21 Mac 2013

Tidak boleh ambil Islam sebahagian dan tolak sebahagian

9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -


Lengkap dan menyeluruhnya ajaran Islam adalah kerana ia merangkum aspek rohani, akidah dan wacana kehidupan lain yang pelbagai dan rencam.

Aspek teologinya dicerakinkan oleh Syeikh Abu Zahrah, Dr Abdullah Darraz, Syeikh Abd Rahman Hassan al-Habanakah, Abu al-A’la al-Maududi, Said Hawwa, Syeikh Dr Yusuf al-Qaradhawi dan lain-lain lagi.

Dari sudut ibadah pula metodologinya telah dihuraikan dengan panjang lebar oleh Syeikh Abdul Karim Zaidan, Syeikh Mohammad al Ghazali, Syeikh Hasan Ayub, Dr Wahbah al-Zuhaili, Syeikh Sayyid Sabiq dan lain-lain lagi.

Dari sudut pendidikan nama-nama besar seperti Dr Omar al-Toumi al-Syaibani, Dr Majid 'Irsan al-Kailani, Dr Miqdad Yalchin, Dr Adnan Hasan Saleh.

Dari sudut politik Dr Abd Salim al-Awwa, Dr Azam Tamimi, Dr Othman Abdul Mu’iz Raslan, Dr Abdul Aziz al Khayyat.

Dari sudut ekonomi buku-buku karangan Baqir al-Sadr (al Marhum), Dr Ref’at Sayyid al-'Iwadhi, Dr Hussin Shehata dan lain-lain.

Dari sudut psikologi Dr Hasan Langgulung, Dr Hasan al Syarqawi dan lain-lain.

Mana kala dari sudut harakah dan gerakan Islam dihuraikan oleh Imam Hassan al Banna, Syed Qutub, Syeikh Omar al-Telmesani, Fathi Yakan, dan lain-lain lagi.

Pendek kata terdapat deretan nama-nama besar dalam setiap bidang ilmu yang mencerakinkan perspektif Islam dalam berbagai bidang hidup. Usaha menggarap dan meneroka konsep yang lebih terperinci ini akan berterusan hingga hari kiamat selaras dengan pesanan Rasulullah bahawa; "Agama Islam ini sangat utuh dan kukuh dan terokalah untuk mendalami ajarannya secara perlahan-lahan, lemah lembut dan bijaksana."

Program penghayatan Islam kaffah adalah demi mengenengahkan sudut pandangan Islam dalam berbagai bidang untuk difahami, digarap dan dihayati oleh berbagai-bagai kalangan umat berdasarkan posisi dan peranan mereka dalam masyarakat.

Asas Penghayatan Islam Secara Kaffah

Dalil pokok dalam hal ini ialah firman Allah yang bermaksud:

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah agama Islam secara keseluruhan; dan janganlah kamu ikuti langkah-langkah syaitan; sesungguhnya Syaitan memang  musuh kamu yang nyata." (Surah al- Baqarah : ayat 208)

Kehidupan yang rencam di samping pergaulan yang luas dengan manusia daripada pelbagai agama, budaya dan warna kulit telah menyebabkan terdapat umat Islam yang lemah keyakinan serta iltizam mereka kepada agama ini sehingga bertindak memusuhinya secara sedar atau tidak sedar. Walaupun wacana dan ungkapan lahir mereka menegaskan tentang keislaman mereka, malah mereka bersumpah untuk meyakinkan tentang keimanan mereka kepada orang Islam namun mereka disisi Allah tetap dianggap musuh. Inilah yang ditegaskan oleh ayat 208 dalam surah berkenaan.

Golongan ini apabila memegang tampuk kuasa mereka merosakkan asas-asas kehidupan beragama yang mantap sebelumnya dengan niat untuk melemahkan komitmen umat kepada Islam. Bahkan polisi dan arah pentadbiran yang merosak ini sampai merosakkan juga alam, tanaman dan persekitaran dalam jangka panjang. Ini digadai kerana tujuan mendapatkan keuntungan yang segera para kroni dan kaum kerabat.

Golongan berkenaan tidak boleh ditegur atau dinasihati. Mereka berterusan melakukan penyimpangan dan kezaliman. Tegur nasihat dihadapi dengan tindakan agresif menindas rakyat dan sebagainya. Mereka merasa serba betul dan pandai. Mereka tidak dapat dipulihkan lagi. Hati mereka tertutup rapat kerana lumuran noda dan dosa perbuatan mereka.

Bertentangan dengan golongan ini terdapat pula dalam masyarakat kumpulan yang bersedia berkorban untuk kepentingan agama dan masyarakat. Golongan ini perlu dibantu dan diperkasa demi kebaikan umat dan negara. Mereka adalah golongan yang istiqamah berpegang teguh dengan Islam yang bersifat menyeluruh.

Melaksanakan Gerak Kerja Penghayatan Islam Syumul

Gerak kerja ini bertemakan kepada firman Allah yang bermaksud:

"Berpegang teguhlah kalian dengan agama Allah. Jangan berpecah belah. Ingati nikmat Allah. Sebelum ini kalau bermusuhan namun Allah bibitkan rasa kasih dalam hati dan tautkan kemesraan sesama kamu sehingga kamu bersaudara. Sebelum ini kamu ditubir neraka tapi Allah selamatkan kamu daripadanya. Demikianlah penjelasan Allah kepada kamu tentang bukti kebenaran agama-Nya, semoga kamu mendapat hidayah petunjuk." (Surah al-Imran : ayat 103)

Seruan berpegang teguh kepada agama yang padu ini adalah kerana mengelakkan terungkainya perasaan kasih sayang dan timbul krisis pertelingkahan sesama umat kerana penyimpangan dan keingkaran kepada ajaran agama ini. Sebab itu Allah mengingatkan tentang bencana hukuman dan bala Allah kepada para pendusta dan pengabai agama Allah dalam berbagai peringkat sejarah.

Allah mengingatkan dalam al-Quran bermaksud:

"Tetapi jika kamu menyimpang, sesudah datang bukti-bukti yang nyata kepada kamu, maka ketahuilah bahawasanya Allah Maha Perkasa, Maha Bijaksana (untuk bertindak ke-atas kamu)." (Surah al-Baqarah : ayat 209)

Ayat seterusnya menjelaskan bahawa para penyeleweng yang tegar itu hanya mahu menunggu datangnya azab Allah, nasib (malang) mereka sudahpun Allah putuskan dengan tuntas. Memang segala urusan terpulang kepada Allah menentukannya.

Contoh nyata penyimpangan ini ialah kaum Bani Israel. Mereka telah mendapat rahmat kedudukan,  kurnia yang sangat baik dan banyak daripada Allah. Tetapi mereka tidak bersyukur. Malah mereka tukar sifat bersyukur yang sepatutnya dengan sifat kufur kepada rahmat Allah. Iaitu nikmat agama yang telah diturunkan oleh Allah kepada mereka. Mereka mengikut fahaman dan ajaran yang membawa mereka kepada kejahatan dan penentangan terhadap nilai, hukum dan undang-undang Allah. Justeru mereka digodam oleh Allah dengan bala bencana dan berbagai jenis wabak penyakit.

Segala bencana dan petaka di dunia ini ada kaitannya dengan penderhakaan dan maksiat kepada Allah. Sebab itu manusia perlu segera bertaubat kepada Allah. Mereka mesti kembali ke hadhrat-Nya demi mematuhi semua titah perintah yang tidak boleh diderhakai. Allah menegaskan dalam al-Quran, bermaksud:

"Apa jua kebaikan yang kamu dapati maka itu adalah daripada rahmat Allah. Sebaliknya apa jua keburukan yang menimpa kamu maka sumbernya adalah daripada diri kamu sendiri. Manakala engkau pula (wahai Muhammad) Kami lantik menjadi Rasul. Cukuplah Allah sebagai saksi (kerasulanmu)." (Surah al-Nisa’ : ayat 79)

Allah menegaskan tentang keperluan berjihad melawan penderhakaan kepada Allah serta kemungkaran. Umat mesti diajak turut serta untuk mencegah kejahatan, keingkaran kepada perintah Allah. Mereka mesti diingatkan bahawa mereka tidak mungkin masuk syurga tanpa usaha dan jihad melawan kejahatan dan kezaliman. Mereka mesti bersedia menanggung kegetiran hidup dan pedih perit perjuangan kerana Allah. Mereka wajar menggembeleng tenaga dalam suatu atau pelbagai gerakan yang menumpaskan kebatilan. Tanpa penggembelengan usaha ke arah itu mereka sukar untuk masuk syurga Allah Taala.

Allah berfirman yang bermaksud:

"Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepada kamu ujian seperti yang dialami oleh orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka ditimpa kemelaratan, penderitaan dan digegarkan dengan berbagai-bagai cubaan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya tertanya-tanya; Bilakah akan datang pertolongan Allah? Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir jua." (Surah al-Baqarah : ayat 214)

Kesimpulan yang dapat diraih dalam menyorot ulasan tajuk ini ialah;

Umat Islam wajib menerima pakai seluruh ajaran syariat Islam. Haram meninggalkannya atau memilih-milih sebahagian dan menolak sebahagian yang lain. Penerimaaan secara “kaffah” dan “syumul” ini suatu kemestian.

Orang yang menghalalkan perkara yang diharamkan oleh Allah dan meninggalkan apa yang diwajibkan oleh Allah adalah para pengikut syaitan dalam hal itu.

Kita wajib mengandaikan hampir turunnya bala dan hukuman Allah apabila berleluasa kejahatan, maksiat dan dosa-dosa besar dalam masyarakat. Kita tidak boleh menjadi orang yang lalai dan sentiasa merasa selamat tanpa bersungguh-sungguh berusaha mencegah maksiat dan kezaliman. Kita tidak boleh merasa selamat daripada bala Allah kalau lalai bertindak.

Allah tetap akan berperanan di dunia dan di akhirat menangani permasalahan manusia. Allah akan menyelesaikan pertelingkahan mereka secara tuntas pada hari kiamat kelak.

Haram menunda dan melengah-lengahkan taubat dan menangguhkan kepulangan kepada jalan kebenaran setelah nyata dan jelas kebatilan faham kufur dan kebenaran jalan Islam.

http://www.tarbawi.my

Tiada ulasan: