03 April 2012

Usul PSC tambah baik p'raya lulus dalam kecoh

11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -

KUALA LUMPUR, 3 April: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Berhubung Dengan Penambahbaikan Proses Pilihan Raya dalam suasana kecoh.

Ianya berlaku ketika Ahli Parlimen Kinabatangan, Datuk Bung Moktar Radin menyambung giliran membahaskan usul syor itu selepas persidangan rehat tengah hari ini di hadapan Timbalan Speaker, Datuk Ronald Kiandee.

Beberapa ahli parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya bangun mencelah dengan membantah keputusan Yang Dipertua, Tan Sri Pandikar Amin Mulia yang menolak laporan minoriti awal pagi tadi.

Antaranya Mohamed Azmin Ali (PKR-Gombak), Dr Dzulkefly Ahmad (PAS-Kuala Selangor) dan Sivarasa Rasiah (PKR-Subang).

Mereka mempertikai alasan Pandikar yang menolak laporan minoriti pagi tadi hanya atas sebab tidak pernah diamalkan di mana-mana parlimen di dunia.

Sedangkan pagi tadi mereka telah mengemukakan bukti ianya pernah dibuat termasuk di Jamaica, New Zealand, United Kingdom dan termasuk di House of Commance sendiri.

Selepas beberapa kali namanya disebut, Pandikar kemudian masuk dan menggantikan Ronald Kiandee untuk kembali mempengerusikan persidangan.

Ketika itu dewan sudahpun kecoh dengan perang mulut antara ahli parlimen Pakatan Rakyat dengan BN yang mempertahan keputusan Speaker.

Dalam kekecohan itu Pandikar mengarahkan Azmin, Dzulkefly dan Sivarasa untuk meninggalkan dewan atas alasan mempersoal keputusan Speaker.

Kemudian Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut bangun mempertikai keputusan Speaker itu.

Dalam suasana kecoh itu Anwar mendakwa, Pandikar telah bertindak tidak wajar apabila tidak menerima precedent yang dikemukakan oleh anggota parlimen Pakatan Rakyat.

Anwar juga mendakwan Pandikar sepatutnya meminta maaf di atas kesilapannya itu.

Ahli Parlimen Pakatan Rakyat kemudiannya beramai-ramai melaungkan leave the chair kepada Pandikar.

Tiba-tiba dalam kekecohan itu Pandikar mengumumkan bahawa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat tidak berminat untuk membahaskan usul itu.

Beliau juga meneruskan dengan undian belah bahagi yang menyaksikan usul itu dilulus tanpa bahas.
Persidangan Dewan Rakyat juga ditangguhkan dan akan disambung semula jam 10 pagi esok.

harakahdaily/-

Tiada ulasan: