14 April 2013

Warlords sedia menunggu siapa calon Umno

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



(Para pemimpin muda Umno...siapa yang akan mendapat tempat kali ini)

TERPAMPANG di dada-dada akhbar-akhbar tradisional edisi 11hb April berita mengenai kesiapsagaan Barisan Nasional berdepan dengan rakyat untuk mendapat mandat memerintah negara untuk satu penggal lagi pada 5 Mei ini.

Melihat pada gambar-gambar yang disiar, rata-rata pemimpin BN sedang senyum dan ketawa seolah-olah tiada pergolakan dalaman.

Yang hadir, kira-kira 2,000 pemimpin di peringkat bahagian parti-parti komponen BN seluruh negara pada di PWTC 10hb April lalu juga amat bersemangat, bertepuk, berteriak tanda setuju, seolah-olah semuanya elok berlaka.

Walhal, ramai yang menerima jemputan untuk perjumpaan dengan pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Razak bukannya datang semata-mata untuk mendengar pesanan-pesanan akhir pra-PRU13.

Sudah berkali-kali mereka mendegar nasihat yang sama - di Perhimpunan Agong Umno, semasa pertemuan tertutup dengan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dalam perhimpunan-perhimpunan politik yang dianjur BN dan Umno sepanjang lebih dua tahun.

Mereka lebih berminat mahu tahu siapa yang tersenarai bertanding atas tiket BN nanti.

Lebih-lebih lagi akhbar-akhbar telah membuat spekulasi yang Najib bakal mengumumkan senarai calon BN dimajlis itu.

Dalam hati para pemimpin BN sekarang ini, terutama Najib sebenarnya,  penuh keresahan. Najib amat risau, takut ahli-ahli parti peringkat akar umbi akan memberontak apabila nama-nama calon BN bakal diumumkan, paling awal esok (Isnin).

Najib selaku pengerusi BN dijadualkan menyerah surat watikah calon pilihanraya BN  di Ibupejabat BN di Menara Datuk Onn, PWTC esok (Isnin) dan terserah kepada pengerusi pilihanraya BN negara sama ada menyerah surat watikah tersebut kepada calon-calon di negeri masing-masing pada hari yang sama ataupun berikutnya (Selasa).

BN di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, telah sah akan menyerah surat watikah itu pada hari Selasa dan selepas inilah "revolusi" dalaman akan bermula.  

Najib dikatakan pening kepala dengan tangan-tangan luar yang terus menerus mencuba ketengahkan nama-nama tertentu sebagai calon.

Ramai yang mengunakan pemimpin veteran parti yang disegani Najib untuk melobi bagi pihak mereka, tidak kurang yang guna penyokong dari bahagian masing-masing mendesak supaya mereka bertanding sepenggal lagi walaupun sudah menjadi wakil rakyak lebih dari tiga penggal setelah terdengar khabar angin mereka telah digugurkan dari senarai calon.

Kes paling klasik ialah apabila seorang menteri penggal lalu telah menguna khidmat isteri sendiri untuk melobi supaya beliau dikekalkan.

Dalam pertemuan 10hb April itu, Najib membuat seruan terakhir kepada pemimpin akar umbi BN supaya menerima senarai calon yang bakal diumumkan kelak. 

Beliau tidak mahu melihat sejarah 2008 berulang apabila pemimpin-peminpin bahagian atau "warlords" memberontak dengan mensabotaj parti kerana tidak terpileh untuk bertanding.

Pada pilihanraya umum lalu, ada yang bertindak menutup bilik gerakan, tidak keluar mengundi serta mempengaruhi penyokong mereka juga supaya tidak mengundi serta membayar pengundi supaya tidak memangkah calon-calon tertentu seperti yang dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Umno oleh ahli-ahli Umno dari beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Kelantan.


Tindakan seumpama inilah yang telah mengkecilkan peluang menang calon-calon BN di kerusi-kerusi yang mereka bertandingi.

Najib memang cukup takut berdepan dengan masaalah yang sama kerana terang-terang ahli dan pemimpin akar umbi parti-parti komponen BN, lebih-lebih lagi di kalangan Umno hanya asyik bercakap mengenai siapa akan menjadi calon BN di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN yang akan ditandingi BN nanti.

Ada ketua bahagian Umno dikatakan tidak membenarkan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) membuka bilik gerakan sehingga senarai calon diketahui.

Ini seolah-olah pemimpin bahagian itu tidak akan bekerjasama sekiranya dia ataupun calon yang disukainya tidak bertanding.

Memang mudah bagi Najib meminta pemimpin akar umbi yang berminat bertanding supaya jangan merajuk terlalu lama, 24 jam katanya sudah cukup dan mereka perlu kembali membantu jentera parti memenangkan calon BN.

Hakikatnya Najib sendiri amat arif dan ketika dapat menduga apa yang bakal berlaku nanti kerana "warlords" Umno memang dikenali lebih mementing diri dan perpegang kepada peribahasa "biar putih tulang, jangan putih mata".

Harakahdaily/-

Akal menjadi keutamaan dalam mentadbir - TG Nik Aziz

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


(Tg Nik Aziz bersama para pemimpin Pakatan di Johor)

 PULAI: Untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan peruntukkan dan modal yang besar semata-mata, sebaliknya akal fikiran yang lebih berharga dari wang ringgit.

Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, berkata sewaktu mula menerajui pentadbiran Kelantan, Umno mendakwa kepimpinannya hanya bertahan tiga bulan sahaja.

“Memang betul jika diukur dari segi kewangan, sebab Angkatan (Angkatan Perpaduan Ummah) menang ketika tabung kewangan begitu kecil, tetapi untuk mentadbir negeri atau negara tidak memerlukan wang yang banyak, sebaliknya akal.

“Kalau mentadbir negara tidak guna akal sebaiknya, wang yang banyak tidak ada gunanya, alhamdulillah kita menang di Kelantan hampir 23 tahun lamanya,”ujarnya lagi.


(TG Nik Aziz memberikan ucapan di Pulai)

Tuan Guru berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi Tea Bersama Datuk Bentara Setia Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat dan Pemimpin Pakatan Rakyat (Johor), semalam.

Pada masa yang sama beliau berkata perjuangan Pakatan Rakyat (PR) bukan hanya untuk membela satu kaum iaitu Melayu sahaja, sebaliknya bangsa lain Cina, India dan sebagainya akan diperjuangkan bersama.

Katanya,  semua bangsa perlu memerlukan antara satu sama lain.

Ia seumpama  satu anggota pada sebuah badan sekiranya tidak cukup ianya akan menjadi cacat.

“Saya bersyukur  masyarakat Cina dan India kini sudah boleh menerima perjuangan PAS,”ujarnya.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pula berkata orang Cina merupakan satu bangsa yang sejak awal bertamadun.

Kerana itu mereka bijak serta mampu berfikir khususnya dalam politik.

Jelasnya, kerana rekod perjuangan PAS di samping kerajaan yang ditadbir PR tiada rekod penyelewengan, membuatkan mereka semakin yakin dengan Pakatan Rakyat.

Pada masa yang sama Salahuddin turut mengumumkan calon yang bakal dicalonkan pada PRU-13 ini merupakan pemimpin PR yang  tiada rekod penyelewengan.

Sama ada di Selangor,  Kelantan, Kedah atau Pulau Pinang, keterampilan calon yang berwibawa menjadi pilihan pimpinan untuk mencalonkan mereka.

Katanya, ianya untuk memastikan Johor mendapat perubahan yang sebaiknya sebagaimana di negeri-negeri lain.

“Kerana itu saya sanggup meninggalkan kerusi yang selamat sebelum ini Parlimen Kubang Kerian untuk berpindah ke Johor demi untuk masyarakat negeri ini yang lebih baik,”ujarnya.

Turut hadir dalam majlis berkenaan, Ketua Penerangan PAS Johor, Haji Ghazali Ayob dan Pengerusi DAP negeri Johor, Dr Boo Cheng Hau.

Harakahdaily/-

Gelang Patah terlucut dari tangan MCA?

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek masih enggan mendedahkan sama ada partinya akan dibenarkan untuk mempertahankan kerusi parlimen Gelang Patah, sehari sebelum BN mengumumkan senarai calonnya secara rasmi.

Bercakap kepada pembertia selepas satu pertemuan bersama pemimpin MCA Johor hari ini, Chua berkata beliau sekadar menyebut bahawa BN akan mengetengahkan calon yang "boleh menang".

Beliau juga enggan mengesahkan sekiranya MCA akan memberi laluan kepada Umno di Gelang Patah, dan menegaskan bahawa BN mempunyai formula perkongsian kuasa dan menggesa wartawan menunggu pengumuman rasmi esok.

Pengerusi BN Datuk Seri Najib Razak dijadualkan untuk menyerahkan watikah kepada calon yang disahkan untuk mewakili parti itu, dalam satu acara di ibu pejabat Umno esok.

Antara yang tidak hadir ke pertemuan hari ini ialah ketua bahagian MCA Gelang Patah Jason Teoh yang disebut-sebut sebagai calon parti itu untuk Gelang Patah.

Kerusi itu menjadi perhatian apabila DAP mengumumkan untuk meletak pemimpin veterannya Lim Kit Siang sebagai calon di kerusi tersebut.

MCA menguasai kerusi tersebut pada 2008 dengan majoriti lebih 8,800 undi.

Malaysiakini/-

Piala Axiata: Malaysia juara, atasi Thai 3-1

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Piala Axiata 2013

Piala Axiata 2013
MALAYSIA berjaya merangkul kejuaraan Kejohanan Badminton Piala Axiata buat kali pertama apabila menundukkan Thailand 3-1 dalam perlawanan akhir di Stadium Cheras.

Dengan keputusan itu, Malaysia berjaya menebus kekecewaan peminat tanah air  setelah gagal merangkul kejuaraan pada edisi lepas.

Kejohanan badminton itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$1 juta (RM3.1 juta).

Atas kejayaan itu, Malaysia membawa pulang AS$400,000 (RM1.24 juta) manakala Thailand menerima AS$200,000 (RM620,000).

Pada perlawanan tadi,  Malaysia gagal mengutip mata pertama apabila pemain perseorangan wanita, Sonia Cheah tewas di tangan  Ratchanok Inthanon 16-21 dan 17-21.

Bagaimanapun Malaysia menyamakan kedudukan menerusi beregu campuran  Goh Liu Ying/Chan yang menundukkan Sudket Prapakamol/Saralee Thoungthongkam 21-16 dan 21-15.

Pemain nombor satu dunia, Datuk Lee Chong Wei nyata tidak menghadapi masalah apabila mudah  memberi mata kedua kepada Malaysia dengan mengetepikan  Tanongsak Saensomboonsuk 21-12 dan 21-18.

Akhirnya, Malaysia memperoleh mata kemenangan apabila Koo Kien Keat/Tan Boon Heong berjaya mengekang kehebatan  Boonsak Ponsana/Songphon Anugritayawon dengan 21-10 dan 21-17.

Sinar/-

Bekas Timbalan SUK Kedah calon PR kerusi Langkawi

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


LANGKAWI - Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ahmad Abdullah, 64, hari ini diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Presiden PR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menamakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah Datuk Ahmad Kassim, 50, sebagai calon kerusi Dun Kuah.
   
Pakatan pembangkang memperuntukkan satu lagi kerusi Dun dalam Parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat, kepada Pas yang dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Langkawi Zubir Ahmad, 50.
   
Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dun pada PRU 2008.
   
Pada PRU 2008, PR bertanding bagi tujuh kerusi dan menang lima kerusi. Mereka kalah di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.

PR sebelum ini mengumumkan nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU 2008.
   
Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan, akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu manakala Naib Presiden parti N. Surendran pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
   
Calon lain ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.
   
Ketua Biro Perundangan PR Kedah Gooi Hsiao Leung pula sekali lagi akan bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Setar setelah kalah pada 2008. - Bernama

Tiga ditahan, pistol, kereta dan dadah dirampas

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR - Polis menahan tiga orang termasuk seorang wanita dan merampas sepucuk pistol, dua buah kereta dan beberapa bungkusan dadah di Hotel Richbaliz, Selayang Point, Selayang hari ini.
   
Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah berkata ketiga-tiga suspek yang berumur antara 34 dan 37 tahun dipercayai menyamun wang tunai kira-kira RM1,000 dari sebuah pusat snuker di Kompleks Selayang Capital yang terletak kira-kira 100 meter daripada hotel itu pada pukul 8.15 pagi tadi.
   
Beliau berkata polis yang bertindak atas maklumat kemudiannya menyerbu hotel itu pada pukul 9 pagi dan mendapati ketiga-tiga suspek sedang berada dalam keadaan khayal di dalam sebuah bilik.
   
"Pemeriksaan forensik yang dilakukan di bilik hotel itu turut menemui sepucuk revolver .38 serta beberapa paket ketamin dan ekstasi," katanya kepada Bernama menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS).
   
Abdul Rahim berkata polis turut menemui wang tunai yang disamun itu serta dua buah kereta yang dipercayai telah digunakan suspek.

Beliau berkata semasa menyamun pusat snuker itu, dua daripada suspek dilaporkan telah mengacukan revolver berkenaan ke arah pemilik pusat tersebut.   

Kesemua suspek dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak untuk disiasat mengikut Seksyen 397 Kanun Keseksaan kerana menyamun menggunakan senjata api. - Bernama

Nama calon BN diketahui esok

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Najib Tun Razak

Dato' Seri Najib Tun Razak
SHAH ALAM - Datuk Seri Najib Tun Razak akan menyerahkan surat tauliah pemilihan calon Barisan Nasional (BN) kepada pengerusi-pengerusi negeri di ibu negara pagi esok, sekali gus mengakhiri spekulasi mengenai barisan yang akan mewakili perikatan itu kali ini.
Perkara itu disahkan oleh Pengerusi Biro Publisiti dan Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan ketika dihubungi Sinar Harian Online petang ini.
Surat jemputan liputan yang dikeluarkan juga mengesahkan  Majlis Penyerahan Surat Tauliah BN akan diadakan esok. Ia akan berlangsung di Menara Dato' Onn jam 11 pagi.
Sinar Harian Online difahamkan Najib, selaku Pengerusi BN dan Presiden Umno, akan meneruskan tradisi di mana pengumuman calon akan dibuat oleh pengerusi negeri masing-masing.
Ahmad berkata, pemimpin BN setiap negeri akan menghadiri pertemuan esok, yang dijangka akan turut disertai pemimpin parti komponen perikatan itu.
"Calon boleh menang yang terbaik terpilih," kata Ahmad yang juga Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Ketua Penerangan Umno ketika mengulas soalan mengenai surat jemputan media yang telah dikeluarkan oleh Setiausaha Kerja BN.
Beberapa calon berpotensi yang dihubungi Sinar Harian Online berkata pihaknya tidak menerima sebarang panggilan setakat 6 petang tadi.
"Kemungkinan pagi esok akan dihubungi jika terpilih sebagai calon," kata seorang pemimpin tertinggi parti komponen BN.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) juga telah menetapkan 20 April ini sebagai hari penamaan calon manakala 5 Mei sebagai hari mengundi.
Sebanyak 222 kerusi Parlimen dan 505 kerusi Dun menjadi rebutan pilihan raya umum kali ini.
Sementara dipetik Bernama, Ahmad berkata, pengerusi BN negeri akan pulang ke negeri masing-masing untuk mengumumkan calon-calon PRU13 BN bagi kerusi Dun dan Parlimen.
"Kebanyakan negeri dijangka membuat pengumuman esok dan Selasa ini, dan itu semua terpulang kepada mereka (pengerusi-pengerusi negeri)," katanya.
Parti-parti komponen Pakatan Rakyat, yang dijangka akan memberi saingan sengit kepada BN kali ini sudah mengumumkan senarai calon berperingkat-peringkat sejak seminggu lalu.
Najib yang menerajui BN sejak April 2009 dilihat mengambil pendekatan mengumumkan calon seminggu sebelum penamaan calon bagi membolehkan rakyat menerima dan pada masa yang sama mengelakkan unsur sabotaj.
Sementara itu di KOTA BAHARU, Pengerusi BN Kelantan Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, pengumuman calon BN negeri itu akan diumumkan selepas mendapat lampu hijau daripada Najib.
"Kemungkinan esok muktamad (senarai calon)," katanya pada sidang akhbar di Pusat Media BN Kelantan di sini hari ini.
Beliau berkata BN Kelantan telah mengemukakan cadangan calon yang terdiri daripada muka lama dan baharu, tokoh agama, Pemuda dan Wanita, dan senarai itu telah mendapat pandangan daripada semua pihak, termasuk perbincangan dengan ketua-ketua Umno bahagian masing-masing.
Beliau berharap mereka yang tidak dicalonkan, tidak merajuk dan mengkhianati parti itu seperti mensabotajnya dengan "cah keting."
"Kalau merajuk sekali pun fikirlah yang kita perlu kembali untuk bekerja demi untuk merampas Kelantan daripada Pas dan untuk masa depan rakyat yang perlukan pembelaan kita," katanya.
Sinar/-

Penendar kantin sekolah dipaksa sertai Umno

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


BACHOK: Usahawan, peniaga kecil dan petani di Bachok kini kerap menerima tekanan pemimpin Umno. Ramai petani diugut tidak lagi mendapat baja subsidi kerana hadir pada program ceramah PAS.

Beberapa penduduk yang hadir pada ceramah PAS di Takel, Dun Tawang baru-baru ini memberitahu mereka menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada JKKKP.

“Pemimpin Umno terbabit mengugut tidak mahu lagi memberi baja kepada petani di sini kerana hadir pada program ceramah anjuran PAS.

“Beberapa penduduk menerima SMS berbau ugutan tersebut ketika menghadiri ceramah di Takel baru-baru ini,” kata seorang petani di sini.

Tahun lepas bekas Adun Tawang, Hassan Mohamood mendedahkan petani dipaksa memasang bendera dacing di rumah mereka bagi membolehkan mendapat baja subsidi padi.

Hassan ketika dihubungi memberitahu ramai penduduk di sini mengadu mereka diugut pemimpin Umno peringkat cawangan, akan disekat baja subsidi kerana hadir program ceramah PAS.

Katanya, bukan sahaja petani yang menjadi mangsa ugutan Umno, sebaliknya penendar kantin sekolah juga dipaksa mengisi borang Umno.

“Mereka dipaksa menyokong Umno sekiranya tidak perniagaan akan terjejas. Beberapa pengusaha kantin memberitahu diugut pemimpin Umno.

“Malah ada yang dipaksa berlakon menyerah borang menyertai Umno ketika kehadiran Naib Presiden Umno, Datuk Dr Zahid Hamidi ke Bachok beberapa hari lalu,” katanya.

Akhbar milik Umno hari ini melaporkan seramai 300 ahli dan penyokong PAS di Tawang keluar daripada parti itu dan bertekad menyokong Umno.

Hassan yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Bachok berkata, berdasar semakan di setiap cawangan PAS di Dun Tawang tidak ada ahli parti itu yang menyertai Umno.

Katanya, apa yang berlaku beberapa peniaga dalam kalangan penduduk tempatan di Tawang dipaksa mengisi borang Umno bagi mengelakkan perniagaan mereka terjejas.

Sementara itu dalam perkembangan berkaitan Hassan menafikan PAS menyogok penyokong Umno dengan memberi habuan sebanyak RM500 kepada seorang wanita Umno di Bachok.

“Tidak pernah berlaku ada jentera kempen muslimat PAS yang memberi wang sebanyak RM500 seperti didakwa Datuk Dr Awang Adek.

“Jentera kempen muslimat PAS tidak membawa wang sebanyak itu ketika kempen dan mereka hanya datang bertemu mata dan bertanya khabar sahaja.

“Tuduhan Ketua Umno Bachok tersebut tidak berasas sama sekali,” katanya.

Sebaliknya sebelum ini seorang penduduk di Kampung Budi mendedahkan wakil kepada Awang Adek beberapa kali datang menemuinya bagi menawarkan wang supaya tidak lagi menyokong PAS.

Harakahdaily/-

Saya hampir jadi mangsa - Aishah

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KOTA BHARU: Penyanyi Aishah (gambar) atau nama penuhnya Wan Aishah Wan Ariffin mendakwa beliau hampir menjadi mangsa perbuatan jahat musuh politik PAS apabila rumahnya ditebuk atapnya untuk dipasang kamera.

Namun nasib menyebelahinya dengan cara ia disedari lebih awal apabila atas rumahnya bocor apabila ditimpa hujan.

Ekoran itu, beliau menyedari bumbung bahagian bilik tidurnya dikorek dipercayai untuk memasang kamera CCTV.

“Syukur alhamdulillah, Allah memelihara kita, Allah sentiasa bersama kita, begitu juga dalam kes Datuk Mustapha Ali, insyaallah, Allah akan memberi petunjuknya nanti,”ujar Aishah.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian penyebaran video tidak bermoral Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapha Ali, yang kini menjadi bulan hangat di seluruh negara semalam.

Sebelum itu beliau menyampaikan ceramah di Dun Tawang, Bachok dekat sini bersama Adunnya, Ustaz Hassan Mahmod.

Bagi Aishah, sesiapa sahaja yang berada bersama PAS termasuk Pakatan Rakyat akan menjadi mangsa politik kotor pihak lawan sebagai modal akhir untuk mempertahankan hayat.

Artis yang juga calon PAS Jempol Negeri Sembilan itu berkata, ianya dijangka ‘bom’ hayat untuk menyelamatkan parti pemerintah sebelum ini untuk berhadapan dengan pihak lawan yang semakin mendapat sokongan rakyat.

Tambahnya, sedangkan tindakan begitu juga akan menjadi senjata ‘makan diri’ kerana akhirnya akan terpalit terkena diri.

Beliau yakin rakyat tidak akan menelan fitnah itu mentah-mentah kerana mereka telah sedar dan cerdik untuk terus bermimpi dengan permainan fitnah.

Jelasnya, mentaliti rakyat Malaysia bukan lagi di zaman dunia ketiga, mereka sekarang berpendidikan tinggi, paling besar pendidikan agama.

“Pihak lawan tidak perlu buat sesuatu perkara yang cukup jijik sekiranya sedar mereka adalah sebuah parti yang baik serta mampu membela rakyat.

“Tidak perlu takut, sebaiknya dedahkan apa yang ingin kita buat dan kejayaannya juga, bukan berterusan menekan pihak lawan dengan fitnah yang mengaibkan, kerana keaiban itu akan menikam diri kita juga,”ujarnya.

Dun Tawang adalah tempatnya yang terakhir untuk menyampaikan ceramah sebelum pulang menumpukan perhatian di Parlimen Jempol.

Sepanjang seharian beliau berada di Kota Bharu, Aishah turut mendapat sokongan dan doa restu dari rakyat di negeri itu apabila bertemu dengannya untuk membeli belah di Bazar Buluh Kubu.

Harakahdaily/-

Pelajar UIA hasil logo terbesar guna donat

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Pelajar UIA hasil logo terbesar guna donat

Penuntut UIAM bersorak kegembiraan selepas berjaya memecahkan rekod Malaysia Book of Records dengan membuat logo rasmi menggunakan donat. - Foto Bernama
KUALA LUMPUR - Penuntut Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mencipta rekod Malaysia Book of Records (MBR) apabila berjaya menghasilkan logo universiti itu menggunakan 19,300 biji donat.

Wakil MBR, Zulhairi Md Zin berkata, UIAM merupakan universiti pertama di negara ini mencipta logo terbesar bersaiz 10 meter x 10.2 meter dengan menggunakan donat dalam kuantiti yang banyak.

"Ini merupakan iktiraf rekod terbaharu dan pertama kali di Malaysia buat logo gunakan donat, pengiktirafan ini diberikan berdasarkan memenuhi kriteria yang ditetapkan oleh MBR sendiri," katanya pada majlis penyampaian sijil pengiktirafan MBR di sini hari ini.

Acara itu, yang dinamakan 'Doughnut of Hope' merupakan program bersifat kebajikan untuk membantu anak yatim dengan memberi harapan yang disimbolikkan menerusi pemberian donat, menurut Pengarah Eksekutif Karnival Majlis Perwakilan Pelajar UIAM Muhammad Faris Zaidi.

Beliau berkata, kira-kira 400 pelajar mengambil bahagian dalam program itu yang diadakan sempena Karnival SRC (Student Representative Council Carnival) yang diadakan sejak Isnin lepas dan berakhir hari ini.

Projek tersebut diadakan dengan kerjasama Ummis Homemade Bakery yang memasak donat ini, dan dihias dengan coklat serta disusun oleh para pelajar itu, katanya.

Beliau berkata, donat tersebut akan diagihkan ke rumah anak yatim sekitar Lembah Klang antaranya seperti Asrama Damai, Taman Pendidikan Anak-anak Yatim Darul Kifayah dan Pertubuhan Penyayang Raudhah termasuk diagihkan kepada pelajar, pensyarah dan staf universiti.

Majlis itu disempurnakan Timbalan Rektor Hal Ehwal Pelajar UIAM Datuk Dr Mizan Hitam. - Bernama

DAP buat laporan polis terhadap Dr. Mahathir

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: DAP hari ini membuat satu laporan polis terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad berhubung satu artikel dalam blog bekas Perdana Menteri itu yang didakwa bersifat fitnah terhadap parti itu dan menghasut kepada kebencian kaum.

Laporan polis itu dibuat Biro Undang-Undang DAP Lim Lip Eng pagi tadi.

Ianya berkaitan artikel bertajuk "Gelang Patah" yang antara lain mendakwa kemenangan penasihat DAP Lim Kit Siang di parlimen itu hanya akan membawa konflik dan permusuhan antara kaum.

Dr. Mahathir juga mendakwa, kehadiran Kit Siang yang akan bertanding di Gelang Patah sebagi cuba menghancurkan kerjasama sedia ada antara majoriti masyarakat Melayu dengan masyarakat Cina.

Dalam satu kenyataan bersama pemimpin DAP hari ini, mereka berkata, laporan polis itu dibuat ekoran dakwaan dalam artikel tersebut tidak berasas dan bersifat fitnah terhadap Kit Siang.

"Artikel  tersebut ditulis dengan niat jahat untuk tujuan menghasut perasaan benci di kalangan kaum-kaum di Malaysia,' kenyataan itu dipetik.

Selain Lim Lip Eng, turut menandatangani kenyataan itu termasuk Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming, serta Naib Pengerusi DAPSY Tiew Wey Kheng.

Menurut mereka, pihak polis wajar menyiasat Dr Mahathir, di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan, Akta Hasutan 1948 dan undang-undang lain yang sesuai.

"Jika polis tidak mengambil apa-apa tindakan, ini akan menghantar mesej kepada rakyat bahawa penggunaan kebencian dan hasutan akan dibenarkan semasa kempen PRU ke-13," katanya.

Harakahdaily/-

Kes tetak: Pasangan adik-beradik antara diburu

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KEMAMAN - Sepasang adik beradik merupakan antara empat suspek utama yang sedang diburu setelah dipercayai terbabit dalam kes tetak berhubung pemasangan bendera parti di Kemaman pada Jumaat lalu.
   
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, ACP K.Manoharan berkata pihaknya telah mengenal pasti keempat-empat mereka yang berusia lingkungan 20-an hingga 30-an yang merupakan penduduk tempatan.
   
"Kita juga masih mengesan seorang lagi individu yang juga dipercayai penduduk tempatan," katanya kepada Bernama.
   
Menurutnya, pasangan adik beradik itu pernah ditahan dan didakwa Rabu lalu kerana mencetuskan pergaduhan dan pertengkaran dengan membuat
bising di markas parti politik.
   
Mahoharan meminta kesemua suspek menyerah diri bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian 11 malam itu, seorang pekerja parti yang berusia lingkungan 40-an cedera parah setelah ditetak dengan parang dan dipukul dengan kayu oleh lima individu ketika mangsa bersama rakannya sedang memasang bendera parti.
   
Mangsa dilapor dalam keadaan stabil di Hospital Tengku Ampuan Afzan Kuantan.
   
Kes disiasat di bawah seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan. - Bernama

Pelawak Jonathan Winters meninggal

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


PELAWAK, Jonathan Winters meninggal dunia  pada usia 87 tahun selepas lebih 50 tahun bergiat aktif dalam ‘stand-up comedy’.

Winters meninggal Khamis lalu di rumahnya di Montecito, California.

Menurut sahabatnya, Joe Petro III, Winters meninggal akibat sakit biasa.

“Dia pergi Khamis lalu akibat sakit biasa. Saat itu, dia dikelilingi ahli keluarga dan sahabat,” katanya.

Winter sempat menyerlah dalam filem komedi sekitar 1960-an iaitu ‘It's a Mad, Mad, Mad, Mad World’ dan ‘The Russians are Coming dan The Russians are Coming’.

Sinar/-

Perang poster di Kelantan

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



PERANG POSTER……Sebaik sahaja parlimen dibubarkan, semua petugas parti mengambil tanggungjawab memasang bendera di tempat masing-masing.

Dengan pelbagai kreativiti ianya ianya diterjemahkan pada orang ramai sama ada berupa bom, meriam, wau bulan dan sebagainya.

Bagaimanapun cara tradisional, deretan lambing bulan sebegini sentiasa menjadi tarikan orang ramai.

Gambar ini dirakamkan di Jalan Sabak, berhampiran Kampung Tebing Tinggi petang tadi. Ianya mula dipasang sejak seminggu lalu sedikit demi sedikit akhirnya ianya menjadi rimbun dan menarik.

Sementara itu, PAS Kampung Pek Machang lain pula kreativitinya apabila mengubah bendera PAS berbentuk 'K' sebagai simbolik untuk mengekalkan kerajaan PAS Kelantan.

'K' menarik perhatian ramai apa lagi ianya terletak dilaluan utama Machang-Kuala Krai.

Harakahdaily/-

Salahuddin sahkan bekas menteri besar sertai PAS

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub mengesahkan seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS dalam masa terdekat ini.


Beliau berkata, bekas menteri besar  itu sendiri menghubungi beliau dan menyatakan hasrat tersebut.



"Saya mengesahkan salah seorang bekas menteri besar akan menyertai PAS.



"Beliau sendiri menelefon saya pagi ini dan memberitahu hasrat itu dan akan menyatakan hasrat itu kepada Mursyidul Am PAS Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat," kata beliau kepada Harakahdaily hari ini.



Tambah Salahudin, bekas menteri besar itu akan mengisytiharkan perkara tersebut kepada umum dalam masa terdekat.



"Beliau sendiri akan mengumumkan kemasukan ke dalam PAS dalam masa terdekat ini," katanya.


Harakahdaily difahamkan, bekas MB berkenaan adalah dari negeri utara semenanjung.

Beliau berbuat demikian kerana kesal dengan perebutan, cantas mencantas dan perpecahan teruk yang sedang berlaku dalam Umno sekarang.

Harakahdaily/-

Pasangan tunang maut kemalangan di Beaufort

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


KOTA KINABALU - Pasangan tunang maut dalam satu kemalangan apabila motosikal yang mereka tunggangi dilanggar sebuah kereta di kilometer 9, Jalan Beaufort-Papar di sini, malam tadi.
   
Dalam kejadian pukul 7.15 petang itu, kedua-dua mangsa Mohd Faizuan Jaafar, 22, dan Norbaizurah Jasmin, 19, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
   
Ketua Polis Daerah Beaufort DSP Mustafa Maaroff berkata siasatan awal mendapati motosikal yang ditunggang Mohd Faizuan dari Beaufort dilanggar dari arah belakang oleh kenderaan jenis Prado yang dipandu Henry Chong Hyen Kong, 56.
   
"Kemudian motosikal itu tercampak dan melanggar belakang sebuah kereta jenis Myvi dan kedua-dua pemandu itu tidak mengalami kecederaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
   
Mayat dibawa ke Hospital Beaufort untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. - Bernama

Bicara Ini Demi Ilahi: 'Pesanan Nik Aziz buat semua'

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Bicara Cinta Nik Aziz

Bicara Cinta Nik Aziz
[KLIP VIDEO DISERTAKAN] SHAH ALAM - "Tidak malu saya katakan, saya sering tidur di ribanya setiap kali pulang selepas menjalankan tugas harian."

Demikian nukilan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam bukunya berjudul Bicara Ini Demi Ilahi yang akan dilancarkan pagi esok.

Beliau seterusnya menulis: "Isteri saya tidak merungut walaupun jam tika itu sudah menunjukkan pukul 3 pagi."

"Sebaik meletakkan kepala di ribanya, saya dapat rasakan segala keserabutan hilang begitu sahaja," kata Nik Aziz yang juga Mursyidul Am Pas.

Pena beliau juga menulis, "tidak terluah dengan kata-kata rasa syukur ini kerana dianugerahkan dengan isteri sepertinya sejak perkahwinan kami pada 20 November 1962."

Nik Aziz juga berkata, beliau bersyukur kerana dianugerahkan seorang isteri dan anak-anak yang sentiasa menyokong apa jua usaha beliau lakukan.

"Isteri yang sentiasa sabar dan memahami walaupun urusan saya terlalu padat," katanya yang mengetuai kerajaan negeri Kelantan sejak 1990.

Buku ini akan dilancarkan sempena program Bicara Cinta Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat di Auditorium Kompleks Media Karangkraf di sini jam 10.30 pagi esok.

Nik Aziz yang lahir pada tahun 1931 berkata, beliau bersyukur kerana ALLAH masih memanjangkan usianya.

"Doa aya, moga usia yang masih ada ini dapat digunakan sebaik-baiknya untuk memperjuangkan agama ALLAH dan sentiasa dalam ketaatan kepada-NYA.

"Inilah pesanan saya buat semua. Marilah kita gunakan usia yang masih berbaki ini untuk mentaati-NYA. Usia kita ini tidak lama.

"Sekejab sahaja. Setiap hari, kita semua sedang dalam perjalanan menuju untuk bertemu ILAHI," katanya.

Dalam bukunya, Nik Aziz juga menurunkan pesan kepada kaum bapa dan ibu.

"Justeru, suka saya berpesan kepada semua khususnya buat lelaki bernama suami. Bertanggungjawablah dalam memikul peranan sebagai seorang suami," katanya.

Kata Nik Aziz: "Anak-anak adalah tanggungjawab kita. Jika bukan kita yang membentuk, membimbing, mengajar dan mendidik mereka, siapa lagi?"

"Bagi isteri pula, bersabarlah dalam menghadapi kerenah suami. Siapa pun mereka, mereka tetap suami kita.

"Sekiranya suami marah-marah, isteri perlu bersabar dan berdiam diri agar sengketa tidak berpanjangan.

"Kebahagian adalah segala-galanya. Kebahagian adalah harta yang tidak boleh dijual beli," katanya lagi.

Buku Bicara Ini Demi Ilahi diterbitkan oleh Grup Buku Kumpulan Media Karangkraf.

Pengurus Besarnya, Sri Diah Shaharuddin berkata, buku ini adalah hasil koleksi ucapan dan ceramah yang disampaikan oleh Nik Nik Aziz.

"Karya ini merupakan himpunan kata-kata motivasi, kata-kata perjuangan yang dilafazkan oleh Tuan Guru, ia akan memberi gambaran jelas mengenai hubungan manusia dengan si pencipta-Nya," katanya.

"... antara pengisian karya ini adalah tentang akhlak orang Islam mengikut lunas-lunas Islam, perjuangan Islam yang sebenar, peranan seorang khalifah yang merujuk kepada kaum lelaki iaitu bagaimana seorang lelaki itu mendidik anak dan isteri ke arah kebaikan sepertimana yang dianjurkan oleh Islam, tentang ukhuwah iaitu hubungan antara masyarakat dan jiran tetangga," katanya lagi.

Menurut Sri Diah, sasaran awal pelancaran buku ini adalah ketika Pameran Buku Antarabangsa Kuala Lumpur tetapi ia berjaya dikeluarkan lebih awal.

"Pada hari pelancaran buku ini nanti, akan ada perkongsian ilmu bersama Tuan Guru, kepada sesiapa yang kelapangan dijemput hadir," katanya.

Di peringkat awal sebanyak 5,000 naskhah akan diedarkan susulan tempahan diterima. Ia akan dijual RM19.90 senaskhah.

"... saranan saya  buku ini patut dimiliki oleh semua orang terutama mereka yang ingin mencari jalan menjadi mukmin sejati sepertimana mengikut lunas-lunas Islam," kata beliau lagi.

Katanya, "buku ini sesuai untuk semua golongan lelaki, mahupun perempuan sebagai isteri, pelajar dan masyarakat."

"...kita ketepikan ideologi politik, kita ketepikan perbezaan fahaman, buku ini lebih kepada nasihat seorang ayah kepada anaknya,ingat ianya bukan buku politik tetapi ianya kompilasi ceramah dan kata-kata nasihat Tuan Guru," kata beliau.

Program Bicara Cinta Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat akan berlangsung mulai jam 10.30 pagi hingga 12.30 tengah hari esok.

Bagi mereka yang berminat untuk mengikuti program ini, yang dianjurkan bersama oleh Sinar Harian dan Sinar Harian Online, boleh menghubungi Laila (019-3310211), Ida Aziz (019-6222874), Rini (019-3371066 atau 019-2808492 (Fazli).

Sinar/-