22 Mei 2012

Rakyat Korea Utara diancam kebuluran

1 Rejab 1433H. [MOD] -

Aktivis anti-Korea Utara melepaskan belon-belon yang membawa cokelat dan risalah membantah rancangan Pyongyang mahu melancarkan roket jarak jauh di Ganghwa, kawasan pantai bersempadan di barat Seoul pada 24 April lalu. - AFP
SEOUL 21 Mei - Masalah kekurangan bekalan makanan di Korea Utara dilaporkan semakin buruk di Korea Utara termasuk di kawasan jelapang padi di barat daya negara itu, hingga beberapa orang penduduk dilaporkan mati akibat kebuluran.

Akhbar dalam talian yang berpangkalan di sini hari ini melaporkan, enam orang 'sama ada kanak-kanak atau orang dewasa' mati di sebuah kampung sahaja di Shingye selepas pihak berkuasa memberikan bantuan kecemasan hanya satu atau dua kilogram jagung kepada setiap isi rumah.

Akhbar itu memetik sumber lain sebagai berkata, kira-kira 10 orang mati akibat kebuluran di setiap ladang bercantum di Haeju atau sekitar bandar di tepi pantai itu pada April lalu, berikutan kekurangan makanan semasa musim sejuk.

''Oleh kerana kekurangan makanan yang semakin buruk tahun ini, terdapat laporan penduduk mati kelaparan termasuk di selatan dan timur wilayah Hwanghae,'' kata wartawan akhbar harian Daily NK kepada AFP, merujuk kepada kawasan jelapang padi utama Korea Utara.

Seorang sumber lain memberitahu akhbar itu, kira-kira 10 orang mati kerana kebuluran di setiap ladang dan sekitar bandar pantai, Haeju pada April kerana kekurangan makanan akibat musim sejuk.

Sebuah kumpulan bantuan berpangkalan di Seoul, Good Friends berkata di laman webnya, kebuluran terus meragut nyawa penduduk di Selatan Hwanghae, manakala di kilang Hwanghae Steelworks, beberapa pekerja mati kerana bekalan makanan dihentikan.

Bagaimanapun, Kementerian Penyatuan yang mengendalikan hal-ehwal merentas sempadan berkata, mereka tidak mempunyai maklumat itu.

Daily NK melaporkan kawasan Utara dan Selatan Hwanghae menyaksikan pengeluaran beras jatuh pada tahun lalu ekoran banjir atau kebanyakan tuaian pada musim luruh diberikan kepada askar atau rakyat di Pyongyang.

Keadaan itu bertambah buruk dengan sekatan ke atas perdagangan pasaran dan perjalanan dalam tempoh 100 hari berkabung semasa kematian pemimpin Kim Jong-il pada 17 Disember lalu.

Di kawasan sempadan dengan Korea Selatan, tentera negara itu digerakkan untuk bercucuk tanam kerana ramai perani asal meninggalkan tempat itu bagi mencari bantuan daripada saudara mara di kawasan lain.

Kekurangan makanan di Korea Utara berterusan apabila Amerika Syarikat bertindak menangguhkan penghantaran sebanyak 240,000 tan makanan ekoran tindakan negara itu melancarkan roket jarak jauh pada 13 April lalu. - AFP

Tiada ulasan: