9 Jamadil Awal 1434 H. [MOD] -
BATANG KALI - Seorang penunggang dan pembonceng motosikal tercampak setelah motosikal ditunggang melanggar kereta yang sedang membelok ke kiri di Kampung Tengah, di sini, semalam.
Kemalangan itu menyebabkan penunggang motosikal cedera dipercayai patah paha kiri, manakala pembonceng retak tulang bahu kiri.
Menurut pemandu kereta terbabit, Rohana Masjid, 55, ketika kejadian dia mahu membelok masuk ke persimpangan rumahnya di tepi jalan utama, Jalan Kuala Lumpur - Ipoh.
“Saya sudah memberi lampu isyarat ke kiri dari persimpangan Taman Seri Cahaya lagi sebab pergerakan kenderaan di laluan ini perlahan.
“Tapi, ketika mula membelok tiba-tiba kereta saya dilanggar motosikal terbabit menyebabkan bumpernya tertanggal,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 11.45 pagi dan ketika itu dia baru pulang daripada mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Rasa.
Bagaimanapun, Rohana yang merupakan isteri kepada seorang anggota polis tidak mengalami sebarang kecederaan.
Sementara itu, kedua-dua penunggang dan pembonceng motosikal terbabit menerima rawatan kecemasan di tempat kejadian sebelum masing-masing dikejarkan ke Hospital Selayang (HS) dan Hospital Kuala Kubu Bharu (HKKB).
Ibu bapa dan ahli keluarga mangsa turut berada di lokasi kejadian, bagaimanapun mereka enggan memberi maklumat peribadi mangsa.
Sinar Harian difahamkan, penunggang motosikal tersebut dalam perjalanan menghala Rawang untuk mencari pekerjaan, namun kemalangan itu membantutkan hasrat mereka.
Sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan