4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
DALAM Kongres Parti Kebangsaan Melayu Malaya tahun 1946 di Melaka, Al-Marhum Dr. Burhanuddin Al-Hilmy dalam ucapannya menyampaikan syairnya yang masyhur:
Di atas robohnya Kota Melaka,
Kita bangunkan jiwa merdeka,
Bersatu padulah segenap baka,
Membela hak keadilan pusaka.
Jika tidak silap itulah Kongres parti itu yang pertama setelah ia dibentuk di Ipoh.
Syair Dr. Burhanuddin ini secara rasmi menyeru penduduk Tanah Melayu dari berbagai baka membangunkan jiwa merdeka bagi menuntut hak keadilan pusaka.
Ia adalah kenyataan terbuka yang awal oleh seorang pemimpin Tanah Melayu untuk menentut kemerdekaan dari penjajah British setelah wilalyah itu dijajah oleh kuasa barat terdiri dari Peringgi, Belanda dan Inggeris sekitar 400 tahun sebelumnya.
Ketika ia dilaungkan oleh Dr. Burhanuddin, Dato Onn bin Jaafar dan Tunku Abdul Rahman Putra belum muncul sebagai pemimpin politik.
Malah Dr. Burhanuddin bergerak untuk menuntut kemerdekaan itu lebih awal apabila dia menyertai pimpinan pusat KMM yang diketuai oleh Ibrahim Yaakub bagi menggembeling semangat kemerdekaan itu sebelum Jepun melanda Tanah.
Ketika Dr. Burhanuddin sudah bercakap tentang kemerdekaan Dato Onn masih menjadi Pegawai Daerah Batu Bahat. Dan Tunku Abdul Rahman pula adalah seorang pegawai kerajaan yang berkira untuk menyambung semula pengajian undang-undang di London yang tidak ditamatkannya sebelum itu.
Jika Dr. Burhanuddin sudah memulakan pembentukan jiwa merdekanya sejak usia muda, maka tiada diketahui Dato Onn ada sejarah menuntut kemerdekaan secara jelas dan Tunku pula mula terlibat dalam tuntutan kemerdekaan secara aktif lima atau enam tahun selepas Dr. Burhanuddin melafazkan syairnya di Melaka itu.
Rencana ini bukan untuk menilai siapa berjiwa merdeka antara pemimpin Melayu itu tetapi adalah bagi menyatakan lebih dulu memulakan tuntutan kemerdekaan dan mengajak rakyat jelata membuat tuntutan itu?
Justeru itu sejarah mengenainya mestilah dirakamkan. Siapakah merakamkannya?
Yang utama mesti merakamkannya ialah pakar sejarah. Sejarah itu bidangnya dan antara mereka mendapat nikmat hidup yang lumayan sebagai ganjaran dari ilmu perkhidmatanya di bidang sejarah. Maka wajarlah mereka menilai sejarah, peranan dan keterampilan pembuat sejarah itu.
Kalau Firaun bedebah yang menjadi musuh Allah itu Allah rakamkan sejarahnya dalam al-Quran, maka wajarlah manusia merakan sejarah orang yang membuat sejarah.
Maka di sini Mohamad Sabu, Timbalan Presiden PAS minta sejarah kemerdekaan negara dinilai dan ditulis semula.
Semuanya tahu kemerdekaan yang kira rayakan selama 54 tahun itu berjaya dicapai di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman. Tiada siapa dapat menggelapkan sejarah yang dibuat oleh Tunku itu.
Tetapi Tunku bukanlah orang yang pertama membangkitkan tuntutan itu. Ada yang lebih awal. Semua orang tahu Tunku bukan mengetuai kumpulan yang pertama menggunakan tema merdeka dalam perjuangan politiknya.
Merdeka sebagai tema telah dimulakan oleh kumpulan nasionalis kira terdiri dari Dr. Burhanuddin, Ibrahim Yaakub, Pak Sako dan Ahmad Boestamam.
Sejarah menentang penjajah itu sudah bermula sejak zaman Dato Maharajalela, Dato Bahaman dan Mat Kilau lagi. Mereka tidak tahu lagi tentang tema merdeka. Tetapi sedikit sebanyak sejarah mereka sudah diakui.
Yang belum diakui ialah peranan ulama sepanjang zaman penjajahan itu dan sejarah kumpulan yang mula menggunakan perjuangan dengan tema merdeka.
Syair empat baris Dr. Burhanuddin itu telah tercatit dalam banyak percetakan sebelum dan selepas 31 Ogos, 1957. Ia adalah bukti sejarah yang kukuh betapa dia mendahului Dato Onn dan Tunku mengerak tenaga rakyat supaya bangkit menuntutkan kemerdekaan.
Kerajaan yang ada tidak berlaku adil, menggakkan sejarah itu digelapkan, malah ia merampas hak kemerdekaan ahli dan pakar sejarah untuk menjadi pakar sejarah yang merdeka.
Ia menyebabkan rakyat terpaksa menuntut supaya kemerdekaan itu disempurnakan antaranya memerdekakan ahli dan pakar sejarah. Betullah kata Dr. Burhanuddin kemerdekaan pada 31 Ogos, 1957 itu adalah separuh masak.
harakahdaily/-