25 Februari 2013

Nenek ditampar sebelum disamun

14 Rabi'ul Akhir 1434 H. [MOD] -

PARIT BUNTAR - Seorang penyamun yang menceroboh masuk rumah seorang warga emas yang hidup sebatang kara di Kampung Parit Tanjung Piandang Tengah dekat sini semalam menghulurkan wang tunai RM20 dan memohon dihalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Dalam kejadian pada pukul 6 pagi itu, warga emas yang mahu dikenali sebagai Mek Ya, 75, kerugian RM3,000 apabila wang tunai dan rantai leher miliknya dilarikan seorang penjenayah yang masuk ke rumahnya.

Menceritakan kejadian tersebut, Mek Ya berkata, dia yang kematian suami sejak beberapa tahun lalu bangun daripada tidur untuk mengambil wuduk di bilik air, tiba-tiba terasa bahunya ditepuk dari belakang.
"Sebaik menoleh ke belakang, muka saya ditampar berkali-kali manakala leher diacu parang. Selepas itu saya nampak seorang lelaki tanpa menutup muka mengugut untuk mencederakan saya jika saya menjerit," ceritanya ketika ditemui di rumahnya.

Menurut warga emas itu lagi, dia kemudian dibawa ke ruang tamu rumah dan diminta duduk diam manakala penjenayah itu pula menggeledah rumahnya.

Mek Ya memberitahu, kira-kira setengah jam selepas menggeledah, suspek menjumpai wang tunai berjumlah RM2,000 yang disimpan di bawah tilam di bilik tidurnya. 

Wang tersebut merupakan wang simpanannya yang menyara hidup dengan bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat. Mek Ya tiada zuriat dan hidup di rumah yang dibina di bawah Program Pembangunan Rakyat Termiskin (PPRT). 

"Penjenayah itu kemudian merentap kasar rantai leher bernilai RM1,000 yang saya pakai.
"Sebelum penjenayah itu meninggalkan saya, saya merayu agar dipulangkan wang dan rantai leher saya kerana itu saja harta yang saya ada," katanya.

Dia memberitahu, penjenayah itu yang dipercayai warga tempatan mungkin tersentuh dengan rayuannya lalu memulangkan wang tunai RM20 sebelum meminta dia menghalalkan barangan yang dicurinya sebelum melarikan diri.

Mek Ya pasrah dengan ujian Allah tersebut bagaimanapun dia tidak akan memaafkan perbuatan penjenayah terbabit.

Warga emas itu memberitahu, dia percaya penyamun tersebut menceroboh rumahnya melalui tingkap bilik air berdasarkan dua rangka besi cermin tingkap yang patah.

Difahamkan, penjenayah yang menceroboh masuk rumah Mek Ya turut masuk ke sebuah rumah lain di kampung sama sebelum itu menyebabkan pemilik rumah terbabit hilang sebuah basikal, telefon bimbit dan wang tunai RM40.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Mat Fauzi Nayan mengesahkan kes tersebut.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

mahal tu rantai yang dipakai sobarlah makcik ujian dari Allah ada hikmah yang kita tak tahu