14 April 2013

Anak bilal kena pukul

3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -


Anak bilal kena pukul

Yusoh menunjukkan mata kirinya yang lebam akibat dipukul suami bekas isterinya.
MARANG – Anak seorang bilal sebuah masjid bukan sahaja ditampar dan dipukul tetapi turut diheret atas jalan oleh seorang lelaki, yang juga suami kepada bekas isteri mangsa dalam dua kejadian berlaku berasingan di sini, kelmarin.

Kejadian pertama berlaku kira-kira jam 3.30 petang apabila mangsa, Yusoh Hasan, 40, ditampar lelaki berusia sekitar 30-an itu sewaktu dia  menghantar anak sulungnya ke rumah bekas isterinya di Kampung Seberang Marang.

Menurut Yusoh, anak sulungnya itu ingin berjumpa dengan ibunya sebelum pulang untuk meneruskan pengajiannya di sebuah pusat pengajian agama di Kuala Lumpur dan bertolak ke bandaraya itu semalam.

“Saya ketika itu di tepi pagar rumah mereka sebelum suami bekas isteri datang menghampiri dan secara tiba-tiba cuba menampar muka saya, namun sempat juga menepis,” katanya di sini, semalam.

Mangsa yang bimbang jika dikatakan menceroboh, kemudiannya beredar dari rumah terbabit namun sejam kemudian terserempak semula dengan lelaki terbabit di sebuah kedai makan lalu menghampirinya untuk bertanyakan mengenai perkara itu.

“Saya hendak tahu kenapa saya ditampar tetapi dia terus tumbuk muka hingga saya terjatuh dan memijak sambil memukul. Saya hanya mampu menahan kesakitan,” katanya.

Yusoh mendakwa, semasa dalam keadaan lemah itu juga, suami bekas isterinya itu turut menarik dan menyeretnya di atas jalan raya sebelum pergaduhan itu dileraikan seorang warga emas.

Difahamkan lelaki terbabit bertindak demikian disebabkan tidak berpuas hati terhadap mangsa yang didakwanya sering membawa cerita buruk mengenai dirinya.

Berikutan kejadian itu, mangsa lebam mata kiri, luka di pipi, siku dan lengan serta belakang badan.

Mangsa membuat laporan polis kira-kira jam 9.45 malam pada hari sama di Balai Polis Marang dan Ketua Polis Daerah Marang, Deputi Superintendan Ahmad Mazlan Yahaya mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Sinar/-

Tiada ulasan: