14 April 2013

Penyokong ghairah bina replika

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Penyokong ghairah bina replika

Penduduk Kampung Padang Raja bergambar kenangan dengan replika wau bulan yang dipasang mereka.
Penyokong ghairah bina replika

Cara kreatif penyokong Barisan Nasional (BN) melalui replika jet.
KUALA KEDAH - Keghairahan berkempen sempena pilihan raya kebiasaannya diserikan dengan aktiviti menampal poster, bagaimanapun kini penyokong semakin kreatif dengan membina replika pelbagai bentuk bagi menyatakan sokongan mereka terhadap parti pilihan masing-masing.

Tinjauan mendapati, pelbagai bentuk replika dibina, termasuklah wau bulan, kereta kebal, dacing mahupun kereta api bagi merancakkan kemeriahan perang bendera antara dua parti terbesar iaitu Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Rakyat (PR) dalam Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU 13) yang akan berlangsung nanti.

Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Padang Raja, Azizan Rawan berkata, cadangan membina replika wau bulan itu sebenarnya disuarakan seorang penduduk yang inginkan sebuah replika besar dapat dibina di kawasan mereka.

Menurutnya, mereka sepakat memilih replika wau bulan berbanding bentuk lain kerana merasakan ia mempunyai makna langsung dan sampai ke hati sesiapa sahaja yang melihatnya setiap kali melalui kawasan berkenaan.

“Dipercayai apabila kita lihat bentuknya (wau bulan) sahaja, maka kita sudah faham maksudnya, bahawa simbol bulan sinonim dengan parti apa.

“Tapi, cuba fikir kalau kita bina bentuk lain, matlamat kita mungkin tidak sampai kepada golongan sasaran. Begitu juga jika parti lain membina wau bulan, pasti ia kelihatan pelik,” katanya.

Malah, katanya, cadangan itu dipersetujui semua pihak, hingga ramai menawarkan diri secara sukarela untuk mengumpul dana, mereka bentuk, mencari bahan, memasang bendera dan menempatkannya di kawasan terlibat.

Sementara itu, Ahmad Fauzi Ramli, 40, berkata, kerja membina wau bulan itu hanya memakan masa dua hari atas kerjasama semua pihak yang sanggup meluangkan masa mereka bagi menyiapkannya.

Katanya, mereka saling tolong-menolong ketika memasang replika berkenaan yang dijalankan pada waktu malam kerana waktu sedemikian lebih sesuai, tidak panas, tenang serta tiada gangguan.

“Tiada siapa akan marah dengan kerja yang kami lakukan. Lagipun ia dipasang di kawasan yang tidak mengganggu orang ramai seperti tepi sawah,” katanya.

Menurutnya, mereka bertindak dengan berhati-hati ketika melakukan kerja memasang bendera dan membina replika berkenaan supaya tidak berhadapan dengan sebarang risiko yang bakal mengancam nyawa.

Sinar/-

Tiada ulasan: