03 April 2012

Hari tanpa plastik menyusahkan orang ramai

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

Kempen hari tanpa bungkusan plastik atau beg plastik itu yang dikuatkuasakan kepada semua pusat membeli belah pada setiap hari Sabtu adalah menyusahkan orang ramai untuk membeli belah di hujung minggu, dan begitu juga pada hari tersebut pelanggan akan berkurangan berkunjung ke situ kerana mengelakkan daripada membayar harga bungkusan plastik yang dikenakan itu dan barangan yang dibeli terpaksa pula dihadkan bilangannya.

Adalah wajar sekali kempen hari tanpa plastik ini dikaji semula kerana ianya tidak mendatangkan kesan apa-apa melainkan hanya menyusahkan orang awam dan merugikan pihak pusat membeli belah sahaja.

Saya cadangkan kempen hari tanpa plastik ini ditukarkan kepada kempen membawa beg atau bakul sendiri dan sesiapa yang membawa bakulnya sendiri akan dapat pemotongan harga istimewa atau mendapat hadiah tertentu sebagai galakan kepada pelanggan.

Dalam pada itu disyorkan penjualan arak dan makanan basah yang diharamkan oleh agama Islam yang telah pun diasingkan sudut jualannya itu hendaklah juga diasingkan kaunter bayarannya dimana seorang pekerja kaunter yang bukan beragama Islam ditempatkan dikaunter khas itu.

Untuk itu adalah wajar sekali premis jualan barangan basah yang tidak halal dan minuman keras dijual di luar pusat membeli belah utama dan sebaiknya ditempatkan 'mini market' bersebelahan dengan pusat membeli belah utama tersebut bagi kemudahan pelanggan yang bukan beragama Islam membelinya.

Dicadangkan juga supaya semua pusat membeli belah menyiarkan laungan azan melalui corong radio FM apabila masuknya waktu azan bagi menghormati azan dan menandakan umat Islam bersedia untuk bersolat. Diharapkan juga setiap pusat membeli belah membina surau yang lebih sempurna bagi memudahkan umat islam untuk mengerjakan kewajipan mereka itu.

Pusat membeli belah juga sepatutnya menyediakan sudut barangan makanan halal segala hasilan buatan Bumiputra agar mudah pelanggan untuk memilih dan membelinya di bawah satu bumbung sahaja.

Syed Abdullah Jamalullail,

harakahdaily/-

Tiada ulasan: