07 Januari 2013
Dadah dalam mesin parut kelapa
24 Safar 1433H. [MOD] - BESUT - Seorang sub kontraktor mesin rumput berdepan hukuman gantung sampai mati selepas polis menemui sejumlah dadah yang disembunyikan dalam mesin pemarut kelapa, di rumahnya dekat Renek, Jabi di sini, pagi kelmarin.
Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Kamaruddin Mohd Zakaria berkata, suspek yang berusia 33 tahun itu ditahan dalam satu serbuan oleh sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik daerah kira-kira jam 7.40 pagi di rumahnya, di Kampung Kepala Gajah.
Menurutnya, suspek yang telah berkeluarga itu terkejut dan tergamam apabila rumahnya diserbu polis sebelum menemui satu plastik cerah berpenutup merah jambu yang disorok dalam mesin pemarut kelapa di bahagian dapur rumah.
“Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat 665 biji pil kemerahan dan enam biji pil kehijauan disyaki dadah jenis methamphetamine (pil kuda) anggaran berat 73gram yang bernilai RM13,420 dalam plastik tersebut,” katanya kepada media terhadap kejayaan terbesar polis Terengganu terhadap tangkapan dadah pada tahun ini.
Kamaruddin berkata lagi, polis turut menyita harta suspek yang disyaki diperoleh daripada hasil menyalahi undang-undang di bawah Akta Dadah Berbahaya (Perlucutan Harta) 1988.
Menurutnya, harta tersebut adalah masing-masing seutas gelang tangan perak bernilai RM2,000, jam tangan bernilai RM300 dan tunai RM2,500.
“Suspek dipercayai melakukan kegiatan pengedaran dadah untuk memperoleh pendapatan tambahan dan mula aktif pertengahan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati suspek yang ditahan untuk siasatan lanjut menjalankan aktiviti pengedaran dadah kepada penagih di kawasan Renek dan kampung sekitar.
Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang sabit kesalahan boleh dihukum gantung sampai mati.
Sinar Harian
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan