1 Rejab 1433H. [MOD] -
Berita yang amat mengembirakan bagi pendukung PAS dan rakyat prihatin ialah pengumuman Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abd Hadi Awang bahawa tidak akan ada muzakarah dengan parti sekular Umno.
Berita ini diharapkan mengakhiri semua peluang parti tersebut untuk mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik BN, pada ketika Pakatan Rakyat, khususnya PAS, menerima lonjakan sokongan dari pelbagai kaum, terutamanya selepas Himpunan Bersih 3.0 baru-baru ini.
Dalam satu siding akhbarnya kelmarin, Presiden PAS itu menegaskan bahawa PAS tidak akan bermuzakarah dengan Umno kerana persoalan itu tidak timbul.
Katanya, isu tersebut timbul apabila beliau sebelum ini ditanya pemberita pada 14 Mei lalu mengenai muzakarah dengan NGO dan bukannya Umno. Katanya, beliau bersedia untuk bermuzakarah atau berbincang dengan NGO tersebut yang mendakwa PAS menyeleweng daripada dasar Islam.
"(Jadi) tidak timbul (bermuzakarah) dengan Umno. Itu isu lama... Umno jadikan dia isu politik sebab dekat dengan pilihan raya. Ini agenda Umno," katanya dan menambah,
"Tidak ada muzakarah dengan Umno. Kita nak lawan dengan Umno."
Rakyat prihatin, khususnya pendukung PAS, sudah lama merasakan isu muzakarah ini adalah isu politik Umno untuk memerangkap PAS.
Apabila diwar-warkan isu ini berulang kali, terutama hampir pilihan raya, diharapkannya akan mengurangkan sokongan orang bukan Islam kepada PAS.
Mereka melontarkan rasa syak wasangka kalangan bukan Islam bahawa pada akhirnya, kononnya, PAS akan membina perpaduan dengan Umno.
Ini menyebabkan kalangan bukan Islam akan menarik balik sokongan kepada PAS, demikian jangkaan mereka.
Oleh itu, dengan pengumuman Presiden PAS itu akan menamatkan semua peluang musuh PAS untuk mengeksploitasi isu ini untuk kepentingan politik mereka.
Hendaknya sesudah pengumuman ini tidak akan ada lagi timbul isu muzakarah dan perpaduan dengan Umno.
Boleh dijangkakan bahawa dengan pengumuman tiada muzakarah dengan Umno, musuh PAS dan mereka yang keliru serta berkepentingan akan segera mengatakan bahawa kononnya PAS tidak mahu perpaduan sesama Islam, bahawa ia lebih berminat berkawan dengan DAP dan seumpamanya.
Propaganda ini sudah lama ditaburkan oleh musuh PAS kepada rakyat, khususnya di luar bandar.
Dalam masa yang sama mereka meniupkan semangat perkauman yang tajam untuk kepentingan politik mereka.
Oleh itu, pada pendapat saya, selepas berakhirnya isu muzakarah ini pendukung PAS akan merasa sangat lega dan tenteram justru isu muzakarah yang heboh selama ini sangat merunsingkan mereka.
Bukan kerana mereka menolak perpaduan sesama Islam, tetapi mereka merasakan isu ini hanya mainan politik musuh PAS untuk memerangkap PAS.
Pengumuman Datuk Seri Abd Hadi Awang ini sangat dialu-alukan, tepat pada masanya dan tentunya disambut baik oleh pendukung PAS.
Ini suatu langkah besar yang sangat bererti, menyerlahkan kepimpinan yang sangat berwibawa dan benar-benar memahami situasi politik masa kini.
Dalam masa yang sama mempertahankan dasar-dasar Islam yang diperjuangkan oleh PAS selama ini.
Sementara itu, PAS dan Pakatan Rakyat tentunya akan meneruskan kerja-kerja untuk menghadapi PRU Ke-13, sebuah pilihan raya yang dianggap sebagai ibu segala pilihiran raya di mana hingga kini masalah senarai pengundi kotor belum lagi dibersihkan.
Pada hal inilah isu utama yang menjadi tuntutan Bersih 3.0.
Dalam hal ini Pakatan Rakyat perlu mengekalkan momentum Bersih 3.0 kerana ia telah merobah persepsi dan lanskap politik tanah air, menyebabkan pengkaji politik dan badan-badan penyelidik merobah sama sekali dapatan hasil kajian mereka sebelum Bersih 3.0.
Himpunan Bersih 3.0 adalah kebangkitan rakyat yang dilaksanakan secara aman – duduk dan bantah. Namun kesannya sengat besar sekali.
Walaupun media milik Umno/BN cuba memburuk-burukkan Himpunan Bersih 3.0 itu, namun kewujudan media baru – on line, wabe-site dan sebagainya – kesan himpunan tersebut telah tersebar luas keseluruh dunia.
Namun perjuangan membersihkan senarai pengundi ini mesti diteruskan walaupun begitu sukar. Gerak kerja yang berstrategi dan menepati sasaran sangat diperlukan.
Pada pendapat saya, sasaran utama gerak kerja penerangan Pakatan Rakyat, khususnya PAS, perlu ditumpukan kepada pengundi Melayu, khususnya di luar bandar.
Ini kerana pengundi ini menjadi sasaran utama musuh Pakatan Rakyat untuk mengelirukan mereka dengan pelbagai cara.
Sebab itu sangat perlu bagi anak muda yang sangat ramai jumlahnya yang menyertai Bersih 3.0 dulu itu tampil menerangkan kepada rakyat, khususnya di luar bandar, akan tujuan Bersih 3.0.
Mereka perlu diberitahu bahawa Bersih 3.0 itu ‘bersih’ dari unsur perkauman, justru pesertanya terdiri dari pelbagai kaum dan agama.
Lapan perkara yang dituntutnya kepada kerajaan, khususnya SPR, ialah hak mereka semata-mata - yang utamanya menuntut supaya senarai pengundi itu dibersihkan dari pelbagai unsut penipuan dan sebagainya.
Akhirnya, dengan berakhirnya episod ‘muzakarah PAS-Umno’ yang melemaskan itu, pendukung PAS boleh meneruskan kerja dengan lancar, penuh yakin dan dapat menumpukan perhatian kepada perjuangan mendapatkan kemenangan dalam PRU Ke-13 nanti bersama Pakatan Rakyat.
---------------------------------------------------------
Penulis boleh dihubungi melalui email shukurharun@yahoo.com
Harakah Daily