14 April 2013

Khianat: Kipas dibengkok, bendera dicabut di pos Chempaka

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -



KUALA LUMPUR: Kempen politik fitnah, lucah, samseng dan khianat nampaknya semakin menjadi-jadi menjelang tidak sampai 25 hari lagi rakyat negara ini akan membuat pilihan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Terbaru, salah satu pos pilihan raya PAS Dun Cempaka berhampiran Pangsapuri 610 Pandan Indah di sini, dirosakkan dipercayai perbuatan khianat oleh pihak yang tidak bertanggungjawab beberapa hari lalu.

Pos yang didirikan sejak lebih seminggu lalu itu dirosakkan dengan ketiga-tiga bilah kipas di dalam pos itu dibengkokkan, 15 helai bendera parti dicuri dan kain rentang dibuang.

Pengarah Jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Meor Rithuan Mohamed Said berkata pihaknya kesal dengan tindakan tidak profesional pihak tidak bertanggungjawab tersebut.

“Saya menyeru pihak lawan dan pihak tidak bertanggungjawab agar menghadapi pilihan raya secara ‘fair play’. 

"Kalau cuba untuk menakutkan, kita tidak takut. Dia berhak (bina pos), kita juga berhak. Kita kena hormat,” ujarnya lagi.

Setiausaha Jentera Pilihan Raya Dun Cempaka, Hafiz Razak, pula berkata, kejadian tersebut merupakan yang pertama berlaku di kawasan Cempaka dan satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Ampang.

“Ini merupakan satu pengkhianatan dan kerosakan yang dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab.

“Secara keseluruhan, kita ada 11 pos sementara 17 bilik gerakan sudah mula beroperasi,” katanya dipetik Selangorku.

Sebelum ini, Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd membayangkan Selangor akan menjadi negeri paling panas pada PRU13 kali ini.

Ia kerana antara lain menjadi medan persaingan antara Pakatan Rakyat untuk mengekalkan penguasanan manakala BN bermati-matian akan cuba merampas kembali negeri ini.

Harakahdaily/-

Tiada ulasan: