9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
Isu Taib: Relawan BN mohon maaf atas twit 'perkauman'
Sukarelawan Pemuda BN (BNYV) memohon maaf atas kenyataan "tidak menyenangkan" berhubung milikan tanah Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud melalui Twitter BNYV Sarawak yang dilihat berunsur perkauman.
Ia dibuat selepas akaun @BNYV_SWK dalam statusnya menyebut:
"Sedar-sedarlah 'orang kita'.
Walau Taib banyak tanah di Sarawak tok sekurang-kurangnya baguslah milik bumiputera dari jatuh ke orang ca-ya-nun-alif (Cina)."
Kenyataan itu dipercayai merupakan respon kepada video Global Witness yang mendakwa mendedahkan salah guna kuasa keluarga Taib.
Akaun Twitter itu menggesa agar "orang-orang kita" sedar walaupun banyak tanah di Sarawak didakwa dimiliki keluarga Taib, keadaan itu lebih baik daripada dimiliki oleh orang-orang Cina.
Pengarah BNYV Zaidel Baharuddin (kanan) dalam kenyataan segeranya di laman web berkata, kenyataan itu "tidak menyenangkan dan bercanggah dengan semangat muhibah 1Malaysia yang kini sedang dipupuk oleh perdana menteri kita".
Menurutnya, twit itu hanya pandangan peribadi seorang pengendali akaun sahaja dan tidak dikongsi oleh pengendali-pengendali yang lain.
"Saya mewakili pergerakan BNYV memohon maaf atas beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh akaun Twitter berkenaan," kata Zaidel lagi.
Status tersebut kini dikesan dipadam daripada garis masa akaun Twitter berkenaan, seperti satu lagi mesej di Twitter rasmi BN sebelum itu berhubung pentadbiran Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng sebelum ini.
BNYV adalah inisiatif untuk merekrut sukarelawan muda bagi membantu kempen BN yang dilancarkan pada Mei 2012.
Antara tugas-tugas utama sukarelawannya adalah dalam bidang pengurusan acara, khidmat nasihat media sosial dan kempen rumah ke rumah sewaktu pilihan raya umum.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan