21 Mac 2013

Air percuma: Tindakan kerajaan PR S'gor selaras PBB

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Tindakan proaktif kerajaan Selangor memberi air percuma kepada rakyat adalah selaras dengan kehendak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menetapkan bahawa air adalah hak mansia dan ianya tidak boleh dikomersilkan ataupun dipolitikkan.

Pengerusi Lajnah Air dan Alam Sekitar PAS Pusat, Zulkifli Omar berkata, tindakan mengkomersilkan agensi air untuk keuntungan semata-mata adalah satu tindakan yang tidak bertanggjawab dan melanggar hak asasi manusia. 

Katanya, mana-mana kerajaan negeri tidak seharusnya menjadikan air untuk mendapat keuntungan semata-mata kerana ianya bercanggah dengan PBB.

Malangnya, kata beliau, langkah kerajaan Malaysia yang mempolitikkan air adalah satu tindakan silap seperti yang berlaku di Selangor di mana kerajaan negeri menghadapi masalah untuk mengambil alih syarikat yang mengendalikan air di negeri itu.

Bersempena Hari Air Sedunia yang akan disambut pada 22 Mac 2013, ianya merupkan program yang dianjur dan disambut oleh PBB kerana Plan Agenda 21.

Agenda 21 adalah plan tindakan yang diguna pakai di Persidangan Alam Sekitar dan Pembangunan di Rio De Jeneiro Brazil semenjak 1992

Ia adalah pelan tindakan untuk mengawal aktiviti manusia yang mungkin memberi kesan kepada alam sekitar.

Sehubungan itu, Zulkifli melahirkan kekecewaan di atas sikap kerajaan pusat yang tidak menyediakan peruntukan besar untuk menyelesaikan masalah air di seluruh negara seperti yang berlaku di Pahang, Sabah Sarawak, Johor dan lain-lain.

"Misalnya di Sabah hasil lawatan kerja lujnahnya mendapati 40 peratus rakyat Sabah yang menikmati bekalan air dan kualiti air amat membimbangkan," katanya.

Oleh yang demikian, katanya amat bersetuju dengan janji Pakatan Rakyat yang akan memberi keutamaan soal keperluan asas seperti air dan lain-lain di mana komitmen Pakatan Rakyat sekiranya berjaya menawan putrajaya sebarang pembangunan akan memberi keutamaan kepada soal kepentingan alam sekitar dan kehidupan lain. 

Bagaimanapun,  apa yang berlaku hari ini katanya, penyediaan bajet yang tidak seimbang malah tidak diberi keutamaan dalam bajet 2013 menyebabkan banyak negeri menghadapi masalah air yang tidak mencukupi.

Beliau berpendapat sekiranya peruntukan sebanyak RM15 billion disalurkan ianya boleh membantu mengatasi masalah air di seluruh negara termasuk penyediaan infrastruktur dan teknikal penjagaan kawasan sumber air. 

"Kita berharap atas kesedaran sambutan kali ini akan membantu menjaga sungai-sungai kita yang dicemari di mana negara-negara maju seperti Jerman dia mampu menjaga sungai dengan baik sehingga air sungainya boleh minum," katanya ketika mengunjungi Harakahdaily. 

Sebelum ini, Lujnah Alam Sekitar PAS Pusat telah menganjurkan beberapa siri program sebelum ini khususnya memberi kesedaran kepada masyarakat tentang kepentingan air dan isu-isu yang boleh menjejaskan sumber air.

Antara siri program yang iaitu mengadakan program hijaukan bumi di Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang.

Lujanah  juga telah mewujudkan deklarasi air  bersama dengan gabungan Ngo Solidariti Hijau yang menggabungkan 80 Ngo berdaftar dalam negara. 

Di antara dekralasi ini ialah memberi penekanan kepada pihak kerajaan dan masyarakat supaya sentiasa melindungi sumber air,  kedua, air adalah merupakan hak asasi manusia yang diiktiraf oleh PBB yang mana setiap rakyat berhak mendapat bekalan air yang bersih, ketiga sebarang pembangunan yang merosakkan kawasan tadahan dan sumber air dan sungai mestilah dikawal dan diselia dengan baik dan keempat, air tidak boleh dipolitikan kerana sudah menjadi satu kewajipan kepada kerajaan memberi bekalan air yang bersih kepada rakyatnya. 

Harakahdaily/-

Bekas pemimpin PKM Suriani Abdullah meninggal dunia

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


NONE
NONESuriani Abdullah, srikandi yang amat dikenali dalam Parti Komunis Malaya (PKM), meninggal dunia pada kira-kira jam 6 pagi ini di kediamannya di Narathiwat, Thailand.

Suriani, 89, yang mengalami masalah kesihatan sejak lima tahun lalu, selain masalah ingatan, meninggalkan suaminya – bekas pemimpin PKM Abdullah CD – dan seorang anak perempuan, Karisma.

Jurucakap PKM yang ingin dikenali sebagai Mat Amin berkata masyarakat bekas tentera PKM itu, yang tinggal di perkampungan yang sama memberi penghormatan terakhir untuk "komrad dan ibu yang amat mereka sayangi".

"Walaupun terlantar sakit, beliau setiasa bertanya mengenai kampung tersebut dan kemajuannya. Beliau sentiasa menasihati kami untuk meningkatkan pendapat dan amat cakna dengan keadaan kampung dan penduduknya," katanya dalam satu kiriman emel kepadaMalaysiakini.

Suriani dilahirkan pada tahun 1924 dengan nama Eng Ming Ching, di Setiawan, Perak dan menyertai pergerakan bawah tanah PKM pada tahun 1940 pada usia 16 tahun.

Beliau aktif menyusun golongan pekerja wanita di Lembah Kita dan kemudiannya menyertai kumpulan gerila anti-fasis Malayan People's Anti-Japanese Army (MPAJA).

Beliau belajar di Sekolah Tinggi Nan Hwa di Setiawan bersama setiausaha agung PKM Chin Peng dan menjadi anggota yang dipilih ke jawatankuasa pusat parti yang diharamkan itu, pada 1975.

malaysiakini/-

Agbimuddin Kiram tinggalkan Sabah 11 Mac, sembunyi selatan Filipina

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Zulkifeli Mohd Zin

Zulkifeli Mohd Zin - Foto ehsan Berita Kini
LAHAD DATU - Ketua pengganas Sulu yang menceroboh Sabah sejak 12 Feb lepas, Azzimudie atau Agbimuddin Kiram telah meninggalkan negara ini sejak 11 Mac dan kini bersembunyi di pulau-pulau kecil di selatan Filipina.
Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin berkata perkara itu disahkan hasil risikan pasukan keselamatan yang antara lain mendapati Azzimudie meninggalkan pengikutnya di Sabah lalu menyembunyikan diri dan bergerak dari satu pulau ke pulau lain di selatan Filipina.
"Azzimudie bertindak sedemikian dipercayai kerana tidak mahu kedudukannya diketahui Bangsamoro dan kerana takut ditangkap pihak berkuasa Filipina," katanya pada sidang akhbar bersama Timbalan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar di Markas Operasi Felda Sahabat 16, dekat sini hari ini.
Beliau mengulas dakwaan terbaru sebuah blog bahawa Azzimudie Kiram mati ditembak pengawalnya sendiri dan mayatnya dikatakan ditanam di sebuah kubur kecil yang hanya diketahui pengikut elitnya.
Kepada soalan sama ada pasukan keselamatan mengekori dan menjejaki kelibat Azzimudie ke Filipina, Zulkifeli berkata itu di luar bidang kuasa mereka.
Beliau percaya tindakan lanjut boleh diambil melalui hubungan diplomatik antara kedua-dua negara.
Azzimudie Kiram mengetuai insiden pencerobohan bersama kira-kira 200 militan bersenjata dari selatan Filipina pada 12 Feb lepas yang menyaksikan 63 militan terbunuh termasuk seorang yang ditembak mati pagi semalam manakala di pihak Malaysia 10 anggota keselamatan gugur. - Bernama

Pelajar terbaik: Tak perlu usaha keras untuk cemerlang SPM

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Tidak perlu berusaha keras tetapi perlu tahu konsep belajar secara bijak merupakan kunci kejayaan seorang pelajar mendapat keputusan 9A dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012.

Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sek Men Keb Aminuddin Baki di sini, berkata di samping itu, tumpuan sepenuhnya terhadap
pembelajaran di dalam kelas diikuti dengan doa banyak membantu kejayaannya.

Beliau memperolehi 8A+ dan 1A dan bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang pergigian.

"Setiap hari, saya mesti mengulang kaji empat subjek dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Saya juga banyak membuat latih tubi dan latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas," katanya kepada Bernama.
Lee Tze Min dari Sek Men Keb Seri Titiwangsa di sini yang mendapat keputusan 9A pula terpaksa membahagi masa antara menolong ibu bapanya berniaga di pasar borong dan mengulang kaji pelajaran. 

"Saya berharap kejayaan ini menjadi titik permulaan untuk mengubah nasib keluarga saya kepada keadaan yang lebih baik," katanya.

Katanya beliau mengulang kaji pelajaran selama empat jam sehari di samping membahagikan masa untuk membantu ibu bapanya berniaga.

Turut berkongsi kegembiraan, Liew Jia En berkata kejayaannya mendapat keputusan 9A+ didorong oleh keinginannya untuk membuktikan pelajar aliran kemanusiaan juga mampu meraih keputusan cemerlang.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan,"
katanya yang merupakan satu-satunya pelajar aliran kemanusiaan mendapat keputusan cemerlang di sekolahnya.

Kegigihan anak seorang peniaga pasar borong Selayang, Lee Tze Min (he) berhasil apabila berjaya mendapat keputusan terbaik 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2012 yang diumumkan pagi tadi.

Beliau yang juga pelajar terbaik di Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Titiwangsa di sini berkata kejayaan itu diharap dapat menjadi permulaan mengubah nasib keluarganya kepada lebih baik.

Berhasrat menjadi seorang jurutera, pelajar jurusan sains tulen di sekolah harian itu amat berpuas hati dengan keputusan 4A+ 3A dan 2A- dalam peperiksaan tersebut sekaligus meletakkan beliau sebagai pelajar terbaik keseluruhan daripada 149 calon yang mengambil peperiksaan di sekolah itu.

"Saya tidak menjangka mendapat keputusan seperti ini sebab masa peperiksaan percubaan saya dapat 6A sahaja.

"Saya amat bersyukur dengan usaha yang bersungguh dan semangat yang diberikan  keluarga dan guru-guru, saya akhirnya berjaya mencapai sasaran untuk menjadi pelajar terbaik sekolah," katanya kepada Bernama semasa tinjauan SPM di sini hari ini. 

Lee, 18, berkata beliau akan menyambung persekolahan ke tingkatan enam dan mahu mendapatkan kelulusan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) kerana peluang untuk menyambung pengajian ke peringkat ijazah sarjana muda lebih cerah serta peluang untuk memilih bidang pengajian lebih luas.

Bagi Nadine Amina Mohd Azman, 18, pelajar aliran sains tulen Sekolah Menengah Kebangsaan Aminuddin Baki berkata tumpuan sepenuhnya terhadap pembelajaran di dalam kelas merupakan faktor utama kejayaan beliau meraih keputusan 9A dalam peperiksaan SPM tahun lepas.

Selain itu Nadine Amina yang mendapat keputusan 8A+ dan 1A berkata usaha yang tidak putus dan sentiasa berdoa menjadi pencetus kepada kejayaannya biarpun pada mulanya, beliau hanya meraih keputusan 7A dan 2B dalam peperiksaan percubaan SPM tahun lepas.

"Setiap hari saya mesti mengulang kaji empat subjek dan dan ia telah menjadi rutin sejak di bangku sekolah rendah lagi. Biasanya, selepas peperiksaan pertengahan tahun, saya akan membuat banyak latih tubi dan membuat latihan menerusi kertas-kertas soalan peperiksaan lepas.

"Secara peribadi, saya rasa ia merupakan resipi kejayaan saya kerana kita tidak perlu berusaha keras tapi perlu tahu konsep belajar secara bijak," katanya yang bercita-cita untuk melanjutkan pengajian dalam bidang pergigian suatu hari nanti.

Berkongsi kegembiraan tersebut, Liew Jia En (she),18 berkata meskipun beliau bukan daripada aliran sains tulen tetapi beliau tetap optimis membuktikan pelajar aliran kemanusiaan mampu memberi saingan dengan meraih keputusan cemerlang dalam peperiksaan SPM kali ini.

Pelajar terbaik Sekolah Menengah Kebangsaan Puteri Titiwangsa itu merupakan satu-satunya pelajar aliran tersebut yang mendapat keputusan cemerlang 9A+.

"Saya bercadang untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang kewangan di universiti tempatan dan seterusnya menceburi diri dalam bidang perbankan," kata anak kepada seorang penyelia tapak pembinaan itu.

Sebagai anak sulung daripada dua beradik, K. Moohita Jazvini (she) memberikan contoh terbaik pada adiknya, K.Shabita Jazvini berusia sembilan tahun untuk belajar bersungguh-sungguh pada masa akan datang.

Beliau merupakan satu-satunya pelajar Sekolah Menengah Sains Seri Puteri mendapat keputusan cemerlang 9A+ di sini amat berpuas hati dengan kejayaan yang dicapainya hari ini.

"Saya sangat teruja kerana sebelum ini pihak sekolah mensasarkan 11 pelajar untuk meraih 9A cemerlang. Saya harap dengan kejayaan ini dapat membalas budi guru-guru dan ibu bapa yang banyak  menyokong dan memberi motivasi kepada saya," kata pelajar yang bercita-cita menjadi seorang saintis itu. - Bernama

MP kata laporan NST 'menyeleweng, berniat jahat'

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


MP Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar menuntut New Straits Timesmemohon maaf atas satu laporan akhbar itu yang didakwa menyeleweng ucapannya dalam satu ceramah di Negeri Sembilan pada hari Selasa lalu.

Akhbar berkenaan melaporkan ucapan itu dengan tajuk "Nurul Izzah hits out at police (Nurul Izzah selar polis", yang menurutnya "berniat jahat" dan "menyeleweng" daripada yang yang diucapkannya.

Beliau juga mengarahkan peguamnya untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas akhbar tersebut, kata Nurul Izzah lagi dalam kenyataannya. 

"Saya menuntut New Straits Times memohon maaf dalam masa 24 jam melalui media digital dan cetak sebagaimana rencana berbaur fitnah itu telah disebarkan," katanya.

Dalam laporan itu, akhbar berkenaan antara lainnya mendakwa, Nurul Izzah menyatakan bahawa fungsi utama polis adalah untuk membuat intipan ke atas rakyat Malaysia.

Pasukan keselamatan juga membuat pengintipan ke atas pemimpin PKR dan memastikan kemenangan BN sedangkan sempadan Malaysia di Lahad Datu disusupi penceroboh.

"Bayangkan, 200 pengganas berjaya menyusup ke negara ini dan apa tindak balas Menteri Dalam Negeri? Tindak balasnya adalah memberi mereka minuman, kuih muih dan menunggu 23 hari sebelum menyerang," katanya Nurul Izzah seperti dipetik akhbar tersebut.

Dalam kenyataannya hari ini, Nurul Izzah menafikan bahawa beliau bermaksud untuk menyelar pasukan keselamatan.

"Saya tidak pernah sekali-kali memperlekeh usaha anggota-anggota keselamatan yang berkorban dan memenuhi ikrar taat setia yang telah dilafazkan.

"Saya menegaskan bahawa isu yang diketengahkan adalah tindakan ahli-ahli politik di Putrajaya dalam menangani masalah keselamatan di Lahad Datu," katanya lagi.

Tambahnya, beliau juga sependapat dengan bekas pegawai tinggi tentera Lt Gen (B) Datuk Abd Ghafir yang berkata Ops Daulat terus berlanjutan kerana ketiadaan risikan taktikal lengkap oleh pasukan pertahanan.

malaysiakini/-

"Saya disuruh dan diupah," kata tertuduh

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Seorang daripada tertuduh yang didakwa menjadi anggota pengganas yang menceroboh Sabah hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Tawau bahawa dia disuruh dan diupah oleh seseorang yang tidak dinamakannya.

Hooland Kalbi yang bercakap dalam bahasa Bajau dari kandang tertuduh mendedahkan demikian pada prosiding pendakwaan terhadap lapan individu yang didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas, dua daripadanya turut dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Kenyataan Hooland di hadapan Hakim Ravinthran diterjemah oleh jurubahasa mahkamah.

Hooland turut menyatakan bahawa dia bodoh kerana melakukannya.

Sejurus kenyataan Hooland diterjemah, Hakim Ravinthran meminta jurubahasa menjelaskan kepada tertuduh bahawa dia tidak perlu berkata demikian dan segala pengakuan akan dibuat selepas diwakili peguam pada 12 April nanti.

Ketika prosiding pagi ini, Hakim Ravinthran memberi peluang kepada setiap tertuduh untuk memberitahu mahkamah berhubung pertuduhan ke atas mereka dan jurubahasa perlu menjelaskan beban hukuman bagi setiap kesalahan.

Tertuduh juga diterangkan tentang pembelaan mereka yang perlu diwakili peguam kerana tuduhan ke atas mereka membabitkan hukuman berat iaitu gantung dan penjara seumur hidup, jika sabit kesalahan.

Lapan warga Filipina didakwa di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dan dua daripadanya bakal berdepan hukuman mati kerana dituduh melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong.

Dua tertuduh itu bersama empat yang lain turut didakwa menjadi anggota kumpulan pengganas manakala dua lagi didakwa cuba melindungi pengganas.

Ini merupakan kali kedua tuduhan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agung dikenakan di negara ini selepas insiden kumpulan pemberontak Al Maunah di Bukit Jenalik Sauk, Perak pada tahun 2000.

Sementara itu Timhar Hadir, yang juga didakwa atas kesalahan sama (menjadi anggota pengganas) memberitahu bahawa dia datang ke Malaysia pada Febuari lepas menggunakan pasport antarabangsa.

Bagaimanapun Hakim Ravinthran meminta dia tidak menyatakan selanjutnya sebelum berbincang dengan pihak peguam.

Seorang lagi tertuduh yang menghadapi tuduhan sama, Habil Suhaili merupakan tertuduh yang mengambil masa agak lama untuk memahami pertuduhan.

Dia yang kelihatan berusia lebih daripada 60 tahun tidak dipakaikan 'straight jacket' seperti tertuduh lain dan jurubahasa membacakan pertuduhan berulang kali dalam bahasa Suluk.

Habil sempat menyatakan bahawa dia tidak melakukannya namun hakim menjelaskan pengakuan itu tidak akan direkod.

Tertuduh pertama Atik Hussin Abu Bakar yang didakwa atas tuduhan melancarkan perang dan menjadi anggota pengganas hanya memohon penjelasan hukuman yang akan dihadapinya.

Atik Hussin yang berbahasa Bajau kelihatan bersahaja seperti tertuduh lain.

Empat tertuduh lagi, Lin Mad Salleh, Basad Manuel, Kadir Uyung dan Lating Tiong hanya menyatakan 'nothing to say' (tiada apa yang hendak dicakapkan).

Basad menghadapi dua pertuduhan yang sama seperti Atik Hussin manakala Lin hanya didakwa menjadi anggota pengganas dan Kadir serta Lating menghadapi tuduhan melindungi kumpulan pengganas.

Kesemua terduduh hanya menundukkan kepala ketika berada di kerusi sebelum dibawa ke kandang tertuduh untuk dibaca pertuduhan.

Kesemua mereka tidak dibenarkan jamin.

Sementara itu, wartawan dan jurugambar yang membuat liputan di Mahkamah Tinggi Tawau hari ini dikawal ketat oleh anggota polis lengkap bersenjata dan hanya seorang wartawan daripada setiap organisasi yang dibenar masuk.

Kesemua wartawan yang dibenar memasuki mahkamah pada pukul 9 pagi hanya dibolehkan membawa buku nota dan pen manakala semua alat komunikasi dan peralatan lain tidak dibenarkan.

Tiada wartawan asing hadir membuat liputan prosiding hari ini.

Lapan tertuduh yang ditutup bahagian kepala dibawa menaiki lori polis kira-kira 10.10 pagi.

-Bernama