22 Disember 2012

PAS cabar Najib saman jika Deepak bohong

8 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dicabar mengambil tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan, Deepak Jaikishan yang membuat beberapa dakwaan ke atas beliau dan ahli keluarganya.

Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar berkata, Najib harus berbuat demikian kerana dakwaan yang dibaut Deepak bukan sahaja mencemarkan imejnya sebagai Perdana Menteri tetapi turut melibatkan nama baik negara.

"Rakyat menanti keberanian Najib untuk tampil mengambil tindakan undang-undang terhadap Deepak.

"Rakyat tidak boleh terima pemimpin yang mempunyai masalah peribadi yang begitu berat jika benar apa yang didakwa Deepak itu," kata beliau dalam sidang media di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut hari ini .

Mahfuz juga berkata, najib seharusnya mencontohi keberanian bekas pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Robert Phang yang berkemungkinan mengambil tindakan undang-undang terhadap bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.

"Saya 'salute' dengan Robert Phang yang (mahu) menyaman Tan Sri Musa kerana punya keberanian untuk membersihkan nama dia. Seharusnya Najib juga ada keberanian itu," katanya yang juga Ahli parlimen Pokok Sena.

Deepak sebelum ini dalam temuramahnya dengan beberapa media antaranya Harakahdaily mendakwa Najib mempunyai kaitan dalam isu penarikan balik pengakuan berkanun (SD) pertama penyiasat persendirian P Balasubramaniam pada tahun 2008.

Deepak juga sebelum ini mendedahkan beberapa perkara antaranya melibatkan isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor serta adiknya Datuk Nazim Razak.


Harakahdaily/-

Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 gegar Vanuatu

8 Safar 1433H. [MOD] -


SYDNEY: Gempa bumi kuat bermagnitud 6.8 mengegarkan pesisir pantai Selatan Pasifik pulau Vanuatu, hari ini, demikian menurut Jabatan Kaji Selidik Geologikal Amerika Syarikat (USGS), sebentar tadi. 

Bagaimanapun, amaran tsunami tidak dikeluarkan susulan gempa bumi itu. 


Gempa bumi yang dikesan pada kedalaman lebih daripada 200 kilometer (km) kira-kira jam 9.30 pagi (waktu tempatan) tadi dicatatkan pada jarak 130 km utara Santo. - AFP

Gempa bumi sederhana di Sumatera Utara

8 Safar 1433H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Gempa bumi sederhana berukuran 5.1 pada skala Richter, berlaku di pantai barat Sumatera Utara, Indonesia pada 11.50 pagi hari ini, menurut kenyataan Jabatan Meteorologi Malaysia. 

Menurut kenyataan itu, lokasi gempa bumi itu ialah 144km barat daya Banda Acheh di Indonesia dan 658 km barat daya Langkawi, Kedah. 


Gempa bumi itu tidak mendatangkan ancaman tsunami.

Lebih 2.3 juta permohonan BR1M diterima setakat 17 Disember

8 Safar 1433H. [MOD] -


IPOH: Lebih 2.3 juta permohonan bagi program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) 2.0 diterima setakat 17 Disember lalu, kata Menteri Kewangan Kedua, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah. 

Beliau berkata daripada jumlah itu lebih 1.6 juta permohonan adalah daripada individu bujang dan lebih 720,000 permohonan daripada isi rumah. 



Katanya 54 peratus permohonan itu dibuat secara manual manakala selebihnya dibuat secara online. 


"Kita akan membuat pembayaran pada suku tahun pertama (2013), jadi untuk pembayaran berkenaan, kita minta kepada mereka yang masih belum mendaftar agar mendaftar sebelum 31 Disember kerana permohonan ini perlu diproses supaya mereka dapat bayaran bila kita mula buat pembayaran. 

"Kalau dia lewat, dia akan dapat lewat. Mereka boleh daftar secara online atau manual supaya apabila kita buat pembayaran pada suku pertama nanti, yang dah daftar semua akan dapat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Karnival Usahawan SME Bank di sini hari ini. 

Bagaimanapun, Ahmad Husni berkata tarikh tutup permohonan BR1M 2.0 yang bermula 1 November lalu belum ditetapkan. 

Borang permohonan boleh didapati secara percuma di Pejabat Cawangan dan Pusat Khidmat Lembaga Hasil Dalam Negeri, Jabatan Pembangunan Persekutuan, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Penerangan, agensi-agensi kerajaan atau dimuat turun atau diisi secara online melalui laman sesawang LHDNM: www.hasil.gov.my. 

Katanya bantuan BR1M 2.0 yang membabitkan peruntukan RM3 bilion itu dijangka memberi manfaat kepada seramai 4.3 juta isi rumah dan 2.7 juta individu bujang. 

Tahun lalu, seramai 4.2 juta penerima mendapat manfaat daripada BR1M, dengan jumlah peruntukan sebanyak RM2.1 bilion. - BERNAMA

Lim Keng Yaik meninggal dunia

8 Safar 1433H. [MOD] -


PETALING JAYA: Bekas Presiden parti GERAKAN, Tun Dr Lim Keng Yaik, 73, meninggal 
dunia di kediamannya di Tropicana di sini, pada jam 4.45 petang tadi. 


Perkara ini disahkan Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang, Datuk Dr Teng Hock Nan.