23 Oktober 2010

Jasa Allahyarham Chek Hashim tidak dilupakan

14 Zulkaedah 1431 H
Oleh : Nazri Abdullah

GUA MUSANG, 22 Okt: Allahyarham Chek Hashim Sulaima ditimpa kecelakaan jalan raya pada 21 Mac 2008 iaitu kira-kira dua minggu selepas bergelar Ahli Dewan Undangan Negeri.

Kejadian di Ciku 2, Gua Musang tersebut berlaku ketika Chek Hashim bersama isteri, Aida Zakaria, 40, dan anak-anak dalam perjalanan dari Gua Musang ke Pasir Puteh.

Ekoran kemalangan tersebut, beliau cedera di kepala, anak bongsunya berlaku pendarahan di bahagian dalam perut, manakala isterinya patah kaki.

Selang beberapa bulan selepas itu, beliau kemudiannya sekali lagi diuji apabila dikesan menghidap kanser usus.

Dengan bantuan masyarakat Cina Galas, Allahyarham menerima rawatan di The First People's Hospital Fu San di Guantong, China pada pada 23 Julai 2008, yang kemudiannya menjalani pembedahan pada 7 Ogos.

Sejak dari itu beliau perlu menerima rawatan susulan sehingga banyak masanya dihabiskan untuk memulihkan kesihatannya.

Biarpun diuji dengan masalah kesihatan, kerja-kerja dan tanggungjawab sebagai Yang Berhormat Galas tidak pernah diabai.

Ikhlas dan tidak sayang wang ringgit

Tugas wakil rakyat itu kemudiannya dipikul dua orang yang rapat dengan beliau iaitu Husein Embong yang kini sebagai Pengerusi Majlis Tindakan Dun (MTD) dan seorang lagi Setiausaha MTD, Rosmadi Abdul Wahab.

Menurut Husein, memikul tugas allahyarham bukan sesuatu yang mudah.

Biarpun masyarakat Galas tahu allahyarham ketika itu sedang sakit, namun mereka tetap mengharap komitmen dan khidmat 100 peratus dari pengganti sepertimana Adun asal.

Menurutnya, Allahayarham Chek Hashim terkenal di kalangan masyarakat sebagai seorang yang ringan tulang dan suka menolong orang.

Namun biarpun tidak berjaya 100 peratus menjadi seperti Allahyarham, beliau tetap menunaikan tanggungjawab semampu mungkin.

"Pertama sekali keikhlasan dia kita nampak. Dia ni senang kira, mudah bahasa, tak kedekut wang ringgit atau tenaga dia.

"Itu yang sukar bagi saya nak buat, sebab kita hanya mengurus apa yang perlu dibuat, nak jadi macam dia saya tak mampu," katanya.

"Satu kelebihan dia (Chek Hashim) ni kalau ada rakyat dia meninggal dunia, dia akan hadir dan urus sampai ke kubur," jelasnya lagi.

Selain itu, Chek Hashim juga jelasnya seorang yang komited dan tekun dengan kerjanya.

Sepanjang mengenali Allahyarham katanya, beliau tidak pernah tinggal mesyuarat rasmi di Kota Bharu.

Dalam pada itu, beliau tidak menafikan jasa besar Allahyarham adalah menyelesaikan isu tanah rakyat sejak sekian lama tertunggak dan diabaikan Adun BN sebelum ini.

"Di sini banyak isu tanah, YB Che Hashim ni banyak selesai isu tanah di kawasan Tanah Putih, Sungai Kepa dan Perkampungan Kundor," jelasnya.

Tolong tak kira parti politik

Menurut Rosmadi pula, kehilangan Allahyarham Chek Hashim sukar dicari ganti.

Kesungguhan menjaga rakyatnya, tidak mampu ditandingi sesiapa.

"Bukan calang-calang orang boleh jadi seperti dia. Dengan jarak Galas dengan Kota Bharu 200 km, dia boleh ulang alik berkali-kali sehari urus hal rakyat.

"Dia tolong rakyat tak kira orang itu penyokong PAS ke Umno ke, semua dia tolong.

"Kalau dengar rakyat dia sakit je, walaupun ada mesyuarat di KB, dia akan balik biarpun pukul 1 pagi," katanya.

Seperkara lagi antara kelebihan yang ada pada Allahyarham Chek Hashim adalah rapat dengan masyarakat Orang Asli.

"Dia memang rapat dengan Orang Asli sebab dia dulu kerja jual rotan di Kuala Betis.

"Orang Asli anggap dia tauke rotan, dan semua Orang Asli kenal dia," katanya.

Sebab itu katanya, semenjak Allahyarham menjadi wakil rakyat, banyak pembangunan dan kemudahan dikecapi oleh masyarakat di pedalaman itu.

Chek Hashim Sulaima bagaimanapun meniggal dunia di Hospital Pakar Al-Islam Kampung Baru, Kuala Lumpur pada jam 4.30 petang 21 September lalu akibat kanser usus yang dihadapinya.

Allahyarham memenangi kerusi Dun Galas dengan majoriti 646 undi pada pilihan raya umum yang lalu mengalahkan penyandang dari BN, Saufi Deraman.

Berikutan itu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 November ini sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Galas, manakala 26 Oktober hari penamaan calon.

Secara tradisi, kerusi Dun tersebut adalah milik BN, namun berjaya dirampas PAS pada tsunami politik PRU ke-12 lalu.

Harakahdaily/-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Al fatihah.... moga2 rohnya ditempatkan di kalangan orang2 yang soleh....