Mohd hafez sabri
Pilihanraya kecil Permatang Pasir telah berlalu di dalam bulan Ramadhan. Dengan mengambil iktibar dan semangat Badar al-Kubra, para petugas Parti Islam Se-Malaysia menuju ke medan pertempuran di Permatang Pasir dengan tujuan meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi. Akan tetapi, episod Badar al-Kubra yang berlaku di dalam bulan Ramadhan telah berlalu, dan kini kemeriahan Syawal dirai dengan perasaan kemenangan.
Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Abu Bakar Hussain mengulas situasi semasa kini, melihat kepada konteks Pilihanraya Kecil Bagan Pinang, mengaitkan ianya dengan sirah Nabi Muhammad S.A.W tentang peperangan yang berlaku di dalam bulan Syawal, iaitu Perang Ahzab. Peristiwa yang berlaku di dalam bulan Syawal pada tahun ke-5 Hijrah itu, hanya melibatkan 3000 orang tentera dibawah pimpinan Rasulullah SAW sendiri dan seramai 10000 orang tentera musyrikin yang membentuk barisan tentera Ahzab. Peperangan ini menyaksikan 2 perkara yang penting di dalam mana-mana pertempuran dan perlu bergerak seiringan, iaitu kebergantungan kepada Allah SWT dan juga kebijaksanaan merancang strategi.
Rasulullah SAW telah menggunakan strategi daripada Salman al-Farisi R.A untuk menghalang kemaraan tentera Ahzab daripada memasuki Madinah. Rasulullah SAW juga manggunakan Nu’iem Bin Mas’ud R.A, yang baru sahaja memasuki Islam, yang mana pada ketika itu belum lagi diketahui oleh pihak musuh keIslamannya, telah bertindak menyusup masuk dan mengadu domba barisan tentera Ahzab yang terdiri daripada Bani Quraisy, Bani Sulaim, Asad, Fazarah, Asyja’ dan Bani Ghatfan. Di dalam peperangan ini juga, Rasulullah SAW meminta Huzaifah al-Yamani meninjau kekuatan pihak musuh dengan memasuki kem Abu Sufian dan kemudian melaporkan kepada Rasulullah SAW kembali.
Peperangan Ahzab yang seringkali disebut dalam takbir hari raya, juga menunjukkan hanya Allah SWT yang berkuasa dalam menentukan kalah menang dalam satu perebutan kuasa. Di dalam peperangan Ahzab, Allah SWT, telah mengurniakan ribut taufan yang memusnahkan segala peralatan perang dan bekalan tentera musyrikin.
“Hai orang-orang yang beriman, ingatlah akan nikmat Allah (yang telah dikurniakan) kepadamu ketika datang tentera-tentera, lalu Kami kirmkan kepada mereka angin taufan dan tentera yang tidak dapat kamu melihatnya. Dan Allah Maha Melihat akan apa yang kamu kerjakan” – Surah a-Ahzab ( 33 : 9 )
Menurutnya lagi, Pilihanraya Kecil (PRK) Bagan Pinang yang berlaku di dalam bulan Syawal telah menyaksikan suatu pertembungan di antara PAS dan Barisan Nasional. Memetik ucapan beliau ”Kita sebagai pihak yang ingin meninggikan kalimah Allah SWT di muka bumi, kita yakin, kita berada di pihak yang benar dan di dalam konteks pertembungan yang wujud di Malaysia, pilihanraya adalah medan yang sama buat para ’amilin di dalam PAS untuk berjuang menegakkan keadilan Islam di muka bumi Allah SWT”. “Dan kita yakin Allah SWT akan tetap bersama kita dalam memberikan kemenangan untuk kita walaupun dikatakan mereka mempunyai kelebihan undi pos. ”Dengan melaksanakan kerja dengan cermat berdasarkan 2 paksi yang telah disebutkan tadi, insya-Allah kita akan memperolehi kemenangan di Bagan Pinang”. ”Dengan kemenangan ini, kita yakin insya-Allah UMNO dan Barisan Nasional akan tumbang di Perak dan seterusnya di dalam Pilihanraya Umum (PRU) ke-13 yang akan datang”, katanya lagi mengulas mengenai nasib UMNO dan Barisan Nasional di Malaysia.
Beliau menasihatkan agar para pekerja parti yang terlibat dalam PRK Bagan Pinang dari Perak khususnya, agar tidak lupa menunaikan solat hajat kerana ianya merupakan salah satu amalan Rasulullah SAW di dalam Perang Ahzab.