IPOH 11 April - Menteri Besar, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin menggesa beramanah dalam melaksanakan tugas kerana kita akan dipertanyakan kelak dengan tanggung jawab yang dilaksanakan di dunia ini. Selain itu beliau menggesa kakitangan awam di negeri ini menjalankan tugas mereka dengan profesional dan tidak berpihak kepada parti-parti politik termasuk pakatan Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas yang membentuk kerajaan ketika ini.
Sehubungan itu katanya, kerajaan negeri tidak akan memberi tekanan terhadap penjawat awam dalam melaksanakan tugas mereka jika ia dilaksanakan secara profesional.
Sekali lagi dalam ucapannya beliau menegaskan beliau bukan MB untuk mana-mana puak, bangsa dan parti, namun beliau adalah Menteri Besar untuk semua rakyat Perak.
Ir. Nizar juga berharap semua peringkat dapat menerima takdir dan ketentuan dari Allah yang memenangkan kerajaan Pakatan Rakyat (PR). Tegasnya walaupun didalam parti DAP yang terdapt 3 wanita dan 15 lelaki dan disana juga terdapat berbagai bangsa dan agama, selain itu PKR juga terdiri dari berbagai bangsa, termasuklah Pas 6 orang seorang daripadanya berbangsa cina, namun kita diamanahkan untuk memerintah Perak. Beliau menegaskan ini adalah kuasa Tuhan yang mengangkat dan menjatuhkan sesebuah kerajaan.
Katanya, kerajaan negeri juga tidak akan memanggil pihak luar bagi menjalankan siasatan untuk mengenalpasti kemungkinan wujud penyelewengan di kalangan penjawat awam di bawah pentadbiran kerajaan negeri sebelum ini.
''Jika ada penjawat awam yang mungkin membuat sesuatu perkara tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan, kita memberi peluang kepada mereka untuk mengaudit dan membuat analisis serta kembali ke jalan yang betul.
''Kita memberi peluang dan ruang yang luas. Kita tidak akan memanggil agensi tertentu untuk membuat siasatan," katanya ketika berucap pada perhimpunan kakitangan awam di Bangunan Darul Ridzuan di sini hari ini.
Lebih 2,000 penjawat awam dari jabatan negeri dan persekutuan di seluruh Perak menghadiri majlis tersebut. Kehadiran Executive Talk siri 2/2008, menurut pihak penganjur adalah yang teramai kehadiran berbanding dengan sebelum dari ini.
Sejak awal lagi dewan penuh dengan pengunjung dan melimpah sehingga memenuhi bahagian luar sehingga ditangga. Kehadiran ini dipercayai dengan keinginan para pegawai kerajaan untuk mendengan ucapan sulong dari Menteri Besar Perak itu.
Mohammad Nizar bagaimanapun merayu semua penjawat awam di negeri ini agar memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan campuran dalam melaksanakan pelbagai dasar bagi mentadbir negeri ini.
Katanya, jika pelaksanaan pelbagai dasar itu mampu memberi manfaat kepada rakyat Perak, maka adalah wajar mereka memberikan sokongan tidak berbelah-bahagi dalam memastikan kejayaan pelaksanaan sesuatu dasar tersebut.
Menurutnya, kerajaan negeri juga bersikap terbuka dalam menerima teguran dan nasihat daripada kakitangan kerajaan.
''Sekiranya kami tidak melaksanakan tugasan dengan baik, tegur dan nasihati kami kerana pintu-pintu pejabat kami sentiasa terbuka untuk menerima nasihat," katanya.