21 Disember 2010

PR PERAK PROTES KENAIKAN HARGA SUSU

15 Muharram 1432H.
Hafizi Pauzi

PARIT BUNTAR, 21 Dis :- Bercakap tentang tekanan berterusan dengan kenaikan harga barang terhadap rakyat, nampaknya hingga sekarang masih belum bertemu noktah bila baru-baru ini, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memberi respon kepada media bahawa kerajaan tidak mempunyai kuasa untuk menyekat kenaikan harga susu di negara ini rentetan harganya meningkat di pasaran dunia.

Demikianlah menurut apa yang dinyatakan oleh Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, bahawa harga penjualan susu termasuk produk tenusu tempatan dijangka meningkat tidak lama lagi (sekarang telah dinaikkan) disebabkan kenaikan harga bahan mentah di pasaran dunia.

“Nampaknya masih ramai rakyat yang tidak sedar dan tahu bahawa mereka (rakyat) diasak oleh kerajaan BN dari segi harga barang dan keperluan asas yang lain berikutan kenaikan bertubi-tubi dalam masa terdekat ini,” kata Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim ketika ditemui di sini.

Menurutnya lagi, harga minyak yang menerima kenaikan sebanyak 4 kali dalam tahun 2010sahaja sudah cukup membebankan rakyat, dan kini asakan tersebut sekali lagi diteruskan dengan peningkatan harga susu pula.

Rakyat Malaysia telah diberi “pendidikan” sebaiknya oleh BN supaya menghukum BN dalam PRU akan datang, katanya yang juga Ketua Sekretariat Pakatan Rakyat Perak.

Tambahnya, helah BN terhadap rakyat berikutan kenaikan harga susu dengan menyatakan bahawa mereka tiada kuasa untuk menghalang kenaikan harga bahan mentah tersebut, semua ini merupakan alasan untuk menutup isu sebenar, iaitu BN hilang kredibiliti memerintah negara.

Dalam pada itu, beliau yang juga ADUN Titi Serong menyebut bahawa Negara pernah menyaksikan susu mentah keluaran tempatan pernah terpaksa dibuang dalam kuantiti yang begitu besar berikutan stok bahan mentah yang terlebih satu ketika dahulu.

Jika stok tersebut dikendali dengan baik oleh kerajaan, saya percaya, Negara dengan mudah dapat mengatasi kenaikan produk tenusu ini, dan sekarang terbukti BN memang sudah hilang upaya memerintah Negara.

Rakyat sepatutnya melihat isu ini dari perspektif kemampuan jangka masa pendek dan jangka masa panjang BN yang sudah tidak kemampuan mentadbir Negara ke arah memacu ekonomi serta kemampuan aspek pengurusan sumber negara.

“Pakatan Rakyat telah bersedia ke arah itu dengan gelombang Malaysia baru yang lebih menjamin kebajikan rakyat secara holistik, sudah sampai masa kerajaan BN di hukum, dan saya menyeru rakyat memberi undi dan kepercayaan kepada Pakatan Rakyat (PKR,DAP, PAS) pada PRU 13 nanti, sesuai dengan slogan kami "ubah sekarang, selamatkan Malaysia"” tegasnya.

Gubahan Bunga dari Ubi Kentang

15 Muharam 1432H
Oleh : aizi aizi

Cara membuat gubahan bunga dari ubi kentang


Hiris ubi kentang


Hiris nipis hingga boleh nampak bayangan jari anda


Gulung kepingan ubi kentang tersebut










Ubi kentang tadi hendaklah digoring dalam minyak


Hasilnya


Dan gubahan ubi kentang, selamat mencuba......

Operasi bersepadu perangi rokok murah

15 Muharam 1432H
Oleh : irwandi ibrahim

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan akan mengharamkan rokok jenama murah yang kini berleluasa di pasaran tempatan serta menarik balik dan membatalkan lesen peniaga yang didapati menjual rokok berkenaan.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam), Datuk Dr Hasan Abdul Rahman, berkata kementerian memandang serius terhadap penjualan rokok berkenaan yang tidak membayar cukai kerajaan dan diragui kandungannya.

“Ada lima tindakan yang boleh diambil iaitu mengharamkan jenama rokok berkenaan; bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menarik balik serta membatalkan lesen peniaga yang didapati menjual rokok haram.

“Mengambil tindakan penguatkuasaan terhadap orang awam yang didapati membeli, memiliki atau menggunakan rokok haram; mengadakan tanda sekuriti tambahan pada paket rokok.

“Serta bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan dan lain-lain agensi penguatkuasa melancarkan operasi bersepadu bagi memerangi rokok haram,” katanya kepada Berita Harian di sini, semalam.

Semalam, Berita Harian melaporkan lambakan rokok haram keluaran syarikat tempatan yang dijual dengan harga RM3.50 iaitu 50 peratus lebih murah daripada harga minimum RM7 yang ditetapkan kerajaan.

Rokok haram yang menggunakan pelbagai jenama dan dijual secara berleluasa di pasaran tempatan dipercayai mengelak hasil cukai tembakau yang ditetapkan kerajaan sebanyak RM5.20 sen bagi setiap bungkus.

Rokok berkenaan amat berbahaya kerana dipercayai mengandungi nikotin dan tembakau yang tidak memenuhi piawaian Lembaga Tembakau Negara.

“Kementerian tidak menolak kemungkinan rokok haram mengandungi bahan kimia sangat membahayakan kesihatan serta boleh menyebabkan pelbagai jenis penyakit termasuk barah,” katanya.

Sementara itu, sumber kementerian berkata, tindakan boleh diambil di bawah Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 (Pindaan 2009) yang boleh didenda RM10,000 atau penjara dua tahun atau kedua-dua.

“Kita akan mengambil sampel di pasaran untuk dihantar ke makmal bagi mengkaji kandungan tar dan nikotin dan jika didapati melebihi kandungan dibenarkan pengilang, pengedar dan penjual boleh dikenakan tindakan,” katanya.

Beliau turut meminta peniaga supaya berhati-hati sekiranya diminta menjual rokok di bawah harga minimum yang ditetapkan kerajaan.

“Rokok berkenaan mengandungi tembakau tidak berkualiti dan dicampur bahan lain iaitu bahan tercemar dan kertas. Kami ada menerima aduan mengenai perkara ini sejak sebulan lalu dan kes ini (penjualan rokok haram) semakin menjadi-jadi sejak cukai rokok naik,” katanya.(BH)

Bekas pegawai Sime Darby didakwa terima suapan RM200,00

15 Muharam 1432H

Seorang pegawai kanan Sime Darby Holding Berhad didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini atas tuduhan menerima suapan wang tunai sebanyak RM200,000 berkaitan cadangan mendapatkan kontrak bernilai AS$134.2 juta.

Bekas Pengurus Kanan Kebolehan Marin Sime Darby Engineering Sdn Bhd Mazhazmi Jamaludin didakwa menerima upah kerana kononnya mencadangkan MLC Shipbuilding Sdn Bhd dan mengesahkan bayaran tertentu bagi beberapa projek.

Beliau mengaku tidak bersalah dan minta dibicarakan.

Mazhazmi didakwa bawah Seksyen 11(a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum bawah Sekysen 16 akta yang sama.

Hakim Rozilah Salleh menetapkan jumlah jaminan sebanyak RM20,000.

Sementara itu, peguam kepada Mazhazmi, Shamsul Sulaiman memberitahu mahkamah, anak guamnya dibogelkan, ditutup mata dan diminta berdiri dengan sebelah kaki oleh pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semasa sesi soal siasat.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Shamsul juga berkata pihaknya akan membuat laporan polis berhubung dakwaan salah laku terhadap Mazhazmi selepas ini.

Malaysiakini/-

Soft copy al Quran Braille dicipta

15 Muharam 1432H
Oleh : Lan H

BACHOK, 21 Dis: Insan yang sempurna anggota badan tentunya tidak sukar untuk memperlajari cara-cara membaca al Quran, namun lain pula bagi mereka yang cacat penglihatan.

Membaca al Quran yang menggunakan bahasa Arab sukar bagi mereka yang tidak dapat melihat. Bagi golongan itu al Quran dipelajari dengan cara menghafal.

Namun sekarang kesukaran mereka berjaya diatasi apabila Persatuan Orang-orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) berjaya mencipta ‘soft copy’ al Quran Braille.

Al Quran tersebut mendapat kelulusan Kementerian Dalam Negeri melalui surat bertarikh 13 Oktober lalu.

Pengerusi Pertis Wilayah Kelantan, Mohammad Faizal Che Yusof berkata, pembikinan al Quran Braille sudah lama diusahakan di negara ini oleh pelbagai pihak.

”Manakala al Quran Braille cetakan berkomputer pula telah diusahakan seawal tahun 1990-an.

”Pada 1997 pihak kami telah memperolehi kebenaran dari Darul Quran Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk mencetak AlQuran secara berkomputer dengan pembetulan-pembetulan tertentu.

”Dan sehingga tahun 2010 beberapa pembetulan telah dibuat terhadap naskah asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Oleh itu kata beliau pihaknya tidak bertanggungjawab terhadap penerbitan al Quran Braille cetakan berkomputer oleh mana-mana pihak yang berkemungkinan salinan soft copy telah diperolehi dari simpanan Pertis.

Menurutnya juga mereka yang berminat mendapat soft copy al Quran Braille boleh menghubungi Pertis bagi maklumat lanjut di alamat Persatuan Orang-Orang Cacat Penglihatan Islam Malaysia (Pertis) Wilayah Kelantan, Kedai Beris Kubur Besar,16050 Bachok, Kelantan.

Atau menghubungi talian 09 764 9203 dan Ibu Pejabat Pertis di Kuala Lumpur (03 4021 2631).

Harakahdaily/-

ANCAK TIANG SERI: ZAMBRY JAHIL & KELIRUKAN RAKYAT

15 Muharam 1432H
Oleh : safarizal saleh

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kesal melihat kenyataan-kenyataan Datuk Seri Dr Haji Zambry Abdul Kadir yang baru selesai menunaikan Ibadah Haji tetapi masih memutarbelitkan dakwaan berkaitan perbuatan beliau menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu dengan mengatakan beliau dengan tanpa niat hanya memegang tiang seri tersebut dan bukannya melakukan ancak sepertimana yang didefinisikan oleh wikipedia.

DPPN Pk sekali lagi ingin menegaskan bahawa terdapat bukti jelas bahawa upacara tersebut mirip kepada perbuatan meletakkan ancak yang dilarang Islam. Namun jika Datuk Seri Zambry masih berdegil mengatakan ianya bukan ancak, beliau selaku Exco yang memegang urusan hal ehwal agama Islam patut peka bahawa kepercayaan dan budaya memberi keistimewaan kepada tiang seri itu sebenarnya datang dari anutan Hindu yang berasal dari India yang dijelaskan oleh wikipedia sebagai kepercayaan ghaib Melayu lama dalam menentukan bentuk binaan demi mendapatkan kesenangan hidup (sila rujuk http://en.wikipedia.org/wiki/Tiang_Seri).

Ilmu dan kepercayaan terhadap tiang seri ini jelas khurafat dan boleh memesongkan aqidah ummat Islam sehinggakan buku Melayu lama yang terkenal berkenaan tiang seri berjudul ‘Tajul Muluk’ telah diharamkan oleh JAKIM sejak tahun 2007 (sila rujuk http://www.islam.gov.my/ppi/BhnHaram/bm/T.pdf).

Bagi DPPN Pk, Datuk Seri Zambry sengaja mengelirukan rakyat terutama ummat Islam tentang perbuatannya yang telah mengundang banyak masalah kepada ummat Islam sebenarnya. Dalam erti kata lain, perbuatannya yang sebenarnya salah disisi Islam, kini telah ‘dihalakan’ oleh Tan Sri Dr Haji Harussani Zakaria Mufti Kerajaan Negeri Perak demi kepentingan politiknya semata-mata.

Datuk Seri Zambry yang sehingga kini masih mempertahankan tindakannya telah bertindak lebih jauh dengan mendapatkan pengiktirafan bahawa majlis yang berlaku itu dibenarkan oleh Islam.

DPPN Pk kesal sikap keras kepala dan kejahilan Datuk Seri Zambry bagi meredakan keliruan ummat Islam di dalam perkara ini dan terpaksa menggunakan tokoh Agama yang dihormati seperti Tan Sri Harussani bagi menghalalkan perbuatannya itu. Sudah tentu penduduk Kampung Guar,

Manong masih meneruskan lagi amalan khurafat tersebut yang tiada tindakan mana-mana pihak yang bertanggungjawab untuk menegur perbuatan tersebut sehingga kini. Hadirnya Datuk Seri Zambry juga memberikan lesen bahawa Islam tidak melarang perbuatan khurafat yang berunsur syirik tersebut.

DPPN Pk memohon rakyat terutama ummat Islam bertenang dan jangan meneruskan perbuatan tersebut yang jelas bertentangan dengan ajaran Islam yang sebenar. Tiada istilah ‘tanpa niat’ di dalam keadaan bahawa seseorang ummat Islam itu sedar apa yang sedang dilakukan. Oleh yang demikian,

DPPN Pk menyeru umat Islam agar tidak meneruskan amalan khurafat tersebut dan berharap Allah Taala tidak menghukum mana-mana ummatNya yang tidak mengetahuinya. DPPN Pk akan terus memberikan penerangan kepada rakyat terutamanya ummat Islam bahawa perbuatan yang telah dilakukan oleh Datuk Seri Zambry di Kampung Guar, Manong boleh menjejaskan aqidah Islam yang sebenar.

KENYATAAN MEDIA ADUN TITI SERONG : Kemalangan Simpang Pulai-Cameron Highlands

15 Muharam 1432H
Oleh : Hafizi Pauzi.

PARIT BUNTAR, 21 Dis :- Berikutan Kemalangan ngeri di Kilometer 15, Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands di sini semalam yang membabitkan bas persiaran dua tingkat milik San Express Holiday pada pukul 11.40 pagi yang mengorbankan 24 warga Thailand dan tiga warga tempatan iaitu pemandu,

Omar Shahidan, 48, penolong pemandu, serta pemandu pelancong berketurunan Siam Malaysia, Soontorn a/l Kian, 38. Tragedi yang berlaku dalam jarak kira-kira 15 kilometer dari Simpang Pulai, sehubungan itu, kenyataan media dibuat seperti berikut :

1.Pakatan Rakyat Negeri perak mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga mangsa yang terlibat dalam tragedi yang mengejutkan dan menyedihkan ini.

2.Di sini suka saya mencadangkan supaya pihak kerajaan haruslah mengambil tindakan segera mengkaji secara terperinci terhadap lokasi tersebut dan sepanjang laluan dari Jalan Simpang Pulai-Cameron Highlands yang dikatakan sering berlaku kemalangan, hasil kajian diharap dihasilkan dalam tempoh yang tidak lama dan akan menjadi panduan kepada pelbagai agensi dan jabatan yang berkenaan bagi malakukan suatu tindakan bagi mengelakkan kemalangan seperti itu berulang.

3.Saya juga ingin mencadangkan supaya pihak kerajaan khususnya segera melalui agensiyang ditugaskan sedia ada bagi mengkaji dengan telus dan menyeluruh berkenaan tahap keselamatan kenderaan awam yang diberi lesen untuk beroperasi.

4.Walaupun nilai nyawa tidak dapat diganti dengan nilai wang, saya berharap pampasan yang setimpal diberikan kepada keluarga magsa secepat mungkin sesuai dengan peruntukan yang sedia ada.

5.Selain itu suka saya menasihati semua pemandu dan pengguna kenderaan awam dan persendirian di Malaysia supaya sentiasa mamatuhi segala peraturan jalan raya yang sedia ada dan sentiasa memastikan kenderaan masing-masing berada ditahap yang baik sebelum memulakan perjalanan. Langkah ini dilihat wajar bagi mengelakkan kemalangan akibat kecuaian pada kenderaan yang digunakan.

PEMUDA AMERIKA KUNJUNGAN PAS PERAK.

15 Muharam 1432H
misabah.blogspot.com

Baru-baru ini 10 orang pemuda yang mewakili berbagai parti politik dan Ngo dari Amerika telah mengunjungi Pimpinan PAS Perak di Ibu Pejabat PAS Negeri di Medan Istana, Ipoh. Kunjungan mereka disambut mesra oleh Pesuruhjaya PAS Negeri, YB Dato' Seri Hj Nizar dan beberapa pimpinan yang lain. Saya turut hadir menyambut kunjungan mereka. YB Sivakumar juga turut hadir dalam majlis tersebut. Begitu juga YB Zainuddin.

Menurut mereka, tujuan lawatan tersebut adalah untuk menimba pengetahuan dan mengetahui krisis politik yang berlaku di Perak. Rampasan kuasa di Perak turut mendapat liputan meluas di media antarabangsa termasuk Amerika. Mereka juga ingin tahu perjuangan PAS yang sebenar dan bagaimana PAS sebuah parti Islam boleh bergabung dengan parti-parti lain yang tidak Islam untuk memerintah beberapa buah negeri termasuk Perak.

Dialog 2 jam bersama mereka sangat berjaya, kesempatan ini digunakan untuk mereka memahami perjuangan PAS yang berlandaskan Islam. Atas prinsip Islam yang didokongi oleh PASlah yang membolehkan PAS bersama dengan parti lain sekalipun tidak Islam atas prinsip kebersamaan menentang kezaliman dan penyelewengan.

Mereka sendiri mengakui sekiranya mereka tidak berdialog dengan pemimpin dan ulama-ulama gerakan Islam, mereka tidak akan mengetahui Islam yang sebenar. Media yang ada tidak pernah memberi gambaran yang sebenar perjuangan parti yang berasaskan Islam, media hanya memberi gambaran buruk perjuangan yang berteraskan Islam yang sering dilabel ganas, pelampau dan sebagainya.

Anak-anak muda di Amerika adalah terbuka fikiran, mereka tidak menerima bulat-bulat berita yang sampai kepada mereka, satu-satunya cara untuk mendapat gambaran yang sebenar selain melalui internet adalah dengan mengambil kesempatan seumpama ini untuk berkunjung serta berdialog dengan PAS.

YB Sivakumar yang turut hadir dalam majlis tersebut, turut diambil kesempatan untuk mereka mengetahui insiden dalam sidang DUN ketika Speaker diangkat keluar dengan cara yang ganas setahun yang lalu, menurut mereka insiden seumpama ini tidak sepatutnya berlaku di negara yang mengamalkan demokrasi.

Kesemua pemuda dan pemudi Amerika ini sebahagiannya bakal dilantik sebagai Senator muda oleh Presiden Amerika. Justeru itu, sebelum mereka dilantik, terlebih dahulu mereka menimba pengetahuan dan pengalaman politik di luar negara agar mematangkan pemikiran dan keterbukaan minda.

Tenang perlu suara pembangkang

15 Muharam 1432H
Oleh : Aziz Muda

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Rakyat Johor, terutama mereka yang tinggal di kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) Tenang yang terletak dalam kawasan Parlimen Labis perlu berfikir lebih jauh tentang kedudukan mereka kini yang memerlukan suara pembangkang di Johor, bagi membela nasib mereka sendiri.

Suara-suara rakyat masih terlalu banyak yang perlu diketengahkan di dalam persidangan Dun Johor, tetapi ia tidak akan memadai jika suara pembangkang, khususnya dari PAS, hanya diwakili dua kerusi sahaja iaitu Sungai Abong dan Maharani.

Adun Sungai Abong, Dr Sheikh Ibrahim Salleh (gambar) menegaskan, sedangkan kedua-dua kerusi PAS itu mewakili kawasan bandar dan pinggir bandar.

Jadi, katanya Johor sememangnya memerlukan sekurang-kurangnya satu kerusi bagi mewakili kawasan Felda atau kampung bagi kepentingan rakyat negeri itu.

Menurut beliau, dengan dua kerusi yang diwakili PAS itu, rakyat Johor sudah nampak peranan yang mereka mainkan.

Tetapi, ujarnya jika Dun Tenang yang mewakili kawasan Felda atau kampung juga dimenangi PAS, rakyat juga dapat menilai dengan lebih jauh tentang kemampuan wakil-wakil rakyat PAS yang bukan sahaja boleh mewakili kawasan bandar dan pinggir bandar, tetapi juga bagi kawasan Felda atau kampung di negeri itu.

"Isu-isu yang melibatkan kepentingan rakyat di negeri Johor memang banyak. Setiap kali persidangan Dun berlangsung, saya pasti akan mengemukakan pelbagai soalan dan membahaskan pelbagai perkara bagi kepentingan rakyat. Antaranya ada yang dijawab tetapi tidak tepat. Lebih jauh dari itu, ada yang tidak dijawab langsung.

"Sekiranya Dun Tenang juga diwakili pembangkang khususnya PAS, persidangan pasti akan menjadi lebih bererti kepada rakyat kerana pasti akan lebih banyak lagi perkara-perkara yang akan dibangkitkan oleh pihak PAS bagi kepentingan rakyat. Inilah yang perlu difikirkan lebih jauh oleh rakyat Johor terutama penduduk di kawasan Tenang," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut beliau, antara beberapa isu yang dikemukakan dalam persidangan Dun Johor penggal lalu yang tidak dijawab oleh kerajaan BN, dengan tepat seperti yang dikehendakinya termasuklah isu-isu yang melibatkan proses permohonan tanah untuk rakyat yang begitu lambat dan perkhidmatan yang baik untuk rakyat.

"Antara isu yang tak dijawab langsung pula termasuklah soalan yang saya kemukakan dalam persidangan baru-baru ini yang menyentuh tentang kenapa belanjawan dari Kerajaan Pusat untuk negeri Johor bagi Rancangan Malaysia Ke-9 sehingga kini baru dibelanjakan sebanyak 60 peratus sedangkan di Perak yang diperintah oleh kerajaan BN kini dah dibelanjakan sehingga 93 peratus.

"Kejadian seperti itu tidak seharusnya berlaku. Peruntukan itu cukup bererti bagi rakyat Johor, tetapi jika ia tidak dibelanjakan dengan baik, ia tentunya merugikan rakyat," katanya.

Dengan dua suara sahaja di Dun Johor yang diwakili PAS, menurutnya, kerajaan BN Johor terpaksa berhati-hati dalam setiap tindakannya.

Tetapi, kata beliau sekiranya Tenang turut diwakili PAS, ia akan menjadi lebih bererti kepada rakyat kerana pelbagai soalan lain sama ada yang melibatkan rakyat Johor keseluruhannya dan untuk penduduk di kawasan yang diwakili wakil rakyat terbabit akan dapat diketengahkan dengan lebih banyak lagi dan dengan lebih berkesan dalam persidangan Dun.

Kawasan Dun Tenang mempunyai 50 peratus kaum Melayu dan 50 peratus bukan Melayu.

Kebanyakan orang Melayu di kawasan itu adalah para peneroka yang tinggal di empat kawasan Felda. Kaum-kaum lain seperti Cina sekitar 38 peratus yang kebanyakannya tinggal di Pekan Labis, manakala India pula 12 peratus.

Kepada orang Melayu khususnya para peneroka di kawasan itu, beliau mengingatkan agar berfikir lebih jauh kerana amat banyak perkara yang menyentuh diri mereka sendiri yang perlu dibela oleh mereka dan mereka hanya akan terbela jika mereka memilih calon PAS untuk mewakili mereka di Dun Johor.

"Antara perkara yang perlu dihalusi oleh mereka termasuklah yang melibatkan kedudukan mereka sendiri yang memiliki 10 ekar tanah untuk diterokai bagi penanaman kelapa sawit tetapi mereka tidak juga senang. Sedangkan jika tanah sebanyak itu dimiliki oleh pihak lain seperti Sime Darby, keuntungan yang diperolehinya sekitar 10 kali ganda.

"Kenapa kejadian itu berlaku? Jawabnya kerana keuntungan itu Felda yang ambil. Sepatutnya peneroka yang dapat. Itulah nasib para peneroka Felda. Jika mereka tidak memilih pembangkang khususnya PAS bagi mewakili mereka khususnya di Dun Tenang, siapa yang hendak membela nasib mereka? Inilah yang perlu difikirkan oleh mereka, khususnya orang-orang Melayu di kawasan itu.

"Bagi kaum lain terutama Cina di kawasan itu, mereka faham dan sedar sebab itulah kebanyakan mereka tidak teragak-agak memberikan undi kepada Pakatan Rakyat dalam pilihanraya. Tetapi bagi orang Melayu, mereka bagaikan tak nampak kepentingan mereka memilih Pakatan Rakyat. Itulah sebabnya orang-orang Melayu khususnya yang tinggal di kawasan Felda terus tertindas oleh pihak pemerintah khusnya kerajaan BN," tegasnya.

Harakahdaily/-

Pluralisme: Nasionalisme juga terpesong dari Islam

15 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) menyokong kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom yang menyatakan fahaman pluralisme adalah bertentangan dengan Islam.

Naib Ketuanya, Mohamad Suhaimi Abdul Aziz berkata ini kerana fahaman pluralisme amat bahaya kerana boleh memesongkan akidah umat Islam di negara ini.

Tambahnya, Islam adalah agama yang benar di sisi Allah SWT dan tidak boleh disamakan dengan agama yang lain.

DPPWP juga, ujarnya bersetuju bahawa mereka yang berfahaman demikian adalah golongan yang terpesong dari ajaran Islam dan wajib kembali kepada Islam.

Namun demikian, katanya mempertikaikan kedudukan bangsa Melayu bukanlah bererti menganut fahaman pluralisme.

Menurutnya, fahaman pluralisme merujuk kepada fahaman kemajmukan dan kesamarataan kepada semua agama dan bukan kepada kedudukan sesuatu bangsa.

“DPPWP tidak menafikan kedudukan bangsa Melayu dan agama Islam di dalam Perlembagaan.

“DPPWP tetap menyokong bahawa Perlembagaan meletakkan kedudukan istimewa kepada bangsa Melayu dan Islam di Malaysia,” ujarnya.

Namun apa yang dikesalkan, katanya ada sebilangan umat Islam menganggap kedudukan bangsa lebih mulia daripada agama Islam.

“Kerana itu ada sebilangan umat Islam memperjuangkan bangsa Melayu lebih daripada memperjuangkan Islam.

“Mereka sanggup hidup dan mati kerana bangsa Melayu, tetapi tidak menjalankan hukum-hukum Islam seperti yang diperintahkan di dalam al-Qur’an,” katanya.

Mereka, kata beliau kononnya membela hak-hak istimewa bangsa Melayu, tetapi hukum asas Islam seperti menutup aurat, menjaga pergaulan, bercakap benar, amanah, jujur, adil dan lain-lain tidak dilaksanakan.

“Fahaman ini digelar sebagai fahaman nasionalisme. Ia bersifat asabiyah kepada bangsa dengan menganggap bangsanya sahaja mulia, sedangkan bangsa lain tidak,” katanya.

Justeru, beliau meminta Jamil Khir turut menyatakan bahawa fahaman nasionalisme turut terpesong dari ajaran Islam dan menyeru penganut fahaman itu agar kembali kepada Islam kerana Islam adalah lebih perlu untuk diperjuangkan daripada bangsa.

Sedangkan, katanya Islam menganggap semua bangsa adalah sama, dan hanya yang paling mulia adalah mereka yang bertaqwa.

Bangsa Cina dan India lebih mulia dari bangsa Melayu sekiranya mereka beriman dan bertaqwa.

Bahkan, katanya Islam lebih dahulu sampai ke negeri Cina dan India berbanding Tanah Melayu.

“Mencintai bangsa Melayu tidak menyalahi agama, tetapi menjadi satu kesalahan sekiranya sayang bangsa sehingga menolak agama,” ujarnya.

Malaysiakini/-

Buku Jingga garis program Pakatan perintah negara

15 Muharam 1432H

KUALA LUMPUR, 20 Dis: Pakatan Rakyat (PR) mengeluarkan Buku Jingga yang mengariskan rancangan berbentuk jangka pendek dan jangka panjang dalam mentadbir negara sekiranya mengambil alih pemerintahan dalam pilihan raya akan datang.

Buku Jingga yang merupakan dasar bersama dipersetujui parti-parti dalam PR itu dikeluarkan melalui Konvensyen Ke-2 PR di Pulau Pinang pada 19 Disember dan disebut sebagai rencana dasar serta kebijakan untuk membela rakyat berlandaskan empat kerangka.

Kerangka pertama digariskan dalam buku itu ialah demokrasi yang telus dan tulen untukmemperkasakan ketuanan rakyat.

Kedua, memacu ekonomi berprestasi tinggi yang mampan untuk mem jana kemakmuran dan kebajikan kepada semua secara adil.

Ketiga, keadilan sosial bagi menjamin pembangunan insan secara menyeluruh.

Keempat, Hubungan persekutuan-negeri dan dasar luar negara yang adil-setara.

"Dasar Bersama ini menggariskan iltizam kami untuk mengalih hala tuju negara dan bangsa ke landasan yang betul setelah berdekad diruntun salah guna kuasa, rasuah dan politik perkauman," kata buku tersebut yang ditandatangani oleh Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Preiden PAS, Dato’ Seri Abdul Hadi Awang dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Selain itu tiga perkara pertama diangkat dalam dasar bersama PR meliputi komitmen mempertahankan Perlembagaan Persekutuan, Islam sebagai agama bagi Persekutuan dan agama-agama lain boleh diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana di negara ini serta melindungi kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak dan kepentingan sah kaum-kaum lain sejajar dengan Perkara 153.

Diikuti pula dengan Komitmen mempertahankan peranan dan tanggungjawab institusi raja berperlembagaan.

Dan seterusnya Komitmen memartabatkan penggunaan Bahasa Melayu selari dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan dan memperluaskan Bahasa Melayu sebagai lingua franca serantau, melindungi dan memperkukuhkan penggunaan bahasa ibunda semua kaum.

Program 100 hari memerintah

Buku tersebut turut mengariskan program 100 hari PR yang dilihat sebagai rancangan jangka pendek selepas berjaya mentadbir negara yang disebut sebagai permulaan kepada reformasi iaitu:

Memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Mengarahkan Khazanah Berhad, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan lain-lain badan milik kerajaan yang memiliki konsesi lebuhraya untuk menyempurnakan ambil alih aset lebuhraya oleh kerajaaan dengan tujuan menghapuskan tol.

Merombak struktur subsidi negara bagi mengurangkan subsidi kepada pihak swasta (seperti subsidi gas sebanyak RM19 bilion kepada penjana bebas) dengan memindahkannya bagi menampung perbelanjaan subsidi rakyat.

Menghargai peranan guru sebagai pendidik bangsa dengan Menaikkan memperkenalkan imbuhan perguruan sebanyak RM500 sebulan setiap seorang.

Menjadikan air sebagai hak rakyat dengan mengembalikan semua konsesi pengurusan air yang diuruskan swasta kepada kerajaan.

Menyediakan perkhidmatan internet wifi percuma kepada semua rakyat di kawasan bandar dan separa bandar.

Membatalkan Felda Plantations bagi tujuan membuka ladang-ladang yang kini diuruskannya kepada generasi kedua dan ketiga Felda.

Menaikkan royalti minyak kepada Sabah dan Sarawak kepada 20%.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi memulihkan sistem kehakiman.
Menubuhkan Suruhanjaya Diraja bagi menyelesaikan kemelut pendatang tanpa izin dan kerakyatan di negeri Sabah.

Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat

Selain itu buku itu juga menyebut bidang-bidang yang akan diberi tumpuan khusus PR dalam usaha menterjemahkan dasar bersama ialah membebaskan institusi Negara, mewujudkan kemakmuran Melalui Pengagihan ekonomi yang adil dan meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat.

Dalam usaha membebaskan institusi negara PR akan meneruskan konsep pentadbiran yang kompeten, bertanggungjawab dan telus seperti yang telah diamalkan di negeri-negeri Pakatan Rakyat; sebagai gambaran sebuah pentadbiran yang membebaskan institusi-institusi negara dari cengkaman campur tangan politik.

PR juga akan mewujudkan Council of Experts dalam isu-isu utama negara seperti ekonomi, politik dan sosial untuk merangka dan mengemaskini dasar sedia ada agar bertepatan dan mujarab menangani kemelut negara dan masyarakat.

Seterusnya memperkukuhkan Jawakatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat yang memantau fungsi dan keberkesanan Kementerian-kementerian, dengan penerbitan laporan Jawatankuasa Parlimen Pakatan Rakyat setiap enam bulan sekali.

Dan akhirnya memperhebatkan proses pendidikan politik melibatkan golongan sasaran yang lebih besar mengenai peri penting keutuhan institusi-institusi negara yang berintegriti; dengan kerjasama NGO dan masyarakat sivil/madani disamping istiqamah dalam kempen dan gerak kerja politik untuk memberi tekanan kepada pentadbiran sedia ada agar membebaskan institusi-institusi negara dari campur tangan politik.

Pendapatan isi rumah RM4000 sebulan

Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil, PR akan menukar aliran pemikiran rakyat supaya beralih dari tumpuan kepada persoalan ekuiti yang sering ditimbulkan lawan kepada langkah-langkah khusus meningkatkan pendapatan isi rumah rakyat.

Dalam masa yang sama PR akan membongkarkan penyelewengan harta rakyat atas nama menjaga hak Melayu/Bumiputra termasuklah skandal kehilangan RM52 bilion saham yang diperuntukan kepada golongan elit dan kroni pemerintah atas nama Melayu/Bumiputra serta meneruskan skim bantuan terus kepada rakyat tanpa diskriminasi.

PR juga akan mempertahankan hak rakyat untuk mendapat bantuan kerajaan dalam bentuk subsidi minyak dan barangan keperluan asas selain membela golongan termiskin berpendapatan isi rumah di bawah RM1,500 tanpa mengira kaum dengan mensasarkan matlamat menjamin pendapatan isi rumah minima RM4,000 setiap keluarga dalam tempoh 5tahun Pakatan Rakyat berkuasa.

Dalam aspek pengagihan ekonomi yang adil itu, PR juga menjamin kelangsungan bekalan makanan negara pada harga yang tidak membebankan negara dengan langkah-langkah drastik dalam tempoh dua tahun memerintah di peringkat persekutuan untuk mengurangkan pergantungan kepada import makanan.

Air dan rawatan percuma

Bagi meningkatkan pendapatan boleh guna rakyat, Buku Jingga itu menyebut PR akan menyempurnakan pengambilalihan pengurusan industri air di Lembah Klang demi menjamin tarif air yang berpatutan untuk rakyat dan meneruskan Skim Air Percuma yang telah dinikmati rakyat serta menjamin tidak ada penswastaan sektor kesihatan bagi memastikan khidmat kesihatan yang bermutu dan percuma dapat terus disediakan kepada rakyat terbanyak.

Perkara lain yang turut digariskan di bawah program untuk meningkatkan pendapatan boleh gunarakyat ialah:

Mewujudkan Perbadanan Perumahan Negara sebagai badan induk yang mengawal, membangunkan dan mengurustadbir skim pembangunan rumah rakyat untuk menjamin setiap keluarga di Malaysia mampu memiliki kediaman yang selesa pada harga yang berpatutan dengan pendapatan mereka.

Menyelesaikan kes-kes projek perumahan terbengkalai yang menekan rakyat dengan apa jua kaedah yang difikirkan sesuai oleh kerajaan-kerajaan negeri Pakatan Rakyat pada kadar yang segera.

Meneruskan dan meningkatkan skim mikrokredit yang diperkenalkan untuk memberi bantuan khusus kepada golongan termiskin melonjakkan kedudukan ekonomi mereka, melalui bantuan kewangan, latihan dan pemantauan. Setakat ini, RM70 juta telah diperuntukkan untuk skim mikrokredit di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Malaysiakini/-

Tidak berbangkit roboh Surau Al-Hidayah

15 Muharam 1432H

RAWANG, 21 Dis: Pihak Masjid Nurul Iman di sini mendapati isu perobohan Surau Al-Hidayah di pekan ini yang bernaung di bawah pentadbiran masjid tiada langsung dibangkitkan di dalam notis.

Nazirnya, Ilham Akhbar Harun berkata pihaknya telah meneliti notis bagi mengosongkan tapak perniagaan/aktiviti di Pusat Bandar Rawang Selangor Darul Ehsan oleh Tetuan Mahumas Sdn Bhd yang bertarikh 19 Oktober 2010 rujukan MSB/BLOCK N/NOTIS/010-10/016/yz dan juga keseluruhan siaran media elektronik dan akhbar tempatan yang di sebarkan sebelum ini.

Justeru, katanya pihak masjid berpendapat sebarang usaha untuk mempertahankan maruah dan juga kepentingan umat Islam di Rawang seperti isu perobohan surau itu haruslah dirujuk kepada pentadbir masjid yang telah diberi mandat dan amanah oleh Sultan Selangor.

“Sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Kami, pentadbir Masjid Nurul Iman Rawang (MNIR) telah meneliti notis bagi mengosongkan tapak perniagaan/aktiviti di Pusat Bandar Rawang Selangor Darul Ehsan oleh Tetuan Mahumas Sdn Bhd yang bertarikh 19 Oktober 2010 rujukan MSB/BLOCK N/NOTIS/010-10/016/yz dan juga keseluruhan siaran media elektronik dan akhbar tempatan yang di sebarkan sebelum ini.

Adalah didapati isu perobohan Surau Al-Hidayah Pekan Rawang yang bernaung di bawah pentadbiran MNIR tiada langsung dibangkitkan di dalam notis tersebut. Pihak Mahumas tidak secara terperinci/spesifik berkenaan isu perobohan surau.

Pengosongan tapak perniagaan/aktiviti di kawasan ini dilakukan kerana pihak Mahumas mendakwa keseluruhan 8 lot tanah yang telah dibangkitkan oleh setenggah pihak adalah miliknya. Pendirian MNIR dalam isu ini, bahawa surau tersebut haruslah dikekalkan seperti sedia ada. Sehubungan dengan itu isu perobohan surau tiada kaitan ataupun terbatal.

Pihak kami telah membuat carian dokumen di Pejabat Tanah & Daerah Gombak dan adalah didapati tanah tersebut yang berkeluasan (1 rood, 11 poles) telah direzabkan pada 12 Mac 1920 sebagai tanah rezab tapak masjid yang bernombor 13075 dan nombor geran 1100-20 yang bersamaan dengan 13,885 kp. Kami beranggapan tanah rezab tersebut haruslah dikekalkan kepada pihak Masjid (JAIS/MAIS) kerana:

- Pengekalan rezab berkenaan sebagai simbol dan warisan kecemerlangan indentiti umat Islam di Bandar Rawang sejak 100 tahun yang lalu.

- Tapak ini juga merupakan kawasan yang strategik untuk perkembangan Islam setempat.

- Pengekalan rezab ini juga dapat memilihara kesejahteraan 7 tapak kubur penduduk awal Rawang di kawasan tapak masjid ini.

- Dengan kepesatan pembangunan di Rawang dan sekitarnya adalah dijangkakan kepadatan penduduk Islam di Rawang akan bertambah.

Atas fakta-fakta tersebut SAP Holdings Berhad haruslah membatalkan hasrat untuk membangunkan pembangunan di atas tapak rezab masjid tersebut.

Kanun Tanah Negara Borang 5CK, Geran Pajakan dan Hakmilik telah dikeluarkan pada 29 Jun 2009 oleh Pendaftaran Hakmilik Negeri Selangor kepada SAP Holdings Berhad. Adalah didapati tarikh mula-mula pemberimilikan sebenar oleh Pendaftar Hakmilik Negeri Selangor kepada SAP Holdings telah dikeluarkan seawal 2 April 2001 sebagai kelulusan hakmilik. Ini bermakna tarikh 29 Jun 2009 hanyalah sebagai pecahan lot-lot tanah. Dalam hal ini jelas menunjukan proses pemilikan berlaku sejak awal tahun 2001.

Pada 20 Disember 2010, Pentadbir Masjid bersama Penghulu Mukim Rawang 1, Wakil Pejabat Adun Rawang dan Ahli Majlis MPS Zon 19 telah mengadakan perjumpaan dengan wakil SAP Holdings Bhd (Mahumas Sdn Bhd) bagi tujuan menyelesaikan isu berbangkit. Hasil dari perjumpaan tersebut dirumuskan bahawa:

- Tidak akan berlaku perobohan surau seperti yang diwar-warkan oleh sesetengah pihak.

- Tanah rezab masjid yang berukuran (1r, 11p) haruslah dikekalkan sebagai rezab masjid.

- Pihak Mahumas akan melakukan ukuran tepat keluasan tapak tanah tersebut melalui jurukur berdaftar.

- Pihak Mahumas bersetuju mengembalikan keseluruhan lot-lot tanah tersebut setelah ukuran sebenar diperolehi.

Kami berpendapat sebarang usaha untuk mempertahankan maruah dan juga kepentingan umat Islam di Rawang seperti isu perobohan surau ini haruslah dirujuk kepada pentadbir masjid yang telah diberi mandat dan amanah oleh DYMM Sultan Selangor Darul Ehsan. Sebarang tindakan yang meminggirkan peranan masjid dan mempunyai agenda-agenda yang tersembunyi haruslah diabaikan.

Malaysiakini/-

Guan Eng mahu saman Utusan

15 Muharam 1432H

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menyaman akhbar Utusan Malaysia kerana didakwa mengeluarkan fitnah dan tohmahan ke atasnya dalam laporan muka depan dan rencananya hari ini.

Setiausaha akhbarnya Cheong Yin Fan mendakwa akhbar milik Umno itu banyak memfitnah Lim, seperti dalam isu perarakan Maulud Nabi, perobohan kampung Melayu dan pasar Ramadan Komtar.

"Oleh kerana Utusan tidak memberikan hak menjawab kepada ketua menteri, maka tidak ada pilihan lain kecuali untuk memfailkan saman malu di mahkamah demi kebenaran dan keadilan," kata Cheong.

Menurutnya, saman itu akan diuruskan oleh firma guaman Karpal Singh & co.

Dalam kenyataan hari ini, Cheong mendakwa, apa yang berlaku jelas sekali Utusan dan setengah pemimpin BN akan menggunakan isu 3R atau race (bangsa), religion (agama) dan raja untuk membohongi rakyat bahawa DAP anti perkara dan pihak itu.

"Kumpulan yang berniat jahat ini tidak dapat memberikan sebarang bukti tetapi mereka akan tetap dengan agenda bahawa DAP anti-Melayu, anti-Islam dan anti-raja untuk menjatuhkan DAP dan PR.

"Jelas Konvensyen PR kedua semalam begitu berjaya sehingga Utusan dan pemimpin BN menggunakan sekali lagi senjata fitnah untuk cuba sabotaj dan menjejaskan kejayaan konvensyen PR ini, khususnya kejayaan Program 100 Hari yang memberikan faedah kepada rakyat bila PR berkuasa," katanya.

Malaysiakini/-

'S'gor tak terlibat pelan pembangunan tapak surau'

15 Muharam 1432H

Kerajaan Selangor tidak terlibat langsung dengan pelan pembangunan tapak sebuah surau di Rawang yang dibantah sekumpulan penduduknya semalam, dakwa setiausaha politik kepada menteri besar Faekah Husin.

Beliau menjelaskan bahawa tanah yang terlibat dalam projek pembangunan tersebut dimiliki dua syarikat pemaju yang menjalankan projek tersebut secara usahasama.

Sebuah daripada syarikat itu didakwa tidak lagi mempunyai sebarang kaitan dengan kerajaan negeri.

Sehubungan itu, Faekah (kiri) berkata, pihak yang terlibat dalam perhimpunan itu, termasuk pemimpin Umno sepatutnya, membuat penyelidikan terlebih dahulu sebelum membuat sebarang "tuduhan liar".

Beliau juga mendakwa kerajaan terdahulu pimpinan BN sebenarnya yang telah meluluskan kedua-dua syarikat terbabit menjalankan projek tersebut atas tanah berkenaan, termasuk lot yang telah diwartakan untuk pembinaan surau.

“Fakta jelas mendedahkan siapa yang sebenarnya telah mengorban orang Melayu dan Islam di Rawang.

"Saya rasa mungkin lebih sesuai penduduk berhimpun di pejabat Umno dan MCA untuk membuat aduan mereka,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Jemput SPRM

Semalam, Badan Bertindak Surau Al-Hidayah (BBSAH) Kampung Melayu Rawang dilaporkan berhimpun dalam demonstrasi secara aman bagi membantah pengambilan tapak surau itu.

Penasihat BBSAH Datuk Ir Md Nasir Ibrahim dilaporkan berkata ketidakcekapan kerajaan negeri sekarang menyebabkan satu-satunya tanah orang Melayu di pekan Rawang yang luasnya tidak seberapa, jatuh ke tangan swasta.

Beberapa pemimpin BN, antaranya Pengerusi Biro Agama Umno Selangor Datuk Zainal Abidin Sakom juga kelihatan turut serta dalam perhimpunan itu.

Berhubung status gerai-gerai tanpa lesen yang beroperasi di sekitar surau berkenaan, Faekah berkata laporan awal yang diterima dari Pejabat Daerah Gombak mendedahkan ia dibina secara haram tetapi sewa dikutip oleh seorang bekas ahli jawatankuasa surau untuk mengisi tabung surau itu.

Bagaimanapun, katanya, ahli jawatankuasa baru surau berkenaan mendakwa kutipan itu tidak pernah disalurkan ke tabung surau.

“Saya menyeru polis dan SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) membuat siasatan lanjut berkenaan hal ini dan kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan memberi kerjasama penuh,” katanya.

Faekah juga berkata kerajaan Selangor akan memastikan penduduk di Kampung Melayu, Rawang, mempunyai kemudahan surau walaupun notis perobohan dan pemindahan telah dikeluarkan oleh syarikat pemaju bagi menjalankan projek pembangunan yang telah diluluskan lapan tahun lalu.

Kerajaan Selangor melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan berusaha untuk menyelesaikan masalah tersebut agar penduduk di kampung itu dapat terus menjalankan ibadat seperti biasa.

Malaysiakini/-

Pulau Pinang tolak pembinaan loji nuklear

15 Muharam 1432H

Kerajaan Pulau Pinang tidak akan membenarkan kerajaan persekutuan membina loji janakuasa nuklear di negeri itu, kata ketua menterinya Lim Guan Eng.

"Saya hendak tegaskan selagi Pakatan Rakyat memerintah Pulau Pinang, kerajaan negeri tidak akan menyokong atau membenarkan sebarang loji nuklear dibina di Pulau Pinang bagi memastikan rakyat negeri selamat daripada pencemarannya," kata Lim (kanan).

Semalam, Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Datuk Seri Peter Chin berkata, Malaysia merancang untuk membina dua loji kuasa nuklear yang masing-masing akan menjana 1,000 megawat sebagai sebahagian daripada rancangan jangka panjang untuk mengimbangi bekalan tenaga.

Loji pertama akan siap dan mula beroperasi pada 2021 manakala loji kedua, setahun kemudian.

Dalam kenyataan hari ini, Lim berkata rancangan itu tidak mempunyai rasionalnya kerana Malaysia sudah mempunyai margin simpanan tenaga yang tinggi sehingga 40 peratus.

Beliau juga menambah, terdapat kos tersembunyi yang "besar" terlibat dalam pembangunan dan penyeliaan loji tenaga nuklear.

Malaysiakini/-