SERIAN – Demi cucu kesayangan, seorang nenek sanggup meredah air lalu
memeluk dua cucunya daripada ditimpa pokok Akasia yang tiba-tiba
tumbang menghala ke kawasan air terjun di Taman Rekreasi Ranchan di sini
semalam.
Dalam kejadian pada pukul 12 tengah hari, warga emas itu, Suhartilah
M. Saleh, 71, retak tulang betis kiri serta luka di kepala manakala
seorang cucunya, Jasmine Nurul Ain Tavip Widodo, 12, cedera di kepala
dihempap dahan pokok yang sebesar satu pemeluk lelaki dewasa.
Anak Suhartilah, Winda Hernita Sulaiman, 40, yang berada di gigi air
cedera di tangan kanan terkena dahan pokok. Seorang lagi cucu
Suhartilah, Resty Audina Suriyanto, 9, menantunya, Suriyanto Muchsen,
47, dan empat lagi ahli keluarganya yang lain tidak cedera.
Sembilan ahli sekeluarga itu yang berasal dari Pontianak, Indonesia
yang terletak 290 kilometer dari sini singgah di air terjun itu untuk
bermain air selepas empat hari melancong di sini.
Suhartilah berkata, mereka singgah di air terjun itu pada pukul 11
pagi untuk mandi sebelum bercadang meneruskan perjalanan pulang ke
Pontianak.
Semasa kejadian, kata wanita itu, dua orang cucu dan menantunya mandi
di air terjun itu manakala dia serta dua anak perempuannya hanya
bermain di gigi air. Tiga lagi ahli keluarga Suhartilah berada di
sekitar air terjun itu.
“Ketika leka bermain air saya terdengar bunyi seperti guruh dan angin
kuat menghala ke arah kami sebelum saya nampak ada sebatang pokok
sedang tumbang ke arah dua orang cucu saya.
“Saya terus meredah air menarik dua cucu saya ke tebing kolam lalu
memeluk mereka,” ceritanya ketika ditemui di Hospital Serian di sini
semalam.
Bagaimanapun, katanya, berikutan pokok itu yang rendang mereka empat
sekeluarga cedera di beberapa bahagian badan terkena dahan-dahan pokok
setinggi kira-kira 20 meter.
Taman Rekreasi Ranchan yang terletak enam kilometer dari bandar ini
menjadi tumpuan bukan sahaja orang ramai sekitar Serian malah pelancong
asing untuk beriadah.