4 Zulhijjah 1432H. [MOD] -
Sebahagian koleksi syiling, barang kemas serta patung purba Libya dicuri dari bilik kebal sebuah bank di timur negara itu semasa pemberontakan terhadap bekas pemimpin Libya, Muammar Gaddafi.
Barangan berharga itu ditemui di pasar malam di Libya dan ada antaranya dibawa ke luar negara, termasuk ditemui di Mesir.
Simpanan lebih 8,000 barangan purba di bank itu dicuri oleh individu yang memecah masuk ke dalam bank di Benghazi semasa permulaan pemberontakan, Februari lalu, apabila kebakaran di bangunan ibu pejabat agensi risikan Libya merebak ke bank perdagangan itu.
Antara barangan dicuri termasuk syiling emas dan perak dihiasi kaligrafi Islam dan petikan ayat al-Quran.
Menurut penduduk Benghazi, banduan yang terlepas dari penjara berhampiran semasa kekecohan itu mungkin menjadi dalang di sebalik rompakan itu.
“Insiden ini adalah sesuatu yang malang,” menurut pengarah barangan antik di Benghazi, Yussuf Ben Nasr.
“Ini adalah khazanah negara yang tidak ternilai, serpihan daripada sejarah kami yang telah hilang. Tiada apa yang kami boleh lakukan selain meminta institusi di seluruh dunia memulangkan semula khazanah itu jika ia ditemui,” katanya lagi.
Seorang wartawan agensi berita Reuters menemui syiling gangsa di kedai barangan kemas di pasar Benghazi dan apabila ditanya mengenai nilai syiling itu, penjualnya hanya memaklumkan syiling itu berusia lebih 2,000 tahun.
Libya menjadi tanah jajahan empayar Mediterranean selama beberapa abad dan mempunyai banyak tinggalan zaman Greek dan Roman yang masih tidak diganggu oleh pemodenan.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan