03 April 2012

Infrastruktur Kampung Gombak Utara membahayakan

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

GOMBAK SETIA, 3 APRIL : Kampung Gombak Utara berhadapan masalah infrastruktur yang† kurang memuaskan meskipun berada di bawah jagaan mantan Exco Infrastruktur Selangor, Datuk Dr Hasan Ali.

Tinjauan Selangor Kini mendapati, kemudahan asas seperti jalan raya kawasan itu tidak seimbang dan membahayakan keselamatan pemandu dan penunggang motosikal.

Ahli Jawatankuasa Kebajikan, Mohd Sapri Matlum memberitahu, jalan di kawasan kampung tersebut tidak diturap semula sejak enam tahun dan menjadi tempat takungan air apabila hujan lebat.

“Keadaan jalan ini tinggi sebelah dan bila hari hujan, jalan akan ditakungi air. Keadaan ini membahayakan pengguna terutamanya penunggang motosikal kerana dikhuatiri ada lubang dan boleh mengakibatkan kecederaan.

“Longkang juga tiada di beberapa kawasan maka air tidak boleh mengalir keluar selain kerosakkan beberapa longkang sedia ada tanpa penyelenggaraan pihak bertanggungjawab,” katanya.

Katanya, masalah ini sudah dimaklumkan kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) , namun sehingga kini tiada sebarang tindakan dibuat melainkan alasan semata-mata.

Selain itu, tinjauan mendapati, terdapat beberapa mendapan tanah di tepi sungai yang mengancama keselematan struktur jalan utama.

Lebih mengejutkan, terdapat kejadian tanah runtuh kecil di tepi hentian bas dengan kedalaman 3 meter.

Jalan utama kawasan ini juga mempunyai dua selekoh maut yang telah mengakibatkan kejadian kemalangan yang meragut nyawa penunggang motosikal.

“Dua selekoh utama ini iaitu selekoh Palembang dan Hasrat Kita perlu distruktur semula supaya jalan seperti ini dapat diluruskan memandangkan dahulunya jalan dibuat mengikut aliran sungai.

“Tanah ini perlu dipotong memandangkan masih terdapat pokok-pokok besar yang tidak ditebang dan tidak dipotong kemas. Ada diantaranya telah tumbang dan menggusarkan penduduk,” katanya.

Tambah Sapri, sebuah gerai makan di tepi jalan baru-baru ini mengalami kerosakan akibat dihempap pokok yang tumbang.

Rimbunan pepohon hijau di sepanjang jalan juga telah mula condong ke wayar elektrik.

Jelas Mohd Sapri, perkara ini telah dibangkitkan sejak zaman pentadbiran Umno-BN namun tidak diendahkan .Pelbagai janji telah ditaburkan namun sehingga kini tidak ada sebarang tindakan.

Selain itu, terdapat juga masalah lampu di beberapa lokasi sepanjang jalan dan ketiadaan papan tanda amaran ‘Kurangkan Laju, Kawasan Kampungí. Juga diperlukan adalah cermin pantulan di beberapa simpang jalan.

Penduduk di kampung ini turut berhadapan dengan masalah pengangkutan awam terutamanya pada hujung minggu selain ketiadaan hentian bas untuk menunggu.
Mohd Sapri juga berkata terdapat banyak longgokan sampah yang tidak dipungut oleh pihak kontraktor dan petugas kebersihan dilihat mengambil sikap memilih semasa bertugas.

“Banyak sampah yang dikutip hanya yang terdapat dalam tong sahaja. Di luar tong mereka tidak ambil. Ada sampah yang telah berbulan tidak diambil.

“Saya mencadangkan agar tempat meletakkan tong sampah tersebut disimen dengan baik agar lebihan sampah yang tidak masuk ke dalam tong masih berada di tempat sepatutnya,” katanya.

selangorku/-

Tiada ulasan: