03 Oktober 2012

Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria

17 Zulkaedah 1433H. [MOD] -


Kanak-kanak mangsa serangan udara Syria
 
Ratusan orang awam serta kanak-kanak terbunuh kerana konflik berterusan di Syria.
DAMSYIK - Serangan udara berterusan dalam tempoh sehari, membunuh berpuluh penduduk Syria termasuk kanak-kanak, kelmarin.
   
Kumpulan Pemerhati Hak Asasi Kemanusiaan Syria melaporkan, keadaan bertambah buruk apabila pertempuran di antara kumpulan pemberontak dan penyokong kerajaan terus berlaku di bandar besar Aleppo.

Di New York, Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon menggesa Damsyik agar bersimpati dengan mangsa tidak berdosa itu.

Sementara itu, Menteri Luar Syria, Walid Muallem berkata, satu penyelesaian politik masih boleh digunakan jika Barat dan negara-negara Teluk tidak menyokong pemberontak.

Muallem turut menyuarakan kebimbangan terhadap Washington mengenai senjata kimia di Syria sebagai helah seperti yang pernah berlaku di Iraq.

Menurut pemerhati, serangan udara di bandar Salqeen dalam wilayah tawanan pemberontak Idlib yang bersempadan dengan Turki meragut 21 nyawa termasuk lapan budak.

Sekurang-kurangnya 18 anggota tentera terbunuh di wilayah Homs dalam satu serangan hendap oleh kumpulan pemberontak di lebuh raya Damsyik-Palmyra.

Sementara itu, kumpulan pemerhati melaporkan serangan berpeluru turut berlaku di wilayah Hama dan Daraa.

"Hasil maklumat yang dikumpulkan melalui rangkaian aktivis-aktivis dan kumpulan perubatan, kami mendapati jumlah mangsa korban semalam (kelmarin) sebanyak 160 orang, termasuk 112 orang awam di seluruh negara," kata seorang pemerhati.

Dalam pada itu, Ketua Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato), Ander Fogh Rasmussen berkata, stok simpanan senjata kimia Syria adalah kebimbangan besar buat mereka.

Tetapi Nato masih berpendapat konflik itu boleh diselesaikan menerusi kuasa politik dan bukan tindakan ketenteraan.

Setakat ini, sekurang-kurangnya 30,000 orang termasuk lebih 2,000 kanak-kanak meninggal dunia dalam konflik di Syria sejak ia tercetus pada Mac 2011 lalu.  - AFP

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Perang Syria tak habis-habis kenapa Allah tak datang tolong menyelesai perang ini ? Kematian manusia dan harta tiap-tiap terjadi ! Kenapa Allah tak simpati kejadian ini adakah ini juga suatu ujian dan perlu banyak perkorbanan ? Adakah Allah tak wujud atau tak berkuasa ? Jika wujud haruslah bertindak segera !