03 Oktober 2012

Tidak tunai tuntutan Bersih, lagi himpunan 3 Nov

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Pakatan Rakyat julung kalinya akan menganjurkan himpunan besar-besaran yang akan diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 3 November nanti.

Dengan tema 'Himpunan Kebangkitan Rakyat', Pakatan Rakyat mensasarkan kehadiran sejuta rakyat negara ini.

Timbalan Presiden PAS, Mohammad Sabu berkata, himpunan itu bertujuan untuk menggesa lapan tuntutan Gabungan Menuntut Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang hampir tidak dihiraukan langsung oleh pemerintah.

Katanya, dua perkara pokok harus diberi penekanan oleh pemerintah terutama daftar pemilih yang bersih dan media yang langsung tidak berubah.

Jelasnya, kempen mengutuk himpunan Bersih 3.0 berterusan di media perdana sedangkan pendengaran awam di Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) telah menunjukkan bagaimana pihak keselamatan langsung tidak mengikuti prosedur operasi standad (SOP) ketika mengendalikan himpunan pada 24 April lalu.

"Oleh kerana keadaan berterusan dan lapan tuntutan oleh rakyat tidak dihiraukan maka kami perlu lagi satu himpunan pada 3 Nov nanti iaitu Himpunan Kebangkitan Rakyat," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Beliau berkata, himpunan itu akan melibatkan Pakatan Rakyat, badan bukan kerajaan dan rakyat di luar sana untuk menuntut seterusnya menyambung tuntutan Bersih yang mahukan pilihan raya yang bebas dan telus.

"Apa terus meragukan misalnya ditemui 60 000 daftar pemilih pos yang tanpa proses semakan, yang perlu dijelaskan oleh SPR.

"Bagaimana hendak adakan pilihan raya sedangkan daftar pemilih dan juga penglibatan pengeluaran mykad palsu yang ditemui begitu ketara sekali," katanya.

Justeru, Pakatan khuatir bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) boleh mengendalikan pilihan raya yang bersih untuk PRU-13 ini.

Turut bersama dalam sidang media Pakatan Rakyat, Ahli Parlimen Rantau Panjang Siti Zailah Mohd Yusof, Ahli Parlimen Kota Raja Siti Mariah Mahmud, Ahli Parlimen Kuantan Fuziah Salleh, Ahli Parlimen Rasah Anthony Loke,  dan Ahli Parlimen Batu Tian Chua.

HARAKAHDAILY/-

Gelisah dengar bunyi guruh

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Gelisah dengar bunyi guruh
Beginilah keadaan Jariah setiap kali hujan lebat.
 
BANDARAYA MELAKA - Setiap kali mendengar bunyi guruh di langit, pasti menimbulkan kegelisahan buat ibu tunggal anak dua, Jariah Mohd Yusof, 56.

Ini kerana dia terpaksa bersengkang mata bagi memastikan hujan benar-benar turun atau tidak di kawasan rumahnya di tengah-tengah bandar raya di Jalan Masjid, Kampung Hulu, di sini.

Jariah berkata, dia bukan sahaja terpaksa berjaga malam, malah perlu menggunakan kudratnya membersihkan lantai rumah dan menukar bekas takungan yang dipenuhi air jika hujan lebat.

Warga emas yang mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU) ini berkata, keadaan itu dihadapinya sejak 12 tahun lalu.

"Keadaan ini semakin merunsingkan kerana saya hanya bekerja mengambil upah membersihkan rumah dengan pendapatan RM300 sebulan.

"Dengan pendapatan tidak seberapa, manalah saya mampu untuk membaiki siling rumah yang bocor," katanya.

Dinding dimakan anai-anai

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila kayu pada bumbung dan dinding rumah yang berusia lebih 40 tahun itu juga sudah dimakan anai-anai dan menunggu masa menyembah bumi.

Jariah berkata, walaupun mempunyai dua anak lelaki berusia 28 dan 25 tahun tetapi dia  tidak boleh bergantung kepada mereka yang juga hidup susah sepertinya.

“Saya mempunyai dua anak yang telah berkahwin dan masing-masing kini tinggal di rumah mentua mereka.

"Anak sulung OKU dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menyara isteri dan dua anaknya, sementara anak kedua saya pula bekerja sebagai penghantar surat syarikat," katanya.

Jariah berkata, dia tidak mahu membebankan hidup anaknya, justeru dia merayu bantuan mana-mana pihak yang sudi membaiki rumahnya terutama bumbung yang bila-bila masa mungkin boleh roboh.

Menurutnya, berikutan siling bocor dia tidak boleh melelapkan mata setiap kali hujan turun terutama pada waktu malam.

“Hujan yang turun tidak menentu menyebabkan saya meletakkan beberapa baldi dan besen di kawasan yang bocor, selain pelampung kolam mandi yang diberi anak jiran yang balik ke kampung baru-baru ini untuk menadah air di ruang tamu.

“Di dalam bilik tidur, saya letak bekas plastik yang disangkut dengan dawai di jernang kayu tetapi jika hujan lebat saya perlu menggunakan baldi atau bekas lebih besar yang diletakkan di lantai untuk menadah air turun seperti air terjun,” katanya.

Pernah mohon bantuan

Jariah berkata, disebabkan Kampung Hulu diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia, dia pernah memohon bantuan daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sebelum wakil agensi itu datang menilai rumahnya.

“Pernah sebelum ini, wakil Perzim datang menilai rumah sama ada layak diberi bantuan membaiki atau tidak, namun mengecewakan apabila mereka beritahu rumah saya tidak bercirikan Melayu.

“Saya jadi buntu untuk meminta kepada siapa lagi. Kerja yang tidak menentukan ini pun hanya cukup-cukup untuk makan sendiri,” katanya yang juga tempang sejak terlibat kemalangan 21 tahun dahulu.

Menurutnya, rumah di bawah satu bumbung itu sudah dibahagi dua bagi membolehkan adiknya, Mazlan Mohd Yusof, 49, tinggal bersama isteri dan dua anaknya di sebelah rumahnya.

“Keadaan sama dihadapi Mazlan dan isterinya, Ramlah Mahadi, 29, yang tinggal bersama dua anaknya, Siti Soleha, 6, dan Mohd Soleh, 5.

"Namun rumah mereka lebih teruk dimakan anai-anai. Malah telah beberapa kali kami dengar sesuatu jatuh di atas siling. Kami sangka musang tetapi apabila diperiksa, rupanya kayu reput jatuh kerana terdapat butiran pasir dan tanah di atas lantai rumah kami,” katanya.

Baik pulih rumah tradisional

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu, Juret Ali berkata, Jariah pernah mengadu masalahnya beberapa bulan lalu sebelum dirujuk kepada Perzim kerana rumah berkenaan di dalam kawasan Warisan Dunia.

“Bagaimanapun, pihak kami akan berjumpa dan berunding dengannya sama dia mahu memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau mana-mana yang lebih terbaik untuknya pada masa hadapan,” katanya.

Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menghalang Jariah untuk membuat sebarang pengubahsuaian terhadap rumahnya.

“Memang Kampung Hulu diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia namun Perzim hanya membantu membaik pulih mana-mana rumah bercirikan tradisional Melayu Melaka sahaja tetapi rumah Jariah tidak termasuk kategori berkenaan.

“Justeru, Jariah perlu memohon bantuan daripada pihak lain. Malah, Perzim tiada halangan sekiranya dia mahu mengubah suai atau membaiki rumah pusakanya itu,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Keputusan mahkamah buktikan ISA zalim - GMI

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gerakan Memansuhkan ISA (GMI) mengalu-alukan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam yang menetapkan penangkapan terhadap 5 aktivis di bawah ISA pada tahun 2001 sebagai tidak sah.
Demikian dinyatakan Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam keputusannya menyebutkan tuduhan Ketua Polis Negara pada ketika itu iaitu Tan Sri Norian Mai terhadap kelima-lima aktivis tersebut adalah fitnah dan berniat jahat.

Dalam penghakiman yang dibuat, mahkamah menetapkan kelima-lima mangsa ISA telah diperlakukan secara zalim sepanjang berada di bawah tahanan ISA.

Mereka dipaksa berbogel di hadapan pegawai penyiasat, dipaksa berjalan dengan kaki ayam ke tandas yang kotor, disiasat selama berjam-jam secara berterusan dan bagi yang muslim tidak dibenarkan untuk menunaikan solat.

Oleh itu mahkamah mengarahkan setiap daripada mereka dibayar pampasan yang setimpal dengan penindasan yang telah mereka alami.


Dalam keputusannya, Hakim Datuk Lau Bee Lan menganugerahkan aktivis Hishamuddin Rais dan empat yang lain masing-masing RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka di bawah Seksyen 73 Akta Keselamatan Dalam Negeri dan RM30,000 sebagai gantirugi teruk.

Ini menjadikan jumlah gantirugi itu ialah RM4.06 juta.

Bagaimanapun, mahkamah memihak kepada defendan berhubung dengan Seksyen 8 ISA.

Mahkamah juga mendapati kenyataan akhbar yang dibuat oleh Ketua
Polis Negara (IGP) ketika itu, Tan Sri Norian Mai ekoran penangkapan plaintif pada April 2001 adalah berunsur fitnah terhadap mereka, kecuali kepada Badaruddin Ismail.

Untuk ini, Hakim Lau anugerahkan RM60,000 sebagai gantirugi am dan RM40,000 bagi gantirugi teruk dan teladan.

Mahkamah juga anugerahkan RM200,000 sebagai kos.

Selain Hishamuddin dan Badaruddin, plaintif lain ialah Saari Sungib, Badrulamin Bahrom dan Tian Chua Chang  yang lebih dikenali sebagai Tian Chua.

“Hal ini menjustifikasikan segala tuntutan yang pernah GMI kemukakan kepada kerajaan Malaysia.

“Dalam episod perjuangan GMI menentang akta zalim ini, GMI telah mendedahkan pelbagai kekejaman dan kezaliman yang berlaku terhadap tahanan ISA,” ujar Syed Ibrahim.

Namun, katanya Kerajaan Malaysia melalui Menteri Dalam Negeri terus menafikan dakwaan GMI tersebut dan terus mempertahankan ISA sebagai undang-undang yang adil.

“Dengan mengambil kira keputusan mahkamah ini, apakah Menteri Dalam Negeri masih boleh menafikan kekejaman berlaku terhadap tahanan semasa ISA?” soal beliau.

Beliau menegaskan, GMI sehingga ke hari ini sentiasa konsisten mendedahkan siri-siri kekejaman yang terpaksa dilalui oleh tahanan yang masih meringkuk di bawah penahanan ISA.

Katanya, namun setiap pendedahan itu tidak langsung dijawab secara bertanggungjawab oleh Menteri Dalam Negeri yang lebih gemar untuk berdiam diri.

Sebagai menghormati keputusan mahkamah, kata Syed Ibrahim seharusnya Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara sewaktu kelima-lima aktivis tersebut ditahan pada 2001 memohon maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Kedua-dua individu ini perlu bertanggungjawab atas keterlanjuran yang telah mereka lakukan sehingga menyebabkan aktivis rakyat yang tidak bersalah ditahan dan diseksa secara kejam di bawah ISA,” ujarnya.

Katanya, ISA hanya akan berfungsi sekiranya Menteri Dalam Negeri memberi restu untuk pihak polis menahan seseorang yang dikatakan memberi ancaman kepada keselamatan negara.

“Kuasa inilah yang telah disalah guna oleh Menteri Dalam Negeri dan Ketua Polis Negara pada waktu itu untuk menahan aktivis rakyat yang menjadi musuh politik  kepada Barisan Nasional pada ketika itu.

“Bekas tahanan ISA ini difitnah oleh bekas Ketua Polis Negara sebagai ancaman kepada keselamatan negara dengan memiliki senjata berbahaya seperti pelancar roket, molotov cocktail, dan dilabel sebagai pengganas.

“Semua ini perlu dibersihkan oleh kerajaan Malaysia,” ujarnya.

Beliau berkata, GMI mengira sudah tidak ada hujah yang boleh dijadikan alasan oleh Menteri Dalam Negeri untuk terus menahan tahanan ISA di Kem Tahanan Kamunting.

Tegasnya lagi, Menteri Dalam Negeri Hishamuddin Hussein perlu segera membatalkan segala perintah tahanan dan membebaskan kesemua mangsa kezaliman ISA.

Katanya, keputusan mahkamah itu memberi gambaran bahawa kesemua pertuduhan yang dikenakan kepada bekas tahanan ISA mahupun tahanan semasa boleh diragui.

“GMI yakin keputusan mahkamah ini akan menyemarakkan lagi perjuangan mangsa-mangsa ISA untuk menuntut keadilan,” katanya.

GMI juga, tegasnya tidak menolak akan lebih ramai bekas-bekas tahanan ISA akan tampil untuk mengheret Kerajaan Malaysia ke muka pengadilan sekiranya kezaliman ini tidak diperbetulkan segera.

Menurut Syed Ibrahim, satu-satunya cara untuk kerajaan Malaysia membetulkan segala kesilapan telah berlaku di bawah ISA ialah dengan membebaskan segera kesemua tahanan ISA dan membayar pampasan yang setara dengan kezaliman yang telah mereka lalui.

“Kerajaan juga perlu menutup Kem Tahanan Kamunting yang selama ini telah menjadi simbol kekejaman pihak kerajaan terhadap rakyat.

“Akhirnya, GMI sekali lagi sifatkan keputusan mahkamah ini sebagai kemenangan buat bekas Tahanan ISA, keluarga tahanan dan rakyat Malaysia secara keseluruhan,” ujarnya lagi.

HARAKAHDAILY/-

Tarikh gali semula kubur Arafat rahsia

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Arafat meninggal akibat diracun
Yasser Arafat
 
RAMALLAH — Kubur bekas Presiden Palestin, Yasser Arafat akan digali semula untuk ujian keracunan ke atas rangkanya selepas balu Allahyarham, Suha dan Pihak Berkuasa Palestin meragui siasatan sebelum ini.

Jurucakap Palestin berkata, kubur Arafat akan digali semula pada satu tarikh yang dirahsiakan supaya pasukan tersebut dapat mengambil sampel untuk membuat ujian keracunan.

Katanya, pasukan penyiasat dari Perancis dan Switzerland akan menjalankan siasatan bersama ke atas kematian pemimpin itu, yang meninggal dunia pada 2004.

Bagaimanapun, kedua-dua pasukan itu akan bertindak secara berasingan, lapor Associated Press (AP), semalam.

Desakan mengkaji semula kematian datang selepas makmal Switzerland mendakwa menemui polonium-210, sejenis isotop radioaktif yang boleh membawa maut pada pakaian yang dikatakan milik Arafat.

Hal ini kemudiannya menyemarakkan lagi syak bahawa pemimpin itu telah diracun.

Sementara itu, pasukan penyiasat jenayah dari Perancis itu dipanggil menyiasat atas permintaan Suha manakala Pihak Berkuasa Palestin menjemput saintis dari Switzerland untuk memeriksa mayat pemimpin itu bagi mengetahui punca kematian beliau yang masih kekal misteri.

Laporan sebelum ini mengatakan beliau meninggal dunia kerana strok, bagaimanapun ada sumber yang mengatakan selama beberapa minggu sebelum meninggal, penyakit sebenar beliau tidak jelas, sehingga membawa kepada teori-teori konspirasi.

Arafat, 75, meninggal dunia di hospital tentera Perancis pada 11 November 2004, dua minggu selepas dia dikejarkan ke sana dari Tebing Barat selepas diserang penyakit misteri.

Mengikut rekod perubatan Perancis, beliau telah mengalami keradangan, penyakit kuning dan mengalami pembekuan darah di sarafnya (DIC).

Bagaimanapun, dunia Arab percaya dia telah dibunuh oleh Israel dan pihak Israel dengan lantang menafikan perkara itu.

Arafat merupakan wajah perjuangan Palestin bagi mencapai kemerdekaan yang diperjuangkan selama empat dekad dan kekal menjadi pemimpin yang disayangi rakyat Palestin.

SINAR HARIAN/-

Banyak institusi tetapi makin bertambah tiris

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -




KUALA LUMPUR: Saban tahun rakyat ternanti-nanti bajet untuk meraih ‘secubit keuntungan atau merasa sesuap kenikmatan’ tetapi sebarang bajet seperti yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara sentiasa menunjukkan harga yang tidak setimpal dalam hampir semua agensi kerajaan dan kementeriannya.

“Menariknya bermula tahun lepas dan juga tahun ini, pembentangan Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) selepas Belanjawan 2013 seolah-olah mempunyai agenda tersirat,” kata Penolong Setiausaha Dewan Ulama PAS Pusat, Ustaz Muhammad Ismi Mat Taib (gambar).

Sehubungan itu, beliau memetik kenyatan Presiden PAS dalam ulasan spontan berkenaan dengan bajet yang baru dibentangkan antara lain menyebut“selama puluhan tahun dibentang dan dijanjikan, rakyat perlu sedar tentang ketirisan berbilion duit Khazanah Negara yang telah hilang entah ke mana".

“Kenyataan ini jelas menunjukkan betapa ketidak bertanggungjawaban mereka yang diamanahkan memegang kuasa dalam melaksanakan tugas dengan sejujurnya,” katanya dalam satu kenyataan.

Timbalan Presiden PAS, ujarnya memberi contoh dengan menempelak belanjawan tersebut dengan menyatakan “tetapi dalam pelaksanaan, beli pemutar skru lima kali ganda daripada harga biasa. Itu contoh yang kecil dari pelbagai perbuatan khianat kepada yang menyebabkan negara mengalami kerugian sehingga RM 28 bilion seperti yang didedahkan oleh Ketua Audit Negara. Belanjawan YAB PM juga sebagai ‘belanjawan sembunyi fakta’ kerana keengganan membentang laporan Ketua Audit Negara bersama belanjawan”.

Baginya, pelik bin ajaib di mana Malaysia terlalu banyak mempunyai jabatan atau institusi dalam menghalang ketirisan seperti Institut Integriti Negara (IIN), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), termasuk badan-badan agama tetapi setiap tahun angka ketirisan bertambah dan makin bertambah.

“Satu soalan lucu kalau anda beli barang, anda mahu harga murah atau mahal? Sudah pasti harga yang paling murah.

“Inilah pengamalan seluruh manusia yang berakal. Tetapi jangan terkejut budaya BN, jika beli barang mahu yang paling mahal mahupun di pasaran harganya 10 kali ganda lebih murah. Kenapa...faham-fahamlah sendiri,” ujarnya.

Justeru, beliau berharap semoga sifat tamak haloba, mementingkan diri sendiri, rakus harta rakyat tiada lagi dalam sanubari dan hati pemimpin yang takutkan Allah dan berkhidmat semata-mata mencari keredhaan-Nya.

HARAKAHDAILY/-

Pecah rekod halangan bunyi dalam terjunan bebas

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


CAPE CANAVERAL, Florida - Tinggal satu minggu lagi sebelum sejarah terjunan udara bakal tercipta.
Pada Isnin minggu hadapan, seorang warganegara Austria, Felix Baumgartner akan cuba melakukan terjunan bebas terpantas, tertinggi dan bakal menjadi penerjun udara pertama di dunia menghampiri kelajuan bunyi.

Bunyi bergerak selaju 1,236 kilometer sejam(km/j) .

Dia merancang membuat terjunan dari sebuah belon helium pada ketinggian 37 kilometer di padang pasir New Mexico dengan kelajuan 1,110 km/j.

Baumgartner, akan memakai satu sut bertekanan tinggi dan topi seperti seorang angkasawan.
Percubaan itu mempunyai banyak risiko, termasuk pembentukan buih dalam aliran darah yang boleh membawa maut dan darah beku pada otak.

Ketua penasihat perubatannya ialah bekas pakar bedah penerbangan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan. - Agensi

Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria
 
Ratusan orang awam serta kanak-kanak terbunuh kerana konflik berterusan di Syria.
DAMSYIK - Serangan udara berterusan dalam tempoh sehari, membunuh berpuluh penduduk Syria termasuk kanak-kanak, kelmarin.
   
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria melaporkan, keadaan bertambah buruk apabila pertempuran di antara kumpulan pemberontak dan penyokong kerajaan terus berlaku di bandar besar Aleppo.

Di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menggesa Damsyik agar bersimpati dengan mangsa tidak berdosa itu.

Sementara itu, Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, satu penyelesaian politik masih boleh digunakan jika Barat dan negara-negara Teluk tidak menyokong pemberontak.

Muallem turut menyuarakan kebimbangan terhadap Washington mengenai senjata kimia di Syria sebagai helah seperti yang pernah berlaku di Iraq.

Menurut pemerhati, serangan udara di bandar Salqeen dalam wilayah tawanan pemberontak Idlib yang bersempadan dengan Turki meragut 21 nyawa termasuk lapan budak.

Sekurang-kurangnya 18 anggota tentera terbunuh di wilayah Homs dalam satu serangan hendap oleh kumpulan pemberontak di lebuh raya Damsyik-Palmyra.

Sementara itu, kumpulan pemerhati melaporkan serangan berpeluru turut berlaku di wilayah Hama dan Daraa.

"Hasil maklumat yang dikumpulkan melalui rangkaian aktivis-aktivis dan kumpulan perubatan, kami mendapati jumlah mangsa korban semalam (kelmarin) sebanyak 160 orang, termasuk 112 orang awam di seluruh negara," kata seorang pemerhati.

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Ander Fogh Rasmussen berkata, stok simpanan senjata kimia Syria adalah kebimbangan besar buat mereka.

Tetapi Nato masih berpendapat konflik itu boleh diselesaikan menerusi kuasa politik dan bukan tindakan ketenteraan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 30,000 orang termasuk lebih 2,000 kanak-kanak meninggal dunia dalam konflik di Syria sejak ia tercetus pada Mac 2011 lalu.  - AFP

Maut tercekik anggur

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

IPOH: Seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia selepas tercekik anggur ketika makan buah itu di kediamannya di Kondominium Raya Ria, Jalan Raja Dr Nazrin Shah, di sini, kelmarin.
Dalam kejadian jam 10 malam itu, mangsa, Tahseem Shahriar Mohammad yang berusia dua tahun lima bulan disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan mendapatkan rawatan di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), di sini.

Seorang ahli keluarga mangsa yang enggan dikenali berkata, sebelum kejadian mangsa dikatakan makan buah anggur itu bersama ibunya yang juga warga Bangladesh selepas menikmati makan malam.
“Ibunya turut makan buah anggur dan mengupas kulit sebelum menyuap ke mulut mangsa. Namun, ketika ibunya leka mengupas kulit anggur itu, mangsa tiba-tiba mencapai segenggam anggur sebelum memasukkannya dalam mulut sekali gus.

“Tindakan itu menyebabkan dia tercekik dan mengalami kesukaran bernafas,” katanya ketika ditemui di pekarangan HRPB, semalam.

Menurutnya, menyedari kejadian itu, ibu kanak-kanak terbabit segera membawa mangsa ke HRPB, namun dia disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan.
Bapa mangsa yang bertugas sebagai pensyarah di sebuah institusi pengajian tinggi swasta di sini, enggan ditemu bual wartawan berikutan terlalu sedih dengan kejadian menimpa anaknya.

Difahamkan, mayat kanak-kanak itu akan dihantar pulang ke negara asalnya di Bangladesh untuk dikebumikan.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Azisman Alias yang dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian itu daripada keluarga mangsa dan polis mengklasifikasikan kes itu sebagai mati mengejut.

kosmo/-

Ikan paus terdampar dijadikan lauk

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


SAVU, Indonesia - Penduduk tempatan di sebuah pulau terpencil di timur Indonesia semalam melapah beberapa ekor ikan paus pilot untuk dijadikan makanan selepas 41 ekor mamalia itu mati terdampar, kata beberapa pegawai.

Sejumlah 44 ekor ikan paus pilot terdampar pada malam kelmarin di pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, yang mengamalkan budaya memburu paus untuk dijadikan makanan.

"Penduduk tempatan telah memotong kira-kira 11 ekor ikan paus setakat ini dan mungkin dagingnya dijadikan lauk," kata ketua pejabat perikanan Savu, Dominggus Widu Hau kepada agensi berita AFP.
Ketika nelayan tempatan menjumpai paus-paus itu sebelum tengah malam kelmarin, ia masih hidup. Namun, sudah terlewat dan orang tidak cukup untuk menolaknya kembali ke laut.

Berpuluh-puluh orang termasuk nelayan, tentera laut dan pegawai polis bertungkus-lumus sehingga tengah hari semalam untuk memastikan tiga ekor paus yang terselamat terus hidup.

"Kami berjaya menolaknya kembali ke kawasan perairan, tetapi ia kembali ke pantai," tambah Hau.
Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta mengenal pasti mamalia yang terdampar kira-kira 150 meter dari pantai sebagai ikan paus pilot.

Kata Hau, semua ikan puas yang terdampar itu berukuran antara dua hingga lima meter panjang .- AFP

Pilihanraya Kampus UIA: Pro Mahasiswa Menang Besar

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Calon pro-Mahasiswa menggondol kesemua 26 kerusi dalam dalam pengundian semula yang dijalankan secara manual hari ini di kampus Universiti Islam Antarabangsa.

Seorang jurucakap kumpulan mahasiswa itu, Mohd Hafizuddin M Noor berkata, pengaruh pro-Mahasiswa meningkat di kampus itu dengan pertambahan tiga lagi kerusi, berbanding 23 kerusi pada tahun lalu.

Menurutnya, calon yang menang itu, termasuk 12 kerusi di kampus UIA Kuantan, diumumkan oleh wakil jawatankuasa pilihan raya kampus masing-masing di setiap fakulti.

Baki lima kerusi merupakan kerusi untuk calon antarabangsa.

UIA merupakan kubu terakhir yang dimenangi oleh pro-Mahasiswa.

Sebelum ini mereka memenangi pilihan raya di kampus Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Pengundian semula hari ini dijalankan selepas keputusan pada hari pengundian 25 September digantung ekoran masalah teknikal apabila jumlah undi direkodkan melebihi jumlah mahasiswa keluar mengundi. -mk

Rakyat palsu' dalam daftar pemilih Johor

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -



 
Seorang warga Filipina, yang dilapor dipenjara kerana memiliki kad pengenalan palsu pada 2010, dikesan dalam daftar pemilih negeri Johor.

Pemblog pro-Pakatan Rakyat yang menggunakan nama "Milosuam" berkata, beliau menemui laporan Daily Express yang berpangkalan di Sabah bertarikh 21 September 2010 yang disalin dan disimpan dalam arkib Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

NONELaporan itu, yang turut dilaporkan dalam edisi bahasa Melayu akhbar itu Harian Ekspres, disiarkan dengan tajuk "Fake MyKad: Filipino jailed" (MyKad palsu, rakyat Filipinan ditangkap).

Ia juga menyebut, majistret Kota Kinabalu menjatuhkan hukuman penjara setahun kepada lelaki 43 tahun itu pada 20 September 2010.

"Samsul Salleh, dari Kg Likas dekat sini, mengaku bersalah di hadapan Majistret Cindy McJuce Balitus kerana menggunakan dokumen bernombor siri 670110-12-5035 dengan namanya sendiri," laporan itu dipetik.

Semakan dengan sistem atas talian Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menunjukkan pengundi dengan nama sama - Samsul Salleh - layak mengundi di Permas, bawah parlimen Pasir Gudang di Johor.

HARAKAHDAILY/-

Ribut Gaemi landa Tha



17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

BANGKOK - Jabatan Meteorologi Thailand mengumumkan, hujan lebat berlaku dipengaruhi oleh ribut tropika Gaemi yang diramal melanda negara pada hujung minggu ini.

Menurut agensi berita tempatan, Gaemi kini sedang membadai tengah Vietnam dan bakal menghala ke bahagian lebih rendah di Laos dan beberapa kawasan timur serta tengah Thailand di antara 6 dan 7 Oktober ini.

Sementara itu, hujan monsun barat selatan diramal mengukuh di Lautan Andaman, wilayah selatan dan Teluk Thailand.

Pihak jabatan memberitahu, keadaan itu bakal menyebabkan taburan hujan lebat di semua kawasan sekali gus membawa angin kencang serta ombak besar berukuran dua hingga tiga meter tinggi di sebahagian kawasan utara Teluk Thailand dan Lautan Andaman. - Bernama

[BOHONG LAGI] BN Bohongi Rakyat, Lepas Beri Habuan Tarif Elektrik Dinaikkan

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Selepas menabur pelbagai habuan kepada rakyat menerusi Bajet 2013, kerajaan Umno BN kemudian menarik semula wang rakyat melalui kenaikan tarif elektrik.

Ini berikutan kenyataan Menteri Tenaga, Teknologi dan Air, Datuk Seri Peter Chin Fah Kui bahawa kenaikan tarif elektrik tidak akan dapat dielakkan, tetapi enggan menjelaskan masa dan jumlah kenaikan tersebut.

Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, kenaikan tersebut memang telah diduga, malah banyak lagi barangan keperluan lain termasuk cukai dan perkhidmatan dijangka mengalami kenaikan.

“Kita memang sudah agak, bajet yang dibentang minggu lalu bohong saja, hanya untuk mengaburi mata rakyat. Konon nak bagi itu ini (kepada rakyat), tapi nanti dalam diam (kerajaan) akan naikkan pelbagai harga barang dan perkhidmatan lagi,” jelasnya kepada Keadilan Daily.

Azan menjangkakan tarif perkhidmatan pangggilan telefon dan sistem jalur lebar juga akan meningkat selepas ini.

“Jika dulu satu minit panggilan dikenakan caj 10 sen, lepas ini mungkin 15 hingga 20 sen. Begitu juga jalur lebar untuk internet,” kata Pengerusi KEADILAN Terengganu itu lagi.

Menurut Azan, kira-kira dua minggu sebelum persidangan Parlimen, beliau mendapat maklumat dari pegawai kastam dan kerajaan bahawa ada arahan agar taklimat diberi kepada peniaga untuk menaikkan cukai perkhidmatan.

“Caj perkhidmatan juga akan dinaikkan dalam diam, kerana saya tahu sudah ada taklimat oleh pegawai kerajaan agar peniaga mengubah sistem perkiraan caj dan hasil kutipan caj itu akan diserah kepada kerajaan,” katanya.

“Kerajaan sekarang seperti doktor gigi, asyik beri pelali (habuan) hingga rakyat tidak sedar, tiba-tiba saja semua gigi sudah tiada (rongak),” kata beliau sinis.

Perdana Menteri semasa membentangkan Bajet BN 2013 Jumaat lalu, mengumumkan penarikan subsidi gula sebanyak 20 sen sekilogram menjadikannya RM2.50.

Ketika menghulur rebat RM200 untuk pembelian telefon pintar, kerajaan juga turut merembat kembali wang rakyat melalui sistem kesalahan trafik Automated Enforcement System (AES).

Sistem itu menetapkan kadar saman tinggi dengan kompaun serta merta antara RM300 hingga RM2,000. -KD

Kenderaan mangsa kebal peluru


 

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

JOHOR BAHRU – Sekumpulan lima perompak bersenjatakan pistol terpaksa berputih mata apabila cubaan mereka untuk merompak RM700,000 yang dibawa oleh seorang pengurup wang gagal dalam kejadian di Jalan Storey berdekatan bangunan Pacific Mall di sini kelmarin.

Wang tersebut terselamat selepas perompak gagal memecahkan cermin kenderaan kalis peluru jenis Toyota Hilux dinaiki mangsa bersama dua pekerja dan seorang pengawal keselamatan walaupun penjenayah telah melepaskan lapan das tembakan.

Kejadian pukul 5 petang itu berlaku ketika mangsa dalam perjalanan ke premis perniagaannya di pusat bandar selepas mengambil wang berkenaan dari sebuah bank.

Difahamkan, sebelum itu, kumpulan penjenayah itu telah ‘mencipta’ satu kemalangan apabila melanggar kenderaan mangsa dengan lori dipandu seorang lelaki. Kenderaan itu kemudian terbabas lalu terbalik sebelum dihempap pula lori berkenaan. 

KOSMO/-

Halang penumpang lintas landasan

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Penumpang yang turun dari kereta api terus menyeberangi landasan untuk ke stesen.
 
Penumpang yang turun dari kereta api terus menyeberangi landasan untuk ke stesen.
BANDAR BERA - Usianya sudah mencecah 102 tahun, namun Stesen Keretapi Triang yang mula beroperasi pada 1 Oktober 1910, dengan laluan Bahau-Triang diikuti laluan Triang-Semantan pada 1 Ogos 1911 masih tidak banyak berubah meskipun penumpangnya bertambah dari semasa ke semasa.

Seorang penduduk, Lui Sang, 71, berkata, stesen kereta api itu wajar dinaik taraf termasuk membina pagar berdekatan landasan.

Menurutnya, ia berikutan sebahagian besar penumpang sama ada yang mahu naik atau turun di stesen itu sewenang-wenangnya menyeberangi landasan.

“Memang dari dulu lagi macam itu. Mereka seperti sudah menghafal jadual perjalanan kereta api yang melalui stesen ini.

“Jadi, tidak kira sama ada waktu siang atau malam, mereka berani menyeberangi landasan. Lagipun, ia lebih dekat untuk ke jalan utama,” katanya kepada Sinar Harian.

Lui Sang berkata, sepanjang menetap berdekatan stesen itu, belum kedengaran berlaku kes kemalangan digilis kereta api, tetapi berharap perkara itu diberi perhatian oleh pihak berkenaan.

Siti Zuriati Che Hussain, 27, berkata, Stesen Keretapi Triang kerap menjadi lokasi penggambaran pasangan pengantin, tetapi tanpa kebenaran pihak Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB).

"Ada juga yang bergambar di landasan ini sekadar suka-suka. Memanglah cantik sebab berlatarbelakangkan stesen lama, tetapi sebenarnya boleh mengundang maut.

“Sebab itu kalau ada pagar mungkin perkara ini dapat dielakkan walaupun belum pernah lagi berlaku sebarang kes yang tidak diingini,” katanya.

Siti Zuriati berkata, pihak KTMB perlu bertindak mengubah mentaliti masyarakat atau penumpang yang sering menyeberangi landasan untuk ke stesen itu.

sinar harian/-

Ekoran kebakaran feri: Labuan perlu jambatan ke tanah besar

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


LABUAN: Tragedi kebakaran feri semalam semakin memperkuatkan hujjah penduduk Labuan, mereka memerlukan jambatan yang menghubungkan mereka dengan tanah besar di Sabah.

(Orang ramai melihat feri Wawasan yang terbakar)

Ketua Penerangan PAS Labuan, Hadnan Hj. Muhamad berkata, kebakaran itu menambahkan tekanan agar cadangan ini diterima dan dilaksanakan Kerajaan Pusat.

Warga Labuan dikejutkan dengan insiden Feri Wawasan yang dikendalikan oleh Labuan Ferry Corporation (LFC) terbakar semalam.

Kejadian berkenaan berlaku sekitar pukul 6.10 pagi semalam.

Kebakaran ini berlaku ketika Feri Wawasan mula beroperasi untuk membawa penumpang dan kenderaan ke Menumbok.

Walau bagaimanapun, mengikut sumber orang ramai dan makluman pihak polis serta bomba ketika insiden berlaku, tiada penumpang dan kenderaan berada dalam feri.

Hanya terdapat beberapa orang Krewferi yang edang bertugas untuk memulakan operasi mereka.

Menurut Ketua Polis Daerah Labuan, Superintendan Adzhar Othman, satu siasatan menyeluruh akan dijalankan bagi mengetahui punca kejadian.

Jabatan Bomba dan Penyelamat W.P. Labuan mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk memadamkan kebakaran.

Ketua pegawai eksekutif LFC, Samsul Sahari memberitahu bahawa kejadian itu adalah di luar jangkaan dan menyerahkannya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

Tiada sesiapa yang cedera ketika insiden berlaku dan berikutan kejadian itu, jadual perjalanan feri ke Menumbok dihentikan buat sementara.

Bagi pihak PAS Labuan, insiden ini merupakan satu lagi kejadian yang memberi impak kepada kehidupan seharian warga penduduk Labuan.

Akibat insiden feri terbakar, perjalanan kenderaan ke Menumbok terpaksa ditangguhkan buat sementara.

Walaupun terdapat feri lain yang masih boleh membawa kenderaan ke Menumbok, iaitu Feri Kimanis yang dikendalikan oleh Juta Bonus (daripada Sabah), tetapi insiden ini sedikit sebanyak mengganggu kehidupan seharian warga Labuan kerana jumlah kenderaan untuk ke Menumbok akan menjadi terhad kerana kekurangan feri.

Menurut Ketua Penerangan PAS Labuan Hadnan Hj. Muhamad, berkata insiden feri terbakar ini merupakan insiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini kerana feri ini telah beroperasi lebih kurang lapan tahun dan kapasiti penumpang yang boleh diangkut adalah sekitar 600 orang serta 60 buah kenderaan pada satu-satu masa.

(Peta cadangan pembinaan jambatan antara Labuan dengan tanah besar)

Menurutnya lagi, sebelum ini juga rakyat di Labuan pernah menyuarakan  ‘rasa hati’ mereka untuk mendapatkan jambatan yang menghubungkan Labuan dengan Tanah Besar Sabah melalui Menumbok, tetapi tidak pernah ‘dilayan’ oleh pentadbiran pusat (kerajaan).

Kajian juga pernah dilakukan oleh beberapa buah Universiti termasuklah Universiti Malaysia Sabah Kampus Antarabangsa Labuan.

"Lihat sahaja negeri Pulau Pinang,walaupun jambatan Pulau Pinang ada tetapi feri masih lagi beroperasi seperti biasa," kata Hadnan.

Ini juga akan mengurangkan masalah dari segi sumber bekalan lambat sampai akibat daripada feri mengalami masalah rosak atau insiden seperti ini, tambahnya.

Selain itu, Timbalan Yang Dipertua PAS Labuan, Hj. Basran berkata masyarakat di Labuan amat memerlukan jambatan untuk memudahkan perhubungan mereka.

Jambatan ini juga lebih-lebih lagi perlu untuk merancakkan ekonomi di Labuan berdasarkan kajian yang pernah dibuat oleh beberapa Universiti tempatan.

Walaupun semua sedia maklum, Perdana Menteri telah mengumumkan untuk memberikan diskaun untuk tambang feri di Labuan dalam pembentangan bajet 2013 baru-baru ini.

Jika difikirkan secara logik akal, kenapa peruntukkan subsidi yang ditanggung oleh kerajaan tidak digunakan untuk membina jambatan Labuan-Menumbok, soal beliau.

Ini kerana Labuan merupakan salah satu tempat perindustrian Oil and Gas dan Perkapalan yang terpenting di Malaysia.

Selain itu, Labuan juga terkenal dengan pusat Pelancongan dan merupakan Pusat Perkhidmatan Kewangan Luar Pesisir Antarabangsa (IOFC).

"Masyarakat Labuan perlu berfikir lebih kehadapan, lebih-lebih lagi untuk generasi akan datang," katanya.

Keperluan jambatan merupakan perintis untuk penambahbaikan kemudahan-kemudahan asas yang lain seperti keperluan doktor pakar di hospital.

Sebagai contoh, negara Turki semakin hari semakin menurun hutang negara kerana pengurusan kewangan yang baik.

Mereka juga memberikan kemudahan yang terbaik untuk rakyat negara mereka dan memberikan perlindungan percuma kepada pelarian-pelarian perang seperti rakyat Syria.

Labuan merupakan salah satu ‘Wilayah Persekutuan’ dan bukannya ‘Kampung Labuan’.

harakahdaily/-

[SIGNAL DARI MAHKAMAH] Kerajaan Diperintah Bayar RM4.06 Juta Kerana Panahanan Tidak Sah

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan bahawa penahanan Chua Tian Chang (Tian Chua), Shaari Sungib, Badaruddin Ismail, Hishamuddin Rais dan Dr Badrul Amin dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2001 adalah tidak sah, secara haram, bersifat politik dan berniat jahat pampasan perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia sebanyak RM4,060,000.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam pengadilannya, menganugerahkan kelima-lima bekas tahanan ISA itu masing-masing sebanyak RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka dibawah seksyen 73, ISA dan RM30,000 sebagai gantirugi teruk menjadikannya jumlah keseluruhannya RM4.06 juta.

Mahkamah juga mendapati, kenyataan media bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai untuk mempertahankan penahanan ISA tersebut berunsur fitnah kecuali kepada Badaruddin Ismail.

Untuk ini, hakim menganugerahkan RM60,000 sebagai gantirugi am dan RM40,000 sebagai gantirugi teruk bagi setiap seorang.

Bagi penahanan dibawah seksyen 8 ISA, walaubagaimanapun, mahkamah berpihak kepada kerajaan.

Mahkamah juga dianugerahkan RM200,000 sebagai kos.

Tian Chua ketika ditemui diluar mahkamah mengatakan bahawa kemenangan mereka dalam kes ini merupakan kemenangan untuk perjuangan ribuan orang yang pernah ditahan dibawah ISA.

"Kami belum tahu lagi sama ada kerajaan akan merayu atau tidak.

"Tetapi apabila kerajaan memasuhkan akta ini, ia merupakan bukti bahawa mereka mengaku salah," katanya.

Sementara itu Hishamuddin Rais pula mengatakan beliau akan menggunakan wang kemenangan itu untuk memperbaiki kenderaan sahabatnya yang dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali di Pengerang, Johor minggu lalu.

"Wang daripada saman yang telah berjaya ini akan saya gunakan untuk membaiki kereta kawan saya yang disimbah asid di Pengerang.

"Nak cat kereta tersebut," katanya.

Pada April 2001 Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dibawah kepimpinan Norian Mai telah menahan Tian Chua, Shaari Sungib, Badaruddin Ismail, Hishamuddin Rais dan Dr Badrul Amin di bawah ISA selama 60 hari dan kemudian dihantar ke Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun.

Pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah menteri dalam negeri manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula adalah perdana menteri Malaysia. -TMI

[PENIPUAN LAGI] Kerajaan Disyaki "Hilangkan" Penyata Hutang Dari Laporan Bajet 2013

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Penyata kedudukan hutang negara disyaki ‘dihilangkan’ dalam laporan Bajet 2013 dan tidak dinyatakan seperti biasa yang dikemukakan setiap tahun.

Ahli Parlimen PKR Indera Mahkota, Azan Ismail berkata, laporan penyata tentang kedudukan kewangan, hutang, memorandum jaminan kerajaan dan akaun yang melibatkan dana amanah didapati tidak dinyatakan dalam laporan bajet 2013.

“Sangat pelik dan tidak pernah berlaku laporan mustahak sebegini tidak dinyatakan seperti tahun-tahun sebelumnya.

“Perkara ini penting bagi membolehkan ahli Parlimen menelitinya dan membahaskan sebelum belanjawan ini diluluskan dalam Dewan,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini hari ini.

Katanya, unjuran angka termasuk bon dan sukuk itu sangat penting kerana boleh memberikan gambaran semasa tentang keyupayaan kewangan negara dan kebolehan kerajaan untuk memberikan peruntukan tambahan seperti Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) untuk meringankan beban rakyat.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kehilangan penyata hutang negara ini berkaitan dengan Laporan Ketua Audit yang sengaja dikeluarkan lewat dua minggu selepas Belanjawan dibentangkan.

“Perkara ini boleh diteliti dengan melihat aliran hutang semasa negara tapi malangnya buat pertama kali Menteri Kewangan gagal menyatakannya.

“Kerajaan mesti bertanggungawab jelaskan kenapa perkara ini berlaku,” katanya.

kelab grennboc/-

Jawapan Pakatan Rakyat Kepada Chua Tee Yong

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
 
Kami merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato’ Chua Tee Yong yang menuduh angka-angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 adalah tidak tepat berdasarkan perkiraan ringkas beliau seperti berikut:

1.            Bentuk kenaikan gaji hasil dari dasar-dasar Pakatan Rakyat adalah kenaikan gaji guru sebanyak RM2.4 bilion (hasil dari pelaksanaan Elaun Khas Perguruan sebanyak RM500 setiap bulan bagi setiap orang guru), kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak RM2 bilion (hasil dari pelaksanaan gaji minima RM1,100 di sektor awam dan pelarasan gaji kepada semua kakitangan) dan kenaikan gaji anggota polis sebanyak RM754 juta (hasil dari cadangan untuk membekukan pengambilan baru anggota polis sehingga tahun 2015).

2.      Mengikut perkiraan beliau, jumlah kesemua kenaikan gaji ini sebanyak RM5.1 bilion tidak selari dengan angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menunjukkan pertambahan gaji sebanyak hanya sebanyak RM4 bilion.

Berdasarkan perkiraan mudah itu, beliau menuduh Belanjawan Pakatan Rakyat mengandungi angka-angka yang menipu dan hasil dari penyelidikan yang kucar-kacir.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen-dokumen rasmi termasuklah Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada mengambil kira semua perkara ini dalam menentukan angka-angka yang digunapakai.

Seharusnya Dato’ Chua Tee Yong membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menerangkan pendekatan Pakatan Rakyat untuk menggunakan jumlah anggota polis sedia ada bagi memenuhi tuntutan melindungi keselamatan awam tanpa perlu menambah tenaga kerja melalui pengambilan baru. Ini berbeza dengan pendekatan Barisan Nasional yang ingin meningkatkan pengambilan baru sehingga mencecah 30% menjelang 2015, yang sudah tentu akan meningkatkan tanggungan gaji.

Cadangan Pakatan Rakyat adalah dengan memfokuskan anggota polis sedia ada kepada kerja-kerja membanteras jenayah dengan menukar anggota Cawangan Khas ke Jabatan Siasatan Jenayah. Penjimatan dari langkah ini (kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015) bolehlah digunakan untuk menaikkan gaji anggota polis.

Maka, ia satu proses yang akan berjalan dalam satu tempoh, bukannya kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas melibatkan latihan dan lain-lain. Sebab itu di mukasurat 8 Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan Rakyat mengunjurkan kenaikan gaji 15% sekiranya proses ini berjalan.

Oleh kerana ia melibatkan satu proses, maka ia juga melibatkan kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam tempoh 3 tahun.

Kesan kewangan bagi tahun 2013 dianggarkan satu pertiga dari jumlah kenaikan gaji RM754 juta bagi kesemua kakitangan, iaitu sekitar RM250 juta.

Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat memutuskan bahawa kenaikan ini boleh dibiayai dengan menyemak semula perbelanjaan untuk “Faedah-faedah Kewangan Yang Lain” (Kod Akaun: 15000) yang telah mencecah RM1.04 bilion dalam tahun 2013. 

Kerajaan Pakatan Rakyat akan meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji untuk mengelakkan pembaziran, dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam disediakan pada kos yang berpatutan. 

Ini penting bagi memastikan Kod Akaun 15000 (“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain”) tidak melibatkan peruntukan bagi perbelanjaan yang boros. Kami yakin penjimatan dari semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan RM250 juta itu.

Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Chua Tee Yong kerana mengambil sedikit masa untuk meneliti angka-angka yang dibentangkan di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.

Namun, beliau lebih berhati-hati apabila ingin berhujah menggunakan angka kerana reputasi beliau sebelum ini pun terjejas teruk apabila angka-angka yang digunakan sering bertukar-tukar.

Bagi pihak Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat

YB Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor/AJK PAS Pusat
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi Keadilan
Dr Ong Kian Ming
Strategis Pilihanraya DAP