21 Mac 2013

Pengsan 2 jam disondol babi

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Pengsan 2 jam disondol babi

Azam mengalami kecederaan pada muka dan anggota badan akibat disondol babi.
KUALA KETIL - Seorang penoreh getah pengsan selama dua jam selepas disondol seekor babi hutan di Kebun Getah Bukit 9 ketika dalam perjalanan pulang ke rumahnya kira-kira jam 12 tengah hari Khamis lalu.

Azam Ariffin,  43, dari Kampung Baru Bukit 9 turut mengalami kecederaan muka dan badan akibat kejadian itu.

Menurutnya, ketika kejadian, dia sedang menunggang motosikal sebelum dikejutkan dengan kehadiran seekor babi hutan setinggi hampir setengah meter.

“Babi itu datang dari arah kanan saya, saya sempat mengangkat kaki kanan, tetapi haiwan itu terus menyondol motosikal saya,” katanya ketika ditemui di rumahnya.

Keadaan itu mengakibatkan Azam terpelanting beberapa meter.

“Ketika itu, saya masih lagi sedar dan masih boleh berjalan. Namun, selang beberapa minit, saya rebah dan pengsan selama dua jam,” katanya.

Ayah kepada empat anak itu berkata, dia  sedar apabila  semut mula menghurungi bahagian mukanya yang berdarah.

“Saya rasa seperti ada benda yang menggigit di bahagian muka. Bila saya sedar, semut sedang menghurungi bahagian muka.

“Kemudian, barulah saya sedar, saya telah pengsan selama dua jam seterusnya bertindak menghubungi ahli keluarga yang terdekat,” katanya.

Azam kemudiannya dihantar ke Hospital Sungat Petani untuk mendapatkan rawatan dan doktor mengesahkan tiada kecederaan teruk.

“Alhamdulillah, saya hanya mengalami kecederaan ringan akibat terpelanting dalam kejadian itu,” katanya.

Sementara itu, Penyelaras Dun Kuala Ketil, Khairul Azhar Abdullah berkata, pihaknya bersyukur kerana Azam tidak mengalami kecederaan parah dalam kejadian itu.

Menurutnya, antara salah satu risiko pekebun adalah berhadapan dengan haiwan liar terutama babi dan haiwan berbisa.

“Alhamdulillah, semuanya selamat dan Azam kini sedang berehat sebelum dapat meneruskan pekerjaan,” katanya semasa melawat dan menyumbang wang tunai bagi meringankan penderitaan Azam.

Sinar harian/-

Tiada ulasan: