11 Jamadil Awal 1433H. [MOD] -
Kenderaan rakyat Malaysia yang terperangkap dalam serangan bom di sebuah hotel di Hatyai Sabtu lepas, akan diserahkan kepada pemiliknya untuk dibawa pulang setelah polis Thailand siap menjalankan siasatan.
Pengerusi Kelab Putera 1Malaysia Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata kerajaan Thailand juga akan membayar pampasan yang sewajarnya bagi kenderaan yang rosak.
"Kerajaan tempatan dan kerajaan pusat mereka berjanji akan mengeluarkan semua kereta, malah mereka sanggup membayar gantirugi kepada perkara-perkara yang berlaku.
"Tetapi semua kenderaan (Malaysia) yang datang ke Thailand sudah semestinya memiliki insurans. Saya percaya dan yakin insurans itu dapat dituntut," katanya kepada pemberita Malaysia ketika melawat lokasi kejadian itu hari ini.
Abdul Azeez yang mengetuai misi kelab itu ke Hatyai bagi membantu rakyat Malaysia yang terbabit dalam kejadian tersebut, berkata terdapat sekurang-kurangnya 10 kenderaan dari Malaysia terperangkap di tempat letak kereta bawah tanah hotel yang menjadi lokasi letupan.
Selain itu katanya, Konsulat Jeneral Malaysia di Songkla Mohd Aini Atan juga akan membantu mengurus dan mengumpulkan barangan rakyat Malaysia yang terlibat seperti dokumen perjalanan dan beg pakaian untuk dibawa pulang ke tanah air.
"Itulah kelebihan Malaysia pergi ke mana pun kita disenangi lagi kita disegani. Walaupun perkara ini tidak diingini berlaku tapi Alhamdullilah oleh kerana negara kita sentiasa disegani semua pihak tampil ke hadapan memberi kerjasama untuk menyelesaikan masalah rakyat kita," katanya
Dua rakyat Malaysia maut dalam kejadian kira-kira 1 tengah hari itu manakala 10 pula dimasukkan ke tiga hospital akibat mengalami kesan lecur. Bagaimanapun sehingga hari ini, hanya lima masih menerima rawatan di dua hospital.
Dua yang maut dikenal pasti sebagai Tan Peng Chan, 39, dari Kuala Kedah dan Low Thian Hock, 46, dari Kulim, Kedah.
- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan