31 Mac 2008

Takut kepada Allah

“Barangsiapa tidak takut kepada Allah, maka Allah menjadikannya takut kepada segala sesuatu” (HR. Baihaqi).

Di awal awal pelantikan para pemimpin seperti sekarang ini, kita rindu rasanya akan kata-kata pemimpin rakyat seperti apa yang dikatakan salah seorang pemimpin rakyat masa lalu, "Andaikan negeri ini makmur, maka biarlah rakyat yang pertama sekali menikmatinya dan saya yang terakhir menikmatinya. Namun apabila negeri ini menderita biarlah saya yang akan pertama sekali merasakannya.” Jangan sampai terucap kata kata: "Terserah negeri ini menjadi makmur atau melarat, yang penting saya selalu menikmati kemakmuran dan kemewahan, pedulikan mereka semua kerana aku sekarang sudah berkuasa."

Ucapan kata-kata yang disebut terakhir ini boleh terjadi bila orang yang diserahi kekuasaan untuk mengurus atau memperhatikan rakyat nantinya hanya memperjuangkan hak peribadi sendiri secara berlebihan dengan membuat keputusan secara bersendiri. Umpamanya, keputusan-keputusan untuk kepentingan peribadi atas nama rakyat. Sedangkan di saat yang sama, cukup banyak rakyat dalam wilayah kekuasaannya sedang dihimpit dengan kemiskinan.

Perilaku mementing diri sendiri dengan mengabaikan amanah memberi makna seseorang pemimpin itu tidak takut terhadap Allah. Sebab, peraturan-peraturan Allah yang harus dipenuhi oleh orang-orang yang diserahi kekuasaan mengurus rakyat ialah amanah yang berat dan besar. Apalagi seperti dikatakan Rasulullah SAW, "siapa saja yang tidak takut kepada Allah akan takut kepada yang lain". Kenyataannya, tidak sedikit orang yang lebih takut tidak kaya raya di saat memegang jawatan berbanding takut kepada Allah dengan memenuhi amanah. Semoga kita tidak demikian .

Menteri Besar Terengganu Angkat Sumpah

KUALA TERENGGANU 30 Mac — Tiga hari selepas mendapat sokongan Majlis Tertinggi UMNO terhadap pelantikannya sebagai Menteri Besar oleh Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Terengganu, Datuk Ahmad Said hari ini mengangkat sumpah bagi jawatan itu.

Istiadat yang diadakan di hadapan Pemangku Sultan Terengganu Tengku Muhammad Ismail Tuanku Mizan Zainal Abidin berlangsung di Balairong Seri, Istana Maziah di sini.

Selesai melafazkan sumpah jawatan dan ikrar taat setia sebagai Menteri Besar, anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Kijal yang berusia 51 tahun itu kemudian menandatangani surat pelantikannya.

Ahmad, yang berpakaian baju Melayu serba hitam, kelihatan tenang sepanjang berlangsungnya majlis itu.

Istiadat itu turut disaksikan oleh Yang Di-Pertua Majlis Penasihat Pemangku Raja (MPPR) Tengku Sri Panglima Raja Tengku Baderulzaman dan dua anggota MPPR iaitu Tengku Sri Laksamana Raja Tengku Sulaiman Sultan Ismail dan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Abdul Kadir Sulaiman.

Bekas Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Idris Jusoh, yang juga Adun Jertih serta Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang juga Adun Rhu Rendang serta semua Adun Terengganu menghadiri istiadat hari ini.

Melayu sudah hilang kuasa – Ku Li

KOTA BHARU 30 Mac – UMNO perlu menerima hakikat bahawa orang Melayu sebenarnya sudah hilang kuasa dan hanya mengharapkan bantuan dari Sabah serta Sarawak untuk terus kekal memimpin negara.

Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) berkata, parti itu perlu melakukan sesuatu kerana rakyat khususnya di Semenanjung sudah mula hilang kepercayaan terhadapnya.

Beliau berkata, UMNO kini hanya mengharapkan sokongan daripada kedua-dua negeri tersebut dan sewajarnya tuntutan mereka didengar serta dilayan.

“Kalau kita tidak mendapat sokongan daripada Ahli Parlimen di Sabah dan Sarawak, UMNO tidak ada kuasa langsung di Parlimen kerana suara kita yang ada tidak sampai separuh.

“Apakah kita masih berangan-angan lagi dan tidak mahu bertindak memperbaiki kedudukan, satu perkara serius kuasa Melayu sudah hilang di negara ini.

“Kita pun tidak melayan tuntutan mereka (Sabah dan Sarawak) sebagaimana sepatutnya kerana mereka mendapat sokongan besar daripada rakyat untuk mendukung UMNO di Semenanjung yang benar-benar gagal untuk mempertahankan kedudukannya,” kata beliau ketika ditemui di Lapangan Terbang Sultan Yahya Petra di sini malam tadi.

Sultan Kelantan rakam tahniah kepada Menteri Besar

Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al-Marhum Sultan Yahya Petra merakam ucapan tahniah kepada Menteri Besar dan ahli-ahli Exco serta wakil rakyat yang dipilih pada pilihan raya umum Ke-12, 8 Mac lalu.




Oleh itu titah baginda kerajaan negeri yang baru dibentuk diharap dapat melaksanakan pembangunan bagi membolehkan rakyat hidup aman dan sejahtera.

Baginda bertitah, ahli Exco perlu memainkan peranan berdasarkan portfolio masing-masing secara bijaksana mengikut saluran yang ditetapkan.

Jadilah pemimpin yang bertakwa dan ingatlah kita akan mati dan orang di sekeliling kita tahu apa yang dilakukan.

Elakkan pembaziran di samping mengambil langkah yang lebih berkesan dan mantap bagi menjana sumber pendapatan negeri.

Pastikan perbelanjaan kerajaan diurus tadbir dengan baik dan cekap di samping mencari sumber baru bagi peningkatan punca hasil negeri dengan menjadikan sumber mineral seperti minyak dan emas sebagai sumber baru,titahnya pada istiadat pengurniaan darjah kebesaran sempena ulang tahun Hari Keputeraan baginda ke-58 di Istana Balai Besar di sini, hari ini.

Sebelum itu baginda memeriksa perbarisan dan menerima tabik hormat daripada pasukan keselamatan di Padang Merdeka.

Sultan Kelantan juga menyeru semua pihak supaya memelihara sumber hasil negeri dengan merancang pembangunannya sebaik mungkin dan mematuhi undang-undang serta peraturan berkaitan.

Terdahulu baginda menyempurnakan Majlis Pengurniaan Kehormatan Negeri bagi Darjah Kebesaran kepada seramai 79 penerima.