14 April 2013

Mayat berulat dalam bilik tidur

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Mayat berulat dalam bilik tidur

Anggota polis membalut mayat mangsa yang ditemui kembung dan berulat di lantai bilik tidur rumahnya di Kampung Serigala.
SUNGAI SELISEK - Kegelisahan seorang cucu apabila panggilannya tidak bersahut terjawab apabila menemui mayat neneknya yang sudah kembung dan berulat di lantai bilik tidur.

Muhd Al-Amin Md Razak, 20, berkata, dia datang ke rumah neneknya, Hamsiah Sulong, 72, di Kampung Serigala, di sini, kerana cuti hujung minggu, tambahan pula sudah lebih dua minggu tidak melawat mangsa.

Dia yang mengikuti latihan amali di Kilang Perodua, Sungai Choh, tiba bersendirian di rumah itu kira-kira jam 8 malam kelmarin.

“Saya beri salam dan ketuk pintu beberapa kali sambil panggil opah tapi tidak berjawab. Cuba juga buka pintu tapi tidak boleh sebab berkunci dan saya dapat lihat melalui tingkap dapur, kuih yang masih tidak berusik dalam bungkusan plastik.

“Ketika itu saya sudah rasa tidak sedap hati kerana telefon bimbit opah pun tidak dapat dihubungi," katanya.

Bimbang terjadi sesuatu, Muhd Al-Amin keluar meminta pertolongan rakan dan orang kampung kerana percaya neneknya masih berada di dalam rumah itu.

“Saya rasa tidak sedap hati dan terus memanggil opah walaupun rakan dan orang kampung meminta saya bertenang kerana kemungkinan opah keluar ke rumah anak-anaknya di Kuala Lumpur.

“Setelah usaha membuka pintu gagal, saya terus ke tingkap bilik tidur opah dan alangkah terkejut apabila melihat sekujur tubuh kembung dan berulat. Saya tidak dapat bayangkan perasaan ketika itu, jadi saya tanya rakan-rakan betulkah apa yang saya lihat itu opah,” katanya.

Penemuan mayat itu kemudian dimaklumkan kepada Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Pirus Ahmad sebelum laporan polis dibuat.

Muhd Al-Amin berkata, neneknya tinggal bersendirian kerana kesemua empat anaknya menetap di Kuala Lumpur, Melaka dan Johor.

Sementara itu, seorang jiran mangsa berkata, kali terakhir arwah dilihat keluar rumah kira-kira 10 hari lalu.

Menurutnya, arwah seorang yang pembersih dan rajin mengemas, namun kedudukan mayatnya mengiring ke kiri dengan keadaan bilik tidur berselerak serta kehilangan beg duit dan kad pengenalan menimbulkan tanda tanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Superintendan Norel Azmi Yahya Affandi mengesahkan penemuan mayat itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Sinar/-

Tiada ulasan: