10 November 2012

Dua militan terlibat bom dua hotel di Indonesia ditahan

25 Zulhijjah 1433H. [MOD] - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan kerjasama Polis Republik Indonesia (Polri) menahan dua suspek warga Indonesia Rabu lepas, yang dipercayai terbabit dalam serangan bom di Hotel JW Marriott dan Ritz-Carlton di Jakarta, Indonesia pada 2009. Dua suspek itu, Taufik Balaga atau dikenali dengan nama Upik Lawanga dan Ahmad Fauzi masing-masing berusia 40-an, yang menjadi anggota militan Jemaah Islamiyah (JI), ditahan semasa cuba merentas sempadan Malaysia-Kalimantan di Nunukan, Kalimantan Timur. Menurut sumber polis Bukit Aman, kejayaan itu adalah hasil perkongsian maklumat risikan antara PDRM dan Polri. Mereka disyaki sering berulang-alik dari Tawau ke Nunukan (Kalimantan Timur) sebelum ini, kata sumber berkenaan kepada Bernama hari ini. Menurut sumber itu, kedua-dua suspek itu dihantar ke Jakarta pada hari yang sama selepas proses soal siasat. Kedua-duanya dipercayai terlibat dalam kejadian dua serangan pengebom berani mati pada 17 Julai 2009 di kedua-dua hotel berkenaan yang mengorbankan sembilan orang dan mencederakan 53 yang lain. Serangan itu turut dikaitkan dengan kumpulan JI yang mempunyai kaitan dengan kumpulan pengganas Al-Qaeda. Upik sebelum ini turut dikaitkan dengan insiden memenggal kepala tiga pelajar di Poso, Sulawesi Tengah pada 2005. Menurut sumber itu, Upik dipercayai terbabit dengan kumpulan JI dan mempunyai kepakaran menghasilkan bom buatan sendiri. Upik dan Ahmad Fauzi kini sedang disiasat oleh polis Indonesia, dan dipercayai mempunyai seorang lagi rakan warga Malaysia yang sedang disiasat, kata sumber polis itu.-(Bernama)

Muktamar paling penting sebelum PRU13

25 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Muktamar Dewan Pemuda PAS Pusat kali ke-53 merupakan muktamar terpenting bagi badan itu memandangkan ia yang terakhir sebelum pilihan raya umum ke-13. Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Khairul Faizi Ahmad Kamil, berkata muktamar yang bertemakan 'Mencorak Masa Depan' itu diharap menjadi pembangkit semangat dalam mempersiapkan jentera Pemuda bagi menghadapi pilihan raya umum. Khairul Faizi berkata lantaran hasrat tersebut, buku laporan dan teks ucaptama Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasruddin Hassan akan dihantar dua minggu lebih awal dari tarikh muktamar dewan itu dijadualkan. "Lantaran bagi memastikan ia memfokuskan kepada pilihan raya, maka buku laporan dan ucaptama Ketua Pemuda, kita hantar awal kepada perwakilan supaya memastikan mereka benar-benar bersedia dan memahami, sekaligus dapat berbahas dengan lebih dinamik," kata beliau pada sidang media, di Pejabat Agung PAS, hari ini. Muktamar yang akan dirasmikan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu itu akan bermula 14 hingga 15 Nov, di Dewan Jubli Perak Majlis Perbandaran Kota Bharu, Kota Bharu, Kelantan. Tambah Khairul Faizi, pada muktamar itu Pemuda akan melancarkan beberapa aktiviti seperti Alternative Photography Club, Facebook dan Twitter DPPM, Filem Maya Oley2 dan pelancaran DVD Animasi kartun PASTI. Selain pelancaran itu, majlis penganugerahan kepada tokoh-tokoh Pemuda dan pejuang rakyat, serta anugerah PASTI akan turut disempurnakan. (HD)

Muslimat diingat tidak bangkitkan isu remeh

25 Zulhijjah 1433H. [MOD] - KUALA LUMPUR: Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Siti Zailah Mohd Yusuf mengingatkan para perwakilan tidak membangkit isu-isu remeh temeh di muktamar sebaliknya memberi fokus kepada peranan muslimat dalam merealisasikan Negara Berkebajikan. Ianya, jelas Zailah bersesuaian dengan tema Muslimat PAS ke-52 iaitu Muslimat / Wanita Prihatin Kebajikan Terlaksana. "Kita tidak mahu di dalam perbahasan nanti ada perkara negatif di kalangan kita diperbesar-besarkan. Tidak mahu perkara kecil dan remeh-temeh dibincangkan di sana," katanya ketika dihubungi. Sebaliknya, beliau berharap perwakilan dapat memberi ide dan cadangan yang bernas untuk memperkukuhkan gerak kerja parti yang sedia ada pada hari ini. Malah katanya, perwakilan digalakkan mengutarakan saranan ke arah memantapkan jiwa ahli serta kepimpinan untuk memperkuatkan jentera parti bagi menghadapi pilihan raya. "Kita sudah matang, kali ini adalah kali ke-57 kita bermuktamar dan tetapkan tujuan kita datang ke muktamar untuk bermuhasabah dan bagi pandangan bernas dan lebih baik bagi masa depan kita semua," katanya. Menurut Zailah, ucapannya nanti akan memfokuskan kepada persiapan Muslimat untuk pilihan raya supaya mereka mempunyai momentum yang kuat menghadapi cabaran untuk memastikan berjaya kekalkan kekuatan di negeri yang dimenangi. "Kita akan menjurus bagaimana hendak membina jentera yang lebih matang dan prihatin, yang selaras dengan hasrat untuk membina negara berkebajikan. Seterusnya meneruskan 'target' ke Putrajaya," katanya. Justeru katanya, untuk menjayakan Negara Berkebajikan Muslimat harus prihatin dengan keadaan sekeliling seperti menyantuni rakyat yang memerlukan mereka. Muktamar Tahunan Muslimat Pusat akan berlangsung pada 14 dan 15 November di Kelantan Trade Centre yang akan dirasmikan oleh Presiden PAS Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. (HD)