03 Oktober 2012

[SIGNAL DARI MAHKAMAH] Kerajaan Diperintah Bayar RM4.06 Juta Kerana Panahanan Tidak Sah

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan bahawa penahanan Chua Tian Chang (Tian Chua), Shaari Sungib, Badaruddin Ismail, Hishamuddin Rais dan Dr Badrul Amin dibawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada tahun 2001 adalah tidak sah, secara haram, bersifat politik dan berniat jahat pampasan perlu dibayar oleh kerajaan Malaysia sebanyak RM4,060,000.

Hakim Datuk Lau Bee Lan dalam pengadilannya, menganugerahkan kelima-lima bekas tahanan ISA itu masing-masing sebanyak RM15,000 bagi setiap hari penahanan mereka dibawah seksyen 73, ISA dan RM30,000 sebagai gantirugi teruk menjadikannya jumlah keseluruhannya RM4.06 juta.

Mahkamah juga mendapati, kenyataan media bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Norian Mai untuk mempertahankan penahanan ISA tersebut berunsur fitnah kecuali kepada Badaruddin Ismail.

Untuk ini, hakim menganugerahkan RM60,000 sebagai gantirugi am dan RM40,000 sebagai gantirugi teruk bagi setiap seorang.

Bagi penahanan dibawah seksyen 8 ISA, walaubagaimanapun, mahkamah berpihak kepada kerajaan.

Mahkamah juga dianugerahkan RM200,000 sebagai kos.

Tian Chua ketika ditemui diluar mahkamah mengatakan bahawa kemenangan mereka dalam kes ini merupakan kemenangan untuk perjuangan ribuan orang yang pernah ditahan dibawah ISA.

"Kami belum tahu lagi sama ada kerajaan akan merayu atau tidak.

"Tetapi apabila kerajaan memasuhkan akta ini, ia merupakan bukti bahawa mereka mengaku salah," katanya.

Sementara itu Hishamuddin Rais pula mengatakan beliau akan menggunakan wang kemenangan itu untuk memperbaiki kenderaan sahabatnya yang dirosakkan oleh individu yang tidak dikenali di Pengerang, Johor minggu lalu.

"Wang daripada saman yang telah berjaya ini akan saya gunakan untuk membaiki kereta kawan saya yang disimbah asid di Pengerang.

"Nak cat kereta tersebut," katanya.

Pada April 2001 Polis Di Raja Malaysia (PDRM) dibawah kepimpinan Norian Mai telah menahan Tian Chua, Shaari Sungib, Badaruddin Ismail, Hishamuddin Rais dan Dr Badrul Amin di bawah ISA selama 60 hari dan kemudian dihantar ke Kem Tahanan Kamunting selama dua tahun.

Pada waktu itu, Tun Abdullah Ahmad Badawi adalah menteri dalam negeri manakala Tun Dr Mahathir Mohamad pula adalah perdana menteri Malaysia. -TMI

Tiada ulasan: