03 April 2012

Penduduk gesa ambil tindakan salah guna tanah

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

TRONOH – Penduduk Bandar Baru Siputeh, di sini kesal dengan sikap agensi kerajaan yang dikatakan tidak mengambil tindakan terhadap individu mengusahakan tanaman kelapa sawit di tanah rizab milik Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Penduduk, Ahmad Buliya Hamim Hashim, 44, berkata, meskipun isu itu telah dimaklumkan kepada pihak berkenaan sejak 2008, namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Menurutnya, penanaman (kelapa sawit) yang dibuat di sepanjang Lebuhraya Ipoh-Lumut itu bukan sahaja menghalang pemandangan, tetapi penggunaan baja tahi ayam memberi kesan langsung pencemaran bau kepada penduduk berhampiran.

“Kami telah membuat bantahan sebelum penanaman kelapa sawit berhampiran Sungai Siputeh di tanah seluas 0.8 hektar itu dilaksanakan sekitar Julai 2008 lalu.

“Perniagaan banyak yang terjejas kerana dilindungi kelapa sawit dan baja yang digunakan menyebabkan lalat semakin banyak, tidak mustahil boleh menjejaskan kesihatan penduduk,” katanya kepada Sinar Harian, di sini, semalam.

Difahamkan, individu yang menjalankan aktiviti penanaman berkenaan pernah memaklumkan memiliki lesen menduduki sementara (TOL) untuk menanam di kawasan tanah rizab berkenaan.

Bagaimanapun, kenyataan itu tidak benar apabila penduduk kampung yang membuat pemeriksaan mendapati, Pejabat Daerah tidak pernah mengeluarkan sebarang TOL di lokasi yang dinyatakan.

Seorang lagi penduduk, Shaharudin Nik, 63, pula bimbang sekiranya pembangunan di kawasan itu terbantut gara-gara sikap pentingkan diri sesetengah individu yang cuba mengaut keuntungan.

Buat masa ini katanya, kesan awal sudah mula dirasai apabila ada peniaga berpindah ke kawasan lebih maju hanya disebabkan pokok yang ditanam melindungi pandangan pelanggan yang melalui lebuh raya berkenaan.

“Kami sudah mula berputus asa apabila setiap aduan tiada tindakan walaupun jelas menanam pokok kekal seperti pokok kelapa sawit di atas tanah itu satu kesalahan,” katanya.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: