03 April 2012

Ayuh tukar segera pemandu yang mabuk itu

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Memandu dalam keadaan mabuk adalah merbahaya dan merupakan satu kesalahan undang-undang jalan raya. Jangan tanya saya seksyen mana. Saya bukan pakar undang-undang. Tapi begitulah sekolah memandu bagi tau kita orang dulu.

Ada dua jenis mabuk yang sangat merbahaya bila memandu. Satu mabuk alkohol dan satu lagi mabuk kuasa dijalan raya.

Mabuk kuasa di jalan raya merupakan pemandu yang berlagak samseng. Apa pun dia tidak kira!

Asyik mahu memotong kenderaan di hadapannya walau pun di selekoh maupun di double line.Lampu merah pun tidak diendahkannya – polis trafik takut nak saman kerana sikap sombong dan samsengnya!

Pemandu jenis ini akan marah kalau kereta lain mahu memotongnya!

Jangan bahayakan diri kita dengan jenis pemandu yang mabuk alkoholik atau mabuk kuasa macam ini!

"Bagi memastikan Malaysia dapat mencapai status negara maju dalam tempoh lapan tahun akan datang, negara memerlukan 'pemandu' yang cekap supaya dapat menggabung jalinkan segala faktor yang ada bagi memastikan kenderaan tiba ke destinasinya pada masa yang ditentukan dengan selamat." Demikian kata Perdana Menteri Najib di sini

Oleh itu, janganlah kita biarkan pemandu yang mabuk memandu kenderaan. Bagi memastikan kita selamat, kita perlu tukar pemandu yang mabuk itu serta merta!

harakahdaily/-

‘Pegawai imigresen’ samun pelancong

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA TERENGGANU- Seorang jurujual minyak wangi dijatuhi hukuman penjara 36 bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam, selepas mengaku bersalah menyamun seorang pelancong asing dari India dengan menyamar sebagai pegawai imigresen pada 23 Mac lalu.

Tertuduh, Rosan Singh a/l Sohan Singh, 43, dari Petaling Jaya, Selangor, mengaku melakukan kesalahan itu pada 23 Mac lalu kira-kira jam 8.30 pagi di hadapan tempat letak kereta Jalan Kampung Tiong, di sini.

Mengikut pertuduhan, Rosan Singh dengan sengaja mengambil wang RM1,350 dan sebuah telefon bimbit jenama Nokia Model 1202 tanpa kerelaan dan telah mengugut serta menggertak menggunakan kayu menyebabkan ketakutan terhadap Devaraj a/l Govindaraj.

Oleh itu, bapa kepada tiga anak itu telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 14 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebat jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Zulfazliah Mahmud di hadapan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin manakala tertuduh tidak diwakili peguam bela.

Terdahulu dalam rayuannya, tertuduh merayu agar mahkamah meringankan hukuman terhadapnya kerana mendakwa semasa kejadian dia dalam keadaan mabuk dan baru lepas mengambil ubat sakit jiwa.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang menaiki kereta Proton Wira telah menghampiri mangsa lalu memperkenalkan diri sebagai pegawai imigresen sebelum bertindak memaksa mangsa membawanya ke hotel yang disewa.

Tertuduh yang mendakwa datang ke negeri ini untuk berniaga turut mengugut akan memasukkan mangsa ke dalam penjara sekiranya enggan memberi kerjasama.

Mangsa yang ketakutan hanya mengikut arahan dan apabila tiba di lokasi kejadian iaitu di hadapan tempat letak kereta Jalan Kampung Tiong, di sini, tertuduh memaksa mangsa menyerahkan semua barangan berharga dengan memukul mangsa di bahagian leher dan tulang rusuk menggunakan tangan.

Dalam masa sama, tertuduh turut mengugut akan menetak mangsa menggunakan kayu sekiranya enggan menyerahkan barangan yang diminta termasuklah wang tunai.

sinar harian/-

Letupan di Hatyai: Kenderaan rakyat M'sia akan dibawa pulang

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kenderaan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam serangan bom di sebuah hotel di Hatyai Sabtu lepas, akan diserahkan kepada pemiliknya untuk dibawa pulang setelah polis Thailand siap menjalankan siasatan.

Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kerajaan Thailand juga akan membayar pampasan yang sewajarnya bagi kenderaan yang rosak.

"Kerajaan tempatan dan kerajaan pusat mereka berjanji akan mengeluarkan semua kereta, malah mereka sanggup membayar gantirugi kepada perkara-perkara yang berlaku.

"Tetapi semua kenderaan (Malaysia) yang datang ke Thailand sudah semestinya memiliki insurans. Saya percaya dan yakin insurans itu dapat dituntut," katanya kepada pemberita Malaysia ketika melawat lokasi kejadian itu hari ini.

Abdul Azeez yang mengetuai misi kelab itu ke Hatyai bagi membantu rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian tersebut, berkata terdapat sekurang-kurangnya 10 kenderaan dari Malaysia terperangkap di tempat letak kereta bawah tanah hotel yang menjadi lokasi letupan.

Selain itu katanya, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla Mohd Aini Atan juga akan membantu mengurus dan mengumpulkan barangan rakyat Malaysia yang terlibat seperti dokumen perjalanan dan beg pakaian untuk dibawa pulang ke tanah air.

"Itulah kelebihan Malaysia pergi ke mana pun kita disenangi lagi kita disegani. Walaupun perkara ini tidak diingini berlaku tapi Alhamdullilah oleh kerana negara kita sentiasa disegani semua pihak tampil ke hadapan memberi kerjasama untuk menyelesaikan masalah rakyat kita," katanya

Dua rakyat Malaysia maut dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu manakala 10 pula dimasukkan ke tiga hospital akibat mengalami kesan lecur. Bagaimanapun sehingga hari ini, hanya lima masih menerima rawatan di dua hospital.

Dua yang maut dikenal pasti sebagai Tan Peng Chan, 39, dari Kuala Kedah dan Low Thian Hock, 46, dari Kulim, Kedah.

- Bernama

Hana Shalabi dihantar ke Gaza

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GENTING GAZA - Seorang tahanan wanita Palestin, Hana Shalabi yang melancarkan mogok lapar selama 43 hari dihantar ke Semenanjung Gaza selepas menamatkan tindakannya itu di bawah satu perjanjian yang dikritik rakyat Palestin.

Sebelum itu, Shalabi melaksanakan mogok lapar berikutan membantah penahanannya oleh tentera Israel tanpa sebarang sebab.

Shalabi yang tidak mampu berjalan dibawa memasuki Gaza melalui sempadan Erez dan dihantar dengan ambulan ke hospital tempatan untuk menjalankan rawatan.

Wanita berani itu, sempat bertemu saudara-maranya di Erez, kawasan Israel sebelum memasuki Gaza.

“Saya sangat gembira berada dalam negara sendiri dan dikelilingi rakyat Palestin,” katanya sambil menambah agak sukar untuk bertemu dengan keluarganya yang datang dari Jenin, Tebing Barat.

Ketibaan Shalabi disambut lebih 100 penyokong yang membawa gambarnya sambil melaung-laung namannya, termasuk pegawai-pegawai daripada Jihad Islam serta pergerakan Hamas.

Jurucakap penjara Israel, Sivan Weizman berkata, Shalabi yang menamatkan mogok lapar pada 29 Mac lalu dibawa menggunakan sebuah kereta biasa.

Pada 16 Februari lalu, Shalabi memulakan mogok lapar selepas ditangkap tanpa sebarang tuduhan oleh tentera Israel, kemudian dimasukkan ke hospital pada 19 Mac berikutan kehilangan berat badan sebanyak 14 kilogram dan denyutan nadi yang lemah selepas tidak mengambil sebarang makanan selama 33 hari.

sinar harian/-

Dr Halimah Kesal Dengan SMS Palsu Bantuan Banjir

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pejabat ADUN Selat Klang kesal terhadap tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyebarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) palsu yang mengatakan Pejabat itu menyediakan RM300 untuk mangsa-mangsa banjir.

Pegawai Khas Pejabat ADUN Selat Klang, Abdul Razak Abdul Rashid berkata SMS tersebut diterima penduduk ketika kejadian banjir kilat Jumaat lalu dan melahirkan perasaan kesal terhadap perkara itu ketika ditemui hari ini.

“SMS tersebut disebarkan kepada penduduk dan mereka datang untuk menuntut wang di Pejabat DUN Selat Klang dan kami terkejut kerana mereka menyatakan pihak DUN menyediakan bantuan RM300 kepada mereka.” jelas Abdul Razak lagi.

ADUN Selat Klang, Dr Halimah Ali berkata tindakan tersebut mungkin dilakukan oleh musuh politik mereka.

Dr Halimah ditemui di Bilik Gerakan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) Kampung Delek ketika meninjau program bancian mangsa banjir yang dilakukan pusat khidmat itu di sini semalam.

Banjir kilat yang melanda beberapa kawasan di Klang berpunca daripada kegagalan kunci air berfungsi dan menyebabkan hampir 1,000 penduduk di sekitar Kampung Delek mengalami kerugian akibat kerosakan harta benda.

Sementara itu, Dr Halimah berkata Pusat DUN Selat Klang menerima sebuah van untuk tugasan kemasyarakatan hasil sumbangan syarikat Capyield Sdn. Bhd.

Van tersebut digunakan untuk mengagihkan bantuan segera kepada mangsa-mangsa banjir di sekitar Kampung Delek dan beberapa kawasan berhampiran.

Selain itu, Pejabat DUN Selat Klang dan Pusat JKKK Kampung Delek telah mengadakan Tabung Kebajikan DUN Selat Klang untuk menerima sumbangan daripada orang ramai bagi menolong mangsa banjir.

Sumbangan boleh dimasukkan ke no akaun Tabung Kebajikan Dun Selat Kelang 120 100 100 804 20 Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).

selangorku/-

3 tender lebuhraya KB - K Krai dibawa ke exco

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KOTA BHARU, 3 April: Tiga dari tujuh tender syarikat yang memohon tander untuk mengambil bahagian dalam pembinaan Lebuhraya Kota Bharu-Kuala Krai, akan dibawa ke mesyuarat exco pertengahan April ini.

Exco kerajaan negeri Datuk Husam Musa, berkata tiga syarikat berkenaan telah memenuhi syarat yang dikehendaki antaranya bayaran pendahuluan RM100,000.

“Keputusan untuk memilih mana-mana syarikat yang berwibawa untuk membina jalanraya berkenaan akan ditentukan dalam mesyuarat exco pertengahan April ini,”ujar beliau yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan negeri.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis forum sempena majlis Makan Malam Dana Piliharaya PAS Kawasan Kota Bharu yang bertajuk ‘Puterajaya Bermula di sini’.

Dua anggota panel yang dijemput menjayakan program itu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guang Eng dan Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution.

Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah bertindak sebagai moderator.

(Tiga penal dan moderator dalam forum 'Putrajaya bermula di sini' semalam)

Majlis makan malam itu diurus sebahagian besarnya oleh Timbalan YDP Kota Bharu, Datuk Takiyuddin Hassan.

Menurutnya yang juga Naib Presiden PAS, pembatalan pembinaan lebuhraya berkenaan di bawah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaksa kerajaan negeri mencari inisiatif sendiri.

“Cadangan membina lebuhraya berkenaan dibuat sejak awal tahun 1990-an sewaktu Tun Mahathir Mohamed menjadi Perdana Menteri.

“Kemudian, sewaktu Pak Lah jadi Perdana Menteri, usaha itu akan diteruskan, bagaimanapun tidak berkesempatan apabila Najib pula menjadi perdana menteri dan terus membatalkan cadangan sejak RMK-5 lagi,”ujarnya.

Majlis makan malam itu turut dihadiri oleh pelbagai masyarakat termasuk India, Cina dan Siam, termasuk pemimpin NGO, masyarakat Cina Kelantan dan Kuala Lumpur.

harakahdaily/-

Pemilik hairan 12 ekor kucing mati selepas 'terima suntikan'

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DUNGUN – Apa dosa si comel? Begitulah perasaan seorang pemilik kucing setelah kematian 12 ekor kucing peliharaannya dalam tiga kejadian berasingan selepas dipercayai menerima suntikan di Jabatan Veterinar berdekatan.

Pemilik kucing berkenaan, Noorhariati Osman Ali, 28, dari Padang Jambu dekat sini berkata, kejadian pertama dikatakan berlaku pada Julai 2011 apabila tiga ekor anak kucing peliharaannya yang difahamkan mengalami masalah kesihatan mati beberapa hari selepas menerima suntikan di jabatan berkenaan.

Menurut Noorhariati, kejadian kedua pula membabitkan empat ekor kucing yang turut mati selepas hilang selera makan selain lemah anggota badan setelah beberapa hari menerima rawatan di jabatan sama.

Bagaimanapun, kejadian terakhir yang berlaku pada 28 Mac lalu sehingga menyebabkan seekor lagi kucing peliharaannya mengalami nasib yang sama selepas beberapa hari menerima rawatan menimbulkan tanda tanya kepada pemiliknya yang berasal dari Padang Jambu itu.

Katanya, dalam kes tersebut, dia mengambil keputusan untuk menghantar kucing berusia lapan bulan itu ke pejabat haiwan selepas binatang peliharaannya didapati agak pasif berbanding biasa.

Noorhariati berkata, setelah memaklumkan masalah yang dialami kucing kesayangannya kepada kakitangan jabatan berkenaan lalu kakitangan tersebut dikatakan terus memberikan suntikan kepada kucingnya.

Bagaimanapun, selepas 48 jam kucing itu disuntik, kakinya mula longlai selain hilang selera makan.

“Selang beberapa hari selepas itu, kucing saya semakin tidak bermaya lalu mati.

“Kejadian ini amat menyedihkan, saya hairan mengapa semua kucing peliharaan saya yang menerima suntikan di situ mati?” katanya.

Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menyiarkan kisah ini di akhbar Sinar Harian kerana mahu siasatan dilakukan terhadap isu tersebut dan tidak mahu perkara sama terjadi kepada pemilik kucing lain.

“Saya boleh menerima kenyataan dengan kematian kucing itu, namun saya musykil dengan kejadian yang menimpa kucing kesayangan saya," katanya.

Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan hari ini.

sinar harian/-

Infrastruktur Kampung Gombak Utara membahayakan

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GOMBAK SETIA, 3 APRIL : Kampung Gombak Utara berhadapan masalah infrastruktur yang† kurang memuaskan meskipun berada di bawah jagaan mantan Exco Infrastruktur Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kemudahan asas seperti jalan raya kawasan itu tidak seimbang dan membahayakan keselamatan pemandu dan penunggang motosikal.

Ahli Jawatankuasa Kebajikan, Mohd Sapri Matlum memberitahu, jalan di kawasan kampung tersebut tidak diturap semula sejak enam tahun dan menjadi tempat takungan air apabila hujan lebat.

“Keadaan jalan ini tinggi sebelah dan bila hari hujan, jalan akan ditakungi air. Keadaan ini membahayakan pengguna terutamanya penunggang motosikal kerana dikhuatiri ada lubang dan boleh mengakibatkan kecederaan.

“Longkang juga tiada di beberapa kawasan maka air tidak boleh mengalir keluar selain kerosakkan beberapa longkang sedia ada tanpa penyelenggaraan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) , namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat melainkan alasan semata-mata.

Selain itu, tinjauan mendapati, terdapat beberapa mendapan tanah di tepi sungai yang mengancama keselematan struktur jalan utama.

Lebih mengejutkan, terdapat kejadian tanah runtuh kecil di tepi hentian bas dengan kedalaman 3 meter.

Jalan utama kawasan ini juga mempunyai dua selekoh maut yang telah mengakibatkan kejadian kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal.

“Dua selekoh utama ini iaitu selekoh Palembang dan Hasrat Kita perlu distruktur semula supaya jalan seperti ini dapat diluruskan memandangkan dahulunya jalan dibuat mengikut aliran sungai.

“Tanah ini perlu dipotong memandangkan masih terdapat pokok-pokok besar yang tidak ditebang dan tidak dipotong kemas. Ada diantaranya telah tumbang dan menggusarkan penduduk,” katanya.

Tambah Sapri, sebuah gerai makan di tepi jalan baru-baru ini mengalami kerosakan akibat dihempap pokok yang tumbang.

Rimbunan pepohon hijau di sepanjang jalan juga telah mula condong ke wayar elektrik.

Jelas Mohd Sapri, perkara ini telah dibangkitkan sejak zaman pentadbiran Umno-BN namun tidak diendahkan .Pelbagai janji telah ditaburkan namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan.

Selain itu, terdapat juga masalah lampu di beberapa lokasi sepanjang jalan dan ketiadaan papan tanda amaran ‘Kurangkan Laju, Kawasan Kampungí. Juga diperlukan adalah cermin pantulan di beberapa simpang jalan.

Penduduk di kampung ini turut berhadapan dengan masalah pengangkutan awam terutamanya pada hujung minggu selain ketiadaan hentian bas untuk menunggu.
Mohd Sapri juga berkata terdapat banyak longgokan sampah yang tidak dipungut oleh pihak kontraktor dan petugas kebersihan dilihat mengambil sikap memilih semasa bertugas.

“Banyak sampah yang dikutip hanya yang terdapat dalam tong sahaja. Di luar tong mereka tidak ambil. Ada sampah yang telah berbulan tidak diambil.

“Saya mencadangkan agar tempat meletakkan tong sampah tersebut disimen dengan baik agar lebihan sampah yang tidak masuk ke dalam tong masih berada di tempat sepatutnya,” katanya.

selangorku/-

Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.

Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.

Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Commance sendiri.

Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.

Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.

Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.

Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.

Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.

Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.

Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.
Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok.

harakahdaily/-

Adam Adli ditumbuk ketika rundingan penduduk

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Rundingan 34 penduduk flat lama PKNS Kampung Kerinchi dekat Kuala Lumpur bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mahu merobohkan kediaman mereka pagi ini dicemari oleh insiden aktivis pelajar, Adam Adli ditumbuk.

Menurut saksi kejadian, Adam Adli Abd Halim kelihatan ditumbuk ketika menuruni pangsapuri empat tingkat itu oleh lelaki, dipercayai penduduk setempat.

Adam yang hadir bersama seorang lagi aktivis pelajar Ekhsan Bukhari kelihatan mengalami kecederaan di bahagian bibir dan mata.

Adam ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan dikasari dan mengalami kecederaan yang kini sedang membuat laporan polis di Balai Polis Jalan Pantai Baharu.

Adam sebelum ini popular kerana menurunkan bendera memuatkan wajah Datuk Seri Najib Razak dalam perhimpunan mahasiswa di depan ibu pejabat Umno di Kuala Lumpur.

Rakan dibawa ke balai polis

Ketika ditemui selepas membuat laporan, Adam berkata, sebelum ditumbuk, beliau dan beberapa aktivis pelajar naik ke tingkat tiga flat apabila mendapati ada keluarga yang menangis dan merayu agat PBT tidak menghalau mereka.

"Saya hanya naik dan tenangkan mereka. Lagipun pihak DBKL kata mereka cuma pecahkan pintu rumah yang tidak ada orang. Jadi selepas itu kami turun.

"Sebelum itu lagi, ada beberapa orang yang jerit-jerit tetapi saya tak endahkan. Masa saya turun tangga dan nak pusing ke kanan sikit, terus ada orang menumbuk saya.

"Saya cam dia sebab sebelum itu, orang itu ada berbual dengan saya... Yang saya pasti ada dua serangan dibuat dekat saya," dakwa Adam.

Adam bagaimanapun kesal kerana tiada tangkapan dibuat berhubung individu yang menyerangnya.

Sementara itu, rakannya Ekhsan berkata, semasa kekecohan berlaku, beliau telah di bawa oleh anggota polis ke Balai Polis Jalan Pantai Baharu dan dan dibebaskan sejam kemudian.

Beliau bagaimanapun tidak ditahan pihak polis.

Adam kini ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi melengkapkan laporan polis.

malaysiakini/-

Atas pagar mula sokong Pakatan

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pengundi ‘atas pagar’ (Digelar Poros Tengah di Indonesia) yang beberapa waktu lalu masih belum membuat keputusan, kini diberitakan mulai menyokong Pakatan Rakyat, suatu tanda positif ke arah kemenangan Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-13 akan datang.

Pemerhati politik melihat petunjuk ini berdasarkan beberapa tanda, antara lain:

+ Semakin ramainya golongan yang dikenal ‘Atas Pagar’ datang mendengar ceramah dari pemimpin Pakatan Rakyat seluruh negara, hatta ceramah jauh di pedalaman.

Para petugas PR yang biasa mengawal di banyak majlis ceramah telah mengenal pasti bahawa ramai dari kalangan yang bukan penyokong komponan pembangkang itu selama ini telah hadir mendengar ceramah PR di pelbagai tempat.

+ Berdasarkan soal-selidik secara rambang oleh kumpulan peninjau Pakatan Rakyat yang bertugas mengikuti majlis ceramah PR.

+ Jentera Pakatan Rakyat membuat tinjauan di pelbagai lokasi, terutama di pasar malam, pasar tani, hentian bas dan teksi, pusat membeli belah dan sebagainya dengan mendengar perbualan orang ramai mengenai isu-isu yang berbangkit menjelang pilihan raya akan datang.

+ Perbualan rakyat di pelbagai majlis jamuan di pelbagai tempat yang bercakap mengenai pembaziran, pemborosan, rasuah, penyelewengan dan sebagainya. Dicakapkan secara terbuka di majlis tersebut.

+ Ulasan dan pesanan yang terpancar dari SMS, Twitter, Facebook, malah ulasan dari pembaca di pelbagai blog dan wabesite serta tulisan orang awam dari pelbagai media alternatif.

Menurut pemerhati, perkembangan menarik ini sebenarnya bermula dari Himpuan Bersih 2.0 pada 9 Julai tahun lalu yang dilihat sangat berkesan dalam usaha menyedarkan orang ramai akan hak mereka terutama menuntut sebuah pilihan raya yang bebas dan demokratik.

Kehadiran Sasterawan Negara A. Samad Said di Himpunan Bersih 2.0 itu sangat memberi kesan kepada anak muda untuk menyokong tuntutan Berrsih 2.0 hingga beliau menjadi ikon yang sangat berpengaruh kepada anak muda.

Sejak Himpunan Bersih 2.0 itu hingga kini, anak-anak muda itu – yang selama ini bersikap tidak peduli politik dan perkembangan semasa – mulai memberi perhatian kepada isu kebebasan dan demokrasi, isu rasuah, penyelewengan, pembaziran, pemborosan dan sebagainya yang berlaku secara besar-besaran di tanah air.

Himpunan Bersih 2.0 itu dilihat sebagai turning-point yang penting kepada pemikiran masyarakat bahawa himpunan itu telah meruntuhkan tembok perasaan ‘takut’ rakyat untuk menuntut hak mereka. Walaupun ini hanya berlaku di Kuala Lumpur, tetapi kesannya meluas.

Ini bermakna rakyat sudah tidak takut lagi bersuara, anak-anak muda yang menyertai himpunan tersebut menyalurkan maklumat mengenai tuntutan Bersih 2.0 kepada masyarakat di luar Ibu Kota.

Di samping itu, kebangkitan mahasiswa di sana sini yang menuntut AUKU dimansuhkan turut memberi kesan kepada golongan ‘atas pagar’ dan golongan muda untuk menyokong pembangkang yang berjanji untuk memberikan kebebasan kepada golongan pelajar dalam melaksanakan hak mereka jika menang dalam PRU Ke-13.

Sementara itu, kenaikan harga barang keperluan yang menyebabkan kos sara hidup begitu tinggi dan ‘mencengkam’ golongan berpendapatan rendah dan sederhana menyebabkan sesetengah mereka, yang selama ini tidak peduli politik dan apapun yang berlaku, mulai kritikal terhadap parti yang memerintah.

Memanglah pemberian RM500 oleh kerajaan kepada takyat yang berpendapatan RM3,000 ke bawah sebanyak sedikit memberi kesan, terutama kepada penduduk luar bandar. Namun pemberian tersebut tidak mempunyai erti berbanding dengan kenaikan harga barang keperluan, khususnya harga ikan, minyak, beras, gula dan tol.

Golongan ‘atas pagar’ muncul kerana rakyat menyaksikan pelbagai kemungkaran berlaku – politik, ekonomi, sosial – disebabkan penyelewengan, rasuah, manipulasi, pemborosan dan pelbagai lagi. Rakyat bosan dengan kepincangan yang berlaku ini.

Sementara itu, semakin dekat dengan PRU Ke-13, semakin menjadi-jadi keganasan berlaku – gangguan kepada majlis ceramah pembangkang, merosakkan kereta, ancaman, pembakaran bendera pembangkang, semburan cat pejabat pembangkang dan pelbagai lagi.

Semua kejadian yang menakutkan ini menunjukkan trend yang tidak baik menjelang PRU Ke-13 dan ini menjengkelkan hati golongan yang cintakan keamanan dan keharmonian yang selama ini tidak memihak ke mana-mana parti politik telah memihak kepada pembangkang.

Sementara itu pada pendapat saya, Pakatan Rakyat perlu secara intensif mewar-warkan ‘Buku Jingga’ yang memuatkan 10 tawaran atas Pakatan Rakyat kepada rakyat jika memenangi PRU Ke-13. Di samping itu buku ‘Negara Berkebajikan’ yang disusun oleh PAS juga perlu disebarluaskan dalam kempen Pakatan Rakyat, bersekali dengan ‘Buku Jingga’.

Menurut tinjauan, kedua-dua buku tawaran Pakatan Rakyat ini belum disebarluaskan secara menyeluruh, di mana hingga kini masih banyak kawasan pilihan raya seluruh negara yang masih belum didedahkan kepada dua buku tersebut.

Apabila golongan ‘Poros Tiga’ ini didedahkan secara terperinci akan isi dua buku penting ini, saya fikir golongan ini, dengan izin Allah, akan kekal menyokong Pakatan Rakyat dalam PRU Ke-13 nanti.

Oleh itu, jika pengundi golongan muda dan golongan ‘atas pagar’ ini terus menerus menyokong Pakatan Rakyat, maka saya percaya, Insya-Allah, jalan ‘menuju ke Putrajaya’ akan lebih mudah.

Oleh itu, Pakatan Rakyat perlu fokas kepada dua golongan ini, di samping tidak melupakan pengundi biasa dan luar bandar. Jika pilihan raya berlansung pada 3 Jun ini, seperti yang dihebohkan, Pakatan Rakyat perlu memanfaatkan masa yang singkat ini sebaik-baiknya.

harakahdaily/-

Penumpang pesawat diberi makanan berulat

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MELBOURNE: Seorang wanita Australia semalam memberitahu bagaimana dia ketakutan apabila menemui ulat yang masih hidup dalam makanan ringan dimakannya ketika berada dalam penerbangan Qantas dari Los Angeles ke Melbourne.Victoria Cleven, 42, mula membuka makanan ringan terdiri daripada kacang dan buah-buahan kering untuk dimakan ketika dalam penerbangan pulang Khamis lalu. Ketika itu, dia tidak membuka lampu dalam kabin pesawat yang gelap.

“Ia rasa pelik dan apabila saya membuka lampu kabin serta melihat isi peket itu, saya mula nampak ulat keluar dari bungkusan itu,” katanya kepada akhbar Herald-Sun. “Saya terkedu dan hampir muntah,” katanya.

Anak lelakinya yang berusia 15 tahun kemudian memeriksa dua lagi bungkusan makanan ringan itu dan turut menemui ulat di dalamnya. Sementara itu, Qantas meminta maaf kepada Victoria dan berjanji akan menyiasat bagaimana kejadian itu boleh berlaku. - AFP

Dewan rakyat tak bersidang 11, 12 April

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat tidak akan bersidang pada 11 dan 12 April sempena istiadat pertabalan Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 pada 11 April.

Yang Dipertua Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia berkata dewan akan kembali bersidang dari 16 hingga 19 April bagi membolehkan rang undang-undang dibahas dan diluluskan.

"Kerajaan memutuskan supaya mesyuarat Dewan Rakyat ditambah empat hari pada 16 hingga 19 April 2012," katanya di Dewan Rakyat di sini hari ini.

Ini selaras dengan peraturan mesyuarat 11(2) peraturan-peraturan majlis mesyuarat Dewan Rakyat, kata Pandikar Amin. - BERNAMA

Tabung surau Shanghai sudah RM30,959.57

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 April: Selepas 10 hari dilancarkan, tabung pembinaan surau Shanghai, Sandakan, Sabah telah mengumpulkan dana sebanyak 30,959.57.

Jumlah ini adalah yang terkini ada dalam akaun itu sebagaimana yang disahkan oleh Pegawai Penerangan PAS, Mohd Shahir Abu Hassan.

Akaun Tabung Pembinaan Surau Shanghai telah dibuka oleh Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat pada 21 Mac lepas.

Sejak itu sumbangan datang dari pembagai pihak yang prihatin dengan pembinaan surau yang akan di bina pulau Shanghai yang terletak kira-kira setengah jam perjalanan dengan bot laju dari Sandakan, Sabah.

(Tuan Ibrahim serta ahli konvoi dan penduduk tempatan memacakkan kayu sebagai tanda janji untuk membina sebuah surau di pulau Shanghai 31 Disember 2011 lalu)

Cadangan pembinaan ini diputuskan oleh konvoi jelajah Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat yang diketuai oleh pengerusinya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man pada 31 Disember 2011 lalu.

Mereka mensasarkan kutipan sebanyak RM100,000 untuk pembinaan surau ini.

Pembinaan dijangka akan bermula pertengahan April ini apabila pemimpin lajnah ini akan turun sekali lagi ke pulau itu.

Pulau dipenuhi dengan umat Islam ini tidak mempunyai sebarang kemudahan asas yang utama termasuk dewan orang ramai.

Penduduknya terpaksa ke pulau lain jika hendak bersembahyang jamaah atau jumaat.

Kepada sesiapa yang ingin menyumbang boleh di masukkan terus ke akaun 14041010080138 Bank Islam.

harakahdaily/-

Bayan Mutiara: Ketua Pemuda Umno putar belit

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Saya amat hairan mengapa akhbar tradisi seperti Berita Harian dan Utusan Malaysia sanggup membawa berita yang tidak tepat dari seorang yang kononnya menjadi juara orang Melayu Pulau Pinang.

Lebih buruk daripada itu berita tersebut tidak mendapat keadilan dari pihak yang dituduh untuk membuat penjelasan.

Saya merujuk kepada berita tentang tanah Bayan Mutiara yang disensasikan mengikut selera perkauman dan agama yang sempit walaupun isu yang dibangkitkan lebih kepada soal pentadbiran dan undang-undang.

1. Faktanya ialah pelan pembangunan yang diluluskan oleh MPPP tahun 2006 adalah berdasarkan kepada penyerahan oleh syarikat sebelumnya yang gagal membangunkan tapak tersebut walaupun fasa 1 pelan telah diluluskan.

Semua sudah sedia maklum apabila tanah ini diambilalih oleh pemaju baru yang membelinya secara tender terbuka, satu pelan pembangunan baru mesti diserahkan kepada MPPP kerana pelan yang lama tidak diperakui lagi. Pelan baru belum diserahkan untuk pembangunan lagi.

2. Faktanya juga ialah ketika tanah yang diperuntukkan untuk tapak mesjid telah diluluskan pada ahun 2006, mengapakah kerajaan BN/Umno ketika itu tidak mengambil inisiatif untuk memecah lot itu dan menggazetkannya untuk diserahkan kepada MAIPP sedangkan mereka mempunyai masa 1 tahun lebih untuk berbuat demikian sebelum Pakatan ambil alih.

Tiba-tiba kerajaan hari ini pula disalahkan dalam isu tanah mesjid.

3. Faktanya juga tanah untuk mesjid diwajibkan sebagai syarat untuk lulus jika kawasan itu mempunyai rumah lebih dari 1,300 atau 1,500 unit.

Kaedah yang sama akan terpakai jika penyerahan pelan baru dibuat bagi pemaju yang membeli tanah tersebut hari ini.

4. Faktanya tidak ada pengazetan tanah tersebut di MAIPP untuk tujuan tapak mesjid dan kerana itu tidak timbul soal menjual tapak mesjid seperti yang didakwa.

Berdasarkan kepada fakta di atas khusus tentang soal tanah mesjid, saya menyeru kepada Ketua Pemuda Umno Pulau Pinang supaya jangan bermain isu ini dengan niat menimbulkan sentimen kebencian seolah-olah kerajaan Pakatan di Pulau Pinang menidakkan hak orang Islam di Pulau Pinang.

Kami dari PAS berdiri teguh mempertahankan hak orang Melayu dan Islam sebagaimana kami terus membela kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam tawaran kami kepada rakyat.

Kami juga berdiri teguh di bawah kepimpinan YAB Lim Guan Eng, Ketua Menteri Pulau Pinang dalam usaha beliau bersama PAS membawa politik yang lebih adil untuk semua rakyat di Pulau Pinang.

Carilah modal politik yang lain seperti menawarkan manifesto yang lebih menarik kepada orang ramai untuk mendapat sokongan tetapi jangan sekali-kali bermain api kebencian kelak nanti akan membakar diri sendiri.

Penulis adalah Ahli Parlimen Malaysia kawasan Parit Buntar dan anak jati Pulau Pinang.

harakahdaily/-

Sidang DUN Perak ditangguhkan.

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Selepas Pemamgku Raja Perak menyempurnakan titah ucapan perasmian Sidang DUN pada hari ini, dan Mufti perak membaca doa, Speaker DUN mengumumkan penangguhan sidang DUN ke esok hari bermula pada jam 10 pagi.

Ukraine benarkan Ketua Pembangkang dirawat di luar negara

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KIEV 3 April – Kerajaan Ukraine hari ini membenarkan pemimpin Ketua Pembangkang, Yulia Tymoshenko untuk membuat rawatan kesihatan di luar penjara .

Bagaimanapun, rawatan tersebut tidak dibenarkan di lakukan ke Jerman dan hanya boleh dilakukan di negara ini sahaja.

Bagaimanapun, keputusan tersebut belum tentu dapat meredakan hati penyokong Tymoshenko. – AFP

Presiden Hungary letak jawatan selepas plagiat tesis

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

BUDAPEST 3 April – Presiden Hungary, Pal Schmitt hari ini meletak jawatan selepas mendapati tesis sarjana kedoktoran miliknya adalah hasil plagiat dan tersebar luas.

Tesis sarjana kedoktoran miliknya pada tahun 1992 didapati adalah hasil terjemahan daripada penyelidik Bulgaria, Nikolai Georgiev yang dibuat ada tahun 1987.

Manakala sebahagian lagi diambil daripada kajian kes seorang penyelidik, Klaus Heineman.

Bagaimanapun, beliau berjanji untuk menentang keputusan di mahkamah kelak tetapi bersetuju untuk meletak jawatan. - AGENSI

Suu Kyi umum Myanmar kini alami era baru

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

YANGON: Pejuang pro-demokrasi, Aung San Suu Kyi menyifatkan Myanmar kini mengalami "era baru" dan meminta perpaduan politik selepas partinya mencatat kemenangan pada pilihan raya dan dianggap ujian untuk melakukan perubahan.

Pemenang Hadiah Nobel keamanan berusia 66 tahun itu mencapai kemenangan kerusi Parlimen pertama. Katanya, Parti NLD memenangi 40 daripada 44 kerusi yang ditandingi. - AFP

Tujuh maut, tiga cedera lelaki lepaskan tembakan di AS

ANGGOTA polis melewati mayat mangsa tembakan rambang di Oakland, California, Amerika Syarikat, hari ini. Menurut pihak berkuasa, seorang lelaki melepaskan tembakan di kolej swasta yang membunuh tujuh mangsa dan mencederakan tiga yang lain. - Foto Reuters

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

OAKLAND: Tujuh orang maut dan tiga lagi cedera apabila seorang lelaki melepaskan tembakan dalam kolej agama persendirian California, dekat San Francisco.

Suspek yang kemudiannya ditahan, berdiri di dalam kelas dan menembak seorang mangsa di bahagian dadah sebelum menembak bertalu-talu. "Sekarang ada tujuh keluarga terpaksa berdepan dengan perbuatan yang dahsyat ini," kata Pengerusi Majlis Bandaraya Oakland, Larry Reid selepas kejadian di Universiti Oikos, East Oakland. - REUTERS

Gempa bumi 6.3 magnitud gegar Mexico, tiada kematian

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

MEXICO CITY: Gempa bumi berukuran 6.3 magnitud menggegarkan barat daya Mexico awal pagi tadi menyebabkan beribu-ribu penduduk lari bertempiaran akibat ketakutan.

Tiada laporan mengenai kemalangan atau kerosakan harta benda. Kajian Geologi Amerika Syarikat, berkata gempa bumi itu berpusat pada 158 kilometer dari Huajuapan de Leon, wilayah Oaxaca dan kedalaman 12.3 kilometer.

Penduduk berkata, gempa bumi itu menggegarkan Mexico City mengakibatkan orang ramai panik meninggalkan rumah dan bangunan di kawasan ibu negara berkenaan.

Beribu-ribu orang membanjiri tempat tumpuan umum di bandar itu, Paseo de La Reforma. - AFP

Pesawat ringan terhempas dalam pusat beli-belah Florida

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

DELAND: Sekurang-kurangnya lima orang dipercayai cedera selepas sebuah pesawat ringan terhempas di dalam pusat membeli-belah di Florida, malam tadi.

Beberapa orang dalam pusat membeli-belah itu menghubungi pihak berkuasa pada kira-kira jam 7.20 malam (waktu tempatan) bagi memaklumkan kejadian berkenaan. Pemanggil berkata, enjin pesawat itu terhenti dan terlanggar bangunan berkenaan, kemudiannya terbakar di pusat membeli-belah berkenaan tidak jauh dari Lapangan Terbang Deland. - AP

Sekitar Sidang DUN Negeri Perak hari ini.


10 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -ADUN titi serong bergambar bersama adun selingsing, yb hussin din dan adun buntong, yb sivasubramanian semenatara menunggu upucara perasmian sidang dun perak pada pagi ini.

Jangkaannnya inilah sidang terakhir bagi penggal ke 12 bagi dun negeri perak bagi negeri yang penuh dengan pergolakan akibat sikap bn yang tidak menghormati demokrasi dengan melakukan rampasan kuasa pada 6 feb 2009.

Bermula dari tarikh itu sidang dun perak sering diwarnai dengan kekecohan akibat dari pelanggaran sistem undang-undang dan peraturan yang sedia ada.

Pelbagai kejanggalan berlaku bila sidang dun yang dikendalikan oleh speaker yang dilantik secara tidak sah dengan menafikan speaker yang sah, yb sivakumar.

Antaranya hak berbahas yang dihadkan masanya, soalan ditolak tanpa alasan yang munasabah, pembesar suara yang tidak berfungsi dengan baik , dan berbagai lagi kejanggalan yang tidak sepatutnya berlaku .

Selain itu penggantungan adun titi serong, drs khalil idham lim dengan isu bomoh yang dibawanya menunjukkan betapa pengendalian dewan oleh seorang speaker yang tidak mengikut peraturan dewan yang sekian lama diguna pakai.

Hari tanpa plastik menyusahkan orang ramai

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kempen hari tanpa bungkusan plastik atau beg plastik itu yang dikuatkuasakan kepada semua pusat membeli belah pada setiap hari Sabtu adalah menyusahkan orang ramai untuk membeli belah di hujung minggu, dan begitu juga pada hari tersebut pelanggan akan berkurangan berkunjung ke situ kerana mengelakkan daripada membayar harga bungkusan plastik yang dikenakan itu dan barangan yang dibeli terpaksa pula dihadkan bilangannya.

Adalah wajar sekali kempen hari tanpa plastik ini dikaji semula kerana ianya tidak mendatangkan kesan apa-apa melainkan hanya menyusahkan orang awam dan merugikan pihak pusat membeli belah sahaja.

Saya cadangkan kempen hari tanpa plastik ini ditukarkan kepada kempen membawa beg atau bakul sendiri dan sesiapa yang membawa bakulnya sendiri akan dapat pemotongan harga istimewa atau mendapat hadiah tertentu sebagai galakan kepada pelanggan.

Dalam pada itu disyorkan penjualan arak dan makanan basah yang diharamkan oleh agama Islam yang telah pun diasingkan sudut jualannya itu hendaklah juga diasingkan kaunter bayarannya dimana seorang pekerja kaunter yang bukan beragama Islam ditempatkan dikaunter khas itu.

Untuk itu adalah wajar sekali premis jualan barangan basah yang tidak halal dan minuman keras dijual di luar pusat membeli belah utama dan sebaiknya ditempatkan 'mini market' bersebelahan dengan pusat membeli belah utama tersebut bagi kemudahan pelanggan yang bukan beragama Islam membelinya.

Dicadangkan juga supaya semua pusat membeli belah menyiarkan laungan azan melalui corong radio FM apabila masuknya waktu azan bagi menghormati azan dan menandakan umat Islam bersedia untuk bersolat. Diharapkan juga setiap pusat membeli belah membina surau yang lebih sempurna bagi memudahkan umat islam untuk mengerjakan kewajipan mereka itu.

Pusat membeli belah juga sepatutnya menyediakan sudut barangan makanan halal segala hasilan buatan Bumiputra agar mudah pelanggan untuk memilih dan membelinya di bawah satu bumbung sahaja.

Syed Abdullah Jamalullail,

harakahdaily/-

Penduduk gesa ambil tindakan salah guna tanah

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TRONOH – Penduduk Bandar Baru Siputeh, di sini kesal dengan sikap agensi kerajaan yang dikatakan tidak mengambil tindakan terhadap individu mengusahakan tanaman kelapa sawit di tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Penduduk, Ahmad Buliya Hamim Hashim, 44, berkata, meskipun isu itu telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan sejak 2008, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Menurutnya, penanaman (kelapa sawit) yang dibuat di sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut itu bukan sahaja menghalang pemandangan, tetapi penggunaan baja tahi ayam memberi kesan langsung pencemaran bau kepada penduduk berhampiran.

“Kami telah membuat bantahan sebelum penanaman kelapa sawit berhampiran Sungai Siputeh di tanah seluas 0.8 hektar itu dilaksanakan sekitar Julai 2008 lalu.

“Perniagaan banyak yang terjejas kerana dilindungi kelapa sawit dan baja yang digunakan menyebabkan lalat semakin banyak, tidak mustahil boleh menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Difahamkan, individu yang menjalankan aktiviti penanaman berkenaan pernah memaklumkan memiliki lesen menduduki sementara (TOL) untuk menanam di kawasan tanah rizab berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak benar apabila penduduk kampung yang membuat pemeriksaan mendapati, Pejabat Daerah tidak pernah mengeluarkan sebarang TOL di lokasi yang dinyatakan.

Seorang lagi penduduk, Shaharudin Nik, 63, pula bimbang sekiranya pembangunan di kawasan itu terbantut gara-gara sikap pentingkan diri sesetengah individu yang cuba mengaut keuntungan.

Buat masa ini katanya, kesan awal sudah mula dirasai apabila ada peniaga berpindah ke kawasan lebih maju hanya disebabkan pokok yang ditanam melindungi pandangan pelanggan yang melalui lebuh raya berkenaan.

“Kami sudah mula berputus asa apabila setiap aduan tiada tindakan walaupun jelas menanam pokok kekal seperti pokok kelapa sawit di atas tanah itu satu kesalahan,” katanya.

harakahdaily/-

Titah Ucapan DYTM Pemangku Raja Perak Merasmikan Penggal ke 5 DUN Perak.

DYTM Pemangku Raja Perak sedang menyampaikan Titah Ucapan perasmian.

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] - Persidanngan pertama , mesyuarat kelima, penggal kelima dewan negeri Perak pada hari ini disempurnakan oleh DYTM Pemangku Raja Perak dengan Titah Ucapan perasmian.

Kesemua 59 ADUN Negeri Perak dari pakatan Rakyat dan Barisan Nasional hadir dalam sidang pada

Dewan Ucap Takziah ke atas kemangkatan DYTM Raka kecil Sulong Perak

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Dewan Undangan negeri Perak mengucapkan ucapan takziah diatas kemangkatan DTM Raja Kecil Sulong anakanda kepada DYMM Sultan Perak pada 30 Mac yang lepas. Ucapan tersebut memulai sidang DUN Perak pada hari ini seperti yang dibentang oleh YAB Menteri Besar Perak.

Beliau meminta sisi dewan yang beragama Islam untuk membaca Al Fatihah dan yang bukan beragama Islam bertafakur.

Mayat wanita bogel terikat

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TAIPING - Bau busuk dari sebuah rumah di Kampung Aman yang menimbulkan tanda tanya kepada penduduk akhirnya terbongkar apabila polis menjumpai mayat seorang wanita dalam keadaan bogel dan terikat.

Hasil maklumat jiran, sepasukan polis diketuai Asisten Superintenden Saerah Dollah dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping ke rumah berkenaan untuk menjalankan siasatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintenden Mohd Ismon Suratman berkata, polis menemui mayat seorang wanita di ruang tamu rumah No. 27-505, Kampung Aman, Pokok Assam kira-kira jam 5.30 petang kelmarin.

Katanya, ketika ditemui mayat itu dalam keadaan bogel dan kedua-dua kaki diikat dengan wayar manakala mayatnya membengkak dipercayai meninggal dunia tiga atau empat hari yang lalu.

“Pintu rumah bahagian dapur tidak berkunci dan boleh dibuka manakala keadaan rumah berselerak akibat digeledah. Mangsa seorang pesara kerajaan tinggal sendirian dalam rumah berkenaan.

“Bagaimanapun polis masih dalam siasatan bagi memastikan barangan yang hilang, termasuk kemungkinan berlaku samun. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya.

Mohd Ismon berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Bainun Ipoh untuk bedah siasat bagi menentukan punca kematian

Berapakah kos sebenar kerja haji tanpa subsidi?

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 April: Perdana Menteri diminta menyatakan kos mengerjakan haji yang sebenar tanpa pemberian subsidi dan senaraikan perincian kos tersebut.

Demikian soalan yang dikemukakan oleh Ahli Parlimen Jerai, Mohd Firdaus Jaafar (gambar) bagi jawab lisan pada persidangan Dewan Rakyat yang bermula jam 10.00 pagi ini.

Berikut ialah pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan daripada ahli-ahli Parlimen PAS di Dewan Rakyat hari ini.

Datuk Dr Mohd Hayati Othman [Pendang] minta MENTERI DALAM NEGERI menyatakan jumlah Klinik Cure & Care dan jumlah pelanggan yang mendapatkan perkhidmatan serta kesannya kepada pelanggan sehingga kini dan anggota terlibat dan jenis perkhidmatan yang diberikan.

Dr Siti Mariah Binti Mahmud [Kota Raja] minta MENTERI SUMBER MANUSIA menyatakan apakah rasionalnya Ketua Pengarah Jabatan Kesatuan Sekerja (DGTU), Kementerian Sumber Manusia membenarkan pendaftaran sebuah lagi kesatuan pekerja MAYBANK (MAYNEU) sedangkan kesatuan yang sah ialah NUBE. Apakah langkah Kerajaan untuk memastikan pemberian ganjaran (gaji dan bonus) pekerja sokongan dan perkeranian di dalam syarikat GLC seperti Maybank lebih adil dan saksama.

Muhammad Husain [Pasir Puteh] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan permainan-permainan tradisional yang dianggap masih ada dalam masyarakat sekarang dan jumlah peruntukan yang digunakan Kerajaan bagi membantu mengikut jenis-jenis permainan berkenaan.

Che Uda Che Nik [Sik] minta MENTERI SUMBER ASLI DAN ALAM SEKITAR menyatakan bahawa setiap kali banjir berlaku, Kerajaan berjanji untuk memasang alat pengesan dan amaran awal banjir di kawasan-kawasan yang sering berlaku banjir, di mana alat-alat ini di pasang dan bilangan tambahan alat dipasang sejak 2010 hingga sekarang.
Datuk Mahfuz Omar [Pokok Sena] minta PERDANA MENTERI menyatakan adakah FBC Media Ltd membayar balik jumlah wang RM80 juta yang dibayar oleh Kerajaan kepada FBC Media Ltd selepas BBC memohon maaf kerana menyiarkan program hal ehwal semasa termasuk 8 program dokumentari untuk menaikkan imej Kerajaan Barisan Nasional dan kepimpinan Perdana Menteri di peringkat antarabangsa yang melanggar peraturan dalaman syarikat dan adakah Kerajaan akan menuntut kembali wang tersebut.

Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin [Bukit Gantang] minta PERDANA MENTERI menyatakan senarai pengumuman-pengumuman semua peruntukan yang dibuat beliau ketika melawat dan berada di Negeri Perak dalam lawatan rasminya sepanjang 12 September, 2011 hingga 12 Mac 2012. Nyatakan secara terperinci penerimanya (seperti sekolah, jabatan, agensi Kerajaan, rumah ibadat, kaum asli dan kaum lain, NGO, dewan-dewan dan lain-lain).

Mohd Firdaus Jaafar [Jerai] minta PERDANA MENTERI menyatakan kos mengerjakan haji yang sebenar tanpa pemberian subsidi dan senaraikan perincian kos tersebut.

Dr Mohd Hatta Md Ramli [Kuala Krai] minta MENTERI PENERANGAN, KOMUNIKASI DAN KEBUDAYAAN menyatakan langkah-langkah yang diambil bagi meningkatkan keupayaan capaian 3G oleh syarikat telekomunikasi di kawasan luar bandar yang mengalami masalah kegagalan jalur lebar akibat kecurian kabel talian kekal yang berleluasa.

harakahdaily/-

Benarkah Najib Menawarkan 1000 Tempat Matrikulasi Untuk Pelajar-pelajar India?

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Pendana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah menjanjikan 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India untuk sesi 2012/2013. Beliau mengumumkan hal ini di program sambutan ponggal yang diadakan di Kapar pada 26/2/2012.

Adakah pengumuman beliau itu benar dan ikhlas? Saya risau ini juga akan menjadi satu lagi janji kosong Barisan Nasional selepas pilihanraya. Saya tidak mahu Barisan Nasional menipu masyarakat India lagi. Jika benar apa yang dijanjikan oleh Najib, beberapa persoalan perlu dijawab berhubung dengan perkara ini.

Pertama sekali, adakah pemberian 1000 tempat matrikulasi untuk pelajar-pelajar India ini telah dibincang dan diluluskan di dalam mesyuarat Kabinet? Jika ya, bilakah ia diluluskan?

Kedua, kenapakah perkara ini tidak diumumkan oleh Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin sehingga hari ini. Belaiu sebagai Menteri Pelajaran sepatutnya membuat pengumuman rasmi berhubung dengan pemberian 1000 tempat matrikulasi kepada pelajar-pelajar India.

Ketiga, Kenapakah setakat ini masih belum ada ‘blue print’ berhubung dengan perkara yang dibangkitkan. Pengumuman Najib patut disokong dengan ‘blue print’ yang terperinci bagaimana perkara ini akan dilaksanakan oleh kerajaan.

Keempat, Najib harus memberi maklumat yang terperinci mengenai bilangan pelajar matrikulasi yang akan diambil di setiap Instititut Pengajian Tinggi Awam. Bilangan pelajar mengikut universiti dan kolej perlu disenaraikan.
Kelima, bilangan tempat mengikut program atau bidang kursus matrilukasi juga perlu disenaraikan untuk pengetahuan umum.

Kesemua persoalan di atas perlu dijawab oleh Najib sebelum janji yang dibuat itu boleh dipercayai. Jika beliau tidak berani menjawap soalan-soalan di atas, maka sudah pasti janji ini merupakan janji kosong pilihanraya untuk memenangi hati masyarakat India.

Berhubung dengan perkara itu, Pakatan Rakyat Perak telah melancarkan satu risalah Bahasa Tamil meminta Najib menjawab soalan-soalan yang dibangkitkan. Risalah tersebut telah dilancarkan di Pasar Awam Jelapang pada pagi ini.

harakahdaily/-