Wakil parti politik yang hadir memberi tumpuan ketika sesi taklimat dijalankan, semalam
 
Wakil parti politik yang hadir memberi tumpuan ketika sesi taklimat dijalankan, semalam
 
KUANTAN – Pas Pahang bercadang mengadakan lawatan ke pejabat Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi mendapatkan penjelasan lanjut berkaitan tiga elemen penting dalam pilih raya.

Tiga elemen itu ialah bahan-bahan kempen, jawatankuasa pemantau serta petugas-petugas peti undi.

Pesuruhjaya Pas Negeri Pahang, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, pihaknya masih belum menetapkan tarikh lawatan itu, namun ia dijangka berlangsung selewat-lewatnya pada bulan depan.

“Kita tertarik untuk mengadakan lawatan ke SPR setelah mendengar taklimat yang disampaikan oleh Timbalan Setiausaha (Pilihan Raya) SPR, Datuk Noordin Che Ngah hari ini (semalam).

“Masa yang diperuntukkan untuk taklimat ini agak singkat, banyak lagi persoalan yang memerlukan jawapan daripada SPR. Justeru, kami mengambil pendekatan untuk mengadakan lawatan ke pejabat SPR,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Perjumpaan Bersama Wakil Parti Politik dan Media Negeri Pahang Bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), di sini, semalam.

Tambahnya, taklimat yang diadakan memberi input yang berguna kepada wakil parti politik yang hadir.

“Saya berterima kasih kepada SPR kerana sudi mengadakan taklimat ini. Bagi saya ia perlu diadakan dari semasa ke semasa supaya parti politik mengetahui setiap perubahan yang dilaksanakan oleh SPR,” katanya.

Sementara itu, bagi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Pahang, Datuk Abdul Rahim Abas berkata, pendedahan yang diberi sebagai satu peringatan kepada parti politik supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan sepanjang pilihan raya berlangsung.

“Ada perkara-perkara baru yang didedahkan ketika sesi taklimat ini, selain demonstrasi pengundian dan penggunaan dakwat kekal yang memberi gambaran jelas ketika hari mengundi nanti,” katanya.

Manakala bagi Pegawai Khas Ahli Parlimen Kuantan, Sim Chong Siang berkata, beliau berpuas hati dengan taklimat yang diberi namun masih ada perkara yang memerlukan perhatian pihak SPR.

“Kita minta SPR mengkaji semula undang-undang baru membabitkan Orang Kurang Upaya (OKU) yang boleh ditemani seorang yang boleh dipercayai berumur 21 tahun ke atas,” katanya.

Sebelum ini katanya, SPR menetapkan hanya ahli keluarga sahaja yang boleh menemani pengundi OKU ketika pilihan raya.

sinar/-