03 Oktober 2012

Gelisah dengar bunyi guruh

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -

Gelisah dengar bunyi guruh
Beginilah keadaan Jariah setiap kali hujan lebat.
 
BANDARAYA MELAKA - Setiap kali mendengar bunyi guruh di langit, pasti menimbulkan kegelisahan buat ibu tunggal anak dua, Jariah Mohd Yusof, 56.

Ini kerana dia terpaksa bersengkang mata bagi memastikan hujan benar-benar turun atau tidak di kawasan rumahnya di tengah-tengah bandar raya di Jalan Masjid, Kampung Hulu, di sini.

Jariah berkata, dia bukan sahaja terpaksa berjaga malam, malah perlu menggunakan kudratnya membersihkan lantai rumah dan menukar bekas takungan yang dipenuhi air jika hujan lebat.

Warga emas yang mempunyai seorang anak kurang upaya (OKU) ini berkata, keadaan itu dihadapinya sejak 12 tahun lalu.

"Keadaan ini semakin merunsingkan kerana saya hanya bekerja mengambil upah membersihkan rumah dengan pendapatan RM300 sebulan.

"Dengan pendapatan tidak seberapa, manalah saya mampu untuk membaiki siling rumah yang bocor," katanya.

Dinding dimakan anai-anai

Menurutnya, lebih membimbangkan apabila kayu pada bumbung dan dinding rumah yang berusia lebih 40 tahun itu juga sudah dimakan anai-anai dan menunggu masa menyembah bumi.

Jariah berkata, walaupun mempunyai dua anak lelaki berusia 28 dan 25 tahun tetapi dia  tidak boleh bergantung kepada mereka yang juga hidup susah sepertinya.

“Saya mempunyai dua anak yang telah berkahwin dan masing-masing kini tinggal di rumah mentua mereka.

"Anak sulung OKU dan menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) perlu menyara isteri dan dua anaknya, sementara anak kedua saya pula bekerja sebagai penghantar surat syarikat," katanya.

Jariah berkata, dia tidak mahu membebankan hidup anaknya, justeru dia merayu bantuan mana-mana pihak yang sudi membaiki rumahnya terutama bumbung yang bila-bila masa mungkin boleh roboh.

Menurutnya, berikutan siling bocor dia tidak boleh melelapkan mata setiap kali hujan turun terutama pada waktu malam.

“Hujan yang turun tidak menentu menyebabkan saya meletakkan beberapa baldi dan besen di kawasan yang bocor, selain pelampung kolam mandi yang diberi anak jiran yang balik ke kampung baru-baru ini untuk menadah air di ruang tamu.

“Di dalam bilik tidur, saya letak bekas plastik yang disangkut dengan dawai di jernang kayu tetapi jika hujan lebat saya perlu menggunakan baldi atau bekas lebih besar yang diletakkan di lantai untuk menadah air turun seperti air terjun,” katanya.

Pernah mohon bantuan

Jariah berkata, disebabkan Kampung Hulu diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia, dia pernah memohon bantuan daripada Perbadanan Muzium Melaka (Perzim) sebelum wakil agensi itu datang menilai rumahnya.

“Pernah sebelum ini, wakil Perzim datang menilai rumah sama ada layak diberi bantuan membaiki atau tidak, namun mengecewakan apabila mereka beritahu rumah saya tidak bercirikan Melayu.

“Saya jadi buntu untuk meminta kepada siapa lagi. Kerja yang tidak menentukan ini pun hanya cukup-cukup untuk makan sendiri,” katanya yang juga tempang sejak terlibat kemalangan 21 tahun dahulu.

Menurutnya, rumah di bawah satu bumbung itu sudah dibahagi dua bagi membolehkan adiknya, Mazlan Mohd Yusof, 49, tinggal bersama isteri dan dua anaknya di sebelah rumahnya.

“Keadaan sama dihadapi Mazlan dan isterinya, Ramlah Mahadi, 29, yang tinggal bersama dua anaknya, Siti Soleha, 6, dan Mohd Soleh, 5.

"Namun rumah mereka lebih teruk dimakan anai-anai. Malah telah beberapa kali kami dengar sesuatu jatuh di atas siling. Kami sangka musang tetapi apabila diperiksa, rupanya kayu reput jatuh kerana terdapat butiran pasir dan tanah di atas lantai rumah kami,” katanya.

Baik pulih rumah tradisional

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kubu, Juret Ali berkata, Jariah pernah mengadu masalahnya beberapa bulan lalu sebelum dirujuk kepada Perzim kerana rumah berkenaan di dalam kawasan Warisan Dunia.

“Bagaimanapun, pihak kami akan berjumpa dan berunding dengannya sama dia mahu memohon rumah di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) atau mana-mana yang lebih terbaik untuknya pada masa hadapan,” katanya.

Pengurus Besar Perzim, Khamis Abas ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menghalang Jariah untuk membuat sebarang pengubahsuaian terhadap rumahnya.

“Memang Kampung Hulu diwartakan sebagai tapak Warisan Dunia namun Perzim hanya membantu membaik pulih mana-mana rumah bercirikan tradisional Melayu Melaka sahaja tetapi rumah Jariah tidak termasuk kategori berkenaan.

“Justeru, Jariah perlu memohon bantuan daripada pihak lain. Malah, Perzim tiada halangan sekiranya dia mahu mengubah suai atau membaiki rumah pusakanya itu,” katanya.

SINAR HARIAN/-

Tiada ulasan: