik dan tak profesional dari pengurusan stadium melayan tetamu," katanya kepada pemberita di hadapan bangunan Permodalan Nasional Berhad (PNB).
Sementara itu, Setiausaha Angkatan Muda Malaysia (AMK), Julailey Jemadi mempersoal kesukaran pihak pengurusan membenarkan penggunaan stadium sedangkan pihak polis sudah memberi lampu hijau kepada HKR.
"Pihak polis sudah bagi jaminan akan menjaga keselamatan pada hari tersebut jadi kenapa pihak pengurusan stadium masih berlengah-lengah?
"Kami akan terus mendesak pihak pengurusan mengeluarkan surat kebenaran," katanya.
Turut bersama ialah Sekretariat Pakatan Rakyat, Adib Ishar.
Menurutnya, sekretariat Pakatan masih bertekad untuk menggunakan Stadium Merdeka.
"Seperti yang ditegaskan sebelum ini, pilihan pertama kami Stadium Merdeka, pilihan kedua dan ketiga juga Stadium Merdeka," katanya.
Harakah Daily
Laporan kami adalah betul dan benar - PAS Miri
24 Safar 1433H. [MOD] - MIRI: PAS kawasan Miri mempertahankan laporan mereka sebelum ini dan menolak laporoan Borneo Post pada 7 Jan 2013 dengan tajuk “Villagers refute PAS claim”.
"Apa yang kami lapor adalah benar dan kami sendiri datang berjumpa dengan penduduk kampung yang mengadu masalah ini," kata Jofri Jaraiee Yang Dipertua PAS Miri, Sarawak.
Menurutnya, salah seorang pengadu yang dikenali sebagai Sibutir telah menunjuk kepada mereka keadaan jalan masuk ke kampung tersebut dan di situ kami mengambil gambar sebagai bukti bukannya rekaan semata-mata seperti dakwaan dalam akhbar tersebut.
"Kalaulah benar pihak JKR telah meluluskan RM200, 000 projek untuk jalan kerikil menuju ke kampung seperti yang dinyatakan oleh Madan dalam 'The Borneo Post' mengapa sampai sekarang jalan tersebut masih berlumpur dan teruk.
"Begitu juga keadaan jambatan di kampung tersebut yang hampir roboh," kata dalam satu kenyataan media hari ini.
"Kalau pihak kerajaan atau sesiapa saja tidak percaya kepada apa yang kami laporkan, sila lihat sendiri dan berjumpa dengan penduduk kampung yang tersebut tadi.
"Kami tidak akan melapor sesuatu perkara yang tidak benar dalam media tanpa ada bukti," tambah Jofri.
Beliau berharap pihak media dapat penjelasan serta keterangan lanjut dari penduduk setempat bukan dengan mempercayai kata-kata dua tiga kerat penyokong PBB yang ada kepentingan.
Menurut penduduk kampung tersebut lagi, janganlah disebabkan oleh dua tiga orang ini menyebabkan kampung mereka terus ketinggalan dalam arus pembangunan.
"Kita mengesa pihak yang berkenaan datang sendiri ke kampung Tukau Jaya melihat sendiri keadaan jalan dan masalah penduduk di kampung itu daripada hanya mendengar sebelah pihak saja," tegasnya.
Harakah Daily
10 menteri baru Mesir angkat sumpah
24 Safar 1433H. [MOD] - Seramai 10 menteri kabinet baru kerajaan Mesir telah mengangkat sumpah dalam rombakan kabinet bertujuan menambahbaikan cara pengendalian ekonomi Mesir yang teruk.
Jawatan-jawatan penting yang bertukar tangan pada Ahad lalu adalah menteri kewangan dan dalam negeri, yang mengendalikan polis.
El Morsi Sayed Hegazy menggantikan Mumtaz al-Said di Kementerian Kewangan manakala Jeneral Mohammed Ibrahim mengambil alih dari Ahmed Gamal Eddin sebagai Menteri Dalam Negeri.
Rombakan tersebut dibuat dengan delegasi pegawai-pegawai Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bersedia untuk bertemu pihak berkuasa Mesir Isnin ini untuk membincangkan pinjaman USD4.8billionn dan penyusunan semula ekonomi.
Presiden Mohamed Morsi bertemu dengan menteri-menteri baru selepas mereka majlis mengangkat sumpah dan membincangkan cara-cara untuk memulihkan sektor pelancongan dan menarik pelabur asing.
Wartawan Al-Jazeera Rawya Rageh, yang melaporan dari Kaherah, berkata rombakan tersebut bukan merupakan satu kejutan kerana Morsi dan Perdana Menteri Mesir, Hisham Qandil telah bercakap berkenaan perkara tersebut sejak kebelakangan ini.
Namun kejutan sebenar adalah pemecatan Eddin Gamal dari Menteri Dalam Negeri.
Tetapi wartawan kami melaporkan bawaha menteri tersebut telah dipersalahkan kerana gagal untuk mengawal situasi keselamatan di Mesir. (aljazeera.com)
Harakah Daily
Minyak di Kelantan: Cabar dibentuk sokong titah Sultan
24 Safar 1433H. [MOD] - BACHOK: Solidariti Anak Bachok Tuntut Royalti dan Pendaratan minyak di Bachok (Cabar) hari ini secara rasminya melancarkan kempen sokong titah sultan dengan menampilkan logo (gambar) pelekat kenderaan yang istimewa khususnya untuk warga bachok.
Pengerusinya Ahmad Marzuk Shaary berkata kempen ini sebagai menzahirkan manifestasi sokongan rakyat bachok terhadap titah kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Muhammad V yang meminta agar minyak didaratkan di Bachok kerana pihak kerajaan negeri telah menyediakan zon prindutrian petroleum seluas 4000 ekar di Bachok semenjak tahun 1990.
Mengulas lanjut mengenai kempen ini beliau berkata, ada beberapa komponen kempen yang akan dilaksanakan, semua aktivis anak muda akan digerakkan untuk sampaikan maklumat kepada rakyat.
"Kemuncak kempen ini Insya Allah akan di adakan himpunan rakyat bachok dalam masa terdekat yang menampilkan kehadiran pemimpin utama yang akan berucap pada majlis tersebut," kata Ahmad Marzuk dalam satu kenyataan hari ini.
Ketika ditanya mengapa NGO yang melaksanakan program ini, beliau berkata, ia bertujuan untuk mengajak semua rakyat Bachok untuk menyokong hasrat murni ini tanpa mengira fahaman politik mereka.
Penganjuran ini juga adalah kerana desakan sebahagian besar rakyat Bachok yang ingin melihat pembangunan dan perubahan berlaku dibachok dengan adanya pendaratan minyak dan gas.
Ketika diminta mengulas tentang kenyataan salah seorang pemimpin tempatan Bachok baru-baru ni yang menyatakan bahawa kerajaan pusat tidak pernah janjikan pendaratan minyak di Bachok, beliau berkata, ia bukan soal janji.
"Ini kerana Bachok adalah antara daratan yang paling hampir dengan telaga minyak yang ditemui.
"Kita faham dengan mereka ini, janji 5 peratus royalti pun dicabuli inikan pula cadangan pendaratan. Kita akan tunjukkan bukti sokongan rakyat Bachok terhadap pendaratan ini," katanya.
Beliau juga berkata, hujah mengenai bayaran pampasan kepada penduduk yang dikatakan sebagai penghalang untuk daratkan minyak menampakkan sikap tidak jujur dan serius membantu kelantan.
"Sedangkan itu hanyalah soal mekanisma yang boleh diselaraskan antara kerajaan negeri, petronas dan penduduk setempat sebagaimana cadangan pendaratan minyak di Pengerang, Johor dan sejarah pendaratan minyak di Kerteh, Terengganu. Kita ada maklumat tentang itu.
"Tidak timbul soal masalah pampasan kepada penduduk setempat jika benar-benar jujur dan ikhlas,” jelasnya.
Beliau berkata, ia hanya alasan untuk memastikan kekayaan hasil bumi ini tidak diberikan kepada Kelantan, kerana akan menutup peluang mereka ini untuk ambil semula Kelantan menggunakan isu kemiskinan dan mundur.
Ahmad Marzuk berkata, beliau bimbang sejarah lama pendaratan minyak yang sepatutnya ke kelantan dilarikan ke Songkhla dengan alasan yang sama akan berulang, sedangkan titah baginda sultan sangat jelas khususnya minyak dan gas dari telaga bumi selatan dan telaga surya selatan (blok PM 301 - Malay Basin) untuk didaratkan di bachok seperti yang tercatat dalam pembukaan persidangan dun kelantan penggal ke-12 pada 1 Mac 2012.
“Saya yakin dan percaya rakyat Bachok khususnya tanpa mengira fahaman politik menyokong penuh dan menjunjung kasih terhadap titah Sultan Muhammad V yang terbukti mengutamakan rakyat dan menolak pemimpin tertentu yang menzalimi dan menafikan hak rakyat," tegas beliau.
Harakah Daily
3 suspek kes tetak sudah dikenalpasti
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Polis sudah mengenal pasti identiti tiga lagi suspek masih bebas yang dipercayai terlibat dalam kes tetak seorang mekanik di sebuah rumah di tepi Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Darau, Hulu Besut, Besut, Jumaat lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Asisten Komisioner K Manoharan berkata, ketiga-tiga suspek yang berusia lingkungan 20-an itu adalah saudara terdekat suspek utama, 36, yang berjaya ditangkap di Kampung Padang Bual, Hulu Besut, Besut, jam 10 pagi, kelmarin.
“Seorang daripada mereka adalah adik kepada suspek utama dan dua lagi anak saudaranya yang kini dipercayai sedang bersembunyi.
“Jadi, mereka dinasihatkan agar menyerah diri di balai polis berhampiran dalam masa terdekat, bagaimanapun, kita yakin dengan maklumat yang diperoleh, kesemua suspek pada bila-bila masa akan ditangkap,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di pejabatnya, semalam.
Semalam, Sinar Harian melaporkan seorang mekanik cedera parah di beberapa anggota badan setelah ditetak dengan pedang dan parang oleh sekumpulan lelaki dipercayai kerana mangsa gagal membayar hasil jualan kayu yang ditebang.
Dalam kejadian kira-kira jam 6.30 petang itu, mangsa berusia 29 tahun diserang empat lelaki dikenali di kediamannya bertubi-tubi sehingga menyebabkan cedera parah dan dihantar ke Hospital Besut sebelum dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, Kelantan, untuk mendapatkan rawatan lanjut.
Mangsa yang mengalami kecederaan parah di lengan, rusuk, dan ibu jari kanan serta luka belakang badan kini dilaporkan stabil.
Sinar Harian
Insiden tembakan Colorado berulang
24 Safar 1433H. [MOD] - LOS ANGELES - Seramai tiga orang terbunuh dalam satu kejadian tembakan dilakukan seorang lelaki bersenjata di sebuah kediaman di Aurora, Colorado, kelmarin.
Jurucakap polis berkata, suspek yang ditembak mati pihak berkuasa terlebih dahulu menjadikan tiga mayat melibatkan dua lelaki dan seorang wanita sebagai pelindung diri sewaktu pasukan polis tiba.
"Polis memberi pelbagai arahan agar suspek menyerah diri tetapi dia tidak mematuhinya. Suspek berkelakuan tidak waras sepanjang insiden itu," katanya.
Suspek yang menyedari kehadiran pasukan SWAT tiba di pekarangan lokasi bertindak melepaskan beberapa das tembakan tetapi tidak menyebabkan kecederaan.
Selang sejam kemudian, suspek muncul pada tingkap kedua kediaman itu dan melepaskan tembakan ke arah polis sekali gus mencetuskan tembakan balas pihak berkuasa yang menyebabkan suspek maut.
Pada pertengahan Julai tahun lalu, daerah Aurora dikejutkan dengan insiden serangan tembakan yang meragut lebih 10 nyawa dan mencederakan lebih 100 penonton yang menyaksikan penayangan filem terbaru Batman, The Dark Knight Rises. - Al-Jazeera
Sinar Harian
Budak korban letupan misteri di Gaza
24 Safar 1433H. [MOD] - BANDAR GAZA - Seorang kanak-kanak berumur enam tahun di Gaza terkorban manakala tiga lagi cedera dalam insiden letupan di Khan Yunis, menurut jurucakap hospital, kelmarin.
Pihak berkuasa memaklumkan, mereka tidak dapat memastikan punca letupan misteri yang menyebabkan Moussa Kawaree terkorban.
Dalam kejadian lain pada Jumaat lalu, seorang petani dilaporkan cedera selepas terkena tembakan askar Israel berhampiran pagar keselamatan di timur Beit Hanoun di utara Genting Gaza.
Menurut saksi, insiden itu berlaku selepas kira-kira 20 lelaki dilihat berkumpul hampir dengan pagar sempadan.
Mangsa, Abdallah Zaaneen, 32, kini dirawat di hospital. - AFP
Sinar Harian
Dadah dalam mesin parut kelapa
24 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang sub kontraktor mesin rumput berdepan hukuman gantung sampai mati selepas polis menemui sejumlah dadah yang disembunyikan dalam mesin pemarut kelapa, di rumahnya dekat Renek, Jabi di sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah kira-kira jam 7.40 pagi di rumahnya, di Kampung Kepala Gajah.
Menurutnya, suspek yang telah berkeluarga itu terkejut dan tergamam apabila rumahnya diserbu polis sebelum menemui satu plastik cerah berpenutup merah jambu yang disorok dalam mesin pemarut kelapa di bahagian dapur rumah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 665 biji pil kemerahan dan enam biji pil kehijauan disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda) anggaran berat 73gram yang bernilai RM13,420 dalam plastik tersebut,” katanya kepada media terhadap kejayaan terbesar polis Terengganu terhadap tangkapan dadah pada tahun ini.
Kamaruddin berkata lagi, polis turut menyita harta suspek yang disyaki diperoleh daripada hasil menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Menurutnya, harta tersebut adalah masing-masing seutas gelang tangan perak bernilai RM2,000, jam tangan bernilai RM300 dan tunai RM2,500.
“Suspek dipercayai melakukan kegiatan pengedaran dadah untuk memperoleh pendapatan tambahan dan mula aktif pertengahan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut menjalankan aktiviti pengedaran dadah kepada penagih di kawasan Renek dan kampung sekitar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Sinar Harian
Pertempuran diteruskan sebelum Assad berucap
24 Safar 1433H. [MOD] - BEIRUT - Pertempuran antara kumpulan pemberontak dengan tentera kerajaan menular ke seluruh negara sejam sebelum Presiden Bashar Al-Assad dijadual berucap buat kali pertama dalam tempoh dua bulan ini, semalam.
Menurut pemerhati hak asasi kemanusiaan Syria berpangkalan di Britain, pertempuran tercetus di selatan wilayah Daraa yang menjadi lokasi bermulanya kebangkitan rakyat menentang kerajaan Assad pada Mac 2011 lalu.
Keganasan berdarah itu turut membadai kawasan kubu kuat pembangkang di pinggir bandar Damsyik yang mana digunakan oleh pemberontak sebagai pangkalan menyerang tentera kerajaan di ibu negara.
Menurut rekod, kali terakhir Assad mengadakan ucapan umum pada November lalu yang mana beliau berjanji tidak sesekali akan meletakkan jawatan walaupun berhadapan sekatan antarabangsa yang mahu meruntuhkan rejimnya.
Assad turut menyingkir beberapa cadangan yang menggesanya meninggalkan Syria serta kuasanya dengan berkata, 'hidup dan mati saya di Syria'.
Sehingga kini, usaha diplomatik untuk menamatkan krisis 21 bulan di negara itu masih gagal walaupun pihak antarabangsa menggesa satu penyelesaian damai. - AP
Sinar Harian
3,918 pelajar tidak dapat ke sekolah
24 Safar 1433H. [MOD] - RANTAU PANJANG – Seramai 3,918 pelajar di lapan sekolah di Kelantan tidak dapat meneruskan persekolahan, apabila lapan sekolah masih ditutup setelah dinaiki air serta jalan ke sekolah terputus hubungan.
Pengarah Pelajaran Kelantan, Hussain Awang berkata, empat sekolah terlibat di Tumpat sementara empat lagi di Pasir Mas.
Menurutnya, sekolah di daerah Pasir Mas yang ditutup ialah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Rantau Panjang, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) Diniah, Bonggor, Sekolah Agama Bantuan Kerajaan Al-Falah Siram, Sekolah Kebangsaan (SK) Rantau Panjang.
“Di Tumpat pula SK Simpangan, SK Bendag Pak Yong, SK Teluk Jering dan SABK Nurul Huda.
“Sekolah lain beroperasi seperti biasa dan pihak kami sedang memantau keadaan untuk melihat sekolah yang terlibat,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi, petang semalam.
Kelmarin, SK Sri Rantau Panjang 1 dan SK Sri Rantau Panjang 2 yang turut dinaiki air telah dibuka semula hari ini.
Sementara itu, jalan di Kubang Rambutan yang dinaiki air serta tidak dapat dilalui kenderaan ringan sudah boleh dilalui semua kenderaan.
Paras Air Sungai Golok sehingga jam 5 petang 9.52 meter dan masih melebihi paras bahaya 9 meter.
Sinar Harian
4 gol, Barcelona lebar jurang mata
24 Safar 1433H. [MOD] - BARCELONA melebarkan jurang mata dan kekal di kedudukan teratas persaingan La Liga selepas menewaskan Espanyol 4-0 di Stadium Camp Nou, awal pagi tadi (waktu Malaysia).
Dengan menjaringkan empat gol, kelab The Catalan terus berada di tangga teratas dengan meraih 52 mata berbanding Atletico Madrid yang mengumpul 41 mata selepas mengharungi 18 perlawanan setakat ini.
Gol-gol Barcelona disumbangkan oleh Xavi Hernández (10), Pedro (15, 27) dan Lionel Messi (29).
Sementara itu, Real Madrid juga mencatat kemenangan apabila menundukkan Real Sociedad 4-3 di Stadium Estadio Santiago Bernabéu.
Dengan kemenangan itu, Madrid kekal di tangga ketiga dengan mengumpul 36 mata dalam 18 perlawanan setakat ini.
Berikut keputusan La Liga yang berlangsung awal pagi tadi:
Celta Vigo 3 Valladolid 1
Real Madrid 4 Real Sociedad 3
Barcelona 4 Espanyol 0
Mallorca 1 - 1 Atlético Madrid
Sinar Harian
Kempunan makan tengah hari
24 Safar 1433H. [MOD] - MUAR - Hasrat seorang juru wayar pulang menikmati makan tengah hari bersama keluarga di rumah, tidak kesampaian apabila maut selepas terbabit dalam kemalangan di Jalan Kim Kee, di sini, semalam.
Kejadian kira-kira jam 1 petang itu melibatkan motosikal ditunggang mangsa, Nazli Alfaisan Othman, 22, dengan sebuah kereta jenis Chevrolet.
Mangsa dari Jalan Kim Kee meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala. Kedua-dua kenderaan itu dipercayai dari arah sama iaitu Sungai Abong menghala ke Jalan Kim Kee.
Pemandu kereta terbabit berusia 55 tahun mendakwa, cuba mengelak anjing yang melintas jalan menyebabkan kenderaan yang dipandunya memasuki laluan kanan jalan sebelum dirempuh motosikal mangsa yang berada di belakang kereta.
Difahamkan, pemandu kereta yang pada mulanya melarikan diri telah membuat laporan di balai polis berhampiran beberapa jam selepas kejadian itu berlaku.
Jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan mangsa dihantar ke Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) untuk bedah siasat sebelum dituntut keluarga.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sinar Harian
Panik bas dinaiki terbakar
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA KANGSAR – Situasi panik menyelubungi 20 penumpang bas persiaran apabila kenderaan yang mereka naiki terbakar di Kilometer (KM) 231.4 Lebuh Raya Utara Selatan, berhampiran Bukit Berapit, di sini, semalam.
Kejadian berlaku sewaktu bas yang dinaiki penumpang terbabit sedang dalam perjalanan menuju ke Hatyai, Thailand.
Insiden berkenaan berlaku pada kira-kira jam 1.20 petang dan disedari pemandu bas selepas melihat asap tebal di bahagian belakang kenderaan dan telah mengarahkan semua penumpang turun menyelamatkan diri.
Ketua operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Kangsar, Shamsudin Abd Karim berkata, kebakaran itu menyebabkan bas persiaran dua tingkat milik Syarikat Konsortium Bas Ekspres Sdn Bhd itu musnah keseluruhannya.
“Mereka memulakan perjalanan dari Johor malam. Pemandu itu menyedari kebakaran itu setelah melihat asap tebal keluar dari bahagian belakang bas yang menempatkan enjin.
“Menyedari keadaan itu, pemandu terbabit segera memberhentikan kenderaan di bahu jalan dan mengarahkan kesemua penumpang turun,” katanya.
Menurutnya, dua jentera dan 13 anggota termasuk pegawai dari Kuala Kangsar dan Taiping dikejarkan ke tempat kejadian dan berjaya memadamkan keseluruhan kebakaran dalam tempoh 15 minit.
“Bas tersebut terbakar 70 peratus dan kita masih menyiasat punca kejadian dan anggaran kerugian belum dianggarkan,” katanya.
Sinar Harian
Juruteknik maut motosikal langgar pembahagi jalan
24 Safar 1433H. [MOD] - GEORGETOWN - Hasrat seorang abang yang mahu mengajak adiknya menghadiri majlis memperingati kematian bapa saudara di sebuah kuil tidak kesampaian apabila dia ditemui mati dalam kemalangan di Jalan Sultan Azlan Shah, Gelugor di sini, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 2.15 pagi, mangsa, M Mohgan, 48, dari Lintang Minden 2, Gelugor dikatakan dalam perjalanan pulang ke rumahnya sebelum dipercayai terbabas lalu melanggar pembahagi jalan.
Adik mangsa, M Ravi, 40, berkata, abang kedua daripada lima beradik itu yang bekerja sebagai juruteknik sebuah kilang di Bayan Lepas dikatakan keluar sebentar ke pusat bandar tetapi tidak tahu tujuannya.
Menurutnya, dia hanya mengetahui kemalangan yang menimpa mangsa selepas menerima panggilan daripada abang sulung dari Kuala Lumpur memaklumkan kejadian.
“Saya terkejut selepas abang sulung memaklumkan Mohgan terlibat dalam kemalangan dan sebaik menerima berita, saya terus bergegas ke tempat kejadian.
“Sebaik sampai, keadaan abang berlumuran darah dan tidak bergerak lagi sedangkan pagi semalam dia menghubungi dan mengingatkan saya supaya tidak lupa mengambilnya untuk ke kuil sempena majlis memperingati kematian bapa saudara.
“Mendiang seorang yang pendiam namun pemergiannya cukup menyedihkan kerana dia meninggalkan seorang balu dan dua anak masih bersekolah berusia 10 dan 15 tahun,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Gan Kong Meng mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Polis juga ingin meminta kerjasama orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu menghubungi Pegawai Penyiasat, Ibu Pejabat Polis Trafik Daerah Timur Laut di talian 04-2181872 atau mana-mana balai polis berhampiran.
Mayat mangsa dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik, Hospital Pulau Pinang (HPP).
Sinar Harian
Tahan sakit selama 20 minit
24 Safar 1433H. [MOD] - ALOR GAJAH - Dua sahabat terpaksa bertahan selama lebih 20 minit selepas terperangkap dalam kemalangan di Kilometer 217 Lebuhraya Utara - Selatan, di sini awal pagi semalam.
Dalam kejadian kira-kira 3.30 pagi itu, kenderaan pacuan empat roda yang dinaiki Lee Yong Ling, 33, bersama rakan, Loh Yim Keong, 34, dari Kuala Lumpur ke Melaka hilang kawalan dan terbabas ke kiri jalan hingga kenderaan merempuh pengadang besi, tembok curam dan papan tanda.
Menurut sumber, ketika kejadian kereta dinaiki mangsa berada di laluan kedua dan masuk ke laluan kiri namun muncul sebuah kereta memasuki laluan di hadapan kereta mangsa sebelum terbabas.
"Mangsa gagal mengawal kenderaan sehingga merempuh pengadang besi lebuh raya dan papan tanda.
"Kedua-dua mangsa terpaksa bertahan selama lebih 20 minit tanpa dibantu sesiapa berikutan keadaan sekeliling yang terlalu gelap tidak disedari pengguna lebuh raya lain," katanya, di sini semalam.
Ketua Skuad JPAM Alor Gajah, Saiful Nazmi Said berkata, JPAM menerima panggilan mengenai kejadian kira-kira 3.35 pagi sebelum bergegas ke lokasi kejadian dan mangsa sudah pun terbaring di tebing jalan.
"Penumpang yang mengalami pendarahan pada telinga dan hidung diberikan rawatan di tempat kejadian manakala pemandu patah tangan dan bahu kanan serta cedera di lutut sebelah kiri dipercayai berlaku hentakan kuat ketika merempuh papan tanda.
“Kedua-dua mangsa ditenangkan oleh anggota JPAM dan orang awam yang berhenti ketika dirawat sebelum mereka dihantar ke Hospital Melaka untuk rawatan lanjut,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, pagi semalam.
Sinar Harian
Pemuda maut motosikal dirempuh kereta
24 Safar 1433H. [MOD] - KLANG SELATAN – “Arwah berkeras mahu menghantar adik saya ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) menaiki motosikalnya walaupun adik menolak beberapa kali, namun desakan arwah membuatkan adik dan kami semua akur,” demikian cerita Nasrullah, 25, berkenaan perangai pelik bapa saudaranya, Muhammad Sufyan Ahnaf Ahmad Jais, 26, beberapa jam sebelum dia meninggal dunia akibat kemalangan di selekoh berhadapan Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Jambatan Kota, di sini semalam.
Sebelum itu, Nasrullah berkata, sekitar jam 3 pagi, adiknya, Mohd Nazrin terjatuh motosikal di kawasan Shah Alam itu mengalami kecederaan di bahagian lutut.
“Saya, arwah dan rakan lain di situ cuba merawat adik bagaimanapun arwah menawarkan diri untuk menghantar adik ke hospital menaiki motosikalnya.
“Awalnya adik enggan bagaimanapun akhirnya adik akur lalu membonceng motosikal arwah pada masa sama kami turut mengiringi mereka ke hospital,” katanya.
Sementara menunggu adiknya mendapatkan rawatan menurutnya, arwah kelihatan muram bagaimanapun dia sempat berseloroh bersama rakan lain.
“Ketika minum di kantin HTAR arwah mendiamkan diri bagaimanapun kami tidak menyedari itu petanda dia bakal meninggalkan kami semua.
“Selesai rawatan, kami pulang dan arwah menunggang motosikal seorang diri sementara adik menaiki kereta bersama saya sambil memandu secara beriringan dengan lima rakan lain,” katanya yang ingin pulang ke Batu 4, Jalan Kapar.
Nasrullah berkata, sebaik tiba di lokasi kejadian, dia nampak sebuah kereta Proton Saga BLM yang berada di laluan kanan secara tiba-tiba memasuki laluan kedua ketika melalui selekoh agak tajam lalu merempuh bahagian belakang motosikal arwah.
“Saya nampak arwah hilang kawalan lalu motosikalnya merempuh penghadang batu sebelum merempuh tiang lampu.
“Dari jauh saya nampak dia tercampak ke jalan raya bersama motosikalnya,” katanya kepada Sinar Harian.
Dalam kejadian jam 7.20 pagi itu, mangsa yang juga seorang mekanik beralamat di Sungai Kapar Indah meninggal dunia selepas terbabit dalam kemalangan ketika dia bersama rakannya menghala ke Pusat Bandar Klang.
Sementara itu, Ketua Trafik merangkap Ketua Bahagian Ketenteraman Awam Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan, Deputi Superintendan Rosly Abdul Rahman berkata, pihaknya mendapati mangsa mengalami kecederaan parah di kepala itu meninggal dunia di tempat kejadian.
Sinar Harian
Suami isteri nyaris maut
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA ROMPIN – Seorang cedera parah manakala dua lagi cedera ringan dalam nahas melibatkan dua kenderaan di Kilometer 149 Jalan Kuantan-Johor Bharu berdekatan Janglau di sini, jam 7.30 malam Khamis lalu.
Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintendan, Johari Jahaya berkata, sebuah kereta Proton Wira dipandu seorang lelaki terlanggar bahagian tepi kiri lori yang berada di hadapannya.
Menurutnya, pelanggaran itu menyebabkan Proton Wira yang dalam perjalanan dari Tanjung Gemok ke Rompin berpusing beberapa kali sebelum masuk ke lorong bertentangan.
“Pemandu Proton Wira gagal mengawal kenderaan lalu merempuh bahagian tepi kanan sebuah Toyota Corolla SEG dari arah bertentangan," katanya.
Johari berkata, penumpang Toyota Corolla SEG, Zarina Omar, 41, cedera di bahagian kepala selain luka di dahi dan pipi manakala suami, Zulikifli Mat Yusof, 46, dan seorang anaknya cedera ringan.
“Mangsa dirawat di Klinik Kesihatan Rompin sebelum dipindahkan ke Hospital Muadzam Shah," katanya.
Kata Johari, dua lagi penumpang Toyota Corolla dan pemandu Proton Wira yang bekerja sebagai penjaga bot di Jeti Tanjung Gemok, Pun Tiang Sang, 51, tidak mengalami kecederaan.
Sinar Harian
Bengang digelar 'lembu', belasah rakan hingga cedera
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA TERENGGANU - Bengang digelar ‘lembu’, seorang pekerja di sebuah syarikat pembuatan tongkang naik angin apabila nekad membelasah rakannya sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian muka, dalam satu kejadian di sebuah jeti di sini, dua minggu lalu.
Bagaimanapun, suspek, berusia 24 tahun dan berasal dari Kampung Bukit Datu, Bukit Tunggal, di sini, ditangkap di pejabatnya, lebih kurang jam 11 pagi, kelmarin.
Menurut sumber, kejadian dipercayai berpunca apabila mangsa, 20-an, yang bekerja di bidang sama tetapi berlainan syarikat telah menggelarkan suspek ‘lembu’ selepas tidak berpuas hati berhubung urus niaga penghantaran barang.
“Dalam pertelagahan itu, mangsa telah mengeluarkan kata-kata suspek bekerja seperti ‘lembu’ sebelum suspek naik angin lalu menumbuk muka mangsa menggunakan tangannya.
“Ekoran kejadian itu, mangsa cedera di bahagian dahi dan membuat laporan polis beberapa jam selepas kejadian,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Sementara itu, Ketua Polis daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Zamri Shamsuddin ketika dihubungi Sinar Harian, semalam, mengesahkan menerima laporan dan tangkapan suspek.
Katanya, suspek kini direman sehingga 9 Januari depan untuk disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan cedera yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda hingga RM2,000, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
Sinar Harian
3 sahabat rompak bersenjata
24 Safar 1433H. [MOD] - KOTA BHARU -Tiga sahabat berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan kerana merompak sebuah motosikal milik seorang pekerja kampung menggunakan pisau di Kuala Krai, Disember tahun lalu.
Wan Mohamad Ikhwan Wan Omar, 24, Mohamad Azizi Ab.Rashid, 24 dan Norhafizi Nordin, 21, membuat pengakuan bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas pertuduhan dibacakan.
Bagaimanapun Hakim Azman Mustapa menetapkan 13 Januari ini untuk sebutan semula kes sebelum hukuman dijatuhkan terhadap tertuduh.
Mengikut pertuduhan, ketiga-tiga tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas merompak motosikal Honda EX5 milik Mohd Elias Mat Isa, 24, jam 11.30 malam di tepi jalan sebuah sekolah di Kuala Krai.
Semasa melakukan rompakan pada 4 Disember lalu tertuduh bersenjatakan pisau, oleh itu kesemuanya didakwa mengikut Seksyen 395/377 Kanun Keseksaan. Kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Norhamizah Ghazali dan jaminan tidak ditawarkan terhadap tertuduh.
Sinar Harian
Gol penyamaan RVP selamatkan maruah United
24 Safar 1433H. [MOD] - RAMALAN Alex Ferguson tidak pernah silap. Dia juga tidak pernah putus harap meskipun kekalahan semakin menghampiri Manchester United.
Kemasukan Robin van Persie minit ke-68 tidak sia-sia dan dia sekali lagi menjadi penyelamat maruah The Red Devils untuk meledak gol penyamaan di saat mereka diambang kekalahan.
“Ketika pasukan ketinggalan 1-2 dengan harapan hanya tinggal beberapa minit sahaja sebelum wisel penamat, tiada apa yang boleh diharapkan selain keajaiban.
“Keajaiban itu datang sebaik van Persie menyempurnakan hantaran Ryan Giggs terus ke arah gawang.
“van Persie terlalu hebat. Permainannya semakin matang dan kematangan itu berjaya di terjemah di barisan hadapan,” katanya tidak akan sesekali menyalahkan pasukan sekiranya mereka tersungkur kepada West Ham United di pusingan ketiga Piala FA, awal pagi semalam.
Sementara itu, pemain tengah West Ham Joe Cole akur dengan kekalahan tersebut meskipun kemenangan semakin hampir menjadi milik mereka.
“Kami kehilangan peluang itu. Kami bermula baik. Jentera pertahanan begitu kukuh. Cuma kami tidak bernasib baik gagal meraih kemenangan.
“Kami perlu kembali ke Old Trafford dan menebus kekecewaan ini, walaupun sedar pertempuran pasti lebih hebat,” katanya yang terpaksa menahan kesakitan akibat hidung berdarah.
Sinar Harian
Irwan berjaya tebus duka final Piala Malaysia 2012
24 Safar 1433H. [MOD] - JIKA pada tahun lalu, bek pasukan Angkatan Tentera Malaysia (FAM) Irwan Fadli Idrus sekadar menjadi pemerhati dalam perlawanan akhir Piala Malaysia menentang Kelantan gara-gara hukuman penggantungan akibat menerima dua kad kuning.
Tetapi, dia segera tebus kembali kedukaan itu berdepan lawan sama, cuma kali ini pada saingan pembuka tirai Liga Malaysia 2013 merebut Piala Sumbangsih.
Bukan itu sahaja, Irwan berjaya menyelamatkan maruah The Gladiators apabila menyamakan kedudukan pada minit ke-84 sekali gus mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti bagi tentukan pemenang.
“Saya puas dapat bantu ATM julang trofi pertama bagi musim ini selepas tidak dapat bermain tahun lalu. Ini satu petanda baik bagi kami.
“Kehilangan pemain utama yang berhijrah ke pasukan lain tidak menggangu formasi diterapkan jurulatih.
“Malah, kemasukan pemain baru yang ada berjaya memikul tanggungjawab masing-masing. Komitmen mereka cukup tinggi untuk memastikan kejayaan ATM ini perlawanan kelmarin,” katanya.
Tambah manis, bekas tonggak kebangsaan itu dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Pilihan Akhir.
Menurut Irwan, mereka kini fokus untuk pertemuan Liga Super berdepan Lions X11 di Stadium Paroi, Rabu ini.
Sinar Harian
Dendam kami terbalas: Reuben
24 Safar 1433H. [MOD] - PERTAMA kali membuat kemunculan dalam Piala Sumbangsih tidak menghalang K Rueben menyajikan aksi cemerlang apabila membantu The Gladiators membenam cabaran juara treble musim lalu, Kelantan.
Biarpun ditentukan pemenang menerusi sepakan penalti, jelas terpancar kepuasan di riak wajah pemain yang bermain pada posisi pertahanan ATM ini.
“Ini debut saya dalam Piala Sultan Ahmad Shah. Bagi saya, ini permainan berkualiti dipamerkan pasukan ATM.
“Jika pada final Piala Malaysia kami kalah di tangan Kelantan, tapi di tahun baru kami menebus kembali maruah yang tercalar.
“Boleh juga disifatkan sebagai membalas dendam. Namun, perkara lebih mustahak adalah kemenangan,” katanya.
Sinar Harian
Pemain bazir banyak peluang: Bojan
24 Safar 1433H. [MOD] - PENGENDALI Kelantan, Bojan Hodak kecewa dengan persembahan anak didiknya pada perlawanan Piala Sumbangsih menentang ATM yang menyaksikan The Red Warriors tewas di Shah Alam, kelmarin.
Katanya, mereka mempunyai banyak peluang untuk menjaringkan gol pada babak kedua, namun pemain gagal menyempurnakan peluang terhidang.
”Saya akui gol Indra Putra Mahayuddin pada awal separuh masa kedua telah menaikkan moral pemain. Namun kelekaan benteng pertahanan pada saat-saat akhir menyebabkan kita gagal untuk mencatatkan kemenangan,” katanya.
Dalam perkembangan lain, Bojan berkata Kelantan fokus untuk menghadapi perlawanan pertama Liga Super menentang PKNS FC di Kota Bharu, Rabu ini.
“Saya harap pemain akan bangkit pada perlawanan menentang PKNS nanti dan jadikan kekalahan ini sebagai satu pengajaran yang berguna,” katanya.
Sinar Harian
Kebangkitan parti Islam
24 Safar 1433H. [MOD] - REVOLUSI di rantau Arab turut memberi kesan positif kepada beberapa negara yang masih berusaha melakukan perubahan dalam sistem pentadbiran mereka seperti yang dituntut rakyat.
Selain itu, ia juga menjadi pencetus kebangkitan parti Islam seperti parti Ennahda di Tunisia dan Ikhwanul Muslimin di Mesir.
Keputusan pilihan raya pertama di Tunisia pada Oktober 2011 juga menyaksikan kemenangan parti Islam Ennahda yang diharamkan selama beberapa dekad di negara itu.
Mereka memenangi 90 daripada 127 kerusi dewan perhimpunan yang dipertandingkan.
Sebulan selepas itu, Kongres bagi Parti Republik (CPR), Parti Ettakatol dan Parti Ennahda mengumumkan perjanjian perkongsian kuasa secara rasmi yang dilihat sebagai saat bersejarah untuk kebebasan Tunisia.
Sehingga kini, negara kecil di Afrika Utara tersebut masih berusaha untuk memulihkan ekonomi mereka dengan bantuan dari Bank Dunia.
Dua bulan lalu, Menteri Kewangan sementara, Salim Besbes mengumumkan kerajaan akan menerbitkan bon Islam bernilai AS$646.25 juta (RM2 bilion) untuk pertama kali sebagai bantuan kewangan bagi projek infrastruktur seperti pembinaan jalan raya dan hospital.
Kerajaan menjangkakan defisit belanjawan akan berkurangan kepada enam peratus pada keluaran dalam negara kasar (KDNK) untuk tahun ini berbanding anggaran 6.6 peratus pada tahun lalu.
November lalu, negara itu sekali lagi dicemari protes ganas disertai penduduk yang menuntut lebih banyak peluang pekerjaan berikutan kadar pengangguran mencecah sehingga 17 peratus.
Susulan daripada insiden itu, Menteri Pelancongan, Elyess Fakhfakh dilantik sebagai Menteri Kewangan baru oleh Presiden Moncef Marzouki bagi menggantikan Hussein Dimassi yang meletak jawatan pada Julai tahun lalu.
Pelantikan bekas ahli perniagaan itu diharap dapat memperbaiki hala tuju ekonomi negara itu.
Di Mesir pula, pergerakan Ikhwanul Muslimin yang menjadi parti pembangkang sebelum ini berjaya memperoleh sokongan majoriti selepas memperoleh dua pertiga atau 332 kerusi dalam pilihan raya pertama di negara tersebut.
Rentetan daripada kejayaan itu, Mohammed Mursi yang mewakili parti Islam tersebut turut dilantik menjadi presiden selepas menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq dalam Pilihan Raya Presiden pusingan kedua pada tahun lalu dengan memperoleh 51.73 undi.
Mursi yang cuba untuk memuaskan hati semua pihak dengan melaksanakan perubahan berpaksikan ajaran Islam turut berhadapan cabaran selepas beliau mengumumkan dekri presiden pada November tahun lalu.
Majlis Tertinggi Kehakiman mengkritik dekri presiden itu yang didakwa memberi peluang kepada beliau untuk memonopoli kuasa.
Mereka juga menyifatkannya sebagai satu serangan tidak pernah berlaku ke atas badan kehakiman di negara tersebut.
Awal bulan lalu, Mursi membuat keputusan untuk membatalkan dekri itu selepas berlaku pertempuran antara penyokong dan penentang beliau.
Menjelang pungutan suara draf Perlembagaan pada 15 Disember lalu yang dirangka sepenuhnya oleh parti Islam, Mesir sekali lagi dicemari protes ganas.
Di sebalik kekacauan dan protes itu, sebanyak 64 peratus penduduk Mesir menyokong draf Perlembagaan tersebut. Antara kandungan draf Perlembagaan itu menjadikan undang-undang Syariah kekal sebagai sumber utama perundangan manakala penganut lain seperti Kristian dan Yahudi akan menggunakan agama masing- masing sebagai sumber perundangan mereka serta tempoh jawatan presiden dihadkan kepada dua penggal selama lapan tahun.
Keputusan tersebut membuktikan sekali lagi kemenangan Ikhwanul Muslimin selepas Mursi meluluskan Perlembagaan baru itu pada 26 Disember lalu.
Mursi kini berhadapan cabaran untuk mendapatkan persetujuan bagi melaksanakan langkah penjimatan.
Beliau juga akan memperkenalkan insentif yang akan menarik semula minat pelabur untuk menjalankan urus niaga di negara itu.
Dalam perkembangan lain, presiden tersebut akan mengadakan pertemuan dengan wakil dari Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) untuk mengadakan perbincangan berhubung pinjaman berjumlah AS$4.8 bilion (RM15 bilion) untuk mengurangkan belanjawan defisit dan kemerosotan ekonomi akibat pergolakan yang tercetus semasa kebangkitan rakyat pada Februari 2011.
2013 yang baru membuka tirai pada minggu lalu diharap akan membawa sinar baru kepada penduduk di rantau Arab terutamanya di Syria yang masih berada dalam kancah peperangan.
Parti Ennahda
Parti Pembaharuan Ennahda atau ‘Nahda’ yang ditubuhkan pada 1981 ini adalah sebuah parti yang diharamkan di Tunisia.
Mulanya dikenali sebagai ‘Tindakan Islam’ sebelum ditukar kepada ‘Pergerakan Kecenderungan Islam’, dan ‘Hizb al-Nahda’ pada 1989. Parti itu dianggap sebagai sealiran dengan Revolusi Iran dan cenderung kepada Ikhwan Muslimin di Mesir.
Parti Ennahda dilarang bertanding dalam pilihan raya pada 1989 namun, ahlinya bertanding sebagai calon bebas dan memperoleh antara 10 dan 17 peratus undi.
Pada 1991, Presiden Ben Ali menentang parti itu dan menahan 25,000 aktivis.
Pergerakan Ikhwanul Muslimin
Diasaskan pada 1928 oleh Sheikh Hassan al-Banna dan menjadi kumpulan pembangkang tertua serta terbesar di Mesir.
Dikenali sebagai parti pembangkang berpengaruh di kebanyakan negara Arab terutamanya Mesir.
Gerakan ini menolak sebarang cara keganasan untuk mencapai matlamat.
Pada awal penubuhannya, matlamat gerakan ini adalah untuk memberi tumpuan kepada isu agama, pendidikan dan khidmat sosial.
Bergerak secara senyap pada 1950-an dan kembali aktif pada 1980-an. Serangan tentera Amerika Syarikat ke atas Iraq telah menyebabkan jumlah anggota mereka bertambah secara mendadak.
Ia juga bergerak secara aktif di Afrika Timur dan Utara termasuk Sudan, Syria dan Arab Saudi.
Sinar Harian
Kesan revolusi Timur Tengah
24 Safar 1433H. [MOD] - REVOLUSI kebangkitan rakyat di Timur Tengah yang bermula di Tunisia pada akhir 2010 memberi impak besar kepada rantau itu sehingga kini walaupun telah dua tahun berlalu.
Ia bermula dengan insiden penjual buah-buahan, Mohamed Bouazizi, 26, membakar dirinya sendiri selepas berputus asa dengan keadaan ekonomi di negarapimpinan bekas Presiden Zine el Abidine Ben Ali.
Kejadian itu juga telah menjadi faktor utama mencetuskan kemarahan rakyat yang akhirnya menyaksikan beliau digulingkan dalam tempoh sebulan pada awal tahun 2011.
Kebangkitan pertama rakyat di rantau Arab itu didakwa telah menyebabkan beberapa negara seperti Mesir, Libya, Yaman, Syria dan Bahrain turut terkena tempias revolusi tersebut.
Negara di rantau lain juga menjadikan protes di Timur Tengah sebagai sumber inspirasi untuk mengadakan tunjuk perasaan bagi membantah ketidakadilan pentadbiran kerajaan akibat kepincangan ekonomi dan sosial.
Demonstrasi jalanan digelar Indignants yang bermula di Puerta del Sol di Madrid, Sepanyol pada 15 Mei 2011 telah merebak ke Eropah hingga ke Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara maju lain termasuk Australia, Hong Kong dan Jepun.
Protes anti-Wall Street juga menjadi medium rakyat negara maju untuk meluahkan rasa tidak puas hati mereka kepada kerajaan berikutan berlakunya ketidakadilan sosial dan kadar pengangguran tinggi.
Tunjuk perasaan Indignants dan Occupy Wall Street itu dilaporkan telah merebak ke 950 bandar di 82 negara dalam tempoh beberapa bulan.
Berakhirnya pemerintahan kuku besi
Selain itu, revolusi kebangkitan rakyat juga menyaksikan seorang demi seorang pemimpin kuku besi berjaya digulingkan.
Bekas presiden Mesir, Hosni Mubarak menjadi mangsa kedua digulingkan dalam tempoh 18 hari selepas protes tercetus di negara tersebut.
Insiden itu menyebabkan peralihan kuasa secara sementara di bawah pemerintah tentera sebelum ia diserahkan kepada Presiden Mohammed Mursi pada tahun lalu.
Libya turut terkena tempias gelombang protes tersebut pada Februari 2011. Kumpulan pemberontak dan penentang bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi bersatu dan menubuhkan Majlis Peralihan Kebangsaan (NTC) selepas beliau enggan berundur.
Keadaan itu menyebabkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengeluarkan resolusi yang membenarkan tentera Perjanjian Atlantik Utara (Nato) mengawasi ruang udara Libya.
Pada Oktober 2011, Gaddafi telah ditembak mati oleh pemberontak di Sirte.
Situasi berbeza pula di Yaman, di mana bekas Presiden Ali Abdullah Saleh akhirnya bersetuju untuk menandatangani perjanjian untuk berundur selepas 33 tahun memegang tampuk pemerintahan negara itu pada November 2011.
Di bawah perjanjian itu, Saleh menyerahkan kuasanya kepada Naib Presiden, Abdrabuh Mansur Hadi dan berikrar untuk mewujudkan rakan kerjasama dengan pembangkang bagi melaksanakan pelan damai yang dicadangkan Liga Arab dan PBB.
Di Syria pula, keadaan dilaporkan bertambah tegang berikutan keengganan Presiden Bashar al-Assad untuk berundur walaupun digesa banyak pihak.
Konflik yang berlarutan selama lebih 21 bulan itu dilihat sukar untuk dihentikan kerana pelan damai yang dipersetujui antara Wakil Khas PBB dan Liga Arab gagal dilaksanakan hingga kini.
Protes terancang
Kebanyakan golongan pemuda yang menyertai protes terdiri daripada bekas pelajar di negara Barat yang memahami maksud sebenar demokrasi.
Berbanding dengan protes terdahulu, kebangkitan rakyat pada tahun 2010 dan 2011 itu telah dirancang dengan teliti kerana mereka menggunakan medium seperti laman sosial Facebook dan Twitter untuk menyuarakan rasa tidak puas hati rakyat kerana ia dianggap lebih telus.
Sebagai contoh, eksekutif muda Google, Wael Ghonim diangkat sebagai pencetus revolusi siber Mesir kerana menjadi perintis gerakan pembaharuan tersebut.
Siapakah Bouazizi?
Bouazizi bukanlah individu terkenal tetapi dia hanyalah seorang penjual buah yang bersusah payah menolak troli melalui jalan-jalan di Sidi Bouzid di tengah ibu negara bagi mencari rezeki dengan anggaran pendapatan AS$10 (RM32) sehari untuk menanggung keluarganya.
Insiden yang menjadi simbol kebangkitan rakyat Tunisia itu bermula pada pagi 17 Disember 2010 selepas seorang pegawai majlis perbandaran menahan Bouazizi.
Tindakan majlis perbandaran merampas trolinya telah mencetuskan kemarahan lelaki tersebut kerana dia berasa telah dimalukan selepas gagal untuk berunding dengan mereka.
Kerana terlalu marah, Bouazizi bertindak membeli minyak dan menyiram ke seluruh tubuhnya sebelum dia membakar diri di luar bangunan pentadbiran gabenor.
Wira Tunisia itu meninggal dunia di hospital akibat kecederaan parah yang dialaminya pada 4 Januari lalu.
Bouazizi telah menjadi simbol rakyat yang sudah muak dengan penindasan dan ketidakadilan kerajaan.
Keberanian dan semangat Bouazizi sebagai pencetus revolusi di rantau Arab turut diiktiraf di peringkat antarabangsa dan dia terpilih dalam kalangan lima penerima Hadiah Sakharov Parlimen Eropah untuk Kebebasan Pemikiran pada November 2011.
Protes merebak ke seluruh dunia
Israel
Hampir 500,000 penduduk di Tel Aviv turut menyuarakan rasa tidak puas hati dengan mengadakan protes ‘Satu juta penunjuk perasaan’ pada Julai 2011.
Setahun selepas itu, ribuan penduduk Israel mengadakan demonstrasi di beberapa bandar utama di seluruh negara, kelmarin untuk meneruskan protes sosial yang diadakan selama beberapa bulan.
Kumpulan penunjuk perasaan itu turut berarak sambil melaungkan beberapa slogan seperti ‘Jalan terbaik untuk penswastaan adalah revolusi’.
Mereka berterusan menggesa kerajaan mengurangkan kos harga makanan, pendidikan dan pembelian rumah.
Tunjuk perasaan itu dicetuskan oleh golongan pelajar yang sanggup membina khemah di tepi jalan kerana mereka membantah kenaikan kos harga rumah untuk penduduk kelas pertengahan.
Demontrasi tersebut turut memberi kesan terhadap kepimpinan Netanyahu yang kononnya dianggap kebal kerana menjadi sekutu kuat Amerika Syarikat (AS).
China
Medium sosial telah mencetuskan perhimpunan Jasmine yang diinspirasikan daripada Revolusi Jasmine di Tunisia dirancang untuk diadakan pada setiap hari Ahad di 27 bandar di seluruh China.
Demonstrasi itu telah tersebar ke lebih 100 bandar.
Penganjur protes kempen dalam talian tersebut mendakwa perhimpunan itu mendapat sokongan penuh penduduk di negara walaupun dihalang oleh kerajaan.
Perhimpunan Jasmine tersebut juga diadakan untuk menuntut hak asasi dan keadilan daripada kerajaan.
Amerika Syarikat (AS)
Protes anti-Wall Street yang diadakan oleh penunjuk perasaan Occupy Wall Street di Manhattan pada 17 September 2011 merebak dengan cepat di 1,000 bandar di AS.
Ia tercetus selepas kerajaan mengambil tindakan menyelamatkan bank bermasalah yang berpangkalan di Wall Street.
Tuntutan utama demonstrasi yang turut mendapat sokongan parti sayap kiri dan kesatuan sekerja ini adalah supaya golongan kaya di AS membayar lebih banyak cukai dan syarikat meningkatkan kebajikan korporat.
Protes ini juga memberi tamparan hebat kepada Presiden Barack Obama kerana mereka mendakwa pengaruh korporat telah memburukkan lagi krisis ekonomi di negara itu.
Mereka turut melaungkan slogan membantah ketaksamaan yang semakin meningkat dan ketidakadilan undang-undang di sebalik krisis kewangan global.
Sinar Harian
Nicol pertahan kejuaraan Siri Akhir Dunia
24 Safar 1433H. [MOD] - JUARA dunia tujuh kali, Datuk Nicol Ann David berjaya mempertahankan kejuaraan skuasy Siri Akhir Dunia 2013 apabila mengalahkan Laura Massaro pada final di London, semalam.
Dalam perlawanan akhir di The Queens Club, Nicol, ratu skuasy negara, mengalahkan pemain tuan rumah itu 3-0 dalam masa 37 minit.
Nicol memulakan saingan dengan cemerlang dengan mengawal perlawanan sebelum mencatatkan kemenangan 11-3, 11-2 sebelum menerima tentangan pada set ketiga.
Bagaimanapun, Nicol, yang berstatus pemain nombor satu dunia, berjaya mengatasi Massaro 11-9 pada set penentuan.
"Seperti diramal, ini merupakan perlawanan yang baik. Saya terpaksa memulakan langkah dengan lebih gigih kerana Massaro mempunyai kelebihan bermain di tempat sendiri," kata pemain berusia 29 tahun itu.
Semasa ditemu bual oleh stesen televisyen, SkySports, Nicol berkata impian beliau adalah untuk melihat sukan itu dapat disenaraikan dalam temasya Sukan
Olimpik.
Sinar Harian
Pemuda PAS hargai jasa almarhum Prof Ahmad Ibrahim
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) telah menganugerahkan Tokoh Profesional Terbilang kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim sempena Himpunan Xpresi Profesional Muda tempoh hari.
“Almarhum adalah tokoh negara yang banyak berjasa,” kata Ketua DPPM, Nasrudin Hassan dalam satu kenyataan sempena penyerahan sijil dan plak penghargaan DPPM kepada anak almarhum di Shah Alam, semalam. (Gambar)
Menurutnya, almarhum adalah peguam yang mempertahankan aqidah Natrah yang dibicarakan di Mahkamah Tinggi Singapura pada awal 50-an.
Selain itu, katanya almarhum adalah pengasas Malayan Law Journal yang menghimpunkan koleksi kes-kes mahkamah yang kini menjadi rujukan utama para pengamal undang-undang, hakim dan pelajar undang-undang di seluruh negara.
Tambahnya, almarhum juga adalah pejuang perlaksanaan undang-undang syariah di Malaysia dan antara orang penting di sebalik penubuhan mahkamah syariah sehingga nama beliau diabadikan di UIA [Ahmad Ibrahim Kuliyyah of Law - AIKOL].
Nasrudin berkata, DPPM semalam menyerahkan Sijil dan Plak Anugerah Tokoh Profesional Terbilang kepada anak ke-6 daripada 9 anak almarhum iaitu Mohd Ismail di kediaman beliau Taman Subang Mutiara Batu 3, Shah Alam yang mana wajah Mohd Ismail mirip almarhum.
Mewakili DPPM ialah Ustaz Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz Timbalan Ketua DPPM dan Ahmad Zamri As'ad Khuzaimi, Pengarah JUHAM DPPM.
"Semoga Allah mencucuri rahmat dan keampunanNya kepada almarhum Prof. Ahmad Ibrahim. Mudah-mudahan jasa dan kegigihan perjuangan beliau terus menjadi sumber inspirasi anak-anak muda hari ini," ujarnya.
AProf. Ahmad Ibrahim yang telah kembali ke rahmatillah pada tahun 1999 sewaktu usia 83 tahun juga adalah ahli PAS seumur hidup.
Harakah Daily
Kalau Deepak buat dakwaan 10% kepada Pakatan, DAP
24 Safar 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Tidak diragukan lagi sekiranya Deepak Jaikishan membuat hanya 10% dakwaan kepada pemimpin DAP dan Pakatan Rakyat seperti yang dilakukan terhadap Najib dan pemimpin Umno BN, dia mungkin kini sedang muncul dalam semua media perdana BN sejak enam minggu lalu dan bukannya digelapkan terus seperti mana yang berlaku sekarang.
Demikian kata Penasihat DAP Kebangsaan, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan semalam.
Justeru, beliau yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur bertanya mengapa politik dan kewartawanan Malaysia telah jatuh ke tahap sedemikian selepas 55 tahun Merdeka pada 1957?
Berikut ialah kenyataan beliau.
Sepanjang tiga hari lalu merupakan hari-hari yang sukar buat pemimpin, ahli dan penyokong DAP di dalam 47 tahun sejarah parti, kerana DAP telah memenuhi muka depan media perdana Barisan Nasional sejak dua hari lalu dan memenuhi semua siaran yang dikawal Barisan Nasional.
Berikut adalah tajuk berita muka depan yang lantang di dalam media perdana BN sejak dua hari lalu:
DAP silap kira undi? – Pengarah pilihan raya parti itu letak jawatan (Utusan Malaysia 5.1.13)
Drama DAP – Lagi persoal isu silap kira undi (Mingguan Malaysia 5.1.13)
DAP election FIASCO – Error raises doubts about party’s ability to rule country (New Straits Times 5.1.13)
‘Embarrassing glitch’ – (New Sunday Times 6.1.13)
Sandiwara DAP pujuk Melayu – Ambil masa tiga minggua akui kesilapan pemilihan CEC (Berita Harian 5.1.13)
Tindakan DAP ‘luar biasa’ – Pinda keputusan pemilihan janggal, timbul banyak persoalan: Muhyiddin (Berita Harian t6.1.13)
It doesn’t add up (Star 5.1.13)
Apabila DAP muncul di dalam media perdana BN, terutamanya muka depan, pasti bukan berita baik. Malah, biasanya berkenaan pembohongan – sepertimana kes yang terkenal pada 7 Mei 2011 ketika Utusan Malaysia memaparkan tajuk berita muka depan “Kristian agama rasmi?”, mendakwa DAP berkonspirasi dengan pemimpin Kristian untuk menjadikan agama Kristian sebagai agama persekutuan dan bukan lagi Islam serta satu lagi kes terkenal yang lain adalah pada 9 Julai, 2012 di muka depan Utusan Malaysia adalah tentang pembohongan bahawa DAP akan bertanding 90 kerusi daripada 222 kerusi parlimen untuk menguasai Pakatan Rakyat lalu melantik Perdana Menteri pada pilihan raya umum ke-13.
Tidak diragukan lagi sekiranya pengedar permaidani, Deepak Jaikishan telah membuat hanya 10% dakwaan kepada pemimpin DAP/PR sepertimana yang dia lakukan terhadap Najib dan pemimpin UMNO/BN, dia mungkin kini sedang muncul dalam semua media perdana BN sejak enam minggu lalu dan bukannya digelapkan terus seperti mana yang berlaku sekarang.
Mengapa politik dan kewartawanan Malaysia telah jatuh ke tahap sedemikian selepas 55 tahun Merdeka pada 1957?
Walaupun sepanjang tiga hari lalu merupakan hari yang paling sukar buat DAP di dalam sejarah parti, tiada seorang pun Ahli Jawatankuasa Tertinggi Parti (CEC) menyesal melakukan apa yang betul – untuk merendah diri dan menegakkan kejujuran serta ketelusan dengan mengakui secara terbuka kesilapan di dalam keputusan pemilihan CEC DAP, kejujuran sekalipun sukar dan menyakitkan untuk seketika namun akan berjaya untuk jangka masa panjang.
Pemimpin, ahli dan penyokong DAP tidak perlu rasa malu, bukannya seperti mereka yang berterusan bergelumang dengan pembohongan dan penipuan serta mengelak untuk berlaku jujur, bertanggungjawab dan telus.
Terdapat kebenaran pada pemerhatian penganalisa politik berpengalaman yang disampaikan oleh penasihat seumur hidup DAP Dr Chen Man Hin bahawa “kritikan keras daripada Barisan adalah tindak balas terdesak oleh musuh yang sedang menghitung hari. Mereka telah tewas dalam perlawanan politik, dan kini cuba menggapai apa sahaja untuk terus hidup”.
Harakah Daily
Langgan:
Catatan (Atom)