Kami merujuk kepada kenyataan akhbar yang dibuat oleh Dato’ Chua Tee Yong yang menuduh angka-angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 adalah tidak tepat berdasarkan perkiraan ringkas beliau seperti berikut:
1. Bentuk kenaikan gaji hasil dari dasar-dasar Pakatan
Rakyat adalah kenaikan gaji guru sebanyak RM2.4 bilion (hasil dari
pelaksanaan Elaun Khas Perguruan sebanyak RM500 setiap bulan bagi setiap
orang guru), kenaikan gaji kakitangan awam sebanyak RM2 bilion (hasil
dari pelaksanaan gaji minima RM1,100 di sektor awam dan pelarasan gaji
kepada semua kakitangan) dan kenaikan gaji anggota polis sebanyak RM754
juta (hasil dari cadangan untuk membekukan pengambilan baru anggota
polis sehingga tahun 2015).
2. Mengikut perkiraan beliau, jumlah kesemua kenaikan gaji ini sebanyak RM5.1 bilion tidak selari dengan angka di dalam Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang menunjukkan pertambahan gaji sebanyak hanya sebanyak RM4 bilion.
Berdasarkan perkiraan mudah itu, beliau menuduh Belanjawan Pakatan Rakyat mengandungi angka-angka yang menipu dan hasil dari penyelidikan yang kucar-kacir.
Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan dokumen-dokumen rasmi termasuklah Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada mengambil kira semua perkara ini dalam menentukan angka-angka yang digunapakai.
Seharusnya Dato’ Chua Tee Yong membaca sepenuhnya keseluruhan dokumen Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 yang
menerangkan pendekatan Pakatan Rakyat untuk menggunakan jumlah anggota
polis sedia ada bagi memenuhi tuntutan melindungi keselamatan awam tanpa
perlu menambah tenaga kerja melalui pengambilan baru. Ini berbeza
dengan pendekatan Barisan Nasional yang ingin meningkatkan pengambilan
baru sehingga mencecah 30% menjelang 2015, yang sudah tentu akan
meningkatkan tanggungan gaji.
Cadangan Pakatan Rakyat adalah dengan memfokuskan anggota polis sedia
ada kepada kerja-kerja membanteras jenayah dengan menukar anggota
Cawangan Khas ke Jabatan Siasatan Jenayah. Penjimatan dari langkah ini
(kerana tiada pengambilan baru menjelang 2015) bolehlah digunakan untuk
menaikkan gaji anggota polis.
Maka, ia satu proses yang akan berjalan dalam satu tempoh, bukannya
kenaikan gaji serentak kerana proses penukaran anggota Cawangan Khas
melibatkan latihan dan lain-lain. Sebab itu di mukasurat 8 Belanjawan Pakatan Rakyat 2013 ada menyebut bahawa Pakatan Rakyat mengunjurkan kenaikan gaji 15% sekiranya proses ini berjalan.
Oleh kerana ia melibatkan satu proses, maka ia juga melibatkan
kenaikan berperingkat dalam satu tempoh masa kerana kenaikan gaji itu
perlu dibiayai dari penjimatan kerana tiada pengambilan baru dalam
tempoh 3 tahun.
Kesan kewangan bagi tahun 2013 dianggarkan satu pertiga dari jumlah
kenaikan gaji RM754 juta bagi kesemua kakitangan, iaitu sekitar RM250
juta.
Jawatankuasa Dasar dan Manifesto Pakatan Rakyat memutuskan bahawa
kenaikan ini boleh dibiayai dengan menyemak semula perbelanjaan untuk
“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain” (Kod Akaun: 15000) yang telah
mencecah RM1.04 bilion dalam tahun 2013.
Kerajaan Pakatan Rakyat akan
meneliti bentuk-bentuk faedah bukan gaji untuk mengelakkan pembaziran,
dengan memastikan hanya faedah bukan gaji kepada kakitangan awam
disediakan pada kos yang berpatutan.
Ini penting bagi memastikan Kod
Akaun 15000 (“Faedah-faedah Kewangan Yang Lain”) tidak melibatkan
peruntukan bagi perbelanjaan yang boros. Kami yakin penjimatan dari
semakan terhadap perbelanjaan faedah bukan gaji boleh menampung kesan
kewangan bagi tahun 2013 yang dianggarkan RM250 juta itu.
Mengambil kira pertimbangan ini, kenaikan peruntukan gaji kakitangan
kerajaan hanyalah RM4 bilion seperti yang terkandung di dalam Belanjawan
Pakatan Rakyat 2013.
Kami mengucapkan tahniah kepada Dato’ Chua Tee Yong kerana mengambil
sedikit masa untuk meneliti angka-angka yang dibentangkan di dalam
Belanjawan Pakatan Rakyat 2013.
Namun, beliau lebih berhati-hati apabila ingin berhujah menggunakan
angka kerana reputasi beliau sebelum ini pun terjejas teruk apabila
angka-angka yang digunakan sering bertukar-tukar.
Bagi pihak Jawatankuasa Dasar & Manifesto Pakatan Rakyat
YB Dr Dzulkefly Ahmad
Ahli Parlimen Kuala Selangor/AJK PAS Pusat
Ahli Parlimen Kuala Selangor/AJK PAS Pusat
Rafizi Ramli
Pengarah Strategi Keadilan
Pengarah Strategi Keadilan
Dr Ong Kian Ming
Strategis Pilihanraya DAP
Strategis Pilihanraya DAP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan