3 Jamadil Akhir 1434 H. [MOD] -
(Para pemimpin muda Umno...siapa yang akan mendapat tempat kali ini)
TERPAMPANG di dada-dada akhbar-akhbar tradisional edisi 11hb April berita mengenai kesiapsagaan Barisan Nasional berdepan dengan rakyat untuk mendapat mandat memerintah negara untuk satu penggal lagi pada 5 Mei ini.
Melihat pada gambar-gambar yang disiar, rata-rata pemimpin BN sedang senyum dan ketawa seolah-olah tiada pergolakan dalaman.
Yang hadir, kira-kira 2,000 pemimpin di peringkat bahagian parti-parti komponen BN seluruh negara pada di PWTC 10hb April lalu juga amat bersemangat, bertepuk, berteriak tanda setuju, seolah-olah semuanya elok berlaka.
Walhal, ramai yang menerima jemputan untuk perjumpaan dengan pengerusi BN Datuk Seri Mohd Najib Razak bukannya datang semata-mata untuk mendengar pesanan-pesanan akhir pra-PRU13.
Sudah berkali-kali mereka mendegar nasihat yang sama - di Perhimpunan Agong Umno, semasa pertemuan tertutup dengan Najib dan timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin serta dalam perhimpunan-perhimpunan politik yang dianjur BN dan Umno sepanjang lebih dua tahun.
Mereka lebih berminat mahu tahu siapa yang tersenarai bertanding atas tiket BN nanti.
Lebih-lebih lagi akhbar-akhbar telah membuat spekulasi yang Najib bakal mengumumkan senarai calon BN dimajlis itu.
Dalam hati para pemimpin BN sekarang ini, terutama Najib sebenarnya, penuh keresahan. Najib amat risau, takut ahli-ahli parti peringkat akar umbi akan memberontak apabila nama-nama calon BN bakal diumumkan, paling awal esok (Isnin).
Najib selaku pengerusi BN dijadualkan menyerah surat watikah calon pilihanraya BN di Ibupejabat BN di Menara Datuk Onn, PWTC esok (Isnin) dan terserah kepada pengerusi pilihanraya BN negara sama ada menyerah surat watikah tersebut kepada calon-calon di negeri masing-masing pada hari yang sama ataupun berikutnya (Selasa).
BN di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Kedah, Wilayah Persekutuan, telah sah akan menyerah surat watikah itu pada hari Selasa dan selepas inilah "revolusi" dalaman akan bermula.
Najib dikatakan pening kepala dengan tangan-tangan luar yang terus menerus mencuba ketengahkan nama-nama tertentu sebagai calon.
Ramai yang mengunakan pemimpin veteran parti yang disegani Najib untuk melobi bagi pihak mereka, tidak kurang yang guna penyokong dari bahagian masing-masing mendesak supaya mereka bertanding sepenggal lagi walaupun sudah menjadi wakil rakyak lebih dari tiga penggal setelah terdengar khabar angin mereka telah digugurkan dari senarai calon.
Kes paling klasik ialah apabila seorang menteri penggal lalu telah menguna khidmat isteri sendiri untuk melobi supaya beliau dikekalkan.
Dalam pertemuan 10hb April itu, Najib membuat seruan terakhir kepada pemimpin akar umbi BN supaya menerima senarai calon yang bakal diumumkan kelak.
Beliau tidak mahu melihat sejarah 2008 berulang apabila pemimpin-peminpin bahagian atau "warlords" memberontak dengan mensabotaj parti kerana tidak terpileh untuk bertanding.
Pada pilihanraya umum lalu, ada yang bertindak menutup bilik gerakan, tidak keluar mengundi serta mempengaruhi penyokong mereka juga supaya tidak mengundi serta membayar pengundi supaya tidak memangkah calon-calon tertentu seperti yang dilaporkan kepada Lembaga Disiplin Umno oleh ahli-ahli Umno dari beberapa negeri termasuk Pulau Pinang dan Kelantan.
Tindakan seumpama inilah yang telah mengkecilkan peluang menang calon-calon BN di kerusi-kerusi yang mereka bertandingi.
Najib memang cukup takut berdepan dengan masaalah yang sama kerana terang-terang ahli dan pemimpin akar umbi parti-parti komponen BN, lebih-lebih lagi di kalangan Umno hanya asyik bercakap mengenai siapa akan menjadi calon BN di 222 kerusi parlimen dan 505 kerusi DUN yang akan ditandingi BN nanti.
Ada ketua bahagian Umno dikatakan tidak membenarkan ketua Pusat Daerah Mengundi (PDM) membuka bilik gerakan sehingga senarai calon diketahui.
Ini seolah-olah pemimpin bahagian itu tidak akan bekerjasama sekiranya dia ataupun calon yang disukainya tidak bertanding.
Memang mudah bagi Najib meminta pemimpin akar umbi yang berminat bertanding supaya jangan merajuk terlalu lama, 24 jam katanya sudah cukup dan mereka perlu kembali membantu jentera parti memenangkan calon BN.
Hakikatnya Najib sendiri amat arif dan ketika dapat menduga apa yang bakal berlaku nanti kerana "warlords" Umno memang dikenali lebih mementing diri dan perpegang kepada peribahasa "biar putih tulang, jangan putih mata".
Harakahdaily/-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan