17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -
SAVU, Indonesia - Penduduk tempatan di sebuah pulau terpencil di
timur Indonesia semalam melapah beberapa ekor ikan paus pilot untuk
dijadikan makanan selepas 41 ekor mamalia itu mati terdampar, kata
beberapa pegawai.
Sejumlah 44 ekor ikan paus pilot terdampar pada malam kelmarin di
pantai Pulau Savu di wilayah Nusa Tenggara Timur, yang mengamalkan
budaya memburu paus untuk dijadikan makanan.
"Penduduk tempatan telah memotong kira-kira 11 ekor ikan paus setakat
ini dan mungkin dagingnya dijadikan lauk," kata ketua pejabat perikanan
Savu, Dominggus Widu Hau kepada agensi berita AFP.
Ketika nelayan tempatan menjumpai paus-paus itu sebelum tengah malam
kelmarin, ia masih hidup. Namun, sudah terlewat dan orang tidak cukup
untuk menolaknya kembali ke laut.
Berpuluh-puluh orang termasuk nelayan, tentera laut dan pegawai polis
bertungkus-lumus sehingga tengah hari semalam untuk memastikan tiga
ekor paus yang terselamat terus hidup.
"Kami berjaya menolaknya kembali ke kawasan perairan, tetapi ia kembali ke pantai," tambah Hau.
Rangkaian Bantuan Haiwan Jakarta mengenal pasti mamalia yang terdampar kira-kira 150 meter dari pantai sebagai ikan paus pilot.
Kata Hau, semua ikan puas yang terdampar itu berukuran antara dua hingga lima meter panjang .- AFP
Tiada ulasan:
Catat Ulasan