11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
DUNGUN – Apa dosa si comel? Begitulah perasaan seorang pemilik kucing setelah kematian 12 ekor kucing peliharaannya dalam tiga kejadian berasingan selepas dipercayai menerima suntikan di Jabatan Veterinar berdekatan.
Pemilik kucing berkenaan, Noorhariati Osman Ali, 28, dari Padang Jambu dekat sini berkata, kejadian pertama dikatakan berlaku pada Julai 2011 apabila tiga ekor anak kucing peliharaannya yang difahamkan mengalami masalah kesihatan mati beberapa hari selepas menerima suntikan di jabatan berkenaan.
Menurut Noorhariati, kejadian kedua pula membabitkan empat ekor kucing yang turut mati selepas hilang selera makan selain lemah anggota badan setelah beberapa hari menerima rawatan di jabatan sama.
Bagaimanapun, kejadian terakhir yang berlaku pada 28 Mac lalu sehingga menyebabkan seekor lagi kucing peliharaannya mengalami nasib yang sama selepas beberapa hari menerima rawatan menimbulkan tanda tanya kepada pemiliknya yang berasal dari Padang Jambu itu.
Katanya, dalam kes tersebut, dia mengambil keputusan untuk menghantar kucing berusia lapan bulan itu ke pejabat haiwan selepas binatang peliharaannya didapati agak pasif berbanding biasa.
Noorhariati berkata, setelah memaklumkan masalah yang dialami kucing kesayangannya kepada kakitangan jabatan berkenaan lalu kakitangan tersebut dikatakan terus memberikan suntikan kepada kucingnya.
Bagaimanapun, selepas 48 jam kucing itu disuntik, kakinya mula longlai selain hilang selera makan.
“Selang beberapa hari selepas itu, kucing saya semakin tidak bermaya lalu mati.
“Kejadian ini amat menyedihkan, saya hairan mengapa semua kucing peliharaan saya yang menerima suntikan di situ mati?” katanya.
Menurutnya, dia mengambil keputusan untuk menyiarkan kisah ini di akhbar Sinar Harian kerana mahu siasatan dilakukan terhadap isu tersebut dan tidak mahu perkara sama terjadi kepada pemilik kucing lain.
“Saya boleh menerima kenyataan dengan kematian kucing itu, namun saya musykil dengan kejadian yang menimpa kucing kesayangan saya," katanya.
Sinar Harian akan cuba mendapatkan maklum balas daripada pihak berkenaan hari ini.
sinar harian/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan