23 Oktober 2010

Mohon maaf dan lantik penasihat syariah, kata Asri

15 Zulkaidah 1431H.

Mereka yang terlibat dengan penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu perlu membuat permohonan maaf kepada umat Islam kerana tindakan mereka itu adalah satu penghinaan kepada Islam, kata bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

“Sama sekali ia tidak Islamik. Penganjur amat salah jika menyangka Islamic design dan Islamic fashion hanya berkaitan dengan penonjolan tulisan yang berunsur Islamik tanpa memahami soal etika dan hukum-hakam syarak,” katanya dalam satu kenyataan.

Meskipun tidak menamakan sesiapa, namun kenyataan Dr Asri itu merujuk kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan yang membidas tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor selaku penaung yang Festival Busana Muslim itu.

“IFF boleh memberikan gambaran salah yang serius mengenai pakaian dalam Islam. Ia juga melambang kecelaruan fikiran mereka yang terlibat.

“Islam tidak menghalang fesyen untuk wanita, tetapi mesti dengan prinsip dan etika yang tersendiri. Penganjuran fesyen pakaian itu tidak salah, tetapi konsep dan pengisiannya IFF itu salah disebabkan tidak memahami prinsip dan etika dalam hal ini,” katanya.

Menurut Dr Asri, adalah bahaya untuk isteri pemimpin utama negara Islam terlibat dengan hal-hal yang seperti itu kerana ia akan memberikan mesej Islam yang salah kepada dunia.

“Apatah lagi Malaysia dianggap salah sebuah negara Islam yang penting. Kepimpinan negara akan rosak jika isteri-isteri pemimpin utama ini cuba menonjolkan diri sehingga tidak teliti dan tidak lagi memikir buruk baik sesuatu tindakan.

“Perbuatan seperti ini akan merosakkan kepimpinan sesebuah negara yang majoritinya muslim,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Asri yang kini di Doha, Qatar mencadangkan kepada mereka yang berminat menganjurkan pertunjukan fesyen Islam supaya mewujudkan penasihat syariah terlebih dahulu.

“Mereka boleh menjemput ilmuwan yang lebih terbuka dan fleksibel tetapi mengikut prinsip-prinsip umum syarak,” katanya lagi.

Pada festival di Monte Carlo itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Rosmah, pada pembukaan majlis itu dilaporkan berkata Fesyen busana Muslim kian pesat berkembang menjadi perniagaan menguntungkan dengan pasaran semasa kini dianggarkan bernilai lebih US$96 bilion (RM302 bilion) setahun.

Bernama juga melaporkannya sebagai berkata: "Festival Fesyen Islam ini sebenarnya bertujuan memberi noktah kepada kelaziman bahawa wanita Islam tidak mempunyai citarasa gaya.

“Sebaliknya, pakaian berkonsepkan Islamik mempunyai gaya yang tersendiri, dan hari ini ia mulai menarik semakin lebih banyak perhatian, kerana trend arus perdana semakin menjadi tidak senonoh, mengghairahkan dan provokatif, tidak menarik kepada lebih ramai pengguna konservatif," katanya.

Malaysiakini/-

Ribuan himpun bantah festival busana Islam

15 Zulkaidah 1431H.

Sekurang-kurangnya empat perhimpunan aman anjuran Dewan Pemuda PAS di adakan di tiga negeri sebagai membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW dalam penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo 9 Ogos lalu.


Demontrasi itu berlangsung Masjid Sultan Ahmad Shah, Kuantan di Pahang dan Masjid Pengadang Baru di Kuala Terangganu. Manakala dua lagi bantahan berlangsung di Pulau Pinang iaitu di Masjid Permatang Janggus, Permatang Pauh dan Masjid Hashim Yahya.

Semua bantahan itu diadakan selepas solat Jumaat yang disertai oleh ahli jamaah yang selesai menunaikan solat berkenaan.

Umumnya, ucapan yang disampaikan oleh pemimpin Pemuda PAS menegaskan tindakan penganjuran festival yang memaparkan model yang memperagakan pakaian dengan tulisan "Muhammad" secara terbalik dalam tulisan Arab adalah satu penghinaan kepada Islam.

Tak sempat berucap

Di Masjid Sultan Ahmad Shah, bantahan berkenaan diketuai oleh ketua Pemuda PAS Nasrudin Hasan, yang turut disertai antaranya ketua Pemuda PAS negeri Suhaimi Said.

Perhimpunan yang berlangsung selama setengah jam bermula 1.50 petang disertai kira-kira 1,000 jemaah termasuk penyokong parti sebelum kira-kira 15 anggota polis mengarahkan perhimpunan itu dihentikan.

"Saya tidak sempat hendak berucap. Polis mengarahkan kira berhenti. Kita mematuhi arahan polis dan tiada tangkapan dibuat," kata Nasrudin kepada Malaysiakini petang ini.

Sementara itu, di Masjid Pengadang Baru, bantahan aman diketuai oleh ketua Pemuda PAS negeri Mohd Nor Hamzah. Beliau juga adalah ADUN Bukit Payung.

Ahli jawatankuasa PAS Terengganu Azman Shapawi Abd Rani turut menyampaikan ucapan berhubung isu tersebut sewaktu dalam perhimpunan itu diadakan.

"Tidak sepatutnya festival ini dianjurkan oleh orang Islam. Ia nampak seolah-olah penghinaan kepada Islam.

Kita kata festival fesyen Islam, tapi model berpakaian menjolok mata. Ia satu penghinaan dan tidak sepatutnya berlaku di dunia," katanya.

Perhimpunan selama 30 minit itu, itu dihadiri kira-kira 1,500 yang selesai menunaikan solat Jumaat, berlangsung dengan aman tanpa kehadiran anggota polis.

Sementara itu, ketua Pemuda PAS Pulau Pinang Mohd Yusni Mat Piah mengetuai kira-kira 200 ahli jamaah dan penyokong parti itu dalam perhimpunan aman di Masjid Permatang Janggus.

Mufti, ulama muda Umno dicabar

Dalam ucapannya antara lain mencabar semua mufti dan ulama muda Umno untuk menjelaskan isu berkenaan yang didakwanya menghina Islam dan Rasulullah SAW.

Bantahan itu berlangsung selama 30 minit tanpa sebarang perkara yang tidak diingini.

Sementara itu, beberapa buah negeri antaranya Perlis dan Kedah dikatakan masih merancang mengadakan demonstrasi kerana "rakyat perlu mengambil masa untuk memahami isu berkenaan".

Manakala Pemuda PAS Wilayah Persekutuan hari ini membatalkan hasrat mereka mengadakan bantahan. Mereka, sebaliknya mengambil pendekatan untuk berbincang dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan menghantar memorandum bantahan kepada Yang di-Pertuan Agong.



malaysiakini/-

Lelaki getah .

Galas : Tarikh sidang DUN Kelantan di ubah kepada 7 hingga 11 November.

Photobucket
14 Zulkaidah 1431H.

KOTA BHARU: Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan yang dijadual bermula pada 1 November ini ditangguh kepada 7 November, kata Speaker DUN Datuk Mohd Nassuruddin Daud, Jumaat.

Beliau berkata penangguhan bagi membolehkan semua anggota dewan dapat memberi perhatian penuh kepada persidangan DUN memandangkan proses pilihan raya kecil DUN Galas telah selesai ketika itu.

Tarikh sidang DUN Perak seperti tidak diambil kira oleh pihak SPR bila menetapkan tarikh hari mengundi pada 4 November.

"Keputusan penangguhan itu diputuskan semalam dan keputusan ini bagi membolehkan semua dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada persidangan DUN yang akan memfokuskan kepada pembentangan bajet 2011. "Ini adil kepada semua pihak yang mungkin tidak dapat beri tumpuan kerana ketika itu pilihan raya kecil Galas sedang berlangsung," katanya.

Beliau berkata persidangan akan berlangsung sehingga 11 November.

Baru-baru ini Mohd Nassuruddin dilapor berkata persidangan itu akan berlangsung seperti yang dijadualkan dan hanya ditangguh sehari iaitu pada 4 November yang merupakan hari pengundian DUN Galas.

Pilihan raya kecil kerusi DUN Galas diadakan selepas wakilnya Chek HashimSulaima dari PAS meninggal dunia akibat kanser usus pada 27 September lepas.


Rancangan Galakkan Pendidikan Dua Bahasa Dilaksanakan di Xinjiang

14 Zulkaedah 1431 H

Kini, rancangan menggalakkan pendidikan dua bahasa, iaitu bahasa Mandarin dan bahasa Uygur dilaksanakan secara aktif di Wilayah Autonomi Uygur Xinjiang China. Selepas meninjau ke beberapa kawasan kediaman etnik di Xinjiang, rancangan yang telah dijalankan itu mendapat sambutan baik penduduk tempatan.

Kursus bahasa Mandarin dan bahasa Uygur telah ditawarkan oleh Sekolah Jiashi Xinjiang walaupun lebih 80% pelajar sekolah tersebut adalah berasal daripada etnik-etnik minoriti di Xinjiang.

Presiden Sekolah Jiashi, Puan Cai Xiumei menyatakan kursus bagi pelajar-pelajar sekolah diberikan dengan dua bahasa, iaitu bahasa Mandarin dan Uygur. Kata beliau,

"Pihak sekolah berusaha mewujudkan suasana untuk para pelajar menguasai bahasa Mandarin. Manakala mereka boleh belajar dan bertutur bahasa Uygur di rumah kerana kebanyakan mereka berasal daripada etnik minoriti."

Sejak pendidikan dua bahasa dipopularkan di Xinjiang pada tahun 2004, tadika "dua bahasa" telah mencapai 34 buah, dan 32 buah lagi tadika sedang didirikan.

Guru etnik Uygur, Rehanguli, yang berkelulusan Universiti Vokasional Urumqi menyampaikan rasa gembiranya ketika menyentuh pembelajaran para penuntutnya dalam bidang dua bahasa. Kata beliau,

"Mereka fasih bertutur bahasa Mandarin. Saya berasa malu semasa bercakap bahasa Mandarin di depan mereka kerana mereka lebih bagus daripada saya. Sekarang ini saya masih belajar bahasa Mandarin setiap hari untuk meningkatkan penguasaan bahasa Mandarin saya. Saya bercita-cita mengajar bahasa Mandarin suatu hari nanti."

Pelajar-pelajar tempatan mempunyai semangat yang kuat untuk mempelajari bahasa Mandarin. Pada pandangan mereka, bahasa Mandarin dan bahasa etnik sama-sama penting bagi masa depan mereka. Tuxun'ayi, Gadis Uygur, 11 tahun berkata,

"Nama saya Tuxun'ayi. Bahasa Uygur ialah bahasa ibunda saya. Tetapi saya juga belajar bahasa Mandarin kerana ia memudahkan saya untuk bergaul dengan lebih ramai orang. Apabila saya dewasa, saya bercita-cita untuk mengurus sebuah syarikat dan saya menjadi ketua pengurusnya."

Ramai penduduk tempatan berpendapat, bahasa Mandarin sebagai bahasa yang dikuasai dan diguna oleh kebanyakan orang di seluruh China, dapat memberi manfaat kepada mereka untuk berkomunikasi dengan penduduk lain di China sama ada dalam bidang ekonomi mahupun kebudayaan.

Di samping itu, mereka juga tidak akan melupakan bahasa etnik sendiri kerana ia merupakan asas bagi mereka mewarisi dan membangun budaya etnik sendiri.

Pendidikan dua bahasa dilaksanakan bertujuan untuk menghasilkan lebih ramai tenaga manusia yang menguasai dua bahasa. Oleh sebab itulah, rancangan menggalakkan pendidikan dua bahasa telah mendapat sambutan yang baik daripada ramai penduduk di kawasan kediaman etnik di Xinjiang.

Kini, sistem pendidikan dua bahasa yang terdiri daripada pendidikan prasekolah, sekolah rendah dan menengah serta pendidikan dewasa sudahpun diwujudkan.

Sementara itu, pendidikan dua bahasa juga dipopularkan dalam badan-badan pentadbiran kerajaan di pelbagai tempat di wilayah Xinjiang. Pada pandangan Naib Ketua Kaunti Jiashi, Puan Gao Zhengrong, pegawai yang menguasai dua bahasa dapat menyediakan perkhidmatan pentadbiran yang lebih bermutu untuk para penduduk pelbagai etnik.

"Pegawai etnik Han perlu belajar bahasa Uygur, manakala pegawai Uygur perlu belajar bahasa Mandarin. Ini merupakan satu asas bagi kami menjalankan pelbagai tugas.

Sekarang terdapat papan kecil tertulis 'sebaris ayat sehari' dalam bahasa Mandarin dan bahasa Uygur digantung pada dinding berdekatan pintu masuk sekolah, pejabat dan tempat awam. Papan ini untuk mengingatkan orang ramai supaya belajar bahasa tiap-tiap hari."

CRI/

Fikir-fikir dan renung-renungkanlahh..

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : ZAMRI

Kesempurnaan Diri Muslim

HADIS MUTHAHHARAH

Daripada Sayyidina Khalid bin Al-Walid Radiallahu
'anhu telah berkata : Telah datang seorang arab desa
kepada Rasulullah S. A. W yang mana dia telah
menyatakan tujuannya

: Wahai Rasulullah! sesungguhnya
kedatangan aku ini adalah untuk bertanya engkau
mengenai apa yang akan menyempurnakan diriku di dunia
dan akhirat. Maka baginda S. A. W telah berkata
kepadanya Tanyalah apa yang engkau kehendaki :

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang alim

Baginda S. A. W menjawab : Takutlah kepada Allah maka
engkau akan jadi orang yang alim

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang paling kaya

Baginda S. A. W menjawab : Jadilah orang yang yakin
pada diri maka engkau akan jadi orang paling kaya

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang adil

Baginda S. A. W menjawab: Kasihanilah manusia yang
lain sebagaimana engkau kasih pada diri sendiri maka
jadilah engkau seadil-adil manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang paling baik

Baginda S. A. W menjawab: Jadilah orang yang berguna
kepada masyarakat maka engkau akan jadi sebaik-baik
manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi orang yang istimewa di
sisi Allah

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan zikrullah nescaya
engkau akan jadi orang istimewa di sisi Allah

Dia berkata : Aku mahu disempurnakan imanku

Baginda S. A. W menjawab : Perelokkan akhlakmu nescaya
imanmu akan sempurna

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan orang
yang muhsinin
(baik )

Baginda S. A. W menjawab : Beribadatlah kepada Allah
seolah-olah engkau melihatNya dan jika engkau tidak
merasa begitu sekurangnya engkau yakin Dia tetap
melihat engkau maka dengan cara ini engkau akan
termasuk golongan muhsinin

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka
yang taat

Baginda S. A. W menjawab : Tunaikan segala kewajipan
yang difardhukan maka engkau akan termasuk dalam
golongan mereka yang taat

Dia berkata : Aku mahu berjumpa Allah dalan keadaan
bersih daripada dosa

Baginda S. A. W menjawab : Bersihkan dirimu daripada
najis dosa nescaya engkau akan menemui Allah dalam
keadaan suci daripada dosa

Dia berkata : Aku mahu dihimpun pada hari qiamat di
bawah cahaya

Baginda S. A. W menjawab : Jangan menzalimi seseorang
maka engkau akan dihitung pada hari qiamat di bawah
cahaya

Dia berkata : Aku mahu dikasihi oleh Allah pada hari
qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Kasihanilah dirimu dan
kasihanilah orang lain nescaya Allah akan
mengasihanimu pada hari qiamat

Dia berkata : Aku mahu dihapuskan segala dosaku

Baginda S. A. W menjawab : Banyakkan beristighfar
nescaya akan dihapuskan (kurangkan ) segala dosamu

Dia berkata : Aku mahu menjadi semulia-mulia manusia

Baginda S. A. W menjawab : Jangan mengesyaki sesuatu
perkara pada orang lain nescaya engkau akan jadi
semulia-mulia manusia

Dia berkata : Aku mahu menjadi segagah-gagah manusia

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa menyerah diri
(tawakkal) kepada Allah nescaya engkau akan jadi
segagah-gagah manusia

Dia berkata : Aku mahu dimurahkan rezeki oleh Allah

Baginda S. A. W menjawab : Sentiasa berada dalam
keadaan bersih ( dari hadas ) nescaya Allah akan
memurahkan rezeki kepadamu

Dia berkata : Aku mahu termasuk dalam golongan mereka
yang dikasihi oleh Allah dan rasulNya

Baginda S. A. W menjawab : Cintailah segala apa yang
disukai oleh Allah dan rasulNya maka engkau termasuk
dalam golongan yang dicintai oleh Mereka

Dia berkata : Aku mahu diselamatkan dari kemurkaan
Allah pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Jangan marah kepada orang
lain nescaya engkau akan terselamat daripada kemurkaan
Allah dan rasulNya

Dia berkata : Aku mahu diterima segala permohonanku

Baginda S. A. W menjawab : Jauhilah makanan haram
nescaya segala permohonanmu akan diterimaNya

Dia berkata : Aku mahu agar Allah menutupkan segala
keaibanku pada hari qiamat

Baginda S. A. W menjawab : Tutuplah keburukan orang
lain nescaya Allah akan menutup keaibanmu pada hari
qiamat

Dia berkata : Siapa yang terselamat daripada dosa?

Baginda S. A. W menjawab : Orang yang sentiasa
mengalir air mata penyesalan, mereka yang tunduk pada
kehendakNya dan mereka yang ditimpa kesakitan

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kebaikan di sisi
Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Elok budi pekerti, rendah
diri dan sabar dengan ujian (bala )

Dia berkata : Apakah sebesar-besar kejahatan di sisi
Allah?

Baginda S. A. W menjawab : Buruk akhlak dan sedikit
ketaatan

Dia berkata : Apakah yang meredakan kemurkaan Allah di
dunia dan akhirat ?

Baginda S. A. W menjawab : Sedekah dalam keadaan
sembunyi ( tidak diketahui ) dan menghubungkan kasih
sayang

Dia berkata: Apakan yang akan memadamkan api neraka
pada hari qiamat?

Baginda S. A. W menjawab : sabar di dunia dengan bala
dan musibah

Telah berkata Imam Mustaghfirin: aku tidak pernah
menjumpai hadis yang besar dan merangkumi kesempurnaan
agama dan bermanafaat selain hadis ini.

Dosa Yang Terpaksa

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Iqbalsyarie Bin Shaari

Percaya atau tidak,dalam dunia ini ramai orang yang 'terpaksa' melakukan dosa. Bukan dosa darurat kerana dia sememangnya punyai pilihan samada untuk meninggalkan atau bergelumang dengan dosa itu.

Sebaliknya, dia 'terpaksa' dalam erti kata lain, dia tidak mampu menghalang dirinya daripada meninggakan terus maksiat itu.
Inilah masalah yang seringkali terlepas pandang oleh para pendakwah muda khususnya. Orang muda, sifatnya lebih mudah menghukum. Kurang rasionalnya, kurang timbang rasanya.

Bayangkanlah, seseorang yang sudah bertahun-tahun berenak-enak dengan suatu dosa, pasti teramat sukar baginya untuk meninggalkan dosa itu.

Sebagai contoh, seseorang anak muda yang sejak usianya belasan sudah pandai clubbing dan kini sudah 30-an, pasti sukar baginya untuk menghentikan tabiat buruk itu. Makanya, kita tidak boleh menghukum terus sebaliknya kita boleh 'meringankan' dosanya.

Bagaimana?

Jika kita buka surah Yusuf ayat 9 dan 10, kita lihat bagaimana anak-anak Nabi Ya'akob merancang untuk membunuh adik mereka (Nabi Yusuf). Lalu timbul persoalan, anak-anak seorang rasul pun mahu membunuh saudara kandungnya? Ayahnya tidak mendidik merekakah?

Maka jika kita lihat sekali lagi, jelas rancangan asal mereka ialah untuk membunuh tapi bangun seorang yang paling tua dalam kalangan mereka mencadangkan agar Yusuf tidak dibunuh, sebaliknya sekadar dibiarkan di dalam perigi, moga-moga ada orang musafir yang mengutipnya.

Di sini kita memerhatikan dua pengajaran.

Pertama,hasad dan dengki akan membuatkan kita sanggup melakukan apa sahaja untuk menjatuhkan musuh. Demikianlah yang terjadi kepada adik-beradik Nabi Yusuf a.s yang jealous dan cemburu dengan kasih sayang yang ditunjukkan oleh bapa mereka, Nabi Yaakub kepada Nabi Yusuf a.s berbanding dengan orang lain.

Kedua, orang yang ditarbiyyah, jika dia 'terpaksa' melakukan sesuatu dosa kerana sudah dikuasai nafsu dan syaitan dia pasti akan melakukan dosa itu dengan mengambil dosa yang paling sedikit kesannya.

Dalam keadaan masyarakat masa kini,untuk kita lari dan tinggalkan 100% dosa silam, itu adalah sesuatu yang sukar melainkan jika Allah mengkehendakinya begitu. Yang pasti, ramai dalam kalangan kita sudah punya hidayah tapi belum dikurniakan taufik. Ramai yang sudah diberi kesedaran (hidayah) tapi tak ramai yang diberi kekuatan (taufik) untuk melakukan kebaikan seperti yang hati kecilnya mahu.

Ini dibuktikan dengan firman Allah dalam surah al-hujurat ayat 7 bahawa fitrah manusia, tidak kisah sejahat manapun dia, dia cenderung kepada keimanan dan membenci kepada kekufuran dan dosa. Kita boleh tipu orang lain, tapi kita takkan boleh tipu diri kita. Kita mahu mengenal Allah.

Kita mahu menjadi pemuda yang dekat dengan masjid. Kita mahu jadi orang yang baik. Tapi kadangkala kita terlalu ego untuk mengaku bahawa kita mahu berubah.

Maka,di situ lah peranan da'ei sebagai penyeru dan bukannya penghukum. Apa yang terjadi, jika kita mudah menghukum orang lain ,maka hati kecil yang nak berubah ini terus tertutup dek kecewa dengan sikap orang-orang berkopiah ini. Apakah ini yang dinamakan jenayah kopiah putih?

Saya faham...
Maka,saya sama sekali tidak pernah menyalahkan mana-mana orang yang bermaksiat. Cuma yang saya marahkan ialah maksiat itu,bukan pelakunya. Saya tahu, untuk mengelakkan maksiat itu bukannya mudah. Kerana itu, para ulama dalam menafsirkan bentuk-bentuk sabar, mereka meletakkan sabar dalam meninggalkan maksiat sebagai sabar yang paling tinggi tarafnya.

Susah nak tinggal kebiasaan jahat kita,tapi ia boleh. Apa yang perlu, ialah azam dan keinginan yang kuat untuk berubah. Jika hari ini kita buat maksiat 5 kali, mungkin minggu depan kita buat 4 kali.

Sedikit demi sedikit, kita kurangkan. Terus menerus kita kurangkan dan insyaAllah kita boleh tinggalkan terus! Yakinlah! Dan, jadilah manusia yang bijak yang mengurangkan impak dosa.

Kesimpulan
Saya mahu mengajak anda supaya memasang niat untuk meninggalkan terus maksiat. Saya pasti anda bukan malaikat, tak boleh lari daripada melakukan dosa sama seperti saya juga.

Maka kerana itulah, jika tak tahan juga nak buat dosa, pilihlah dosa yang kecil dan bertaubatlah selepas itu. Taubat, moga-moga timbul kesal dan insaf.

Dan paling penting, jangan sesekali kita berbangga-bangga (heboh-hebohkan) dengan perbuatan dosa itudan jangan pula kita mengajak orang lain untuk turut sama melakukan dosa.

KENYATAAN MEDIA : PAKATAN RAKYAT PERAK MENYOKONG PENUH CALON PAS DI DUN GALAS

14 Zulkaedah 1431 H

Kenyataan Media Sekretariat PR Perak.

Berhubung dengan pencalonan Pemangku yang dipertua PAS Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad yang telah diumumkan sebagai calon PAS untuk pilihan raya kecil N.45 DUN Galas pada 4 November ini.

Calon merupakan graduan lulusan ijazah sarjana muda perubatan dan pembedahan, Universiti Malaya pada tahun 1992 yang juga bekas calon PAS yang bertanding menentang Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah dalam pilihan raya umum 2008.

Sehubungan dengan itu, Sekretariat Pakatan Rakyat Perak suka untuk memberi beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Pakatan Rakyat Perak bersetuju dengan pencalonan tersebut kerana Dr Zulkefli Mohamad memiliki kelayakan sebagai pemimpin yang diperlukan pada masa kini, Pakatan Rakyat juga menyatakan bahawa inilah calon yang paling tepat bagi memenangi DUN Galas bagi meneruskan agenda rakyat Kelantan Khususnya.

2. Pihak sekretariat ingin menggesa supaya seluruh rakyat Perak turun ke Galas bagi menyatakan sokongan moral dan juga membantu jentera petugas parti bagi memastikan kemenangan memihak kepada Pakatan Rakyat di DUN Galas.

3. Kemenangan di DUN Galas amat penting kerana ini bukti sokonganrakyat Kelantan terhadap agenda kepimpinan ulama yang diterajui oleh Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat selama 20 tahun, Rakyat Kelantan khususnya perlu menggerakkan seluruh jentera pilihan raya di DUN Galas sebagai penerus agenda Pakatan Rakyat untuk menerajui Putrajaya tidak lama lagi.

Kenyataan Media, 22 Oktober 2010.

YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM
Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat, PERAK.

Jasa Allahyarham Chek Hashim tidak dilupakan

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 22 Okt: Allahyarham Chek Hashim Sulaima ditimpa kecelakaan jalan raya pada 21 Mac 2008 iaitu kira-kira dua minggu selepas bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kejadian di Ciku 2, Gua Musang tersebut berlaku ketika Chek Hashim bersama isteri, Aida Zakaria, 40, dan anak-anak dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Puteh.

Ekoran kemalangan tersebut, beliau cedera di kepala, anak bongsunya berlaku pendarahan di bahagian dalam perut, manakala isterinya patah kaki.

Selang beberapa bulan selepas itu, beliau kemudiannya sekali lagi diuji apabila dikesan menghidap kanser usus.

Dengan bantuan masyarakat Cina Galas, Allahyarham menerima rawatan di The First People's Hospital Fu San di Guantong, China pada pada 23 Julai 2008, yang kemudiannya menjalani pembedahan pada 7 Ogos.

Sejak dari itu beliau perlu menerima rawatan susulan sehingga banyak masanya dihabiskan untuk memulihkan kesihatannya.

Biarpun diuji dengan masalah kesihatan, kerja-kerja dan tanggungjawab sebagai Yang Berhormat Galas tidak pernah diabai.

Ikhlas dan tidak sayang wang ringgit

Tugas wakil rakyat itu kemudiannya dipikul dua orang yang rapat dengan beliau iaitu Husein Embong yang kini sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) dan seorang lagi Setiausaha MTD, Rosmadi Abdul Wahab.

Menurut Husein, memikul tugas allahyarham bukan sesuatu yang mudah.

Biarpun masyarakat Galas tahu allahyarham ketika itu sedang sakit, namun mereka tetap mengharap komitmen dan khidmat 100 peratus dari pengganti sepertimana Adun asal.

Menurutnya, Allahayarham Chek Hashim terkenal di kalangan masyarakat sebagai seorang yang ringan tulang dan suka menolong orang.

Namun biarpun tidak berjaya 100 peratus menjadi seperti Allahyarham, beliau tetap menunaikan tanggungjawab semampu mungkin.

"Pertama sekali keikhlasan dia kita nampak. Dia ni senang kira, mudah bahasa, tak kedekut wang ringgit atau tenaga dia.

"Itu yang sukar bagi saya nak buat, sebab kita hanya mengurus apa yang perlu dibuat, nak jadi macam dia saya tak mampu," katanya.

"Satu kelebihan dia (Chek Hashim) ni kalau ada rakyat dia meninggal dunia, dia akan hadir dan urus sampai ke kubur," jelasnya lagi.

Selain itu, Chek Hashim juga jelasnya seorang yang komited dan tekun dengan kerjanya.

Sepanjang mengenali Allahyarham katanya, beliau tidak pernah tinggal mesyuarat rasmi di Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan jasa besar Allahyarham adalah menyelesaikan isu tanah rakyat sejak sekian lama tertunggak dan diabaikan Adun BN sebelum ini.

"Di sini banyak isu tanah, YB Che Hashim ni banyak selesai isu tanah di kawasan Tanah Putih, Sungai Kepa dan Perkampungan Kundor," jelasnya.

Tolong tak kira parti politik

Menurut Rosmadi pula, kehilangan Allahyarham Chek Hashim sukar dicari ganti.

Kesungguhan menjaga rakyatnya, tidak mampu ditandingi sesiapa.

"Bukan calang-calang orang boleh jadi seperti dia. Dengan jarak Galas dengan Kota Bharu 200 km, dia boleh ulang alik berkali-kali sehari urus hal rakyat.

"Dia tolong rakyat tak kira orang itu penyokong PAS ke Umno ke, semua dia tolong.

"Kalau dengar rakyat dia sakit je, walaupun ada mesyuarat di KB, dia akan balik biarpun pukul 1 pagi," katanya.

Seperkara lagi antara kelebihan yang ada pada Allahyarham Chek Hashim adalah rapat dengan masyarakat Orang Asli.

"Dia memang rapat dengan Orang Asli sebab dia dulu kerja jual rotan di Kuala Betis.

"Orang Asli anggap dia tauke rotan, dan semua Orang Asli kenal dia," katanya.

Sebab itu katanya, semenjak Allahyarham menjadi wakil rakyat, banyak pembangunan dan kemudahan dikecapi oleh masyarakat di pedalaman itu.

Chek Hashim Sulaima bagaimanapun meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus yang dihadapinya.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.

Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.

Harakahdaily/-

Sarkis?

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : ZAMRI

Sempena Perhimpunan Agong UMNO ni teringat pulak aku dengan satu babak dalam Filem Pendekar Bujang Lapok, arahan P.Ramlee. Apa yang menggelikan hati saya hanya kalimat "Alif, Mim, Nun, Wau = Sarkis".

Nak tegelak saya, hahaha...Ada ke P.Ramlee buat filem mengata UMNO=Sarkis? Patut ka? Tak patut-tak patut. Barangkali kalau dia masih hidup, teruk dia kena dengan Najib ni. Mungkin akan diharamkan terus filem tu. Hehehe... Anda nilailah sendiri ya.

Nampaknya, apa yang dinukilkan oleh P.Ramlee ni ada logiknya. Benarlah karyanya, memang UMNO hari ini macam sarkis. Sebuah pentas drama pertunjukan yang dilakonkan oleh watak-watak seperti polis, tentera, pegawai kerajaan, rakyat biasa.

Siapa yang untung? Pemilik sarkis la yang untung, mereka yang kaut keuntungan. Siapa pemilik sarkis? Tuan punya UMNO=Sarkis lah...hehehe...Benar nggak?

Maka kita semua boleh nampak, sejak zaman P.Ramlee lagi UMNO ni bermain sarkis, membuat roadshow ke bandar-bandar, ke pekan-pekan, ke kampung-kampung. Macam kisah dibawanya, malahan rakyat yang menonton sarkis ini semakin percaya dengan kisah-kisah dongeng yang dibawa dalam setiap roadshow ini.

Apa boleh buat, baginya pentas dunia hanya untuk bersuka ria. Urusan mati tu belakang kira, apa yang penting, selagi kita hidup, nikmatilah sepenuhnya hidup ini, Seperti pertunjukan hiburan pentas SARKIS.

Maka terhiburlah rakyat jelata menonton Sarkis sepanjang minggu ini.

EZAM LEBIH MINAT CERITA TENTANG ANWAR DARI ULAS `BA JET SELUAR DALAM'

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : WFAUZDIN NS

RAJA Sesumpah Ezam nampaknya masih belum semboh dari penyakit `meroyan'nya. Di kala parti yang dia `melutut' sedang sibuk mengadakan perbahasan di PWTC kununnya membicarakan nasib orang-orang Melayu yang telah di`layu'kan oleh mereka sendiri, raja sesumpah masih `mengigau' nama DS Anwar. Senatak (Senator Katak) yang kaki bersumpah ini seperti akan `mati' jika tidak menyebut nama DS Anwar.

Semalam raja katak muncul di kaca TV. Bicaranya tetap serupa dengan hujah yang serupa semenjak maruahnya `dijual' kepada parti sekular itu. Nama DS Anwar disebut lagi.

Nama Mahathir dipujanya. Kata Ezam, tindakan Mahathir mengambil tindakan itu tepat dan sebab itulah Ezam sesumpah keluar dari KeADILan. Kita mahu tanya, Mahathr mengambil tindakan ke atas DS Anwar bila? Raja sesumpah keluar dari KeADILan bila pula?

Bukankah sebelum ini raja sesumpah bagitahu dia percaya DS Anwar melakukan `perkara itu' apabila mendengar sendiri dari mulut Saiful pemuda yang tidak cuci dubur 3 hari itu.

Tiba-tiba semalam dia beritahu dia yakin tuduhan ke atas DS Anwar itu benar apabila Mahathir mengambil tindakan ke atas mantan TPM itu, dan juga apabila mahkamah melepaskan DS Anwar kerana `teknikal' sahaja.

Teknikal apanya kalau pertuduhan pun dipinda sebanyak tiga kali? Tidak tentu arah Ezam bercakap sekarang.

Beliau tidak mengambil tahu lagi nasib rakyat bawahan. Beliau tidak lagi bicara tentang rasuah, penghinaan ke atas agama Islam, kezaliman Akta ISA dan tidak juga mahu bercerita pasal `Bajet Seluar Dalam'.

Beliau lebih senang bercerita tengan peribadi DS Anwar kerana ia tidak memerlukan hujah yang berfakta, tidak perlu kajian dan lebih penting lagi Najib seronok mendengarnya.

Tidak hairanlah ceramah raja sesumpah di Selangor tidak lagi dihiraukan orang kerana ramai yang sudah tahu apa yang bakal dikeluarkan dari mulut busuk Ezam itu.

Hakikatnya Ezam sudah tahu, kekuatan PR terletak kepada kekuatan DS Anwar bersama Tuan Guru Nik Aziz dan Lim Guan Eng khususnya. Langkah awal, musnahkan kredibiliti DS Anwar dengan cerita fitnah. Raja sesumpah terus menghasut sekutu PKR terutamanya PAS untuk menjauhi DS Anwar.

Beliau lupa bahawa PAS menyokong perjuangan DS Anwar selagi DS Anwar tidak melakukan kesalahan terhadap hukum Islam. Sebab itu juga PAS tidak mahu menyokong Umno kerana Umno berterusan memusuhi Islam.

Setakat mahu bercerita, buat fitnah tanpa ditampilkan bukti, sesiapa pun boleh sebut Ezam juga pernah `meliwat' kambing.

Renungan

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : aizi aizi

Tahukah kita semenjak Nabi Adam
terkeluar dari syurga akibat tipu daya
iblis, beliau menangis selama 300
tahun. Nabi Adam tidak mengangkat
kepalanya ke langit kerana terlampau
malu kepada Allah swt.

Beliau sujud di atas gunung selama
seratus tahun. Kemudian menangis lagi
sehingga air matanya mengalir di
jurang Serantip.

Dari air mata Nabi
Adam itu Allah tumbuhkan pohon kayu
manis dan pokok cengkih. Beberapa ekor
burung telah meminum air mata beliau.
Burung itu berkata, “Sedap sungguh air
ini.”

Nabi Adam terdengar kata-kata burung
tersebut. Beliau menyangka burung itu
sengaja mengejeknya kerana perbuatan
derhakanya kepada Allah. Ini membuatkan
Nabi Adam semakin hebat menangis.
Akhirnya Allah telah menyampaikan wahyu
yang bermaksud, “Hai Adam,
sesungguhnya aku belum pernah
menciptakan air minum yang lebih lazat
dan hebat dari air mata taubatmu itu.”

Apa Yang Akan Ditanya:

Dalam sehari ada 24 jam.? Dalam sejam
manusia bernafas sebanyak 4320 kali.

Dalam setiap kali bernafas Allah akan
tanya dua perkara semasa nafas keluar
dan masuk. Pertanyaan itu ialah, “Apa
perbuatan yang kita lakukan semasa
nafas itu keluar dan masuk ?

Tiga Cahaya Di Hari Kiamat

Di hari kiamat ada tiga cahaya yang
berlainan :

Cahaya yang pertama seperti bintang-
bintang.

Cahaya yang kedua seperti cahaya
bulan.

Cahaya yang ketiga seperti cahaya
matahari.

Apabila ditanya cahaya apakah ini ?
Lalu dijawab :

“Cahaya yang pertama ialah cahaya
wajah-wajah manusia yang ketika di
dunia,

mereka akan meninggalkan pekerjaan
dan terus bersuci dan mengambil air
sembahyang apabila terdengar azan.

Yang kedua ialah cahaya wajah mereka
yang mengambil air sembahyang sebelum
azan.

Cahaya yang ketiga ialah cahaya
mereka seperti matahari. Mereka di
dunia sudah bersiap sedia di dalam
masjid sebelum azan lagi.”

Kala Jengking Neraka

Di hari kiamat akan keluar seekor
binatang dari neraka jahanam yang
bernama “Huraisy” berasal dari anak
kala jengking. Besarnya Huraisy ini
dari timur hingga ke barat. Panjangnya
pula seperti jarak langit dan bumi.

Malaikat Jibril bertanya : “Hai
Huraisy! Engkau hendak ke mana dan
siapa yang kau cari?”Huraisy pun
menjawab, “Aku mahu mencari lima
orang.
Pertama, orang yang meninggalkan
sembahyang. Kedua, orang yang tidak
mahu keluarkan zakat. Ketiga, orang
yang derhaka kepada ibubapanya.
Keempat, orang yang bercakap tentang
dunia di dalam masjid. Kelima, orang
yang suka minum arak.”

KENYATAAN MEDIA : PAKATAN RAKYAT PERAK MENGUTUK PENGHINAAN TERHADAP NABI MUHAMMAD SAW

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. DRS. KHALIL IDHAM LIM

Berhubung dengan satu penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu dan ia dirasmikan oleh Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, merupakan penganjur Festival tersebut.

Pakatan Rakyat Perak mengecam tindakan mereka menulis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka. Dengan ini saya mewakili pihak Pakatan Rakyat Perak suka untuk memberi beberapa kenyataan seperti berikut :-

1. Pakatan Rakyat Perak Membantah Sekeras-kerasnya penghinaan tersebut kerana Rasulullah merupakan manusia yang termulia di sisi Allah SWT yang merupakan Penghulu bagi seluruh Rasul utusan Allah SWT dan ia jelas termaktub di dalam Al-Quran surah Al-Ahzab :

“لقد كان لكم في رسول الله أسوة حسنة لمن كان يرجو الله واليوم الآخر وذكر الله كثيرا"”
"Sesungguhnya, bagi kamu pada diri rasulullah itu model ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan allah dan balasan baik hari akhirat serta dia pula banyak menyebut dan mengingati".

2. Seluruh rakyat diseru supaya menghukum kerajaan BN dengan memberikan undi kepada Pakatan Rakyat bagi menjatuhkan BN pada PRU 13, pimpinan tertinggi BN iaitu Dato’ Seri Najib Tun Razak selaku Perdana Menteri Malaysia membiarkan Isteri beliau melakukan penghinaan tersebut sedangkan

ia jelas telah menghina Nabi Muhammad saw dan tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan, reaksi Dato’ Seri Najib Tun Razak seolah-olah meredhakan perbuatan isterinya menghina Rasulullah saw.

3. Pakatan Rakyat Perak menggesa umat Islam bangun menyertai perhimpunan di lokaliti masing-masing bagi menyatakan bantahan terhadap tindakan Rosmah dan mendesak isteri perdana menteri itu bertaubat dan mohon maaf secara terbuka kepada seluruh umat Islam.

Dr Zulkefli dipilih penuhi hasrat penduduk Galas

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Mohd Nor Yahya

GUA MUSANG, 22 Okt: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, pemilihan Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon PAS mewakili Pakatan Rakyat dalam pilihan raya kecil Dun Galas amat bertepatan dengan permintaan penduduk setempat.

Tambahan pula, Dr Zulkefli merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang juga memangku tugas Yang Dipertua berikutan kematian Chek Hashim Sulaima.

Menurutnya, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim.

Sehubungan itu, beliau berharap masyarakat Melayu di Dun Galas akan memberi sokongan padu dan berganding bahu dengan kaum Tionghua, India dan Orang Asli bagi memastikan kemenangan berpihak kepada PAS.

Bagi Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham, pemilihan Zulkefli Mohamad adalah bertepatan dengan kejayaan beliau yang telah memenangi undi bagi parlimen Gua Musang di Dun Galas dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.

“Kami di pihak DAP mengucapkan tahniah di atas pemilihan beliau dan jentera DAP akan bergerak sebaik mungkin terutamanya dalam memberi penjelasan terhadap kewibawaan calon ini,” ujar beliau.

Ngeh juga berkata sebelum ini masyarakat Tionghua begitu takut untuk mengundi calon dari PAS kerana mereka telah termakan hasutan Umno yang mengatakan PAS sebuah parti yang menindas kaum lain.

“Kita akan mengambil pendekatan menjelaskan terhadap perkembangan di Perak semasa di bawah Pakatan Rakyat dulu yang mana Menteri Besarnya ialah dari orang PAS, tetapi kehidupan masyarakat lain terus mendapat pembelaan, lagi pun PAS di Kelantan sudah memasuki tahun ke dua puluh dan tiada pun kita dengan masyarakat lain ditindas atau dipinggirkan di sini,” katanya lagi.

Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pula berkata, Dr Zulkefli telahpun dikenali ramai kerana sebelum ini pernah bertanding sebagai calon PAS bagi Parlimen Gua Musang dalam PRU 12.

Melalui tinjauan yang dibuat sebelum ini, ramai dari akar umbi bersetuju untuk menerima beliau sebagai calon.

“Pengisyitharan malam ini sebenarnya tidaklah mengejutkan pengundi di sini, kerana mereka telah menjangka dari segi jawatan dalam partipun beliau merupakan Timbalan Yang Dipertua PAS kawasan,” ujar beliau.

Tuan Ibrahim juga berkata, dengan pengorbanan dan kesungguhan beliau bekerja untuk parti semasa Allahyarham Chek Hashim menjadi wakil rakyat telah terbukti.

“Jentera parti PAS akan meneruskan amanah ini dengan memperkemaskan setiap pelosok dan peti undi.

“Kita juga mengharapkan dengan sokongan masyarakat Tionghua, India dan Orang Asli dan dokongan orang Melayu akan berlaku perubahan besar dengan meningkatkan majoriti undi dan pengisytiharan malam ini juga adalah bersempena sambutan 20 tahun pentadbiran PAS di Kelantan,” katanya lagi.

Bagi Parti Keadilan Rakyat, kesepakatan dalam Pakatan Rakyat akan diterjemahkan dengan menggerakkan jentera pilihan raya kecil di Dun Galas.

Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail berkata, walaupun PKR kini sedang sibuk dalam urusan pemilihan parti, namun ia tidak menghalang usaha membantu calon yang telah mendapat mandat dari pimpinan Pakatan Rakyat.

“Insya Allah dengan jentera yang kita ada, kita akan membantu sebaik mungkin rakan-rakan kita yang lain seperti PAS dan DAP dalam usaha memberi penjelasan kepada masyarakat di sini dan usaha ini akan diteruskan dari masa ke semasa,” ujar beliau.

Bagi Ketua Pemuda PAS Kelantan, Ustaz Abdul Latif Abdul Rahman, jentera Pemuda PAS sudah lama bersiap untuk bergerak membantu calon PAS dalam pilihan raya kecil Dun Galas.

Menurut beliau lagi, Pemuda PAS telah berikrar untuk menyokong sesiapa sahaja calon yang dipilih walaupun ia bukan dari kalangan pemuda.

“Bagi kita dalam Pemuda PAS, setiap apa yang diputuskan oleh pimpinan parti itu jugalah keputusan kita dan jentera pemuda bersama dengan ulamak dan muslimat telah bersepakat untuk berjuang habis-habisan di sini bagi memastikan kemenangan dengan majoriti lebih selesa,” kata beliau lagi.

Harakahdaily/-

Jentera PAS turun dengan 'underdog' di Galas

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Analisa Berita Zulkifli Sulong

GUA MUSANG, 22 Okt: Walaupun dilihat mendahului BN, namun jentera pilihan raya PAS di Galas meletakkan diri mereka underdog (di belakang) dalam gerak kerja pilihan raya kecil ini.

"Kalau di Manik Urai undi popular kita merosot 6 peratus dalam pilihan raya kecil berbanding undi kita dalam pilihanraya umum, maka di Galas kita meletakkan kita ketinggalan 6 peratus juga iaitu dari menang dengan 54 peratus dalam pilihan raya umum kepada kalah iaitu 48 peratus sahaja sekarang," kata Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah (gambar), Penasihat jentera pilihan raya PAS di Galas.

Sikap ini diambil oleh jentara plihan raya PAS berdasarkan pengalaman Pakatan menghadapi dua pilihan raya penting yang memberikan banyak pengajaran kepada PAS.

"Semasa di Manik Urai, kita ambil pendekatan bertahan kerana kita sudah menang. Terbukti, ia merugikan kita sehingga kita hampir kalah. Berbanding dengan jentera Pakatan di Sibu yang meletakkan kita kalah. Kita berusaha sehinggalah kita menang di sana," kata Wan Rahim yang merupakan penasihat jentera pilihan raya itu.

Wan Rahim, anggota Parlimen Kota Bharu pernah bertanding melawan Tengku Razaleigh Hamzah di Parlimen Gua Musang dan dia kalah. Dia juga pernah menjadi Yang Dipertua PAS Gua Musang sebelum ini.

Kalau dilihat dari mata kasar, PAS nampaknya terus mendahului Umno dalam kempen pilihan raya kecil Dun Galas apabila melancar jentera pilihan rayanya 19 Oktober lalu.

Umno masih lagi tenggelam dalam kemelut dalaman apabila difahamkan wujud dua kem utama dalam Umno Gua Musang iaitu kem bekas Semangat 46 pimpinan Tengku Razaleigh dengan kem Umno asal yang dipimpin Saufi Deraman yang mendapat sokongan padu Wanita dan Pemuda Bahagian.

Kehadiran ribuan penduduk tempatan dalam majlis pelancaran itu memberi satu isyarat Dun Galas seakan-akan sukar digugat Umno biar pun mempertaruhkan Tengku Razaleigh sebagai pengarah jentera pilihan raya BN di Galas.

Di antara ribuan yang hadir dengan bersesak-sesak di hadapan Markas Besar PAS Dun Galas adalah masyarakat bukan Islam termasuk orang Cina dan India.

Situasi itu kelihatan berlainan berbanding dengan pilihan raya kecil Dun Manek Urai pada Julai tahun lepas kerana tiada ragam kaum yang hadir pada pelancaran jentera pilihan raya PAS.

Pilihan raya umum 2008

Dalam pilihan raya umum 2008 lalu, calon PAS, Dr Zulkefli Muhamad mengalahkan Tengku Razaleigh Hamzah sebanyak 317 undi untuk Dun Galas dalam pertembungan mereka untuk merebut kerusi Parlimen Gua Musang.

Namun Ku Li memenangi kerusi itu selepas menang lebih besar di dua Dun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri yang juga terletak di bawah Parlimen Gua Musang.

Menurut kajian sebuah badan bebas, pengaruh peribadi Ku Li hanya 30 peratus sahaja di Gua Musang. Selebihnya adalah sokongan daripada Umno. Jika Ku Li bukan calon dalam pilihan raya ini, bermakna pengaruh peribadi itu akan hilang.

Seramai 11,553 pemilih layak mengundi dalam pilihan raya ini dengan Melayu berjumlah 7,123 atau 61.67 peratus dari jumlah pemilih itu. Cina 2317 (20.06 peratus), Orang Asli 1,889 (16.35 peratus) manakala India 185 (1.6 peratus).

Kubu utama PAS dalam pilihan raya ini adalah daerah mengundi Sungai Terah yang mempunyai pemilih seramai 1,912. Dalam pilihan raya umum lalu, 68.45 peratus telah mengundi Dr Zulkifli (undi Parlimen) dan 68.56 peratus mengundi Che Hashim Sulaima untuk undi peringkat Dun Galas.

Kekuatan PAS terletak di Lembaga Kemajuan Tanah Sungai Terah yang mempunyai 1,380 pengundi. Mereka adalah peneroka asal yang dihantar oleh kerajaan negeri pimpinan Datuk Asri Muda untuk membuka tanah kawasan itu.

Daerah mengundi yang paling ramai adalah Kampung Bharu yang 52.60 atau 1131 pengundinya adalah kaum Cina. Selebihnya iaitu 999 pengundi atau 46.47 peratus adalah Melayu.

Dalam pilihan raya lalu, 52.41 peratus memberikan undi kepada Dr Zul (Parlimen melawan Ku Li) manakala 55.91 peratus memberikan undi kepada Che Hashim.

Dalam pilihan raya umum lalu juga, PAS hanya kalah di Kampung Pulai yang mempunyai pemilih seramai 471 di mana 83.86 peratus atau 395 orang adalah pengundi Cina.

Namun menurut Nasir Daud, Penyelaras Operasi bilik gerakan PAS di Galas, isu yang melanda pengundi kawasan ini sudah dikenalpasti. Beliau yakin, pengundi Cina kawasan ini akan kembali kepada PAS dalam pilihan raya kecil ini.

Keutamaan pengundi

Dengan data-data inilah, jentera PAS yang disokong Pakatan Rakyat dan jentera Umno yang disokong BN akan berebut pengaruh dalam pilihan raya ini.

Namun, isu utama yang menjadi pengkiraan pengundi kawasan ini tetap kepada apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi BN dan apa yang mereka untung atau rugi jika mengundi PAS.

Yang pasti, jika mereka memilih PAS, penduduk kawasan ini termasuk Gua Musang keseluruhannya akan mendapat seorang wakil yang boleh menghubungkan mereka dengan kerajaan negeri Kelantan yang ditadbir oleh PAS. Tanpa wakil PAS bermakna, mereka terputus hubungan dengan kerajaan negeri. Urusan paling penting bagi penduduk di sini adalah hak dan pemilikan tanah. Ia adalah bidang kuasa kerajaan negeri.

Jika mereka memilih calon BN, ia hanya menambahkan seorang sahaja lagi wakil mereka kerana BN sudah ada anggota Parlimen di situ dan dua Adun lagi iaitu Paloh dan Nenggiri sudah Adun BN. Ketiga-tiganya sudah lebih dari cukup untuk mewakili mereka dalam berurusan dengan kerajaan Pusat.

Harakahdaily/-

Pemuda PAS yakin Zulkefli mampu galas amanah

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Dewan Pemuda PAS Pusat menyokong penuh calon pilihan PAS yang mewakili Pakatan Rakyat bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, Dr Zulkefli Mohamad yang diumum malam tadi.

Ketuanya, Nasruddin Hassan berkata, pemuda PAS yakin Dr Zulkefli mampu menggalas amanah tersebut dengan jayanya dengan bantuan seluruh jentera parti pelbagai peringkat.

Ini kerana Dr Zulkefli mempunyai pengalaman luas dengan politik di Galas apabila pernah bertanding dalam pilihan raya umum 2004 di Dun Galas dan pilihan raya umum 2008 bagi Parlimen Gua Musang.

“DPPP sokong penuh calon PAS yang diumum oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz semalam bagi mewakili PR di Dun Galas," katanya.

Sehubungan itu, beliau mengerahkan seluruh jentera pemuda turun ke Galas bagi membantu memenangkan calon PAS tersebut.

Bagaimanapun katanya, pemuda PAS dinasihatkan agar berhati-hati dan tidak terpengaruh provokasi pihak lawan.

"Pemuda PAS perlu turun ke Galas dengan akhlak yang tinggi, semangat juang yang tabah serta elak diri dari terjebak dengan sebarang provokasi," tambahnya lagi.

Beliau juga optimis PAS mampu mengekalkan kerusi Dun tersebut jika jentera menjalankan tanggungjawab sebaiknya dan ikhlas dalam perjuangan.

"Perjuangan Islam pasti menang apabila Allah redha. Allah hanya redha pada yang ikhlas dan benar dalam perjuangan, kerana kedua-duanya itu adalah asas kepada kejayaan," katanya.

PAS malam tadi mengumumkan Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Gua Musang, Dr Zulkefli Mohamad sebagai calon mewakili Pakatan Rakyat bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) N.45 Dun Galas.

Pengumuman itu dibuat Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada majlis pengisytiharan calon di Dataran Ilmu, Gua Musang.

Menurut Tuan Guru Nik Aziz, Zulkefli dipilih kerana diyakini mampu meneruskan kerja cemerlang yang telah diusahakan wakil rakyat sebelum ini, Allahyarham Chek Hashim Sulaima.

Hadir sama pada majlis tersebut, semua pimpinan utama PAS Pusat termasuk Presiden, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan timbalannya, Nasharudin Mat Isa. Turut serta ialah Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Datuk Ngeh Koo Ham.

Harakahdaily/-

PKR masih letak harapan runding di Batu Sapi

14 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Timbalan Presiden PKR, Dr Syed Husin Ali masih memberikan harapan untuk membolehkan pertandingan satu lawan satu berlaku di Batu Sapi.

Bagi beliau, pertandingan tiga penjuru di Batu Sapi antara calon Pakatan dari PKR, SAPP dan PBS dari BN sesuatu yang tidak baik.

"Sayang tak dapat elak tiga penjuru di Batu Sapi," kata Syed Husin dalam twitternya.

Namun begitu, beliau tetap menaruh harapan agar berlaku pertandingan dua penjuru sahaja di Batu Sapi.

"Masih ada masa runding dan elak (tiga penjuru)," tulis beliau dalam twitternya.

Ekoran itu, beliau berkata, suasana lebih baik kelihatan di Galas berbanding Batu Sapi.

Baru-baru ini, Pakatan Rakyat mengumumkan calon dari PKR akan diletakkan untuk bertanding dalam pilihan raya Batu Sapi itu.

Pengumuman itu dibuat selepas Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat menyerahkan Pakatan Rakyat Sabah membuat rundingan bagi menentukan calon mereka di Batu Sapi.

Sebelum ini, Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man memberitahu, PAS juga berminat untuk bertanding di Batu Sapi kerana 61 peratus pengundinya adalah beragama Islam.

Bagaimanapun, pilihan raya kecil Batu Sapi dijangka menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara BN, PKR dan SAPP apabila usaha mencari jalan penyelesaian antara kedua-dua parti pembangkang itu menemui jalan buntu semalam.

Bagaimanapun, PKR dan SAPP bersetuju untuk tidak berkempen menentang satu sama lain dan menjadikan BN sebagai sasaran bersama dengan harapan pilihan raya kecil itu boleh dijadikan "sumber rujukan" oleh mereka apabila mengadakan rundingan pada masa akan datang.

SAPP akan mengumumkan calonnya Sabtu ini, manakala Leong sekadar berkata PKR akan mengumumkan calonnya "sedikit masa lagi".

BN akan mengumumkan calonnya daripada Parti Bersatu Sabah (PBS) Ahad ini.

Mesyuarat peringkat tertinggi lebih sejam semalam diadakan oleh kedua-dua parti itu dengan bendahari PKR mewakili Pakatan Rakyat manakala SAPP pula diketuai oleh presidennya, Datuk Yong Teck Lee.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah menetapkan penamaan calon pada Selasa ini manakala pengundian adalah pada 4 November ini.

Kerusi Batu Sapi kosong, berikutan kematian ahli parlimennya, Edmund Chong Ket Wah dari Parti Bersatu Sabah yang terbunuh dalam kemalangan jalan raya di Kota Kinabalu, minggu lalu.

Mendiang menduduki kerusi berkenaan sejak pilihan raya umum 2004 apabila memenanginya tanpa bertanding manakala pada pilihan raya umum 2008 mengalahkan calon bebas.

Harakahdaily/-

The power of surah Yasin

14 Zulkaedah 1431 H

Ketahui dan nikmati kelazatan dari surah Yasin! Berapa ramai antara kita yang berjaya menghafal surah Yasin? Namun, berapa ramai pula yang tahu dengan mendalam maksud dalam surah Yasin?

Bukankah lebih bermakna dan berkat ibadah yang kita lakukan jika dapat mendalami maksud yang disampaikan dalam surah Yasin.

Izinkanlah kehadiran buku kecil bertajuk ‘The power of surah Yasin’ ini membantu anda dalam memahami isi yang terkandung dalam surah Yasin. Terdapat beberapa poin penting yang terdapat dalam buku ini seperti berikut:

1.Pengertian secara terperinci setiap ayat dalam surah Yasin
2. Sebab nuzul ayat
3. Huraian dan pengajaran dalam surah Yasin
4. Setiap huraian disokong dengan penjelasan al-Quran dan Hadis.
5. Fadilat dalam membaca surah Yasin

Ilmu penyuluh jiwa, gapailah manfaat dalam membaca Yasin justeru pahalanya menyuluh jiwa anda. Mudah-mudahan ibadah anda lebih mantap selepas membaca setiap helaian dalam buku ini serta dapat memberi informasi bermanfaat kepada anda tentang surah Yasin.

Buku tafsir surah yasin ini adalah karya Dr. Abdul Wahab Mohd Salleh. Beliau merupakan mantan pensyarah Jabatan Pengajian Al-Quran & al-Sunnah, UKM.

Buku ini adalah terbitan terbaru dari Kemilau Publika Sdn Bhd. Jika anda ingin memilikinya sila hubungi 03-61573314/emel: sales@kemilau.com.my atau dapatkan di kedai-kedai buku rangkaian MPH, Popular dan kedai buku berhampiran anda. Layari www.kemilau.com.my

Harakahdaily/-

Festival busana: NGO, pelajar Islam kecam Rosmah

14 Zulkaedah 1431 H

Semakin ramai pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, parti politik dan juga orang perseorangan tampil membantah tindakan isteri perdana menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang didakwa menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW pada penganjuran Festival Busana Muslim di Monte Carlo, 9 Ogos lalu.

Antaranya, bahagian hal ehwal wanita, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) yang berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital jika masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, HELWA ABIM merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya.

“Malah apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival ini nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas,” kata naib presiden Helwa, Fadhlina Siddiq dalam satu kenyataan media.

Menurutnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam dan ia bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

Dipesta-pestakan

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) juga menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim yang didakwanya jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah SAW.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran sendiri.

"GAMIS mengecam sekeras kerasnya tindakan Rosmah Mansor yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad SAW apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

"Sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu ini. Dulu umat Islam sangat sensitif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark.

"Kita juga tidak terlepas menyertai perarakkan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya" katanya.

Turut membidas penganjuran Festival Busana Muslim itu adalah Gabungan Mahasiswa Bersatu Perak yang menyatakan ia tidak wajar dilaksanakan kerana unsur dan konsep fesyen Islam yang dianjurkan oleh Rosmah tidak diperhalusi setiap tindakan yang dibuat.

Nasihat mufti?

“Adakah pesta ini telah dirujuk atau mendapat nasihat daripada mufti-mufti atau penasihat agama?

“Persoalan yang timbul seterusnya pihak-pihak yang terlibat dalam menjayakan pesta ini turut serta atau tidak dalam memastikan pesta yang dianjurkan ini benar-benar mengikut landasan yang digariskan oleh syarak,” kata presidennya Mohd Syahid Mohd Zaini.

Menurut beliau, pesta fesyen yang secara zahirnya yang dianggap nampak Islamik tetapi fesyen pakaian yang dikenakan oleh isteri perdana menteri tidak mengikut cara Islam semasa merasmikan IFF tersebut.

“Kami di peringkat mahasiswa menuntut penjelasan daripada isteri perdana menteri berkenaan perkara ini dan sehubungan itu pihak NGO Islam juga mesti selidik secara terperinci akan hal ini,” kata mmahasiswa Universiti Malaya itu.

Turut membidas tindakan Rosmah, selaku penaung festival busana itu adalah Pertubuhan Lepasan Mahasiswa Mesir Malaysia (Ilmam).

Ilman: Jangan jadi 'syaitan bisu'

Dalam satu kenyataan, presidennya, Mohd Azizul Hisham Zulkifli berkata seluruh umat Islam perlu membantah dan mencela IFF ini dan tidak menjadi ‘syaitan bisu’.

“Adakah kita puas melihat Islam dipermainkan begitu sahaja dan banyak lagi syubhat-syubhat yang telah dimainkan oleh musuh Islam untuk menghancurkan maruah Islam?

“Ilman melahirkan satu kebimbangan terhadap kepimpinan negara yang tidak prihatin terhadap isu ini. Ini secara jelas adalah satu perancangan jahat musuh Islam untuk merosakkan pemikiran umat Islam di mana sahaja mereka berada.,” katanya dalam satu kenyataan

Katanya, Ilman juga menyeru agar pihak yang terlibat agar segera bertaubat dan tidak lagi mengulangi kemungkaran ini.

Semalam, dewan pemuda PAS pusat mengumumkan akan berhimpun secara aman di masijid-masid tertentu di seluruh negara, hari ini selepas solat Jumaat sebagai membantah tindakan Rosmah didakwa menghina syariat Islamitu.

"Saya akan mengetuai bantahan terhadap Rosmah di Masjid Sultan Ahmad Shah di Kuantan manakala di Masjid kampung Baru (di KualaLumpur) akan diketuai oleh Kamaruzaman Mohamad (exco pemuda PAS)," kata Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat, Nasrudin Hassan.

Menurut beliau, tindakan Rosmah selaku penganjur majlis itu sesuatu yang keterlaluan.

Pada festival itu, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik didakwa diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat.

Malaysiakini/-

Bersikap baik kepada keluarga.

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

“SeSebaik-baik kalian adalah orang yang bersikap baik kepada keluarganya. Dan aku adalah orang yang terbaik bagi keluargaku” (HR at-Tirmidzi dan Abu Daud).Sebahagian orang merasa sudah tepat menjalani hidup di jalan Allah.

Sebab, sudah mengikuti Rasulullah, telah melakukan segala macam ibadah wajib dan sunnat, serta telah berbuat baik untuk umat. Namun, ada juga yang hanya berbuat baik kepada umat di luar keluarganya, sedangkan keluarganya diabaikan. Ada suami yang menjadikan isterinya bagaikan hamba.

Begitu mudah marah terhadap isteri hanya kerana hidangan makan tengahhari nya terlambat Bahkan, ada suami yang merasa “haram” memasak untuk isterinya seumur hidup, meskipun sempat dilakukan.

Padahal, keluarga merupakan sebahagian kecil dari umat Islam kesleuruhannya. Kalau menelusuri kehidupan Rasulullah, beliau memperlakukan keluarganya dengan sangat baik.

Bila pulang ke rumah dan mendapati tiada makanan, beliau akan bersabar dan bahkan berpuasa. Bila memanggil isterinya, beliau menggunakan kata-kata yang baik dan lembut.

Rasulullah sendiri mengakui kalau beliau adalah orang yang terbaik untuk keluarganya. Hal ini juga diakui oleh orang yang pernah membantunya. Katanya, selama sekian tahun bersama Rasul, tidak pernah mendengar kata-kata yang tidak enak di hati.

Demikianlah Rasulullah s.a.w. memberi contoh untuk diikuti oleh umatnya spanjang zaman.

Kerana itu, penting bagi setiap insan untuk berpikir tentang umat Islam , termasuklah umat Islam terkecil iaitu keluarganya sendiri. Sesunbgguhnya pembinaaan umat perlu dari keluarga sendiri.

Sebab, kita lebih tahu apa yang terjadi dalam keluarga sendiri, berbanding dengan apa yang terjadi dalam keluarga orang lain.

Jika setiap orang mahu mengawal dan mampu mengawal umat dalam keluarganya sendiri, maka dengan sendirinya umat yang besar akan ikut terkawal juga. Semoga Allah menjauhkan kita dari perasaan yang menipu diri kita sendiri.

Pendidikan yang pincang.

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : YB. Drs. Khalil Idham Lim

“Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada tubuh badan kalian, tidak pula pada bentuk kalian, namun sesungguhnya Allah melihat kepada hati dan perbuatan kalian” (HR. Muslim).

Ketika menyaksikan berbagai jenis kejahatan dan dosa yang dilakukan di berbagai bidang di negara ini, ramai secara langsung mengarahkan telunjuknya kepada dunia pendidikan. Pendidikan di negeri ini dicap telah gagal. Iaitu, gagal membentuk manusia-manusia yang berakhlak mulia.

Disamping itu kita jangan melupakan kesilapan pemimpin yang lebih mengutama pembangunan fizikal dengan mengabaikan pembangunanan rohani sehingga lahirnya masyarakat yang tempang dan pincang.

Bila menyentuh soal pendidikan, Kegagalan ini menunjukkan bahwa kebanyakan pendidikan yang dilaksanakan (lebih banyak) memfokuskan pada upaya meningkatkan kemampuan fizikal dan fikiran, tetapi kurang untuk meningkatkan kemampuan akhlak hati.

Akibatnya, lahirlah cendikiawan-cendikiawan yang berhati gersang, lemah atau kurang berfungsi. Hati yang kurang berfungsi sangat berpeluang gagal dalam merasakan penderitaan orang lain , meskipun itu di depan matanya.

Dalam proses mendidik, kita melupakan pesan dari Rasulullah bahwa Allah lebih memandang kepada hati manusia sekaligus perbuatan yang dipengaruhi hati (HR. Muslim).

Juga melupakan misi Rasulullah ke dunia ini, Iaitu untuk memperbaiki akhlak. Dan akhlak yang baik adalah salah satu wujud dari taqwa. Taqwa, kata Rasulullah, letaknya di hati (HR. Muslim).

Padahal semua ini seharusnya melandasi setiap aktiviti pendidikan. Maksudnya, pendidikan lebih mengutamakan upaya pembentukan akhlak yang mulia.

Memo Taubat Buat Rosmah

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nasrudin Hassan

1. Astaghfirullah .... satu tindakan yang cukup memalukan , jahil lagi berniat jahat terhadap ajaran Islam yang suci ini. Lebih - lebih lagi penganjurannya dinaungi oleh orang besar negara .

2. Islamic Fashion Show atau Islamic Fashion FestiVal [ IFF ] ini memang berasal dari Malaysia dan ianya diasaskan oleh Dato' Raja Rezza Shah sementara Datin Rosmah Mansur bertindak sebagai penaungnya [ founding patron ] .

3. Bukan sahaja pakaian yang diperagakan ini bertentangan dengan prinsip pakaian Islam , lebih malang mereka berani menghina Rasulullah saw dengan melakarkan nama baginda di pakaian yang sedemikian .

4. Jika bukan niat menghina Islam , tindakan apakah seperti ini ? sungguh memalukan . Saya tidak jangka mereka sejahil itu , sehingga tidak mengetahui bagaimanakah bentuk pakaian Islam yang sebenarnya , sebagaimana yang dikehendaki oleh Allah swt . Firman Allah swt di dalam surah an Nuur ayat : 31

Katakan kepada orang - orang perempuan yang beriman , supaya mereka merendahkan pandangannya dan menjaga kehormatannya dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali apa yang zahir daripadanya dan hendaklah mereka melabuhkan tudung hingga ke bawah dadanya .

Janganlah mereka memperlihatkan perhiasannya kecuali kepada suaminya , bapanya , bapa suaminya , anaknya , anak suaminya , saudaranya , anak saudaranya yang lelaki , anak saudaranya yang perempuan ,

perempuan muslimah , hamba sahayanya , orang - orang yang mengikutnya dari kalangan lelaki yang tiada syahwah kepada perempuan , atau kanak - kanak yang belum mengerti tentang aurat perempuan .

Jangan mereka berjalan sambil menggoyangkan kakinya supaya diketahui orang perhiasan yang tersembunyi . Bertaubatlah kamu sekelian kepada Allah wahai orang - orang yang beriman mudah - mudahan kamu beroleh kejayaan . ]

5. Datin Seri Rosmah telah diberikan peluang oleh Allah swt menjadi orang penting dan berpengaruh dalam negara ini . Suami Datin Seri adalah orang bertanggungjawab memimpin negara sebagai Perdana Menteri .

Malang jika kedudukan yang dimiliki itu membawa Datin Seri jauh daripada Allah swt . apalagi secara terbuka menentang syariat Allah swt.

6. Baru - baru ini Datin Seri Rosmah berjaya mempengaruhi suami untuk menganugerahkan RM 111 juta bajet negara kepada PERMATA sebagai satu badan yang dipimpin oleh Datin Seri .

Kini Datin Seri memiliki segalanya selain suami , iaitu harta dan takhta . Kemungkinan juga ia menjadikan Datin Seri Rosmah sebagai orang paling berkuasa di negara ini .

7. Namun kuasa bukanlah tiket untuk Datin Seri berbuat sesuka hati terutama terhadap agama Islam yang suci ini kerana ia adalah agama milik Allah swt Tuhan yang Maha Berkuasa .

Tuhan yang memberi sedikit harta dan takhta kepada Datin Seri . Allah swt berhak dan mampu pada bila - bila masa sahaja menarik kembali segala nikmat yang dikurniakan justeru segala nikmat itu hanya ujian untuk melihatnya hambaNya bersyukur kepadaNya atau kufur .

8. Datin Seri Rosmah boleh memilih untuk bersyukur kepada Allah swt disamping segala keistemewaan dan kemewahan yang dimiliki , tetapi kenapa Datin Seri memilih untuk ingkar dan mempersenda Nabinya saw melalui tindakan Datin Seri menaungi Islamic Fashion Show yang jelas bertentangan dengan Islam ?

dan pula menghina Rasulullah saw melalui satu khat nama Rasul yang ditulis secara terbalik pada pakaian murahan sebagaimana yang terdapat di dalam gambar di atas .

9. Tindakan Datin Seri Rosmah cukup meninggalkan kesan jengkel dan kesal dalam jiwa ummat Islam yang perihatin . Memandangkan Datin Seri Rosmah cukup berkuasa dalam negara ini , kenapalah tidak dijadikan kuasa yang dimiliki itu benar - benar memartabatkan Islam.

Islamic Fashion Show adalah satu idea yang bijak tetapi malang salah pakaian yang di peragakan. Bukan begitu pakaian Islam . Jika Datin Seri keliru , bagaimanalah pakaian Islam yang sebenarnya ,

Datin Seri boleh merujuk kepada para mufti yang ramai dalam negara kita atau paling tidak Datin Seri boleh merujuk kepada 40 ulama' Muda yang baru - baru telah dirai dengan hebat lagi berprestij dikala mereka menyertai parti yang dipimpin oleh suami Datin Seri .

10. Justeru itu saya melihat jahil bukan alasan dan isunya di sini . Saya bimbang benar Datin Seri bersekongkol dengan pihak musuh - musuh Islam untuk menghina dan mempersendakan Islam lalu menjadikan Datin Seri sebagai boneka .

Namun saya harap tidak begitu , sebaliknya apa yang saya harap ialah Datin Seri kembali kepangkal jalan dan bertaubat kepada Allah Azza wa Jalla terutama saat usia kita telah hampir ke penghujung .

11. Biarpun Datin Seri kelihatan masih sihat , muda , kaya dan berharta , namun suka saya mengingatkan kata - kata hikmah yang selalu dilafazkan oleh Tuan Guru Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man bahawa mati tidak syarat sakit dan mati juga tidak syarat tua . Sementelah jika kita selalu sakit dan usia pula telah meningkat tua .

12. Datin Seri berdepan dengan amanah ummah . Datin Seri masih ada ruang dan peluang untuk berbakti kepada ummah dan mentaati Allah Azza wa Jalla.

Pertama , janganlah diulang lagi kesilapan serupa. Tarik diri dari terus menaungi program mungkar seperti penganjuran islamic Fashion Show yang menghina Islam dan mengelirukan ummah .

Kedua , melalui PERMATA yang dipimpin oleh Datin Seri , setelah memiliki peruntukan sedemikian banyak dari bajet negara [ RM 111 juta ] , mengatasi peruntukkan Sekolah Agama Rakyat [ RM 95 juta ] dan peruntukan rakyat marhain ,

Datin Seri sewajarnya manafaat kan anugerah tersebut untuk berbakti kepada agama , negara dan bangsa seperti mempertingkatkan bantuan pendidikan kepada pelajar luar bandar yang rata - ratanya tidak bernasib baik kerana faktor kemiskinan .

Juga membantu ibu tunggal dan anak - anak yatim di seluruh negara tanpa mengira dari parti manakah mereka warisi kemiskinan itu . Jadilah ibu kepada semua rakyat bukan hanya ibu kepada golongan bangsawan dan kenamaan . Rendahkan sayap untuk turun bersama rakyat , bukan hanya singgah dan berpaut di istana hinggap .

13. Andai Datin Seri terbaca atau membaca Memo Taubat yang saya hantar buat tatapan Datin Seri di alam cyber lalu ini , saya harap Datin Seri tidak marah kepada saya .

Justeru saya hanya menyeru agar Datin Seri kembali kepangkuan Islam dengan melaksanakan suruhan Allah swt seperti menutup aurat lalu bertaubat kepada Allah swt atas kesalahan lsilam. Lantas pimpinlah tangan suami Datin Seri ke arah jalan yang betul agar ia menjadi Perdana Menteri yang juga taat kepada Allah swt .

14. Bicara atau Memo Taubat yang saya nukilkan ini memang tidak sedap di dengar oleh Datin Seri berbanding bisikan - bisikan para penasihat istana Datin Seri yang senantiasa mengampu dan memuji .

Percayalah , kata - kata itu bukan kerana mereka kasihkan Datin Seri tetapi menjadikan Datin Seri lupa diri dan semakin angkuh di puncak bumi .

15. Saya mewakili Dewan Pemuda PAS Malaysia bahkan seluruh ummat Islam yang terkilan dengan tindakan yang diambil oleh Datin Seri dalam menaungi program mungkar ini sangat berharap agar Datin Seri kembali menyusur pulang ke pangkal jalan dan insyaalah tidak hilang bisa ular dek kerana menyusur akar sebaliknya tawar ilmu sang pendita dek kerana menyusup laku .

Saya sihat, jangan percaya sms musuh PAS - Lo' Lo'

14 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 21 Okt: "Saya ingin maklumkan bahawa saya tidaklah berada dalam keadaan kritikal dari sudut fizikal sebab masih berjalan sendiri, solat, makan dan minum seperti biasa, boleh urus diri dan menggerakkan urusan-urusan Parlimen Titiwangsa.

"Memanglah saya kurang sihat, tetapi tidaklah kritikal. Tidak pun terbaring atas katil. Ada masalah spine iaitu tulang belakang menyebabkan kaki kanan agak lemah sedikit dan tidak boleh berjalan jauh."

Demikian kata anggota Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Mohd Ghazali kepada Harakahdaily bagi menjawab beberapa sms yang beredar sejak kebelakangan ini yang mendakwa kononnya beliau tidak sihat.

Menurut Lo' Lo' kini beliau kini sedang menjalani rawatan intensif secara allopathy, fisioterapi dan komplementari.

"Tidak ada majlis bacaan Yaasin atau solat hajat di rumah saya hari ini atau esok atau dalam masa terdekat," beritahu Lo' Lo' yang kesal dengan sms yang memfitnah beliau itu.

"Saya harap penghantar sms tersebut membetulkan balik keadaan kerana sms tersebut 90 peratus tak benar. Kepada yang menerima tolong jangan sebarkan sms yang mungkin datang dari musuh PAS," katanya.

Harakahdaily/-

Siswa berpolitik: Umno memang double standard

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Ahli parlimen muda Pakatan Rakyat mendakwa kenyataan Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin menyokong hak mahasiswa berpolitik dalam Perhimpunan Agung Umno lalu sebagai kenyataan populis politik.

Biarpun Khairy dilihat lantang dalam isu tersebut, namun kerajaan Umno BN sebenarnya tidak mempunyai hasrat untuk membuka ruang tersebut kepada mahasiswa negara ini.

Pada sidang media di Parlimen hari ini, mereka berkata, jika Umno mahu memberi ruang sekalipun, tentunya ianya sangat double standard seperti apa yang berlaku pada majlis perasmian Perhimpunan Agung Umno baru-baru ini.

Ahli Parlimen Rasah, Anthony Loke berkata, kementerian juga menunjukkan sikap double standard jika mahasiswa jurusan sains politik terbabit dalam kajian politik sempena kempen pilihan raya akan dikenakan tindakan.

Ini, katanya seperti apa yang berlaku kepada empat mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dikenakan tindakan tatatertib di bawah Auku.

"Tetapi pada masa yang sama, dua mahasiswa UKM didapati terbabit dengan perbarisan Perhimpunan Agung Umno. Adakah mereka ini akan dikenakan tindakan?" soal beliau yang juga Ketua Pemuda Dapsy.

Sementara itu, Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar pula membidas tindakan Umno yang ‘mengusung’ pelajar luar negara menghadiri perhimpunan Umno.

Menurutnya, jika benar mahasiswa tidak boleh berpolitik, kenapa Umno sendiri melibatkan mahasiswa tersebut dengan politik mereka.

"Kerajaan Umno BN bertindak zalim terhadap 4 mahasiswa UKM yang terlibat (membuat kajian politik) dalam Pilihan Raya Kecil Hulu Selangor sedangkan ramai pelajar di luar negara yang menganggotai kelab Umno dibiarkan begitu sahaja," tegasnya.

Ahli Parlimen Jerai, Firdaus Jaafar pula berkata, tindakan Umno melarang mahasiswa terlibat dengan politik khususnya pembangkang, adalah kerana mereka takut kepada golongan cerdik pandai.

"Umno ini tak mahu orang bijak pandai ini menyertai politik, dia mahu orang tua-tua di ceruk kampung sahaja sebab senang dia nak tipu," katanya yang juga Pengarah Pilihan raya Pemuda PAS Pusat.

Harakahdaily/-

Hebatnya Rosmah Mansor

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Khairul Izwan

Kita sering menuding jari kepada Amerika dengan menyatakan bahawa AS adalah kepala pengganas dunia. AS berlagak sebagai polis dunia dalam misi untuk mengamankan dunia.

Pemimpin- pemimpin negara Malaysia juga tidak terkecuali merujuk AS sebagai polis dunia. Kini polis dunia itu telah berusaha membersihkan imej Islam dengan mengikis islamophobia.

Usaha itu telah di sahut oleh perdana menteri sendiri. Perdana menteri berusaha mengikis Islamophobia ini. Antara langkah awal perdana menteri mengikis islamophobia ini ialah, menghantar Rosmah Mansor menuntut ilmu bagi memulihkan gejala sosial buang bayi ke Belgium.

Ini menunjukkan keterbukaan kerajaan Malaysia merujuk Negara bukan Islam sebagai rujukan utama. Padahal semua ummat Islam sedia maklum bahawa Al-quran dan As-sunnah sebagai rujukan utama.

Sabda nabi “ aku telah tinggalkan dua perkara kepada kamu, kamu tidak akan sesat selagi mana kamu berpegang kepada kedua-duanya iaitu kitabullah dan sunnaturrasul”. Tetapi mengapa gejala sosial sering berlaku dalam Negara kita.

Kenapa gejala Islamophobia itu wujud? Kerana kerajaan sendiri tidak merujuk Al-quran dan As-sunnah. Mereka merujuk barat. Mereka merujuk Negara lain. Sepatutnya mereka merujuk Al-Quran terlebih dahulu. Adakah mereka tidak yakin Al-Quran itu sebagai penyelesai masalah? Adakah mereka menolak Al-Quran? Kitab mukjizat nabi Muhammad.

Jawapanya, mustahil mereka dapat merujuk Al-Quran sekiranya dasar parti mereka bercanggah dengan Islam. Beginikah pemimpin yang kita mahukan? Islamnya pada luaran, tapi perlaksanaan mengikut jahiliyyah.

Kini, Najib dan Rosmah Mansor lebih terbuka fikiran mereka. Rakyat berterima kasih banyak kerana telah membuka mata rakyat bahawa fesyen show Islam itu lebih terbuka dan lebih terdedah. Sangat hairan bagaimana seorang yang tidak berfesyen seperti garis- garis Islam dapat menganjurkan sebuah program diberi nama “ Islamic Fashion Show ”.

Sangat menarik dan sangat hebat. Rupa- rupanya, program tersebut menggayakan pelbagai fesyen. Fesyen yang menepati cita rasa penganjur seperti Rosmah Mansor. Hal ini ibarat menempah tiket ke neraka.

Terima kasih buat penganjur kerana membuka mata rakyat bahawa pemimpin Negara sekarang adalah jelmaan Mustafa Kamal Attarturk. Program tersebut telah menghina nama dan imej islam.

Inilah petanda- petanda bahawa kejahilan agama berleluasa. Kalau dia jahil sendiri tak apa tapi, sekarang ini, dia nak bagi semua orang jahil sama macam dia. Sesat orang-orang macam ini. Sama taraf macam ayah pin. Bahkan lebih teruk dari binatang ternakan.

Ramai- ramai kita bantah tindakan melampau menhina dan memfitnah Islam ini. Di mana golongan dan penasihat agama kepada perdana menteri. Adakah mulut mereka di bisukan. Kenapa dibiarkan program menghina Islam berjalan.

Kenapa? Persoalan yang sering di putarkan. Jika mereka masuk ke tangki najis, pasti najis tersebut akan terpalit.

Pasti badan juga akan busuk. Bantahan tetap bantahan. Kita tukar kerajaan dalam PRU-13 nanti sebagai bantahan kepada penghina Islam. Semoga Islam terus gemilang dan tetap tinggi menjulang.

Harakahdaily/-

AMK kempen bantah bina menara 100 tingkat

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Hazayani Zakaria

KUALA LUMPUR, 21 Okt: Angkatan Muda Keadilan Malaysia (AMK) memulakan Kempen Bantah Projek Menara 100 Tingkat dengan mengumpul tandatangan ahli Parlimen Pakatan Rakyat di Dewan Rakyat hari ini.

Ketuanya, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, kempen itu diadakan sebagai membantah salah satu intipati bajet yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mengenai pembinaan menara 100 tingkat, Warisan Merdeka.

Projek mega yang bakal menelan belanja RM5 bilion itu dicadangkan oleh Permodalan Nasional Berhad (PNB).

"AMK akan mengerakkan menggerakkan semua anggota untuk turun ke lapangan masyarakat dan mengedarkan risalah untuk meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap pembaziran Bajet 2011.

"Program kutipan tandatangan di seluruh Malaysia akan dijalankan oleh pimpinan AMK di cabang-cabang," kata beliau dalam satu sidang media di lobi Parlimen siang tadi.

Shamsul mempersoal dakwaan Najib bahawa projek itu bukan satu pembaziran kerana katanya, Malaysia sudah mempunyai Menara Berkembar KLCC dan banyak lagi bangunan pencakar langit seperti Dayabumi yang masih mempunyai kekosongan.

"Banyak projek mega yang dilaksanakan oleh kerajaan akhirnya menjadi projek gajah putih. Rakyat terpaksa menanggung beban atau kerugian yang dialami.

Tegasnya juga, peranan PNB adalah menaik taraf pelaburan dan menjaga kepentingan Bumiputera melalui pengurusan pelaburan portfolio, bukan membina menara.

"Pembinaan menara memang bukannya keutamaan PNB malah hanya menunjukkan kembalinya "Mahathirisme" dalam pengurusan ekonomi yang berteraskan mega projek," tegasnya.

Beliau juga mendesak kerajaan mengambil kira bantahan rakyat yang tidak mahukan pembinaan menara itu.

"Projek mega Menara Warisan Merdeka yang dijangka siap pada tahun 2020 telah mendapat bantahan hebat daripada rakyat jelata.

"Kerajaan tidak boleh bersikap lepas tangan kepada PNB untuk membuat sebarang projek. Apakah ini bukti rakyat diutamakan?" soalnya.

Harakahdaily/-

Festival Busana Muslim hina Islam - Helwa Abim


14 Zulkaedah 1431 H

KUALA LUMPUR, 22 Okt: Bahagian Hal Ehwal Wanita (Helwa) Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) memandang serius penganjuran Islamic Fashion Festival atau Festival Busana Muslim di Kuala Lumpur, baru-baru ini yang gagal memenuhi serta mematuhi kehendak syariah serta konsep aurat yang digariskan di dalam Islam.

Helwa Abim berpandangan bahawa isu penjagaan aurat dan hijab adalah vital sekiranya masyarakat mahu membicarakan tentang fesyen Islam.

“Justeru, Helwa Abim merasa sangat kecewa dan terkilan dengan interpretasi fesyen Islam yang gagal dihayati dan difahami secara keseluruhannya, khususnya menyentuh isu penjagaan aurat yang menjadi elemen terpenting dalam penghayatan Islam secara keseluruhannya,” ujar Naib Presiden Helwa Abim, Fadhlina Siddiq dalam kenyataan kepada Harakahdaily.

Malah, katanya apa yang dipotretkan kepada masyarakat sewaktu penganjuran Islamic Fashion Festival itu nyata jauh tersasar dan mengelirukan masyarakat Islam sendiri malah serta merupakan unsur-unsur penghinaan terhadap Islam dengan jelas.

Tegasnya, menutup aurat dan hijab adalah lambang wanita Islam yang hadir dengan esensi murni yang signifikan untuk memelihara kehormatan, maruah dan melambangkan akhlaq seorang wanita Islam.

Tambahnya, aa bukan pakaian bermusim untuk pesta-pestaan serta bukan pakaian untuk melambangkan siapa yang lebih Islamik.

“Bahkan ia juga bukan interpretasi bahawa inilah pakaian Islam yang sebenar mengikut pandangan peribadi sesiapapun,” ujarnya.

Jelasnya lagi, anjuran menutup aurat bukan untuk pesta-pestaan semata-mata kerana ia adalah anjuran ketegasan wahyu dan perintah yang tuntas demi menjaga kehormatan dan maruah seorang wanita Islam sebagaimana yang terkandung di dalam al-Quran.

Beliau memetik maksud ayat Surah an-Nur ayat 31 yang bermaksud: Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman, supaya menahan pandangan mereka (daripada memandang perkara-perkara yang haram) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya. Dan mereka perlu melabuhkan kain tudung mereka ke dadanya.

Begitu juga dengan firman Allah SWT di dalam Surah al- Ahzab, ayat 59 yang bermaksud: Wahai Nabi, suruhlah isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu serta perempuan-perempuan yang beriman supaya mereka melabuhkan pakaian bagi menutup seluruh tubuhnya.

“Andai wanita Islam jelas tentang konsep dan anjuran syariat tentang kewajipan menutup aurat, tidak timbul soal fesyen Islam yang berterusan mahu dipesta-pestakan sedangkan ia jelas bertentangan dengan syariat dan sama sekali terpesong dari fahaman esensi kepentingan menutup aurat yang sebenar,” katanya lagi.

Isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor adalah penaung festival tersebut.

Sementara itu, Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (Gamis) menyatakan rasa kesal dengan penganjuran Festival Busana Muslim itu yang jelas menghina syariat Islam dan Rasulullah s.a.w.

Menurut Ketua Penerangan Gamis Pusat, Mohd Yusof Hadhari Saidon, pastinya pemikiran sempit itu semakin mencelarukan kefahaman muda-mudi terhadap Islam itu sendiri sehinggakan terdapat pemikiran Islam ala pemerintah Malaysia sekarang dan yang dituntut di dalam Al-Quran.

Justeru, Gamis mempersoalkan ke mana perginya badan-badan agama dan NGO Islam yang sebelum ini lantang dalam forum perdana menghuraikan kewajipan berpakaian seperti termaktub di dalam Surah An-Nur, ayat 31.

Katanya, perkataan "Muhammad" dalam tulisan Arab secara terbalik diguna dan dipakai di dada salah seorang peraga fesyen yang tidak menutup aurat adalah suatu penghinaan yang amat jijik dilemparkan kepada Islam.

Tegasnya, Gamis mengecam sekeras-kerasnya tindakan Rosmah yang didapati menghina syariat Islam dan Nabi Muhammad s.a.w. apabila salah satu fesyen mereka melukis nama Nabi dalam keadaan pakaian itu jelas mendedahkan sebahagian besar aurat mereka.

Tambahnya, sangat mendukacitakan jika rakyat Malaysia khususnya umat Islam masih tidak tersedar dan sensitif akan isu itu.

“Dulu umat Islam sangat sensetif terhadap isu murtad, kita juga berarak bantah kartun Nabi yang dibuat di Denmark. Kita juga tidak terlepas menyertai perarakan Maulidur Rasul, menyatakan sayangnya kita kepada Rasulullah, tetapi ini juga satu bentuk penghinaan terhadap Rasulullah, dan kita perlu bantah serta bertegas dengan mereka yang menganjurkannya," tegasnya.

Sehubungan itu, katanya Gamis memuji tindakan pertubuhan tertentu yang akan mengadakan himpunan aman pada hari ini sebagai membantah tindakan penganjuran festival itu.

Sehubungan itu, katanya Gamis meminta anak muda dan Gamis negeri supaya turut sama turun menyatakan bantahan terhadap kemungkaran dan kemaksiatan terhadap Allah serta pengkhianatan ke atas muslimah seluruhnya di samping bersama menyedarkan masyarakat akan kepentingan kembali kepada Islam yang sebenar.

Harakahdaily/-