24 November 2008

Isu babi: Media harian ketandusan isu

MACHANG, 23 Nov : - Nampaknya media harian benar-benar ketandusan isu untuk memperlekeh kerajaan Pakatan Rakyat sehingga terpaksa menjadikan cadangan menternak babi di Kedah sebagai polemik.

Sedangkan keputusan untuk menternak babi dibuat kerajaan Barisan Nasional yang diteruskan kerajaan yang ada sekarang.

Bekas anggota Exco kerajaan Kelantan, Dato' Hassan Mohamad berkata, cadangan membuka sebuah ladang menternak babi secara moden di Kedah tidak patut dijadikan isu kerana ia menjadi makanan orang bukan Islam.

Katanya, babi merupakan makanan bagi orang bukan Islam dan tidak ada sebab kerajaan mahu menyekat mereka untuk menternak babi secara lebih terkawal.?

"Lagi pun ia akan diternak secara moden dengan pengurusan yang kemas tanpa melibatkan pecemaran alam sekitar. Islam hanya melarang umat Islam sahaja memakannya tetapi orang bukan Islam?boleh,"? katanya pada ceramah Isu-Isu Semasa di Dewan Majlis Daerah Machang malam tadi.

Sebelum ini, Menteri Besar Kedah, Dato' Seri Azizan Abdul Razak memaklumkan kerajaan negeri terbabit telah meluluskan satu kawasan kepada sebuah syarikat swasta ?untuk dijadikan ladang menternak babi secara moden.

Menurut Hassan yang juga Yang Dipertua PAS Machang langkah itu diambil kerajaan Kedah bagi memusatkan ladang perternakan di satu kawasan sahaja berbanding sekarang berselerak.

"Ekoran pengumuman tersebut, media arus perdana telah memperbesarkan isu berkenaan dengan?tujuan untuk memburukkan kerajaan Kedah yang dipimpin PAS," ujarnya.

Oleh itu kata beliau langkah kerajaan Kedah sepatutnya disokong kerana ia dapat menempatkan penternakan babi di satu tempat sahaja dan dikendalikan tanpa melibatkan percemaran alam sekitar.

Turut hadir di majlis itu anggota Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar, anggota Parlimen Machang, Saifuddin Nasution Ismail dan Senator Mumtaz Mohd Nawi.

harakahdaily.

China Tingkatkan Pembinaan Infrastruktur untuk Merangsang Pertumbuhan Ekonomi.

Demi menangani kesan krisis kewangan antarabangsa terhadap China dan mencegah kelembapan ekonominya, kerajaan China baru-baru ini telah mengeluarkan 10 pasal langkah brkait dengan meningkatkan permintaan dalam negeri dan merangsang pertumbuhan ekonomi. Karajaan China akan memperuntukkan 4 ribu billion yuan RMB terhadap pembinaan infrastruktur termasuk pembinaan infrastruktur bagi tempoh dua tahun yang akan datang.

Kementerian Kewangan China akan melabur 100 bilion yuan RMB sebagai langkah pertama yang akan dilaksanakan sebelum akhir tahun ini. Daripada jumlah tersebut sebahagian akan dilaburkan bagi pembinaan infrastruktur, iaitu 34 bilion yuan RMB akan diperuntukkan kepada projek pembinaan infrastruktur di desa. 25 bilion yuan RMB bagi pembinaan infrastruktur pengangkutan, seperti landasan jalan raya dan lapangan terbang, dan 10 bilion yuan RMB bagi projek pembinaan perumahan penduduk. Menteri Perumahan, Pembinaan Bandar dan Luar Bandar China, Jiang Weixin menyatakan bahawa kerajaan pusat tahun ini akan meningkatkan peruntukan bagi projek pembinaan rumah sewa murah kepada keluarga yang miskin di kawasan tengah dan barat China. Di samping itu, kerajaan juga meningkatkan jumlah pembinaan rumah yang berharga murah supaya peruntukan tersebut dapat digunakan dengan baik.

Jurucakap Kementerian Kereta Api China, Wang Yongping menyatakan bahawa peruntukan bagi pembinaan landasan kereta api yang berjumlah 15 bilion yuan RMB akan disediakan pada akhir bulan November tahun ini. Pada masa yang sama, rancangan pelaburan untuk pembinaan landasan kereta api yang berjumlah 600 bilion yuan RMB akan disediakan pada tahun 2009. Beliau menyatakan bahawa pembinaan landasan kereta api secara besar-besaran akan membawa kesan yang positif dalam usaha meningkatkan pertumbuhan ekonomi China.

Naib Menteri Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China, Encik Mu Hong menyatakan bahawa Selain peruntukan daripada kerajaan pusat, peruntukan yang besar diperlukan daripada kerajaan tempatan. Untuk menyelesaikan masalah kekurangan modal tempatan sekarang ini, kami akan mengambil dua tindakan, iaitu pertama, berdasarkan keadaan semasa, kadar peruntukan kerajaan pusat akan ditingkatkan atau dikurangkan, atau pun modal tempatan dikecualikan. Dan kedua, kerajaan pusat akan mengizinkan kerajaan tempatan melakukan peralihan pinjaman atau pengumpulan modal.

radioantarabangsa.

Adil

’‘Wahai orang-orang yang beriman, jadilah kamu orang yang benar-benar menegakkan keadilan, menjadi saksi kerana Allah, biarpun terhadap dirimu sendiri atau ibu bapa dan kaum kerabatmu” (QS. An-Nisaa‘: 135).

Kadangkala manusia lebih mementingkan perintah manusia berbanding perintah Allah. Contohnya, banyak manusia yang tidak mahu berlaku adil terhadap orang lain dan terhadap diri sendiri, ramai orang yang berani melakukan jenayah dengan apa saja, baik dengan harta benda atau kekuasaannya, sehingga dengan sendirinya mengabaikan perintah Allah.

Ramai orang yang lebih mementingkan wang sogokan rasuah berbanding mempertahankan imannya kepada Allah. Padahal, wang satu atau dua ribu ringgit amat sedikit nilainya kerana hanya mampu mempertahankan hidup seseorang dalam beberapa waktu saja. Namun ketika melakukan maksiat, berarti menghancurkan bekal yang amat tinggi nilainya, kerana iman boleh membantu pemiliknya bukan sahaja didunia malah sampai ke akhirat kelak.

Yang lebih dasyat lagi, ketika maksiat dilakukan, ada pihak lain yang teraniaya. Iaitu orang yang seharusnya lebih berhak menang dalam perkara tertentu. Dalam keadaan demikian, pelaku maksiat juga akan berhadapan dengan dosa penganiayaan atau kezaliman.

Itulah manusia, makhluk pelupa yang seringkali pula berpura-pura lupa. Bila yang kena orang lain, hukum ditegakkan dengan adil, namun bila mengenai diri sendiri, kerabat atau kawannya, hukum diabaikan. Namun demikian, kita berharap agar masih adan manusia yang tetap berlaku adil di dunia ini.

Kerajaan Perak terbit 'Fakta', tangani propaganda Umno-BN

IPOH, 23 Nov : - Kerajaan Pakatan Rakyat Perak terpaksa menubuhkan pasukan Urus Setia Penerangan sendiri untuk bertindak segera menangkis segala tohmahan serta manipulasi berita oleh Umno-BN ketika ini.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Muhammad Nizar Jamaluddin mengakui bahawa kerajaannya sekarang sejak ditubuhkan sembilan bulan lalu hingga ke hari ini sering diburuk-burukkan dengan pelbagai tohmahan dan propaganda jahat Umno-BN.

Menurutnya, disebabkan Jabatan Penerangan sedia ada tidak dipercayai langsung, maka terpaksalah kerajaan negeri ketika ini menubuhkan unit Penerangan khas untuk memerangi perbuatan umno/BN yang tidak bertanggungjawab untuk melemahkan kerajaan negeri.

"Maka hari ini dengan tugas sulung unit tersebut telah menerbitkan buletin Edisi Khas FAKTA mempunyai empat muka surat untuk menangkis berita-berita dan isu-isu terkini seperti 'MB rampas kamera', 'Wartawan media arus perdana putar belitkan fakta Cukai Pintu MBI' dan fitnah oleh umno-BN tentang Perjanjian Pangkor 11 itu, dapat dipatahkan,"jelas Muhammad Nizar semasa berucap merasmikan majlis Urus Setia Penerangan Kerajaan Negeri Perak di Dewan Serbaguna, Bangunan Setiausaha Kerajaan (SUK) di sini semalam.

Tegasnya, Kerajaan Perak mulai dari sekarang akan menggunakan FAKTA untuk membalas balik propaganda dari umno-BN.

"Jika terdapat isu-isu panas memburukkan Kerajaan ianya diterbitkan segera sebagai 'balas balik' untuk rakyat membaca dan mengetahui kedudukan sebenarnya.

"Ianya diberi percuma dan dicetak sebanyak 30,000 naskah setiap keluaran,"katanya.

Disamping itu juga, katanya, Citra Perak buletin bulanan Kerajaan Negeri tetap diedarkan percuma.

Sementara itu, Nizar berharap kepada peserta yang hadir dalam majlis tersebut bersikap positif kerana merekalah sebagai benteng jurucakap kerajaan Pakatan Rakyat untuk mematahkan berita-berita dan isu karut marut dari media dan perbuatan jahat umno-BN itu.

"Semoga kita kuat memberikan tentangan hebat dengan mengalahkan musuh-musuh yang tidak nampak berada di dalam selimut kita dan dari media, TV dan radio masuk meracuni fikiran rakyat ke rumah-rumah itu,"tegas Nizar di hadapan lebih 200 orang yang terdiri daripada penulis blog Perak, pegawai-pegawai serta Lajnah Penerangan Parti Pakatan Rakyat.

harakahdaily.net

Umno tidak relevan, Najib tidak mampu - Mahathir

KUALA LUMPUR, 23 Nov :- Budaya mahukan jawatan, amalan rasuah dan politik wang menjadikan Umno tidak relevan lagi.

Demikian penegasan yang dibuat oleh bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad dalam majlis wacana 'Dilema Melayu' anjuran Gapena semalam.

Menurut Tun Mahathir, seandainya Dato' Seri Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri dan Presiden Umno, masalah rasuah tidak akan dapat diatasi kerana telah menjadi satu budaya dalam Umno.

Beliau turut mempersoalkan sama ada peralihan kuasa yang dicadangkan antara Perdana Menteri Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalannya, Najib mampu untuk memulihkan semula parti.

"Apakah dengan peralihan kuasa itu dapat memulihkan parti? Saya tidak boleh yakin lagi kerana saya belum lagi nampak Najib mampu menyelesaikan masalah rasuah dan politik wang.

"Kita tidak akan dapat semula Umno yang bersih untuk mewakili kita selagi ia tidak dibendung," jelasnya sambil mengakui ia telah menjadi satu budaya dalam Umno.

Katanya, apabila ia sukar dibendung dan dikawal maka ia secara tidak langsung akan menyebabkan Umno akan menjadi parti yang tidak relevan lagi pada perjuangan orang-orang Melayu.

Tambahnya, amalan kepimpinan melalui teladan adalah contoh yang terbaik di samping usaha berterusan membanteras rasuah yang makin kronik ketika ini.

Beliau juga menyarankan agar pemimpin yang terajui parti perlu tegas dan ambil langkah serta tindakan yang tegas terhadap individu yang terlibat dengan rasuah.

Katanya lagi, seandainya ada pemimpin sendiri yang terlibat dengan rasuah, maka janganlah memilih pemimpin berkenaan sambil merujuk kepada pemilihan Umno yang akan diadakan pada tahun hadapan.

"Kita mahukan pimpinan yang tegas dan mengambil sebarang tindakan terhadap sesiapa sahaja yang terlibat. Untuk ahli, kalau pemimpin itu terlibat dengan rasuah, jangan pilih dia.

"Kita tak boleh harap pembaharuan boleh dilakukan dalam Umno dan mereka harus ingat, kalau orang tidak memberi undi mereka tidak boleh menang atau sekiranya mereka menang dalam pemilihan parti, tak semestinya mereka akan menang pilihan raya," katanya.

Dalam sidang media selepas majlis berkenaan, Tun Mahathir mengingatkan agar pemimpin yang dipilih perlulah berdasarkan kepada kebolehannya dan bukan atas faktor kewangan.

harakahdaily.