28 September 2009

Rumah pengerusi DAP S'wak dibaling bahan letupan

Pengerusi DAP Sarawak, Wong Ho Leng dikejutkan dengan penemuan bahan letupan bunga api yang gagal meletup yang ditemui di perkarangan rumahnya kira-kira jam 7 pagi ini.

"Bahan yang ditemui itu mampu menghasilkan letupan yang kuat dan memekakkan telinga, malah lebih berbahaya daripada bom botol (molotov cocktail)," katanya kepada pemberita di rumahnya di Jalan Ipoh di Sibu.

Wong yang juga seorang peguam dan ADUN Bukit Assek berkata beliau telah membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Saya tidak pernah menyangka saya menjadi sasaran sebegini. Polis ada bertanyakan sama ada saya ada musuh, secara jujur adalah mustahil bagi seorang ahli politik tidak mempunyai musuh politik," katanya, lapor Bernama

Beliau percaya bahan letupan itu dilempar ke perkarangan rumahnya selepas jam 1 pagi kerana beliau tidak melihat apa-apa sebaik pulang daripada menghadiri satu majlis kira-kira jam 12 tengah malam.

"Saya bersyukur kepada tuhan ia tidak tidak meletup walaupun ia sudah dibakar," katanya.

Beliau berkata ini bukan kejadian pertama ahli politik DAP di negeri itu menjadi sasaran sedemikian.

"Baru-baru ini bom botol telah dilempar ke perkarangan rumah ahli Parlimen Bandar Kuching dari DAP, Chong Chieng Jen.

"Saya mengutuk perbuatan keji ini," katanya.

MalaysiaKini/-

Nik Aziz jawab cabaran Ibrahim Ali

Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan cabaran ahli parlimen Pasir Mas Datuk Ibrahim Ali, supaya beliau meletakkan jawatan sebagai isu lama yang tidak perlu dilayan.

Mursyidul Am PAS itu berkata rakyat boleh menilai sendiri apa yang telah dilakukannya sepanjang mentadbir Kelantan selepas memenangi pilihan raya umum 1990.

Banyak perubahan dari segi pembangunan telah dilaksanakan di Kelantan, termasuk di daerah-daerah terpencil seperti Gua Musang, Tanah Merah dan Jeli, katanya kepada pemberita di majlis Aidilfitri PAS di perkarangan Stadium Sultan Mohamed Ke-1V, di Kota Bharu hari ini, lapor Bernama.

Beliau mengulas kenyataan Ibrahim semalam yang mencabarnya meletak jawatan kerana gagal melaksanakan tugas sebagai menteri besar dan juga atas alasan beliau sudah tua dan wajar memberi laluan kepada pemimpin muda.

Cabaran Ibrahim itu adalah sebagai susulan kepada desakan menteri besar itu supaya ahli parlimen Pasir Mas itu melepaskan jawatan ekoran tindak tanduknya yang semakin bertentangan dengan parti itu. Pada pilihan raya umum 2008, Ibrahim memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas sebagai calon Bebas atas tiket PAS.

Nik Abdul Aziz berkata faktor tua bukan menjadi penghalang seseorang daripada menjadi pemimpin politik.

"Tua apa salahnya, kalau muda pun hanya sampah apa guna?" katanya.

MalaysiaKini/-

Meriah, 5000 hadir hari terbuka ADUN Titi Serong.

ADUN Titi Serong dan Isteri dikerumuni oleh kanak-kanak untuk mendapatkan "duit raya".

PARIT BUNTAR, 26 Sept.:- Kemeriahan Hari Raya Aidil Fitri pada tahun ini di kongsi bersama oleh sekitar 5000 orang pelbagai lapisan masyarakat dalam DUN Titi Serong tidak mengira bangsa dan agama dalam Hari Terbuka Aidil Fitri ADUN Titi Serong,Drs. Khalil Idham Lim yang diadakan dihadapan Pusat Khidmat ADUN Titi Serong di sini.

Hadir sama dalam Majlis tersebut ialah Ahli Parlimen Parit Buntar, YB. Dr. Mujahid Yusof Rawa, Exco Agama Perak Pakatan Rakyat, YB. Hj. Zainuddin Yusof, YB.Chan Lih Kang(Teja), YB. Hussin Din (Selingsing), YB. Ramli Tusin (Gunung Semanggol), YB. Chan Ming Kai (Simpang Pulai) dan YB. Abd. Yunus Jamhari (Kuala Kurau). Selain itu hadir Sama ialah YDP PAS Kawasan Parit Buntar, Hj. Harun Hashim bersama AJK PAS Kawasan yang lain.

Drs. Khalil bergambar bersama dengan ADUN Pakatan Rakyat Perak yang hadir. Penampilan istemewa, ADUN Simpang Pulai, YB. Chan Ming Kai, dan ADUN Teja, YB.Chang Lih Kang berbaju Melayu dan bersongkok.


Semua tetamu diatas telah diberi peluang untuk memberikan ucapan Hari Raya kepada para hadirin.

Program yang diadakan dari Jam 3.00 petang hingga 6.oo petang itu seawalnya telah bermula pada jam 2.30 petang apabila ramai yang hadir lebih awal.

Suasana lebih ceria bagi kanak-kanak dengan pembahagian duit raya oleh Drs. Khalil bersama isteri sepanjang program berlangsung. Sebanyak hampir 1000 sampul duit raya telah diagihkan.

Drs. Khalil dan isteri mengambil peluang sepanjang program untuk beramah mesra dengan hadirin yang hadir.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada semua yang hadir dalam majlis tahunan anjuran Pusat Khidmat ADUN Titi Serong ini" Ucap Drs. Khalil kepada yang hadir.

Semasa ditemui ADUN Lubok Merbau yang juga Exco Agama Pakatan Rakyat Perak menjelaskan sambutan yang meriah diberikan kepada Majlis anjuran ADUN Titi Serong ini mengambarkan sokongan yang masih kuat kepada Pakatan Rakyat di negeri Perak.

"Saya ucapkan tahniah kepada ADUN Titi Serong dengan kejayaannya mengumpulkan pelbagai lapisan masyarakat tidak mengira bangsa dan agama pada hari ini"

Semasa memberikan ucapan,ADUN Teja,Chan Lih Kang menyatakan " Semuanya nampak baik dan ceria pada petang ini , cuma yang tidak baik ialah DUN Perak masih belum dibubarkan".