20 Oktober 2009

Hukum Mengahwini Wanita Hamil

Email : Mr. President
Oleh : ImamKhalid


Sesungguhnya, isu menikahkan seseorang yang terlanjur (mengandung) ini amat berat dan selalu dipraktikkan dalam masyarakat kita pada hari ini. Perhatikan soalan 1 – 5.

Perkahwinan seumpama ini hari ini memang tersangat biasa kerana keluarga biasanya memilih jalan ini untuk menutup malu. Bila dapat tahu anak mengandung luar nikah, cepat cepat kahwinkan.

Berdasarkan kenyataan ini, nikah itu TIDAK SAH, maka pasangan itu kelak akan hidup dalam zina sampai bila-bila… Nauzubillah!

Persoalan ini telah diajukan kepada seorang Imam, di mana banyak persoalan lain timbul dari persoalan pokok tersebut. Saya ingin kongsi bersama anda di sini kerana ianya amat penting:

Soalan 1 : Apakah langkah yang sewajarnya sekiranya seorang gadis belum berkahwin didapati hamil anak luar nikah?

Jawapan 1 : Gadis itu tidak boleh berkahwin sehingga bayi itu dilahirkan.


Soalan 2 : Sekiranya lelaki yang bertanggungjawab itu bersedia mengahwini gadis itu, bolehkah mereka bernikah?
Jawapan 2 : Tidak. Mereka tidak boleh bernikah sehingga bayi itu dilahirkan.


Soalan 3 : Adakah pernikahan itu sah sekiranya mereka berkawin?
Jawapan 3 : Tidak. Pernikahan itu TIDAK SAH. Seorang lelaki tidak boleh mengahwini seorang wanita hamil, walaupun lelaki itu merupakana ayah kepada bayi yang dikandung itu.


Soalan 4 : Sekiranya mereka bernikah, apakah tindakan mereka untuk memperbetulkan keadaan?
Jawapan 4 : Mereka mesti berpisah. Perempuan itu mestilah menunggu sehingga melahirkan, atau sehingga sah dia tidak mengandung, barulah mereka boleh bernikah sekali lagi, secara sah.


Soalan 5 : Bagaimana sekiranya keadaan itu tidak diperbetulkan?
Jawapan 5 : Maka mereka akan hidup di dalam zina kerana pernikahan itu tidak sah.


Soalan 6 : Apakah hak seorang anak luar nikah?
Jawapan 6 : Kebanyakan pendapat mengatakan bahawa anak itu TIADA HAK untuk menuntut apa-apa daripada ayahnya.


Soalan 7 : Sekiranya hukum mengatakan lelaki itu bukan ayah kepada anak tersebut, adakah itu bermakna dia bukan mahram kepada anak perempuannya sendiri?
Jawapan 7 : Ya. Dia tidak boleh menjadi mahram.


Soalan 8 : Sekiranya seorang lelaki Muslim dan seorang wanita Muslim (atau bukan Muslim) ingin bernikah setelah bersekedudukan, apakah tindakan yang sewajarnya?
Jawapan 8 : Mereka mesti tinggal berasingan segera dan menunggu sehingga perempuan itu haid satu kali sebelum mereka boleh bernikah.


Soalan 9 : Sekiranya saya kenal/tahu seseorang di dalam keadaan ini, apakah saya perlu memberitahu kepadanya, atau lebih baik menjaga tepi kain sendiri?
Jawapan 9 : Anda wajib memberitahu, kerana itu sebahagian tanggungjawab anda sebagai saudaranya. Mereka harus diberi peluang untuk memperbetulkan keadaan mereka, kalau tidak semua keturunan yang lahir dari pernikahan tidak sah itu adalah anak-anak yang tidak sah taraf.


Tolong jangan abaikan pesanan ini. Ini merupakan satu perkara yang serius jadi, fahami dan dalami betul-betul dan bincanglah dengan Imam/ustaz sekiranya perlu.

Tambahan penulis: Isu ini telah dibincangkan bersama seorang ustaz dari pejabat agama daerah. Menurut beliau, jika mengikut mazhab syafie, hukumnya adalah harus, tidaklah haram sepertimana yang diamalkan dalam mazhab lain. Sejauh mana kebenarannya, wallahu a’lam…

Memohon sumbangan untuk membiayai kos perubatan

Email : ict team pas kuala kangsar

Salam YB, nak minta tolong buat pengumuman di blog YB,

Seorang ahli PAS , yang juga mantan Ketua Kampong Pakatan Rakyat Kg Bekor iaitu Saudara Nor Anuar b. Abd Rahman telah didapati mengidapi penyakit barah hati.

Beliau yang bekerja sebagai jaga , terpaksa mengambil cuti dalam jangka masa yang panjang disebabkan oleh penyakit ini. Keluarganya memerlukan wang yang banyak untuk membiayai kos perubatan sakit beliau ini.

Kami di PAS Kawasan telah mengambil inisitif dengan membuat kutipan derma untuk membantu beliau. Kami memohon kepada orang ramai untuk menderma bagi meringankan bebanan keluarga beliau. Sebarang pertanyaan & sumbangan , sila hubungi no berikut:

Pak Mat Shih - 019-5705074
Sdr Suhami Mandah - 014-3022448

Terima Kasih



Tuduh PR ganggu sidang Dun, Nizar selar kenyataan Najib

KUALA LUMPUR, 19 Okt: Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hari ini menyifatkan kenyataan Perdana Menteri semalam sebagai tomahan jahat dan cubaan menburukkan imej Adun Pakatan Perak.

Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak itu berkata, kenyataan Datuk Seri Najib yang mendakwa tiada sebab Adun Pakatan akan menggaggu persidangan DUN Perak akan datang seolah olah menggambarkan Adun PR adalah kaki pukul dan samseng.

"Tuduhan ini tidak berasas dan cuba memburukkan imej pakatan perak. Najib tidak sepatutnya membuat tuduhan sebegitu, seolah olah kami ini kaki pukul," katanya ketika ditemui di lobi parlimen pagi tadi.

Najib menurutnya wajar melihat insiden pada persidangan Dun Perak 7 Mei lalu, di mana kekecohan dimulakan Adun BN apabila merampas kerusi speaker V.Sivakumar secara paksa dan melantik R.Ganesan.

Persidangan itu juga katanya menjadi bukti bahawa yang mengganggu persidangan adalah Adun dari BN bukannya Pakatan.

"Apa yang saya boleh gambarkan, pada 7 Mei lalu, yang buat kacau seawal jam 9.30 pagi adalah BN, kerana tidak menghormati speaker yang sah," jelasnya lagi.

Beliau juga sekali lagi menegaskan akan hadir persidangan Dun 28 Oktober ini berdasarkan notis panggilan yang dikeluarkan Speaker Pakatan Rakyat, Sivakumar bukan Ganesan.

Adun Pakatan Perak katanya tidak pernah sesekali mengiktiraf Ganesan sebagai Speaker Perak dan masih berpegang Sivakumar adalah speaker yang sah.

Sehubungan itu katanya, notis panggilan sidang Dun yang dikeluarkan Ganesan adalah tidak sah.

"Kita akan lihat bagaimana keadaan nanti, kami akan bagitahu ganesan bahawa dia bukan speaker yang sah," katanya. Hrakahdaily/-

Haron Din selamat jalani pembedahan kecil di IJN

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din selamat menjalani pembedahan kecil di Institut Jantung Negara dan kembali pulih.

Beliau dijangka akan keluar dari IJN pagi esok selepas membuat pembedahan itu.

Petang tadi, Ketua Pemuda PAS, Nasruddin Hassan Tantawi bersama Setiausaha Pemuda, Kamaruzaman Mohamad dan Exco Pemuda, Adram Yusof menziarahi beliau di IJN.

Haron kelihatan ceria sambil menunjukkan bekas jahitan pembedahannya kepada mereka bertiga.

Hari ini juga ramai para pemimpin PAS menziarahi beliau kerana hampir kesemua mereka berkumpul untuk menyertai mesyuarat Jawatankuasa PASv Pusat pagi tadi dan pada sebelah petangnya majlis rumah terbuka PAS.

Haron dimasukkan ke IJN minggu lalu untuk persiapan pembedahan ini. _

HarakahDaily.Net/-

Ribuan rakyat warnai hari terbuka Aidilfitri PAS

KUALA LUMPUR, 18 Okt: Lebih 10 ribu orang terdiri daripada pelbagai lapisan masyarakat memenuhi perkarangan Markaz Tarbiyah PAS Taman Melewar, Gombak dalam majlis hari terbuka Aidilfitri PAS yang diadakan petang tadi.

Dari mula majlis berlangsung pada jam dua petang, orang ramai tidak putus-putus hadir memeriahkan majlis sehinggalah ianya berakhir pada jam 5 petang.

Dan dari mula hingga akhir majlis jugalah, para pimpinan parti setia berdiri menyambut orang ramai yang tertib beratur untuk bersalam dan bersua muka dengan pemimpin yang amat mereka hormati.

Kehadiran tetamu lelaki disambut Presiden PAS, Tuan Guru Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalannya Ustaz Nasharudin Mat ISa, Naib-naib Presiden Datuk Mahfuz Omar, Salahudin Ayub dan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali serta beberapa pimpinan lain yang masing-masing segak berbaju Melayu dan bersampin.

Mereka berbaris di sepanjang laluan masuk ke dalam dewan Datuk Fadzil Noor yang dijadikan tempat makan bagi tetamu lelaki serta para jemputan khas.

Turut menyambut kehadiran tetamu Menteri Besar Pakatan Rakyat Perak, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaludin.

Tetamu wanita pula disambut mesra oleh Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Saleh, Setiausahanya Kartini Ahmad, Ketua Penerangan Salbiah Wahab dan beberapa pimpinan lain yang turut sibuk melayan tetamu di bawah khemah di bahagian hadapan markaz yang disediakan untuk tetamu wanita.

Ahli Jawatankuasa PS Pusat, Dr Lo' Lo GHazali turut hadir memeriahkan majlis walaupun tangan kanannya masih berbalut akibat perbedahan kecil.

Pentas hiburan Islamik yang disediakan oleh pihak penganjur pada majlis kali ini menjadi penyeri dan tarikan kepada para pengunjung selain pelbagai juadah yang disediakan.

Dari mula hingga akhir majlis tetamu dihiburkan dengan persembahan nasyid dari juara Akademi Nasyid TV9 Azhan Atan, kumpulan nasyid As Saufi serta kumpulan Dikir Barat yang didatangkan khas dari Kelantan, Belia 4B Pulau Hilir kelantan.

Azhan yang juga Ketua Pemuda PAS Kawasan Tanjung Piai Johor menyanyikan tiga buah lagu dari album terbarunya, Ku milikMu sebagai halwa telinga tetamu sambil menikmati juadah yang disediakan.

Persembahan mereka turut diselang seli dengan ucapan para pimpinan.

Sebanyak 50 ribu cucuk sate disediakan kepada tetamu sebagai menu utama. Selain itu ialah 50 gantang nasi dagang, laksa, nasi himpit, lemang, kuih muih serta buah tembikai sebagai pembasuh mulut.

Menurut pengarah program, Ustaz Mohd Nor menu tersebut disediakan untuk anggaran 6 ribu orang.

"Kehadiran orang ramai memang lebih baik pada tahun walaupun kita tahu banyak undangan majlis begini pada hari ini. Alhamdulillah majlis kita tetap mendapat sambutan ramai."katanya yang merupakan Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan.

Tetamu cilik pula tidak pulang dengan tangan kosong apabila duit raya turut disediakan untuk 3 ribu kanak-kanak.

Pada majlis ini juga, PAS mengambil kesempatan melancarkan tabung bencana alam di Padang, Indonesia bagi membantu meringankan beban mangsa di sana.

Antara pemimpin Pakatan Rakyat yang hadir pula ialah Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim, Timbalan Pengerusi DAP Tan Seng Giau Exco Kerajaan Negeri Selangor dari DAP Ronie Liu Elizabeth Wong dari PKR dan T selain Dr Halimah Ali dan Dr Siti Mariah Mahmud dari PAS.

Majlis kali ini juga turut dihadiri tetamu dari Palestin dan beberapa Badan Bukan Kerajaan (NGO) termasuk wakil daripada Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) Syed Ibrahim Syed Noh Setiausaha Gerakan Mahsuhkan PPSMI (GMP) Hasni Abas.

Majlis kali ini juga membuktikan tiada jurang perbezaan antara bangsa dan agama apabila tetamu berbangsa Cina dan India turut kelihatan di celah-celah tetamu Melayu.

Sambutan Aidilfitri PAS merupakan acara tahunan PAS yang diadakan bagi meraikan ahli, penyokong serta merapatkan silatulrahim antara pimpinan, pendokong dengan seluruh masyarakat amnya.

Pada tahun lepas, sambutan ini diadakan di Stadium Malawati Shah Alam._

HarakahDaily.Net/-



5 kaedah bagaimana kemarahan boleh menjadi satu perkara yang baik

Email : mohd naim mohd zain

Pengalaman memarahi orang lain mungkin membuatkan ramai berpendapat rasa marah adalah satu perkara buruk. Menengking anak-anak semata-mata untuk mendapatkan kerjasama mereka tidak selalu meninggalkan rasa positif kepada diri ibu bapa.

Malah, menyaksikan pergaduhan anak ketika mereka melenting juga tidak mendatangkan sebarang perasaan yang menggembirakan.

Namun, mungkin tidak ramai yang sedar bahawa kemarahan itu ada tujuannya dalam kehidupan kita. Ia datang dengan hikmah mengajar manusia seperkara dua tentang cara memperoleh hubungan yang lebih sihat dan bahagia.

Berikut adalah lima kaedah bagaimana kemarahan sebenarnya boleh menjadi satu perkara yang baik:

1. Kemarahan sebagai pelindung

Apabila anak berada dalam situasi merbahaya atau mencemaskan, minda anda secara automatik akan mencetuskan satu rangkaian reaksi yang boleh menaikkan kemarahan.

Maka, anda tidak mempunyai masa untuk berhenti dan memikirkan tindakan berikutnya. Kemarahan sebenarnya memintas fikiran bagi membolehkan manusia terus bertindak serta-merta. Ini sekali gus merupakan kaedah alam atau natural untuk melindungi keluarga daripada sebarang kecederaan.

2. Kemarahan sebagai petanda

Tujuan kemarahan itu wujud adalah untuk menghapuskan masalah-masalah dalam kehidupan, bukannya perhubungan. Apabila sesuatu memerlukan perubahan dramatik, kemarahan tidak hanya memberitahu anda apa yang perlu diketahui, malah, ia memberi anda kuasa untuk melakukan sesuatu.

Misalnya, apabila doktor anak tidak mendengar keluhan anda, maka, menjadi marah mungkin boleh 'merancakkan' suasana dan mencari punca masalah agar ia boleh diselesaikan.

3. Kemarahan mengawal

Anak anda membiarkan semua barangan permainannya berselerak di serata rumah lagi! Terlalu penat untuk menengking perlakuan anak itu untuk mendapatkan kerjasamanya, kemarahan mungkin membantu. Perasaan marah boleh memberitahu bahawa anda mempunyai harapan terlalu tinggi atau peraturan yang ditetapkan tidak cukup jelas.

Gunakan tenaga daripada kemarahan anda untuk berkomunikasi tentang peraturan tersebut. Disusuli dengan disiplin yang konsisten serta berpatutan, seiring dengan usia anak.

4. Kemarahan sebagai suara

Apa yang kita katakan kepada diri biasanya akan menjejaskan tahap emosi. Jika kita memberitahu diri sebagai ibu bapa yang teruk, maka, teruklah jadinya. Sebaliknya, jika kita berkata kepada diri agar melakukan yang terbaik dalam apa juga situasi, maka, kita akan bertindak tanpa rasa terlalu tertekan.

Belajarlah mendengar 'suara kecil' dan cuba mencabar sebahagian persepsi salah yang telah anda terapkan untuk diri dan si anak. Mintalah pandangan jujur daripada rakan-rakan. Jika apa yang anda katakan tentang diri itu benar, maka, gunakan maklumat ini untuk membuat perubahan dalam hubungan anda dan anak.

5. Kemarahan sebagai pengajaran

Gaya pengurusan kemarahan biasanya diwarisi daripada ibu bapa. Andainya ibu anda merupakan seorang yang suka menengking atau menjerit, maka besar kemungkinan, anda akan mengikut jejaknya. Biarpun setelah anda bersumpah tidak akan bersikap sepertinya.

Buangkan idea bahawa kemarahan itu satu perasaan yang buruk. Kemarahan ialah satu proses natural dan tidak dapat dielakkan. Tetapi, pastikan anda faham emosi ini boleh dikawal. Buktinya, menerusi sedikit latihan.

Berikan diri anda masa untuk mencari kaedah berdepan dengan cabaran mendidik anak, sama ada melalui bacaan buku ataupun menghadiri kelas mengurus kemarahan.

Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web http://www.angerman agementgroups. com/