14 April 2013

Bekas Timbalan SUK Kedah calon PR kerusi Langkawi

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


LANGKAWI - Bekas Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah Datuk Ahmad Abdullah, 64, hari ini diumumkan sebagai calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) bagi kerusi Parlimen Langkawi pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13).

Ketika mengumumkan perkara itu pada sidang media di sini, Presiden PR Datin Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail turut menamakan penyandang kerusi Parlimen Kuala Kedah Datuk Ahmad Kassim, 50, sebagai calon kerusi Dun Kuah.
   
Pakatan pembangkang memperuntukkan satu lagi kerusi Dun dalam Parlimen Langkawi iaitu Ayer Hangat, kepada Pas yang dijangka mempertaruhkan Yang Dipertua Pas Langkawi Zubir Ahmad, 50.
   
Barisan Nasional (BN) memenangi kerusi Parlimen Langkawi dan dua kerusi Dun pada PRU 2008.
   
Pada PRU 2008, PR bertanding bagi tujuh kerusi dan menang lima kerusi. Mereka kalah di kawasan Parlimen Alor Setar dan Langkawi.

PR sebelum ini mengumumkan nama calon bagi enam kerusi Parlimen yang mereka tandingi pada PRU 2008.
   
Setiausaha Agungnya Datuk Saifuddin Nasution Ismail, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Machang, Kelantan, akan bertanding di kawasan Parlimen Kulim/Bandar Baharu manakala Naib Presiden parti N. Surendran pula akan bertanding bagi kerusi Parlimen Padang Serai.
   
Calon lain ialah Ketua Wanita Cabang Sungai Petani Nor Azrina Surip @ Nurin Aina Abdullah (Parlimen Merbok) dan Ketua PR Cabang Kuala Kedah Dr Azman Ismail (Kuala Kedah), manakala Datuk Johari Abdul kekal bagi mempertahankan kerusi Parlimen Sungai Petani.
   
Ketua Biro Perundangan PR Kedah Gooi Hsiao Leung pula sekali lagi akan bertanding bagi kerusi Parlimen Alor Setar setelah kalah pada 2008. - Bernama

Tiada ulasan: